Anda di halaman 1dari 4

Gaya Hidup Sihat

Setiap ahli keluarga memainkan peranan penting ke arah melahirkan gaya hidup sihat.
Jelaskan peranan ibu bapa dalam usaha memupuk amalan gaya hidup sihat.

Amalan gaya hidup sihat adalah cara hidup yang boleh mengurangkan pelbagai risiko penyakit
pada masa hadapan. Namun demikian, ribuan rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan,
tidak aktif dan terlalu banyak menghisap rokok. Ribuan rakyat Malaysia mengamalkan cara hidup
yang tidak sihat sejak kecil lagi seperti menggemari makanan yang mengandungi kolesterol, tidak
melakukan senaman dan makan secara berlebihan. Oleh itu, untuk mengurangkan risiko obesiti
serta penyakit berbahaya seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya, rakyat
Malaysia perlulah mengamalkan gaya hidup sihat. Secara umumnya, tanggungjawab ini sudah
semestinya jatuh pada bahu ibu bapa yang melahirkan anak-anak serta menjaga mereka sejak kecil
lagi. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dan keluarga untuk memupuk amalan gaya hidup sihat
dalam kalangan anak-anak mereka?

Sudah terang lagi bersuluh peri pentingnya peranan ibu bapa dalam memupuk amalan gaya
hidup sihat dalam kalangan anak-anak. Peranan utama ibu bapa dalam memupuk amalan gaya hidup
sihat dalam kalangan anak-anak mereka adalah dengan memastikan anak-anak mengamalkan
pemakanan yang seimbang. Pemakanan yang seimbang bermaksud pemakanan yang mengandungi
ketujuh-tujuh kelas makanan dalam kadar yang bersesuaian iaitu karbohidrat, protein, vitamin,
mineral, lemak, air serta serat. Ibu bapa perlulah sentiasa menghidangkan makanan yang berzat
serta bernutrien kepada anak-anak. Selain itu, ibu bapa juga digalakkan untuk makan di rumah
kerana makanan di luar, khususnya gerai-gerai makanan di sepanjang jalan yang makanannya biasa
digoreng dengan penuh minyak. Jika tabiat yang baik ditanam dalam diri anak-anak, sudah pasti
anak-anak akan tahu menjaga pemakanan mereka apabila dewasa kelak. Ibu bapa juga perlu
mengurangkan pengambilan minuman berkarbonat oleh anak-anak kerana minuman sebegini tidak
memberikan apa-apa kebaikan dan mengandungi kandungan gula yang berlebihan. Anak-anak
perlulah diajar untuk minum air kosong atau jus buah-buahan yang asli. Jelasnya, ibu bapa perlulah
memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan seimbang dalam memupuk amalan gaya hidup
sihat.

Selain itu, ibu bapa juga boleh melakukan aktiviti bersenam dan beriadah bersama anak-anak.
Aktiviti ini bukan sahaja akan menyihatkan badan, malah hubungan antara ibu bapa dengan anak-
anak akan menjadi lebih erat. Aktiviti bersenam mampu mengekalkan gaya hidup sihat kerana peluh-
peluh yang keluar sewaktu melakukan senaman akan keluar bersama-sama toksin badan. Kesannya,
anak-anak mampu membina tahap imunisasi yang tinggi terhadap serangan penyakit. Aktiviti
senaman perlulah dilakukan sekurang-kurangnya 20 minit sehari dan tiga kali seminggu. Antara
aktiviti yang boleh dilakukan ialah senamrobik, berjoging, berbasikal, berenang serta mendaki bukit.
Disebabkan ramai golongan ibu bapa yang bekerja, senaman ini boleh dilakukan pada awal pagi
ataupun pada waktu petang selepas ibu bapa pulang dari kerja. Apabila seseorang itu bersenam dan
beriadah, mereka dapat meningkatkan kesihatan diri dari aspek fizikal dan mental bak kata pepatah,
badan cergas otak cerdas. Tegasnya, ibu bapa perlulah melakukan aktiviti senaman dan riadah
bersama anak-anak supaya amalan gaya hidup sihat dapat dipupuk.
Di samping itu, ibu bapa juga perlulah membawa anak-anak membuat pemeriksaan kesihatan
secara berkala untuk memupuk amalan gaya hidup sihat. Ibu bapa digalakkan untuk membawa anak-
anak menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya enam bulan sekali ataupun dua kali
setahun. Pemeriksaan kesihatan adalah penting kerana mampu mengesan sesuatu penyakit ketika
masih di peringkat awal dan memudahkan pesakit menjalani rawatan dengan teknologi moden kini.
Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Dengan ini, ibu bapa dapat mengenali
tubuh badan anak-anak mereka dengan lebih baik dan mampu menentukan pilihan yang terbaik
untuk anak-anak mereka. Jika ibu bapa mendapati anak-anak mereka tidak sihat, ibu bapa perlulah
segala membawa mereka berjumpa dengan doktor  untuk mendapat ubat serta pengesahan tentang
penyakit yang dihidapi. Bukan itu sahaja, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mematuhi
nasihat doktor dan mengambil ubat pada masa yang ditetapkan. Jelasnya, pemeriksaan kesihatan
secara berkala oleh anak-anak akan memupuk amalan gaya hidup sihat.

