Anda di halaman 1dari 8

Pendidikan Lestari

DP. Jilid 7, Bil. 2/2007

Pendidikan Alam Sekitar di Sekolah: Komitmen Guru


Mohammad Zohir Ahmad zohir@usm.my Nordin Abdul Razak norazak@usm.my

Pendahuluan
Pendidikan telah diterima sebagai satu alat yang asas untuk mengawal alam sekitar dan juga pembangunan lestari sejak dari persidangan Tbilisi pada tahun 1977. Sekolah pula menjadi salah satu cara utama untuk menangani masalah-masalah yang berkaitan dengan alam sekitar (Moroye, 2005) Pendidikan (berkaitan) alam sekitar penting bagi meningkatkan kesedaran tentang dan kualiti alam sekitar. Pendidikan Alam Sekitar membantu generasi masa hadapan untuk mengawal kehidupan mereka dan memakmurkan masa hadapan (Perikleous, 2004). Satu cara untuk menjalankan pendidikan alam sekitar ialah dengan mengintegrasikan pendidikan alam sekitar dalam pengajaran di bilik darjah. Dalam konteks Malaysia, perkara ini sudah pun diperkenalkan secara rasmi pada tahun 1998 dengan terbitnya Buku Panduan Guru Pendidikan Alam Sekitar merentas Kurikulum untuk sekolah rendah dan menengah oleh Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia. Bagi peringkat prasekolah buku berkenaan diterbitkan pada tahun 2005. Namun sejauh mana ia dilaksanakan masih boleh diperdebatkan. Dalam hal ini, Hotinli (2004) menegaskan, walaupun isu-isu alam sekitar yang perlu diajar telah disenaraikan mengikut mata pelajaran melalui ketetapan yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran, namun kualiti pelaksanaan amat bergantung kepada kesedaran dan minat guru secara individu. Guru sepatutnya menggunakan buku ini sebagai panduan dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang berkaitan dengan pendidikan alam sekitar. Guru juga sepatutnya menggunakan segala peluang yang ada untuk menyemai, memupuk dan melestarikan pendidikan alam sekitar melalui aktiviti di sekolah sama ada di dalam atau di luar bilik darjah. Dalam hal ini, komitmen guru adalah sangat penting.

Komitmen Guru
Mengajar merupakan pekerjaaan yang kompleks dan menuntut penglibatan guru bukan saja dari segi tenaga dan pemikiran malah juga perasaannya (Day, 2004). Tanpa perasaan komitmen yang tinggi terhadap bidang tugasnya, guru akan berhadapan dengan beban tugas yang semakin banyak dan mencabar (Nias, 1996). Hal ini kerana pada masa yang sama guru juga memerlukan komitmen peribadi dan keluarga. Justeru, guru perlu bijak untuk menguruskan antara komitmen peribadi di rumah dan komitmen terhadap pengajaran di sekolah. Pendidikan Alam Sekitar merentas kurikulum memerlukan semua mata pelajaran terlibat dan menyumbang kepada Pendidikan Alam Sekitar. Pengajaran Pendidikan Alam Sekitar berkait rapat dengan matlamat negara untuk membina masyarakat yang sensitif dan memiliki pengetahuan yang tepat, kemahiran dan nilai terhadap isu alam sekitar dan berkeupayaan untuk memberi sumbangan kepada penyelesaian masalah alam sekitar. Elemen Pendidikan Alam Sekitar disepadukan dan diajar secara jelas dalam mata
74

