Anda di halaman 1dari 10

Journal of Edupres, Volume 1 September 2011, Pages 187-196

Tahap Kecerdasan Emosi Dan Hubungannya Dengan Komitmen Guru Dalam Bekerja Dalam Kalangan Guru Mata Pelajaran Teras Tahun Enam
1

Yahzanon Tahir & Yusof Boon Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia 81310 Johor, Malaysia

ABSTRAK : Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap kecerdasan emosi dan hubungannya dengan komitmen guru dalam bekerja dalam kalangan guru tahun enam sekolah kebangsaan daerah Kulai mengikut faktor demografi (jantina, umur, taraf perkahwinan, tempoh perkhidmatan, taraf pendidikan dan mata pelajaran di ajar). Seramai 228 orang guru yang mengajar mata pelajaran bahasa Melayu, bahasa Inggeris, matematik dan sains telah dipilih secara rawak kelompok sebagai responden kajian. Penelitian dilakukan dengan menggunakan soal selidik yang dibina oleh penyelidik berasaskan Instrumen Kepintaran Emosi Malaysia (IKEM) yang diubahsuai dari Goleman (1999) dan instrumen komitmen bekerja berdasarkan Organisational Commitment Questionnaire oleh Mowday, Steers dan Porter (1979). Nilai kebolehpercayaan instrumen dengan menggunakan kaedah Cronbach Alpha adalah 0.948 bagi instrumen kecerdasan emosi dan 0.757 bagi instrumen komitmen bekerja. Hasil penelitian menunjukkan kecerdasan emosi guru berada pada tahap tinggi dengan nilai min keseluruhan 4.16 manakala bagi komitmen bekerja berada pada tahap sederhana dengan nilai min keseluruhan 3.35. Dapatan kajian juga menunjukkan terdapat hubungan signifikan yang sangat lemah di antara tahap kecerdasan emosi dengan komitmen bekerja iaitu dengan nilai -0.117 pada aras signifikan 0.077
Katakunci : Kecerdasan Emosi, Komitmen Bekerja

ABSTRACT : The aim of this study is to identify the level of emotional quotient and the correlations of work commitment among year six teachers in primary school in Kulai district by demography factors (gender, age, marital status, tenure, level of education and subject taught). 228 respondents who teach bahasa Melayu, English, mathematics and science were cluster chosen for the research. Observations are done using the Malaysian Emotional quotient Inventory (MEQI) adapted and modified by Goleman (1999) and instrument used for work commitment is based on the Organisational Commitment Questionnaire by Mowdey, Steers and Porter (1979). The reliability value of instrument by Cronbach Alpha is 0.948 for emotional quotient instrument, and 0.757 for work commitment instrument. The results shows that the emotional quotient for teachers is in high level with overall mean of 4.16 and work commitment is in medium level with overall mean of 3.35. Results also shows that there is a significant correlations with low relations between level of emotional quotient and work commitment and the value is -0.117 to the significant value.
Keywords : Emotional Quotient, Work Commitment

1.0

PENGENALAN

Ke arah menyahut cabaran merealisasikan 1 Malaysia dan ke arah menjayakan k-ekonomi menuntut sebuah komuniti pendidik yang berkualiti, berwawasan dan berdaya saing bagi

