Anda di halaman 1dari 1

KEPENTINGAN MENUNTUT ILMU

Mutakhir ini, masyarakat kita lebih gemar untuk berhibur berbanding menimba ilmu khususnya dalam kalangan orang
muda. Kepesatan perkembangan teknologi dan sains telah banyak memberi kemudahan yang dinikmati oleh generasi pada
hari ini tanpa mereka sedar akan kesukaran pada zaman dahulu. Keselesaan tersebut telah menyebabkan mereka berasa
senang dan menjadikan hiburan lebih penting daripada mencari rezeki untuk hidup dengan lebih baik. Malahan timbul isu
dimana Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sukar untuk mendapatkan pelajar kerana kebanyakan golongan remaja memilih
untuk bekerja berbanding menghabiskan masa dan wang untuk sekeping ijazah. Tidak dinafikan kita menghadapi situasi
ekonomi yang tidak menentu tetapi ia bukan satu alasan untuk meminggirkan ilmu pengetahuan. Oleh sebab yang
demikian, penting untuk kita pelajari faedah-faedah menimba ilmu pengetahuan untuk diri, masyarakat dan juga negara.

Faedah yang paling utama dalam menimba ilmu pengetahuan adalah untuk melahirkan individu yang
berkemahiran tinggi. Ilmu boleh diibaratkan sebagai pelita yang menerangi kehidupan kita. Menjelang kedewasaan,
pelbagai tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul oleh setiap individu sama ada untuk diri sendiri, keluarga,
masyarakat dan juga negara. Sebagai contoh, hospital melantik seorang individu yang tidak mempunyai pengetahun
tentang perubatan, bagaimana individu tersebut ingin merawat pesakit-pesakit? Persoalan ini jelas menunjukkan betapa
pentingnya menguasai ilmu pengetahuan supaya kerja-kerja hakiki seperti doktor, guru dan pemimpin negara dijawat oleh
individu yang berkelayakan. Peribahasa Melayu berkata, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Setiap perkara jika
kita ingin kuasai pasti ada halangan dan rintangan begitu juga dengan menguasai ilmu pengetahuan. KIta perlu bersikap
tidak putus asa kerana usaha tangga kejayaan. Intihannya, individu yang berkemahiran dan berketrampilan tinggi dapat
dihasilkan sekiranya kita menimba ilmu pengetahuan.

Seiring dengan huraian di atas, manfaat mempelajari ilmu pengetahuan adalah ia dapat mewujudkan masyarakat
berminda kelas pertama. Sehingga hari ini, kita masih lagi menghadapi masalah-masalah gejala sosial yang membelenggu
masyarakat. Masalah penyalah gunaan dadah, pembuangan bayi dan merempit adalah parasit yang membunuh
masyarakat secara diam kerana ia menjadi penyebab kepada masalah-masalah lain. Oleh sebab itu, kita perlu memastikan
setiap ahli masyarakat mempunyai akses kepada pendidikan dan pembelajaran untuk membuka minda mereka. Hanya
dengan ilmu pengetahuan, mereka dapat menambah baik nilai pada diri dan melakukan perkara-perkara yang bermanfaat.
Dalam mendepani era globalisasi, kita seharusnya membina masyarakat yang mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama
rendah dengan masyarakat asing. Izharnya, melalui ilmu pengetahuan, masyarakat yang madani akan terhasil dan memacu
negara ke arah yang lebih baik.

Menguasai ilmu pengetahuan juga dapat menyumbang kepada penyelesaian masalah dan perkembangan ilmu.
Dari hari ke hari, kita pasti akan menghadapi masalah sama ada di tempat kerja, di rumah mahupun di tempat awam. Bagi
mereka yang berilmu, setiap permasalahan pasti ada jalan penyelesaiannya. Sikap optimis adalah satu sikap yang wajar kita
amalkan untuk berjaya dalam kehidupan. Misalnya apabila kita menghadapi pandemik COVID-19 yang meragut jutaan
nyawa. Melalui kajian dan penyelidikan saintifik, para saintis mampu menghasilkan vaksin untuk kita mencegah penularan
wabak tersebut daripada menyebabkan penyakit yang kritikal kepada kita. Fenomena ini menunjukkan kepentingan
mempelajari ilmu pengetahuan untuk kita menghadapi sesuatu perkara yang tidak dijangka seterusnya dapat melepasi
rintangan tersebut dengan jayanya. Persis kata pepatah, Belayar sambil memapan, merapat sambil belayar. Jelaslah
bahawa menguasai ilmu pengetahuan membantu menyelesaikan masalah dan membawa ilmu tersebut ke tahap yang lebih
tinggi.

Akhir sekali, menimba ilmu pengetahuan adalah mustahak untuk mengelakkan kita daripada dimanupulasi oleh
pihak yang tidak bertanggungjawab. Seorang tokoh falsafah bernama George Santayana berkata, sesiapa yang tidak
mempelajari sejarah pasti akan mengulanginya. Ungkapan ini jelas menunjukkan kepentingan menimba ilmu pengetahuan
supaya kita tidak mengulangi kesilapan masa lalu. Tamsilnya, pemimpin negara yang perlu mengekalkan kerjasama
berbilang hala dengan negara-negara asing bagi menjamin keselamatan dan keharmonian negara. Golongan ini perlu
mempunyai ilmu yang luas dalam bidang ekonomi, strategi serta membawa agenda yang bakal menguntungkan rakyat dan
juga negara. Begitu juga bidang-bidang lain seperti bidang kesihatan yang bergantung kepada fakta kajian dan
penyelidikan. Sekiranya kita menelaah rekod dan pengalaman masyarakat terdahulu, pastinya terdapat iktibar atau
pengajaran yang boleh diaplikasikan pada kehidupan hari ini seterusnya mengelakkan kita daripada dimanipulasi.

Secara tuntas, pelbagai faedah yang bakal diperoleh jika kita sentiasa mempelajari ilmu-ilmu pengetahuan.
Tokoh Islam, Imam Syafie pernah berkata, Ilmu itu bukan yang dihafal, tetapi yang memberi manfaat. Masyarakat
konvensional perlu mengubah stigma terhadap pendidikan adalah perkara yang sia-sia dan tidak menjamin kerjaya.
Sebaliknya, setiap ilmu yang dipelajari mempunyai manfaatnya jika kita diberi peluang untuk mengaplikasinya dalam
kehidupan. Kementerian Pendidikan Malaysia berperanan memastikan setiap lapisan umur di Malaysia diberikan hak untuk
menimba ilmu pengetahuan. Pembangunan infrastruktur pendidikan hendaklah diberi keutamaan agar masyarakat
terutamanya generasi muda berasa selesa dan seronok untuk mempelajari ilmu-ilmu pengetahuan untuk diri, masyarakat
dan juga negara. Semoga segala inisiatif untuk menggalakkan pembelajaran ilmu pengetahuan disokong dan diutamakan
bagi melahirkan individu serta masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Anda mungkin juga menyukai