DP. Jilid 7, Bil. 2/2007

Pendidikan Lestari

pelajaran seperti Pendidikan Moral, Geografi, Bahasa, Pendidikan Agama Islam dan juga dalam mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan yang akan diperkenalkan pada tahun 2005 (Ministry of Education Malaysia, 2004). Selain daripada pendidikan formal dalam bilik darjah, Pendidikan Alam Sekitar juga berlaku secara tidak formal melalui aktiviti kokurikulum berbentuk program/projek seperti Kelab Alam Semula Jadi dan projek 3K (Keselamatan, Keceriaan dan Kecantikan), pertandingan kuiz, Kempen Kitar Semula, ceramah dan lawatan. Dalam menjayakan pendidikan alam sekitar merentas kurikulum, pihak sekolah memerlukan guru yang tinggi kualiti dan komitmennya untuk menyediakan dan melaksanakan tugasan utama mendidik generasi masa hadapan. Pendidikan alam sekitar yang berkualiti sukar untuk dicapai tanpa usaha yang ikhlas daripada guru yang dedikasi dan komited. Hanya guru yang komited sahaja dapat menyemai dan memelihara nilai dan membantu pelajar untuk menghidupkan nilai (Maheshwari, 2005). Pentingnya komitmen bagi seseorang guru adalah kerana komitmen merupakan kekuatan dalaman yang datang dari guru sendiri yang memerlukan tanggungjawab yang besar, kepelbagaian dan cabaran dalam kerjaya mereka dan juga tekanan luaran yang datang daripada gerakan pembaharuan yang mahukan standard dan kebertanggungjawaban guru yang tinggi (Park, 2005). Louis (1998) menjelaskan empat jenis komitmen guru: Komitmen kepada sekolah sebagai satu unit sosial. Guru yang mempunyai komitmen ini bertanggungjawab terhadap sekolah dan profesionnya dan sedia secara sukarela dengan kerja-kerja tambahan yang akan membantu peningkatan iklim dan peranan sekolah Komitmen kepada matlamat akademik sekolah. Guru yang mempunyai komitmen ini memperuntukkan banyak masa dalam kerja-kerja akademik seperti perancangan pengajaran, aktiviti bilik darjah dan sentiasa berfikir tentang cara untuk meningkatkan penglibatan dan pencapaian pelajar Komitmen kepada pelajar sebagai individu yang unik. Guru yang mempunyai komitmen ini akan bermotivasi untuk berurusan dengan penyelesaian masalah pelajar, dan lebih sensitif dan sedar tentang perkembangan pelajar sebagai seorang remaja Komitmen kepada pengetahuan yang diperlukan untuk pengajaran berkesan. Guru jenis akan sentiasa bersedia dengan perubahan-perubahan dan pengetahuan baru dan terkini dan menggabungkan idea-idea baru dalam bilik darjah dan kurikulum.

Jika guru memiliki keempat-keempat jenis komitmen ini, maka penerapan dan pengekalan pendidikan alam sekitar (dan mungkin inovasi kurikulum yang lain juga) menjadi lebih mudah dan bermakna. Guru akan sentiasa sukarela untuk menerapkan pendidikan alam sekitar dan berusaha meningkatkan pengetahuan isi kandungan tentang alam sekitar dan juga pengetahuan pedagogi bagi menyampaikan kandungan tersebut kepada pelajar. Rungutan seperti bebanan kerja, tidak cukup masa atau pelbagai alasan lain yang boleh mencacatkan pelaksanaan dan pengekalan pendidikan alam sekitar di sekolahsekolah boleh diminimumkan.