Yahzanon Tahir & Yusof Boon / Journal of Edupres

188

menjamin penghasilan sumber manusia yang dapat berpotensi memenuhi keperluan pelbagai bidang, berpengetahuan, berakhlak mulia dan berdaya saing dalam menyahut cabaran masa hadapan. Untuk mencapai hasrat itu, warga pendidik perlu bergerak dan bertindak selaras dengan slogan Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib bin Tun Abdul Razak (2008). Bagi memenuhi slogan ini, warga pendidik perlu memberi keutamaan kepada aspek profesionalisme diri dengan memberi tumpuan kepada perkembangan intelek, emosi, rohani dan jasmani atau dengan kata lain pembangunan modal insan guru itu sendiri. Aspek intelek dilihat dari usaha meningkatkan tahap profesionalisme guru melalui usaha-usaha berterusan meningkatkan ilmu pengetahuan, mempunyai pemikiran yang kreatif, kritis dan bernas serta berpandangan jauh. Aspek emosi pula dinilai melalui kecerdasan emosi yang terdiri dari komponen kompetensi personel dan kompetensi sosial. Kompetensi personel terdiri dari elemen kesedaran kendiri dan pengurusan kendiri manakala kompetensi sosial terdiri dari elemen kesedaran sosial dan kompetensi sosial. Kecerdasan emosi mencakupi pengendalian diri, semangat dan ketekunan serta berupaya memotivasikan diri sendiri dan bertahan menghadapi kegagalan dan rintangan serta sanggup mengendalikan dorongan hati dan emosi. Emosi yang stabil diperlihatkan secara zahir melalui perwatakan yang tenang dan berfikiran waras. Aspek rohani dan jasmani bertindak sebagai pelengkap kepada aspek intelek dan emosi. Aspek ini ditonjolkan melalui tingkah laku yang terkawal. Menurut Daniel Goleman (1995), kecerdasan emosi merupakan keperluan asas bagi keberkesanan penggunaan kecerdasan intelektual. Apabila terdapatnya kerosakan pada otak yang mengawal perasaan, maka pemikiran akan menjadi kurang efektif. Selye (1956) menyatakan, tekanan yang berpanjangan membawa kepada gangguan emosi pada tahap yang berbeza antara individu. Ini akan mewujudkan emosi yang pelbagai seperti bosan , lesu, marah, kecewa dan benci. Menurut Noriah (1994) pula, tuntutan dan beban tugas menjadikan para guru tidak mempunyai pembahagian masa yang jelas antara masa bekerja dan tidak bekerja boleh mewujudkan tekanan kepada guru. Keadaan ini ditambah lagi dengan perubahan dan tuntutan dalam sistem pendidikan masa kini. Bukti-bukti penyelidikan juga menunjukkan kebanyakan guru menghadapi kesukaran mengubah kebiasaan mereka untuk menyesuaikan diri dengan perubahan (Fullan & Miles, 1992). Sehubungan dengan itu, pakar-pakar bidang perkembangan guru seperti Burden (1990), Fuller (1969), Glathorn dan Fox (1996) serta Hall dan Loucks (1978) bersetuju tumpuan guru adalah pemboleh ubah penting yang boleh mempengaruhi tingkah laku dan juga gerak balas guru bagi melaksanakan sesuatu inovasi atau perubahan kurikulum dengan berkesan.

1.2

Pernyataan Masalah

Faktor kecerdasan emosi dilihat sebagai faktor yang amat penting dan mempunyai hubungan terhadap komitmen tugas seseorang individu. Justeru itu ia membawa implikasi yang besar terhadap tahap pencapaian komitmen tugas mereka. Secara umumnya komitmen tugas yang tinggi di kaitkan dengan tahap kepuasan tugas yang tinggi. Sering kali juga faktor kecerdasan emosi diabaikan dalam situasi ini. Dewasa ini ramai individu yang mempunyai tahap kecerdasan intelek yang tinggi semakin berminat ke arah mencari dan menonjolkan kelebihan diri masing-masing dan terlupa kepada peranan dan keperluan terhadap kecerdasan emosi dalam merealisasikan kehidupan yang lebih bermakna. Keseimbangan kecerdasan intelek dan emosi adalah amat diperlukan bagi melahirkan insan yang stabil.

Yahzanon Tahir & Yusof Boon / Journal of Edupres

189

Oleh yang demikian, kajian ini dilakukan untuk mengenal pasti, menjelaskan dan menjawab mengenai tahap kecerdasan emosi dan hubungannya dengan komitmen guru dalam bekerja dalam kalangan guru tahun enam sekolah kebangsaan daerah Kulai merentas demografi (jantina, kumpulan umur, taraf perkahwinan, tempoh perkhidmatan, taraf pendidikan serta mata pelajaran yang diajar) dalam kalangan guru mata pelajaran teras. Dalam aspek ini penyelidik ingin melihat apakah kecerdasan emosi menjadi faktor yang menyumbang kepada komitmen bekerja.

1.3

Objektif Kajian

Kajian ini dijalankan berasaskan kepada objektif berikut; i. Mengenal pasti tahap kecerdasan emosi dalam bekerja dalam kalangan guru tahun enam sekolah kebangsaan daerah Kulai. ii. Mengenal pasti tahap komitmen guru dalam bekerja dalam kalangan guru tahun enam sekolah kebangsaan daerah Kulai. iii. Mengenal pasti sama ada terdapat perbezaan tahap kecerdasan emosi guru dalam bekerja dalam kalangan guru tahun enam sekolah kebangsaan daerah Kulai mengikut faktor demografi (jantina, kumpulan umur, taraf perkahwinan, tempoh perkhidmatan, taraf pendidikan serta mata pelajaran yang diajar). iv. Mengenal pasti sama ada terdapat perbezaan tahap komitmen guru dalam bekerja dalam kalangan guru tahun enam sekolah kebangsaan daerah Kulai mengikut faktor demografi (jantina, kumpulan umur, taraf perkahwinan, tempoh perkhidmatan, taraf pendidikan serta mata pelajaran yang diajar). v. Mengenal pasti sama ada terdapat hubungan yang signifikan antara tahap kecerdasan emosi dengan komitmen guru dalam bekerja dalam kalangan guru tahun enam sekolah kebangsaan daerah Kulai.

