Anda di halaman 1dari 2

Langkah-Langkah Untuk Menangani Kegawatan Ekonomi

Kini, rakyat Malaysia seperti juga rakyat di negara-negara jiran, iaitu Indonesia dan Thailand
telah dikejutkan dengan satu isu yang sukar dileraikan, iaitu kegawatan ekonomi yang semakin
meruncing berikutan kejatuhan nilai ringgit berbanding dengan dollar AS. Kejatuhan nilai ringgit ini
dikatakan akibat serangan speculator mata wang, iaitu George Soros. Hal ini menyebabkan mata
wang atau ringgit kita jatuh secara mendadak semenjak tahun 1997. Hal ini terbukti dengan
perbezaan yang ketara antara nilai ringgit jika dibandingkan dengan dollar AS. Dalam pada itu,
negara kita dikatakan salah sebuah negara Asia yang masih boleh mengawal keadaan ini jika
dibandingkan dengan negara jiran seperti Indonesia, Thailand, dan Korea Selatan yang terpaksa
meminjam wang dari Tabung Wang Antarabangsa. Keadaan di Malaysia masih stabil kerana kerajaan
menganggarkan RM490 billion masih ada dalam simpanan kerajaan untuk membiayai projek-projek
pembangunan pada tahun 1998 bagi meningkatkan taraf ekonomi negara. Di samping itu, rakyat
diseru supaya menyokong tindakan kerajaan dan membantu kerajaan untuk mengatasi masalah ini.

Oleh yang demikian, ketika kerajaan giat berusaha menangani masalah ini, rakyat seharusnya
berdiri teguh dan bersama-sama mengembleng tenaga untuk mengatasi masalah ini. Rakyat juga
perlu mengatur langkah dan strategi yang tersusun untuk membantu kerajaan. Kita mendapati
bahawa usaha-usaha itu telah pun mengeluarkan hasil yang boleh dibanggakan. Rakyat banyak
membantu dan seharusnya kita sebagai rakyat Malaysia membantu kerajaan dengan tidak boros
ketika berbelanja. Oleh yang demikian, kita harus merancang perbelanjaan sebelum membeli
sesuatu barangan. Contohnya, kita harus memikirkan sama ada hendak dibeli atau tidak sesuatu
barang supaya tidak berlaku pembaziran. Hal ini demikian kerana, pembaziran merupakan satu
punca utama yang boleh mengakibatkan krisis ini menjadi semakin tenat dan sukar diatasi. Dalam
usaha rakyat untuk menangani isu ini, kaum wanita sebagai suri rumah perlu memainkan peranan ini
dengan bijak. Contohnya, mereka boleh membekalkan anak-anak mereka dengan makanan setiap
hari apabila anak-anak mereka hendak ke sekolah. Kaum wanita juga tidak membeli barang-barang
kemas semasa negara dilanda kegawatan ekonomi. Dengan berjimat dalam perbelanjaan, kita dapat
membantu kerajaan untuk menangani masalah ini.

Seterusnya, langkah untuk mengatasi krisis kegawatan ekonomi ialah kerajaan mengawal
pengaliran keluar wang negara ke negara lain. Jika sebelum ini, masyarakat Malaysia gemar
melancong ke negara asing, maka sekarang mereka seharusnya melancong di dalam negara sendiri
dan membatalkan rancangan untuk melancong di luar negara. Dengan berbuat demikian, kita dapat
mengelakkan pengaliran mata wang ke negara yang kita lawati kerana salah satu penyebab dan
punca kegawatan ekonomi ialah pengaliran wang yang banyak ke negara lain. Pengaliran mata wang
Malaysia juga dapat dikurangkan dengan mengurangkan import dan menambahkan eksport. Ini
perlu diberi penekanan yang sewajarnya kepada sektor tertentu seperti sektor perindustrian. Sektor
pelancongan negara juga memainkan peranan penting, terutamanya di kawasan pedalaman yang
belum diusahakan sepenuhnya oleh arus pembangunan. Mereka harus meningkatkan atau
meluaskan promosi ke seluruh dunia untuk menggalakkan pelancong asing datang ke negara ini. Di
samping itu, kita harus meningkatkan eksport negara yang dapat membantu kerajaan menangani
krisis ini dan dapat menambah tabungan negara.
Selain itu, rakyat Malaysia yang mempunyai harta atau menyimpan wang di luar negara perlu
menjual harta atau mengeluarkan wang mereka di luar negara dan melabur di Malaysia. Dengan
berbuat demikian, mereka dapat membantu memulihkan ekonomi negara Contohnya, kita
mendapati ramai dalam kalangan rakyat negara ini yang membeli tanah dan ladang di Australia dan
di New Zealand, dan tidak ketinggalan juga yang menyimpan wang di Switzerland dan di Singapura.
Jadi, jika rakyat mebawa pulang wang mereka yang dilaburkan di negara asing ke negara ini, maka
masalah kegawatan ekonomi yang dihadapi oleh negara ini dapat diatasi segera. Seharusnya, rakyat
menyedari hakikat ini dan membantu kerajaan seperti " berakit-rakit ke hulu, berenag-renang ke
tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenag-senang kemudian.