75

Pendidikan Lestari

DP. Jilid 7, Bil. 2/2007

Berdasarkan buku Environmental Education: Teacher Resource Handbook, A Practical Guide for K-12 Environmental Education yang diedit oleh Richard J. Wilkes (1997), guru merupakan kunci kepada kejayaan kurikulum Pendidikan Alam Sekitar. Guru perlu memiliki pengetahuan, kemahiran kognitif dan atribut afektif seperti kepekaan terhadap alam sekitar dan lokus kawalan dalaman yang diharapkan dapat membentuk pelajar. Malah Wilke (1985) sebelumnya menegaskan bahawa kunci kepada kejayaan pendidikan alam sekitar ialah guru di bilik darjah. Menurutnya jika guru tidak mempunyai pengetahuan, kemahiran atau komitmen untuk environmentalize their curriculum adalah sukar bagi seseorang guru itu untuk menghasilkan pelajar yang berliterasi alam sekitar. Untuk itu, guru perlu memastikan mereka mempunyai pengetahuan dan kefahaman tentang konsep-konsep alam sekitar (Zak, 2005), kesedaran yang mendalam tentang masalah, pengawalan dan pendidikan alam sekitar serta keupayaan berfikiran kreatif dan menyampaikan pengetahuan Pendidikan Alam Sekitar (Than, 2001). Jika guru hendak memandu pelajar dalam meneroka konsep-konsep alam sekitar, mereka mesti mempunyai kefahaman yang baik tentang konsep-konsep tersebut. Guru perlu berpengetahuan tinggi tentang alam sekitar bagi membolehkannya menyampaikan pelajaran dengan baik. Kunz dalam Krantz (2002) menyatakan bahawa guru yang mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang konsep-konsep alam sekitar mempunyai sikap yang positif terhadap pengajaran Pendidikan Alam Sekitar. Justeru semua yang dibincangkan ini tidak akan menjadi masalah jika guru mempunyai tahap komitmen yang tinggi. Environment Education Curriculum Support Paper yang diterbitkan oleh Department of Education & Training, Australian Capital Territory, (1997) menegaskan bahawa bagi menjadi guru berkesan guru seharusnya bertindak sebagai pemula (initiator), perunding dan fasilitator serta sebagai pelajar. Sebagai pemula, guru seharusnya menyediakan cabaran pembelajaran yang kaya dan pelbagai yang relevan dan dapat mencapai matlamat, aktiviti yang menggalakkan penglibatan pelajar dan menyediakan pembelajaran melalui pengalaman, iklim pembelajaran yang terbuka, menyokong/membantu dan menyeronokkan, program yang membawa pelajar kepada alam sekitar semula jadi dan ciptaan, menjadi model tingkah laku yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Sebagai perunding dan fasilitator pula, guru seharusnya menyediakan peluang untuk pembelajaran individu dan koperatif, pelbagai pendekatan (ransangan, inkuiri), penyelesaian masalah isu-isu utama secara yang inovatif dan kreatif, dan menggalakkan pembelajaran inisiatif dan bebas. Manakala sebagai pelajar, guru berkongsi cabaran pembelajaran dengan pelajar, terbuka kepada pendekatan dan idea baru, dan terlibat secara aktif dalam perkembangan profesional. Sikap dan pengetahuan guru tentang konsep-konsep alam sekitar mempengaruhi secara langsung keyakinan dan kesediaan guru untuk mengajar subjek. Kajian oleh Lee Chi Kin (1996) ke atas guru-guru di Hong Kong mendapati sebilangan guru kurang cekap dalam mengajar Pendidikan Alam Sekitar kerana mereka kurang pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan. Skanavis (dalam Skanavis & Sarri 2002) mendapati hanya sebilangan kecil pendidik betul-betul tahu apakah Pendidikan Alam Sekitar dan bagaimana hendak dilaksanakan dalam bilik darjah formal. Malah Manning, Esler, & Baird (dalam Skanavis & Sarri 2002) menyatakan bahawa guru yang jelas mempunyai sikap yang negatif terhadap konsep alam sekitar didapati menunjukkan kurang yakin apabila mengajar konsep-konsep tersebut.
76

DP. Jilid 7, Bil. 2/2007

Pendidikan Lestari

Kajian Samuel (1993) pula mendapati bahawa sungguhpun kesedaran tentang alam sekitar wujud dalam kalangan guru sekolah yang dikaji, namun pengetahuan tentang alam sekitar belum mencukupi. Mengikut Samuel lagi, ramai guru sedar tentang isu yang wellpublicized walaupun mereka tidak tahu dengan mendalam tentangnya. Kebanyakannya hanya tahu melalui media. Ramai guru tidak sedar kekurangan pengetahuan mereka dan tidak minta kepada latihan.

Bagaimana guru boleh memberi komitmen terhadap pendidikan alam sekitar?