1.4

Persoalan Kajian

Kajian ini bertujuan untuk menjawab persoalan-persoalan berikut: i. Apakah tahap kecerdasan emosi guru dalam bekerja dalam kalangan guru tahun enam sekolah kebangsaan daerah Kulai?. ii. Apakah tahap komitmen guru dalam bekerja dalam kalangan guru tahun enam sekolah daerah Kulai?. iii. Adakah terdapat perbezaan tahap kecerdasan emosi guru dalam bekerja dalam kalangan guru tahun enam sekolah kebangsaan daerah Kulai mengikut faktor demografi (jantina, kumpulan umur, tahap pendidikan, taraf perkahwinan, mata pelajaran yang diajar serta pengalaman mengajar)?. iv. Adakah terdapat perbezaan tahap komitmen guru dalam bekerja dalam kalangan guru tahun enam sekolah kebangsaan daerah Kulai mengikut faktor demografi (jantina, kumpulan umur, tahap pendidikan, taraf perkahwinan, mata pelajaran yang diajar serta pengalaman mengajar)?. v. Adakah terdapat hubungan yang signifikan antara tahap kecerdasan emosi dengan komitmen guru dalam bekerja dalam kalangan guru tahun enam sekolah kebangsaan daerah Kulai?

Yahzanon Tahir & Yusof Boon / Journal of Edupres

190

1.5

Kepentingan Kajian

Kajian ini dijangka dapat mengesan tahap kecerdasan emosi dan hubungannya dengan komitmen guru dalam bekerja dalam kalangan guru tahun enam sekolah kebangsaan daerah Kulai berasaskan faktor demografi. Pengukuran tahap kecerdasan emosi berasaskan dimensi kesedaran kendiri, kawalan kendiri, motivasi kendiri, empati, kemahiran sosial, kerohanian dan kematangan digunakan untuk melihat bagaimana kecerdasan emosi memberi kesan kepada tahap komitmen bekerja dan seterusnya meningkatkan kecemerlangan sesebuah sekolah. Dapatan ini kemudiannya, akan memberi makluman dan panduan kepada pihak pengurusan sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, Majlis Kerangka Kelayakan Malaysia dan Institusi-institusi Pendidikan Guru dalam usaha merangka pengembangan modal insan guru dari aspek emosi dan komitmen bekerja yang akan menzahirkan guru yang lebih stabil dari aspek emosi dan seterusnya meningkatkan komitmen bekerja ke arah meningkatkan potensi kemenjadian guru dan pelajar melalui pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.

1.6

Batasan Kajian

Kajian yang akan dijalankan ini adalah tertumpu dan terbatas kepada guru-guru mata pelajaran teras tahun 6 yang sedang berkhidmat di sekolah kebangsaan daerah Kulai dalam tahun 2010. Kajian berfokus kepada tahap kecerdasan emosi dan hubungannya dengan komitmen guru dalam bekerja di sekolah kebangsaan daerah Kulai. Sampel dipilih secara rawak kelompok. Kesahihan dapatan kajian adalah bergantung pada tahap kejujuran responden dalam memberikan kerjasama terhadap kajian yang dilaksanakan.

2.0

METODOLOGI KAJIAN

Kajian ini menjelaskan perkaitan faktor demografi terhadap tahap kecerdasan emosi dan komitmen bekerja. Di samping itu, kajian ini melihat secara teliti hubungan yang wujud antara tahap kecerdasan emosi dan tahap komitmen guru dalam bekerja dalam kalangan guru tahun enam sekolah kebangsaan daerah Kulai. Pensampelan rawak kelompok atas kelompok berdasarkan kumpulan populasi guru yang sedang berkhidmat bagi tahun 2010. Seramai 1 hingga 4 orang guru daripada kalangan guru tahun enam yang mengajar mata pelajaran bahasa Melayu, bahasa Inggeris, matematik dan sains dipilih secara rawak daripada 32 buah sekolah sebagai sampel kajian. Seramai 228 orang guru telah dijadikan responden kajian. Jumlah populasi pula adalah seramai 532 orang. Penelitian kajian menggunakan soal selidik yang dibangunkan oleh penyelidik berasaskan Instrumen Kepintaran Emosi Malaysia (IKEM) yang diubahsuai dari Goleman (1999) dan Organisational Commitment Questionnaire oleh Mowday, Steers dan Porter (1979). Sebanyak 280 soal selidik telah diedarkan bagi menjamin jumlah yang diperlukan oleh kajian dipenuhi serta hanya maklum balas yang lengkap dijadikan sampel kajian. Skala Likert digunakan bagi tujuan pemarkatan. Daripada analisis kebolehpercayaan didapati bahawa nilai Cronbach Alpha bagi soal selidik kecerdasan emosi ialah 0.948 manakala bagi soal selidik komitmen bekerja pula ialah 0.757.