Ibu bapa juga perlu mengajar dan melatih anak-anak mereka mengutamakan kebersihan diri
pada setiap masa bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan asas
seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu
dijadikan amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga
perlulah mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan seperti mencuci
tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan dengan baik agar tidak dihinggapi lalat
mahupun memilih gerai atau tempat makan yang bersih semasa menjamu selera. Sikap sambil lewa
ibu bapa dalam menitik beratkan aspek berkenaan mungkin boleh membawa padah. Justeru, amalan
sebegini harus dilentur sejak dari rebung dalam diri anak-anak agar dapat membentuk gaya hidup
yang sihat apabila mereka dewasa kelak.

Pada masa yang sama, selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, ibu bapa juga seyogia
mendidik ahli keluarga mereka agar menjaga kebersihan persekitaran mereka. Persekitaran yang
bersih perlu dijadikan amalan dan gaya hidup agar kita terhindar daripada sebarang penyakit.
Umpamanya, ibu bapa menggalakkan anak-anak mengadakan gotong-royong di rumah setiap hujung
minggu untuk membersihkan kawasan rumah bersama ahli keluarga. Ibu bapa juga boleh membawa
anak-anak menyertai kegiatan gotong royong di taman perumahan dengan membersihkan sampah-
sarap atau memastikan kawasan persekitaran mereka sentiasa bersih. Amalan seperti ini dapat
mengelakkan pembiakan agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya.
Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun
tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar. Dengan cara demikian, ibu bapa
dapat melatih gaya hidup yang positif dalam diri anak-anak mereka sekali gus akan dapat
menjauhkan diri mereka daripada pelbagai penyakit.
Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka yang
lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih bermakna
kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan masalah
mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama mereka menjadikan keperluan
psikologi manusia dipenuhi dengan efektif. Ibu bapa digalakkan menjalin hubungan komunikasi yang
mesra bersama-sama anak-anak atau jiran tetangga. Hubungan baik yang berkekalan biasanya
dapat melahirkan satu bentuk kehidupan yang ceria dan menggembirakan. Sesungguhnya, aspek
psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi bagi memperoleh gaya hidup yang sihat ini Peranan ibu
bapa mengamalkan cara berkomunikasi berkesan dengan ahli keluarga, rakan-rakan dan jiran
tetangga serta mengamalkan ibadat mengikut agama masing-masing akan memberi impak psikologi
yang positif.

Pada masa yang sama memiliki sikap atau mentaliti positif penting untuk menangani tekanan
kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu mampu
menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan.
Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama tekanan di pejabat, kekangan di tempat
kerja memerlukan satu persepsi positif daripada ahli masyarakat kita. Para ibu bapa perlu bijak
menghadapi tekanan hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada pakar motivasi
ataupun rakan-rakan di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana tekanan yang dialami boleh
menjuruskan ibu bapa pada perlakuan negatif seperti mendera, menagih dadah atau melakukan
sesuatu perkara di luar jangkaan. Jadi, semakin positif minda ibu bapa itu maka semakin tinggilah
gaya hidup sihat yang mampu dicapai oleh dirinya dan keluarga kelak. Penguasaan diri yang baik
dan pesanan yang sering merangsang anak-anak ke arah positif menangani cabaran merupakan
asuhan yang amat dicontohi oleh anak-anak sehingga mereka dewasa.

