Anda di halaman 1dari 3

TIPS RINGKASAN

1. Pelajar tidak boleh menyatakan pendapat ataupun pandangan sebaliknya hanya perlu menyatakan isi
berdasarkan kehendak soalan.
2. TIDAK BOLEH menyalin bulat-bulat ataupun memotong-motong ayat dan mencantumkannya menjadi satu ayat
dalam ringkasan.
3. Ringkasan bermaksud menulis ISI PENTING berdasarkan soalan.
4. Tulis hanya SATU ISI dalam SATU AYAT.
5. Ayat-ayat yang dibina harus ringkas, tepat dan padat.
6. Gunakan gaya bahasa sendiri tetapi tidak mengubah maksud asal petikan.
7. Gunakan penanda wacana yang ringkas dan tepat bagi menghubungkaitkan isi dengan isi dan ayat dengan
ayat.Contohnya, (keduanya, justeru itu, selain itu,seterusnya,selanjutnya,tambahan pula,begitu juga dengan)
8. Gantikan kata bilangan dengan penggandaan yang menunjukkan bilangan bagi menjimatkan jumlah
perkataan.Contohnya, ‘para pelajar’(2 perkataan) ditulis sebagai ‘pelajar-pelajar’(1 perkataan)
9. Jangan masukkan contoh.
10. Tulis ringkasan hanya dalam SATU PERENGGAN dalam jumlah perkataan yang dinyatakan dalam arahan.

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang
langkah-langkah pemgurusan sampah. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 100 patah
perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Pengurusan sampah amat penting dalam sesebuah masyarakat yang bertamadun. Langkah-
langkah yang disusun dalam mengendalikan isu ini dapat mewujudkan persekitaran negara yang bersih di
samping dapat menggambarkan nilai-nilai yang diamalkan oleh anggota masyarakat. Salah satu langkah
yang telah dilakukan untuk menyelesaikan masalah ini ialah proses kitar semula. Kitar semula merupakan
salah satu daripada proses yang penting dalam hierarki pengurusan sampah. Namun begitu, kitar semula
sahaja tidak mencukupi untuk menangani isu pengurusan sampah kerana peratusan sampah yang
dihasilkan semakin bertambah dari sehari ke sehari. Setiap anggota masyarakat perlu memainkan peranan
masing-masing seperti mengurangkan penggunaan beg plastik, mengoptimumkan penggunaan sesuatu
barangan dan penggunaan semula barangan tersebut.

Program-program kesedaran alam sekitar perlu disuburkan dalam sesebuah masyarakat. Program
ini hendaklah dilakukan secara berterusan dan bukannya seperti hangat-hangat tahi ayam. Ketelusan,
keberkesanan dan kejayaan program kesedaran alam sekitar dan kejayaannya bergantung pada semua
pihak. Setiap anggota masyarakat perlu mengubah tabiat membeli barangan, terutamanya pada musim
perayaan. Pembelian barangan baharu mungkin diperlukan namun begitu barangan lama yang difikirkan
sudah tidak berguna mungkin dapat dijual sebagai barangan terpakai atau diberikan wajah baharu.
Keadaan ini dapat menjimatkan kos pelupusan sampah.

Kempen pembelian barangan tanpa menggunakan beg plastik yang dilancarkan merupakan salah
satu langkah alternatif bijak untuk menangani isu pengurusan sampah. Kaedah ini secara tidak langsung
dapat mengurangkan penggunaan beg plastik. Kita juga digalakkan membawa bekas sendiri apabila
membeli makanan bagi mengurangkan penggunaan polistirena yang sukar dilupuskan. Kesimpulannya,
usaha yang lebih giat perlu dilakukan sebelum nasi menjadi bubur supaya alam sekitar yang bersih dapat
dinikmati oleh generasi pada masa hadapan.
Antara langkah-langkah menguruskan sampah ialah proses kitar semula. Selain itu,
setiap anggota masyarakat perlu memainkan peranan dalam mengurangkan penggunaan
beg plastik, mengoptimumkan penggunaan sesuatu barangan dan penggunaan semula
barangan tersebut. Bukan itu sahaja, program-program kesedaran alam sekitar perlu
disuburkan dalam masyarakat. Selanjutnya, barangan lama yang difikirkan sudah tidak
berguna boleh dijual sebagai barangan terpakai atau diberikan wajah baharu.
Seterusnya, kerajaan patut melancarkan Kempen pembelian barangan tanpa
menggunakan beg plastik. Akhir sekali, kita perlu membawa bekas sendiri apabila
membeli makanan bagi mengurangkan penggunaan polistirena yang sukar dilupuskan.

(87 patah perkataan)

Anda mungkin juga menyukai