Yahzanon Tahir & Yusof Boon / Journal of Edupres

191

3.0 3.1

DAPATAN DAN PERBINCANGAN PERSOALAN KAJIAN Tahap Kecerdasan Emosi Guru Dalam Bekerja

Secara keseluruhan hasil kajian mendapati bahawa guru-guru mata pelajaran teras tahun enam mempunyai tahap kecerdasan yang tinggi dengan nilai purata min 4.16. Dimensi kerohanian menduduki ranking teratas dengan nilai min 4.51, diikuti oleh dimensi motivasi kendiri (4.17), dimensi empati (4.14), dimensi kemahiran sosial (4.14), dimensi kematangan (4.12), kesedaran kendiri (4.04) dan dimensi kawalan kendiri (4.01). Dapatan ini menunjukkan bahawa guru-guru tahun enam memiliki tahap kecerdasan emosi yang tinggi dalam semua dimensi yang dikaji. Dapatan kajian menunjukkan perkembangan yang amat baik bagi diri seseorang guru. Ia juga turut menunjukkan bahawa peranan yang dimainkan oleh Majlis Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) dalam membangunkan modal insan guru menerusi penerapan kemahiran insaniah di peringkat institusi-institusi pendidikan guru telah berjaya melahirkan guru-guru yang mempunyai kecerdasan emosi yang tinggi. Dapatan kajian ini adalah menepati pendapat Boyatzis (2001) iaitu individu yang memiliki kecerdasan emosi yang tinggi berupaya membangunkan keperluan kerjaya yang berterusan, pembangunan personel dan membantu orang lain. Mohd. Azhar (2004) pula menyatakan kecerdasan emosi dapat menampung banyak sifat yang membuat seseorang itu menjadi manusiawi. Bagi Mohd. Najib (2002), kecerdasan emosi yang tinggi di kalangan guru amat penting dalam melaksanakan proses perundingan dengan pelajar agar proses pendidikan menjadi lebih berkesan dan bermakna dan seterusnya merealisasikan hasrat Falsafah Pendidikan Negara.

3.2

Tahap Komitmen Guru Dalam Bekerja

Dalam kajian ini komitmen bekerja dinilai berdasarkan tiga dimensi iaitu dimensi identifikasi, dimensi penglibatan dan dimensi kesetiaan. Menurut Porter dan Buchanan (1974), identifikasi ditakrifkan sebagai sejauh mana seseorang pekerja atau ahli dalam sesebuah organisasi itu dapat menerima matlamat dan nilai organisasi sebagai diri sendiri, penglibatan pula ditakrifkan sebagai kesediaan dan kesudian untuk menyumbangkan usaha meliputi psikologi dalam melaksanakan tugas manakala kesetiaan merupakan keinginan yang kuat mengekalkan keahlian dalam organisasi meliputi perasaan kecintaan terhadap organisasi. Hasil kajian menunjukkan tahap komitmen bekerja mengikut dimensi secara keseluruhannya berada pada tahap sederhana dengan purata keseluruhan min bernilai 3.35. Dimensi identifikasi menunjukkan nilai min tertinggi iaitu 4.04 pada tahap tinggi, dimensi penglibatan dengan nilai min 3.87 juga pada tahap tinggi manakala dimensi kesetiaan dengan nilai min 2.13 berada pada tahap rendah. Ini menunjukkan bahawa guru-guru tahun enam dapat menerima dan menghayati matlamat serta nilai organisasi di mana mereka berada. Ini akan mewujudkan rasa komitmen di antara ahli dengan organisasinya. Secara tidak langsung suasana ini membuatkan pekerja bersedia dan rela untuk menyumbangkan usaha dan tenaga meliputi psikologi dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan ke arah pencapaian matlamat organisasi. Walaupun penglibatan ini dijelmakan melalui kerjasama antara pihak pengurusan atau rakan sekerja ini tidak bermakna mereka mempunyai keinginan yang kuat untuk kekal di dalam organisasi. Dapatan ini menuntut suatu tindakan pihak pengurusan organisasi selaku pengurus sumber manusia dalam merangka strategi dan tindak susul bagi meningkatkan komitmen guru dalam bekerja terutamanya dalam dimensi kesetiaan. Tahap kesetiaan yang rendah akan