Berdasarkan sorotan bahan-bahan di atas, guru perlulah: 1. Berfikiran positif terhadap idea penerapan pendidikan alam sekitar merentas kurikulum Guru sepatutnya sentiasa berfikiran positif terhadap semua inovasi dalam kurikulum yang berkaitan. Penerapan pendidikan alam sekitar tidak dianggap sebagai satu bebanan baru kepada kurikulum yang sedia ada. Sebaliknya guru cuba untuk mendalami perkara tersebut dan meletakkan kepentingan perkhidmatan, organisasi, pelajar dan negara sebagai perkara utama dalam tugas sebagai seorang guru. Jika dikaitkan dengan sikap, sikap yang positif akan menghasilkan tindakan yang positif manakala sikap yang negatif akan menghasilkan tindakan yang negatif. Sikap guru yang positif terhadap alam sekitar akan menjelmakan tingkah laku yang positif yang berkaitan dengan alam sekitar dan ini dijelmakan dalam pengajaran (melalui aksi dan tutur kata) di bilik darjah. Dalam kata lain, sikap boleh mempengaruhi bagaimana manusia berfikir dan kemudiannya bertindak (Watson, 2002). Jika dikaitkan dengan efikasi iaitu keyakinan individu terhadap kemampuan diri bagi mencapai sesuatu perlakuan yang khusus dan memain peranan yang berpengaruh dalam menentu percubaan melakukan sesuatu tugas, usaha ke arah menjalankan tugas dan kegigihan seseorang dalam menghadapi kesukaran (Bandura, 1997), guru yang berefikasi tinggi lebih mudah untuk menerima idea baru dan cuba untuk melaksanakan teknik dan kaedah pengajaran yang baru (Guskey, 1988). Tugasan baru yang diberikan dilihat sebagai cabaran yang boleh diatasi dan seterusnya menguasai. 2. Meningkatkan pengetahuan tentang kurikulum, istilah, konsep, isu-isu dan masalah alam sekitar Sebagai seorang guru pengetahuan isi kandungan adalah penting dan pembelajaran pelajar bergantung kepada apa yang guru tahu (Acheson, 2003). Pengetahuan isi kandungan dan kurikulum mempengaruhi kedalaman dan penjelasan isi serta limitasi kandungan yang hendak disampaikan. Guru perlu cekap tentang isi kandungan yang hendak disampaikan (pengetahuan isi kandungan) dan lingkungan sukatan pelajaran yang ditetapkan mengikut tingkatan (pengetahuan tentang kurikulum). Guru perlu meluangkan sedikit masa untuk memahami kandungan pendidikan alam sekitar. Dalam hal ini guru perlu merujuk
77

Pendidikan Lestari

DP. Jilid 7, Bil. 2/2007

kepada Buku Panduan Guru Pendidikan Alam Sekitar Merentas Kurikulum. Di samping itu guru perlu mendalami istilah, konsep, isu-isu, masalah atau perkara perkara lain yang berkaitan dengan pendidikan alam sekitar. Sebagai contoh, guru perlu menguasai konsep-konsep seperti penyahutanan dan ekosistem; serta isu-isu seperti penipisan lapisan ozon dan pemanasan global. Jika guru sendiri kurang pengetahuan tentang konsep-konsep dan isu-isu berkenaan, guru akan menghadapi masalah semasa membincangkan isu-isu berkenaan. Ada kemungkinan berlaku miskonsepsi pada guru dan juga guru cuba meringkaskan perbincangan bagi mengelak daripada pelbagai soalan daripada pelajar. Kemudahan teknologi terkini memudahkan tugas guru untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan. 3. Bersedia untuk meningkatkan pengetahuan tentang pedagogi pengajaran Pengetahuan isi kandungan dan kurikulum sahaja tidak mencukupi. Guru juga perlu tahu pengetahuan pedagogi kerana mempengaruhi pendekatan dan kaedah pengajaran serta pemilihan dan penyediaan sumber pengajaran. Guru perlu tahu cara sesuatu topik, masalah atau isu diolah dan disampaikan kepada pelajar yang terdiri daripada pelbagai minat dan keupayaan. Termasuk dalam kategori ini ialah bentuk persembahan, analogi, ilustrasi, contoh, penjelasan dan demonstrasi. Contohnya guru perlu tahu cara yang terbaik untuk menyampaikan pelajaran yang berkaitan dengan kejadian empat musim dan impaknya kepada manusia. Sumber yang relevan dan mencukupi penting bagi memastikan keberkesanan pengajaran. Membuat perancangan Guru perlu merancang untuk menerapkan pendidikan alam sekitar dalam pengajaran walaupun mungkin melibatkan jangka masa yang singkat dua atau tiga minit. Hal ini perlu bagi memastikan guru tahu waktu dan kedalaman isi yang sesuai, supaya tidak menjadi penerapan yang meleret-leret. Perancangan juga melibatkan kaedah dan bahan bantu pengajaran yang berkaitan serta aspek pentaksiran. Penerapan secara spontan boleh dilakukan tetapi dibimbangi akan mempengaruhi jangka masa pengajaran dan tergelincir daripada matlamat awal lebih-lebih lagi apabila melibatkan cerita tentang pengalaman peribadi guru. Semasa mengajar guru boleh menyelitkan hal-hal yang berkaitan dengan alam sekitar jika ada ruang pada topik atau tajuk tertentu yang sedang dibincangkan. Namun yang penting di sini ialah guru perlu faham ruang lingkup pendidikan alam sekitar bagi memudahkan penerapan semasa pengajaran. Pengajaran Pendidikan Alam Sekitar perlu mengambil kira tiga bidang yang berkait rapat dan penting berikut (Palmer & Neal, 1994): i. ii. iii. pendidikan tentang alam sekitar pendidikan untuk alam sekitar pendidikan melalui/dalam alam sekitar