Tambahan pula, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam anak-anak, ibu bapa perlulah
membawa mereka menziarahi orang sakit sama ada saudara-mara, jiran tetangga ataupun rakan-
rakan. Hari ini kita sihat, tetapi bagaimana pula dengan hari esok? Jika ibu bapa sering melawat
orang yang sedang sakit, nescaya anak-anak mereka juga akan berbuat demikian kerana bagaimana
acuan begitulah kuihnya. Anak-anak tidak seharusnya merasakan bahawa perbuatan sebegini hanya
membuang masa dan merugikan diri kerana ianya sesuatu amalan yang mulia. Apabila kita
menziarahi orang yang sakit, secara tidak langsung kehadiran kita dapat melahirkan perasaan
gembira kepada pesakit dan memberi kekuatan kepada diri pesakit  itu untuk melawan kesakitan
yang ditanggung. Perbuatan menziarahi orang yang sakit akan sedikit sebanyak melahirkan rasa
simpati terhadap nasib orang lain dan pada masa yang sama anak-anak akan bersyukur atas kurniaan
sebuah badan yang sihat. Kehadiran kita menunjukkan bahawa kita, khususnya anak-anak,
mengambil berat tentang diri pesakit dan dapat mengurangkan perasaan sedih pesakit walaupun
pepatah menyatakan bahawa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tegasnya,
amalan menziarahi orang yang sakit oleh ibu bapa dan anak-anak mampu menanamkan amalan gaya
hidup yang sihat.
Akhir sekali, bagi menjalani amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan agar anak-anak
mendapat rehat dan tidur yang secukupnya. Tubuh badan anak-anak juga perlu direhatkan dengan
kadar yang diperlukan untuk mengecas semula organ-organ dalam badan mereka. Bagi anak-anak
yang telah mencapai usia remaja, mereka memerlukan sekurang-kurangnya lapan jam sehari untuk
tidur dengan selesa. Namun, ramai anak-anak muda pada masa ini yang lebih suka tidur selepas
tengah malam walaupun keesokan merupakan hari persekolahan. Kesannya, mereka tidak akan
berasa cergas dan badan akan lesu dan tidak bermaya. Malahan, pelajaran anak-anak juga diganggu
dan lama-kelamaan prestasi mereka dalam peperiksaan semakin merosot. Salah satu langkah yang
boleh diambil oleh ibu bapa adalah menetapkan satu masa yang spesifik untuk anak-anak masuk
tidur dan mestilah dipatuhi dengan sepenuhnya. Tegasnya, untuk memupuk amalan gaya hidup
sihat, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mendapat rehat yang secukupnya.

Jika mendaki menuju ke puncaknya, jika berbicara menuju ke noktahnya. Kemelut yang
bersangkut isu peranan ibu bapa telah dikupas dengan mendalam. Berdasarkan perbincangan di
atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang besar untuk memupuk
amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak. Amalan ini adalah penting untuk dilaksanakan
agar kesihatan rakyat dalam negara ini sentiasa dalam keadaan yang baik. Oleh itu, langkah-langkah
di atas perlulah diamalkan oleh anak-anak yang menjadi pemimpin generasi akan datang bak kata
pepatah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Semua rakyat Malaysia haruslah
mengamalkan gaya hidup sihat supaya penyakit seperti kencing manis, obesiti, darah tinggi, sakit
jantung dan sebagainya dapat dikurangkan dalam jangka masa yang panjang ini. Dengan kata lain,
segala kelemahan perlu ditangani sebelum padi di sawah menjadi lalang, sebelum ayam di reban
disambar helang. Jelasnya, jika hal-hal yang dinyatakan di atas itu kita laksanakan, sudah pasti kita
memiliki ciri-ciri manusia yang sihat bak kata pepatah hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.

Anda mungkin juga menyukai