Ditinjau kepesatan negara dalam pelbagai aspek, terutamanya aspek pendidikan di Malaysia
dari timur sampai ke barat dan dari Perlis sampai ke Sabah, kita mempunyai banyak pusat pengajian
tinggi, iaitu universiti awam dan universiti swasta. Oleh yang demikian, untuk menangani krisis ini,
pengaliran wang keluar dari negara ini haruslah dibendung. Ibu bapa memainkan peranan penting
untuk menentukan anak-anak mereka supaya menyambung pendidikan tinggi di dalam negara
sendiri dan tidak menghantar anak-anak mereka belajar di luar negara. Kerajaan menyarankan
supaya rakyat Malaysia belajar di dalam negara dan bukannya di luar negara. Hal ini demikian kerana
dalam era dunia sains dan teknologi, Malaysia juga tidak ketinggalan dan bukannya sebuah negara
yang mundur. Malaysia diakui sebagai negara yang berkembang pesat dalam pendidikan tinggi.
Rakyat, terutamanya ibu bapa seharusnya sedar bahawa pendidikan di Malaysia setaraf dengan
dunia luar dan menghantar anak-anak mereka belajar di dalam negara dan bukannya di luar negara
untuk mengelakkan pengaliran mata wang ke luar negara. Oleh itu, pelajar-pelajar kita yang berada
di luar negara dalam semester akhir disarankan supaya pulang ke tanah air dan menyambung
pelajaran di sini. Penghantaran anak-anak ke luar negara ini menelan belanja yang banyak dan
merugikan negara jika kursus atau jurusan yang dipelajari itu ditawarkan di Malaysia. Oleh yang
demikian, seharusnya rakyat peka dengan saranan kerajaan kerana hal ini dapat membantu bukan
sahaja negara, malahan rakyat negara ini.

Akhirnya, rakyat Malaysia perlu bijak berbelanja dan lebih mengutamakan barangan tempatan.
Kesedaran ini wajar disemai dan dipupuk dalam sanubari setiap rakyat kerana pembelian barang
import akan menyebabkan pengaliran keluar mata wang negara kita ke negara pengeksport. Oleh
hal yang demikian, media massa memainkan peranan penting bagi mengatasi krisis ini dengan
mengadakan kempen “Belilah Barangan Buatan Malaysia”. Sebenarnya, penduduk Malaysia kini
lebih terpengaruh dengan barangan buatan luar negara, iaitu barangan import yang dikatakan lebih
tahan lama. Hal ini merupakan pemikiran yang tidak sihat kerana telah disalahtafsirkan, terutamanya
oleh suri rumah. Sebenarnya, barangan Malaysia berkualiti seperti barangan import . Rakyat
Malaysia juga disarankan supaya jangan terlalu boros kerana hal ini akan meningkatkan harga
barangan dan perkhidmatan. Rakyat Malaysia bersama-sama menyumbang tenaga untuk membantu
kerajaan menangani krisis ini. Mereka perlu berpegang pada cogan kata “Bersatu Teguh, Bercerai
Roboh”. Sekiranya tidak bersatu, maka keadaan ini akan menyebabkan berlaku rusuhan seperti yang
berlaku di Indonesia. Jadi, saya berharap agar semua pihak berganding bahu untuk mengatasi
masalah ini supaya kita dapat hidup dalam keadaan yang selesa dan sejahtera.

Anda mungkin juga menyukai