4.

Pendidikan untuk alam sekitar berkait dengan nilai penjagaan, sikap dan tindakan yang positif untuk alam sekitar melalui tanggungjawab dan empati personal (Reid, 2002). Penekanan perlu dibuat kepada tindakan yang berbentuk penyelesaian
78

DP. Jilid 7, Bil. 2/2007

Pendidikan Lestari

masalah yang boleh dilakukan oleh pelajar. Pada masa yang sama, pelajar perlu didedahkan dengan pemikiran yang kritis dan kecekapan tindakan terhadap alam sekitar. Kecekapan bertindak memerlukan pelajar terlibat sebagai peserta yang aktif dalam semua aspek pengalaman Pendidikan Alam Sekitar (Ministry of Education, New Zealand 2004 Vol.2). 5. Melibatkan diri dengan program dan projek yang berkaitan dengan pendidikan alam sekitar Guru-guru perlu meluangkan masa untuk melibatkan diri dalam sebarang program atau projek yang ada kaitan dengan pendidikan alam sekitar di sekolah seperti Minggu Alam Sekitar, Projek Kitar Semula, pembinaan dan penyeliaan stesenstesen alam sekitar, lawatan, dan perkhemahan. Projek dan program seperti ini boleh dan perlu melibatkan semua guru bukan hanya khusus kepada guru-guru mata pelajaran yang ada kaitan secara langsung dengan alam sekitar seperti Geografi dan Sains khususnya Biologi. Guru-guru bahasa misalnya boleh melibatkan diri dalam aktiviti seperti perbahasan, pameran, forum atau pertandingan menulis esei yang berkaitan dengan alam sekitar.

Penutup
Kesimpulannya guru perlu bijak dalam menguruskan kepentingan peribadi dan komitmen terhadap kerjayanya. Guru perlu berfikiran terbuka dan bersedia untuk meningkatkan profesionalisme melalui ceramah, bengkel, seminar atau kursus kursus yang berkaitan. Guru juga boleh meningkatkan kemampuan diri melalui akses kendiri. Yang penting ialah kesediaan guru untuk melakukannya. Bak kata pepatah Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Kejayaan penerapan pendidikan alam sekitar dalam kurikulum sekolah amat bergantung kepada komitmen guru sebagai pelaksana. Sikap dan tindak tanduk guru seterusnya akan memberi kesan kepada pembelajaran pelajar. Matlamat akhir pendidikan alam sekitar untuk melahirkan individu yang mempunyai tingkah laku yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar mudah tercapai jika guru mengambil tanggungjawab untuk mendidik dengan serius.

Rujukan
Acheson, G. (2003). Teaching the tool of trade: an exploration of teachers belief, knowledge practices about maps. Disertasi Ph.D. Texas A&M University. https://txspace.tamu.edu/bitstream/1969.1/421/1/etd-tamu-2003C-GEOG-Acheson-1.pdf [25 Mei 2005]. Australian Capital Territory, Department of Education & Training. (1997). Environment education curriculum support http://www.decs.act.gov.au/publicat/pdf/envsupp2.pdf [27 Disember 2005]. Bandura, A. (1997). Self efficacy: the exercise of control. New York: W.H.Freeman. Day, C. (2004). A Passion for Teaching. London: RoutledgeFalmer. Guskey, T.R. (1988). Teacher efficacy, self concept, and attitudes toward the implementation of instructional innovation. Teaching and teacher education 4(1): 63-69.

79

Pendidikan Lestari

DP. Jilid 7, Bil. 2/2007

Hotinli, Gulru. (2004). Environmental education in Turkey. Dlm. MIO-ECSDE. The status of environmental education in the mediterranean countries within the formal & nonformal educational systems. Dec, Issue No. 34. Kementerian Pendidikan Malaysia. (1998). Buku panduan guru pendidikan alam sekitar merentas kurikulum KBSM. Pusat Perkembangan Kurikulum. Krantz, P.D. (2002). A study of the impact of environmental education workshops on teachers attitude and efficacy. Disertasi Ph.D. University of Missouri-Columbia.Umi ProQuest Digital Dissertations. Lee Chi Kin. (1996). Environmental education in the primary curriculum in Hong Kong. Tesis Ph.D. Division of Education, The Chinese University of Hong Kong Graduate School. http://www.fed.cuhk.edu.hk/en/cuphd/96cklee/conclusion.htm [24 Julai 2004]. Louis, K.S. (1998). Effects of teacher quality of work life in secondary schools on commitment and sense of efficacy. School Effectiveness and School Improvement. 9(1), 1-27. Maheswari, A. (2005). Professional Commitment of Teachers. Delhi, Gagandeep Pub. Ministry of Education Malaysia. (2004). The development of education: national report of Malaysia http://www.ibe.unesco.org/International/ICE47/english/Natreps/reports/malaysia.pdf [19 Oktober 2004]. Ministry of Education, New Zealand. (2004). Environmental education in new zealand schools: research into current practice and future possibilities Volume 2: A review of national and international research literature on environmental education practices www.minedu.govt.nz/web/downloadable/dl9102_v1/enviro-edu-vol-2.pdf [15 Februari 2005]. Moroye, C.M. (2005). Common ground: an ecological perspective on teaching and learning. Curriculum and Teaching Dialogue 7(1/2): 123- 139. Nias, J. (1996). Thinking about Feeling: The emotions in Teaching. Cambridge Journal of Education, Vol.26, 3, pp. 293-306. Palmer, J. & Neal, P. (1994). The handbook of environmental education. London : Routledge. Park, I. (2005). Teacher commitment and its effects on students achievement in American high schools. Educational Research and Evaluation, 11 (5), 461-485. Perikleous, E. (2004). The Status of Environmental Education in Cyprus Today. Dlm. MIO-ECSDE. The status of environmental education in the mediterranean countries within the formal & non-formal educational systems. Dec, Issue No. 34. Reid, A. (2002). Environmental change and sustainable development. Dlm. Smith, M. (pnyt.). Teaching geography in secondary schools a reader. hlm. London: Routledge/Falmer. Samuel, H.R. (1993). Impediments to implementing environmental education. The Journal of Environmental Education 25(1): 26-29. Skanavis, C, & Sarri, E. (2002). The role of environmental education as a tool for environmental management in Cyprus: strategies and activities. Environmental Management and Health 13(5): 529-544.

80

DP. Jilid 7, Bil. 2/2007

Pendidikan Lestari

Than, Nguyen Thi. (2001). Awareness of Vietnamese primary schoolteachers on environmental education. International Research in Geographical and Environmental Education 10(4): 429-444. Watson, K. (2002). Environmental attitudes: the influence of culture. Tesis Ph.D. University of Western Sydney, Penrith. Wilke, R.J. (1985). Mandating preservice environmental education teacher training: the Wisconsin experience. Journal of Environmental Education 17(1): 1 8. Zak, K. (2005). The assessment of pre-service teachers knowledge of the environment using concept maps. Dlm. Gilbertson, K. & Murphy, A. (pnyt.). Proceedings of The Minnesota Association for Environmental Education Twelfth Annual Conference. http:// www.naaee.org/maee/PDFs/research2005/zak.pdf. [5 April 2006]

81

Anda mungkin juga menyukai