Yahzanon Tahir & Yusof Boon / Journal of Edupres

192

mengakibatkan sesebuah organisasi mengalami turnover dan brain-drain yang akhirnya melemahkan organisasi tersebut. Hasil kajian ini juga menunjukkan bahawa guru-guru mungkin tidak gembira untuk terus kekal dalam organisasi di mana mereka berada sekarang atau terus bertugas dalam bidang perguruan, tetapi sekurang-kurangnya pekerjaan dan kehidupan mereka secara relatifnya adalah lebih terjamin berbanding jika bekerja di sektor swasta terutamanya dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu dan transformasi dalam pendidikan yang begitu mencabar. Beberapa kajian empirikal telah menunjukkan komitmen guru dalam bekerja banyak dipengaruhi oleh polisi pengurusan atasan sekolah dan suasana kerja (Baron & Greenberg, 1990). Guru yang terbeban oleh terlalu banyak tugas bukan akademik akan menghilangkan komitmen kerja berbentuk profesional (Ball & Goodson, 1985). Dalam hal ini sokongan pihak pentadbir amat diperlukan bagi meningkatkan prestasi serta komitmen kerja dan kepuasan kerja yang tinggi (Miskel, 1977) Menurut Meyer & Allen (1993) pula, pekerja dengan komitmen afektif yang kuat, cenderung bertahan terhadap pekerjaannya kerana keinginannya sendiri, sementara pekerja dengan komitmen berterusan yang tinggi akan bertahan dengan pekerjaannya kerana keperluan manakala pekerja dengan komitmen normatif yang kuat akan terus bertahan terhadap pekerjaannya kerana kewajipan. Ketiga-tiga komitmen ini wujud dalam setiap pekerja namun pada aras yang berbeza antara individu.

3.3

Perbandingan Tahap Kecerdasan Emosi Guru Dalam Bekerja Mengikut Faktor Demografi

Tahap kecerdasan emosi guru dinilai berdasarkan tujuh dimensi iaitu kesedaran kendiri, kawalan kendiri, motivasi kendiri, empati, kemahiran sosial, kerohanian dan kematangan. Hasil kajian menunjukkan tidak terdapat hubungan yang signifikan dari segi tahap kecerdasan emosi dalam kalangan guru sekolah kebangsaan daerah Kulai mengikut semua faktor demografi yang dikaji kecuali bagi faktor taraf perkahwinan. Keputusan yang diperoleh menunjukkan tidak selaras dengan hasil kajian oleh Murray (1998) dan Goleman (1998) yang menyatakan kelompok feminin dan maskulin mempunyai kecerdasan emosi yang sama tetapi lebih menonjol dalam dimensi tertentu. Kecerdasan emosi kelompok feminin adalah lebih tinggi dalam dimensi empati dan tanggung jawab sosial manakala kelompok maskulin lebih menunjukkan toleransinya dalam tekanan dan keyakinan diri Keputusan kajian ini juga tidak menyokong kajian oleh Meyer dan Salovey (1999), yang menyatakan semakin lanjut usia seseorang, semakin meningkat tahap kecerdasan emosinya. Golongan dewasa mempunyai tahap kecerdasan emosi yang lebih baik berbanding golongan remaja. Ini adalah disebabkan oleh kecerdasan emosi berkembang seiring dengan peningkatan usia. Goleman (1998) pula menyatakan kematangan kecerdasan emosi berkembang mengikut usia dan mencapai puncak ketika berusia 40-an. Menurut Noriah (2003), umur dan pengalaman (berasaskan tempoh perkhidmatan) memainkan peranan penting dalam mempengaruhi tahap kecerdasan emosi di kalangan guru. Keadaan ini wujud ekoran dari penerimaan matlamat organisasi yang dinyatakan melalui visi dan misi sesebuah sekolah. Penghayatan kepada matlamat dan tindakan ke arah pencapaian matlamat meningkatkan tahap kecerdasan emosi guru. Umum mengetahui bahawa guru-guru tahun enam perlu menyediakan pelajar dalam menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada bulan September. Peratusan pencapaian keputusan peperiksaan ini merupakan maruah sesebuah sekolah yang turut dinilai di dalam Standard Kualiti

Yahzanon Tahir & Yusof Boon / Journal of Edupres

193

Penarafan Sekolah yang meletakkan sesebuah sekolah itu pada aras gemilang (Band 7), cemerlang (Band 6), harapan (Band 5), sederhana (Band 4) dan lemah (Band 1 hingga 3). Oleh yang demikian faktor demografi kecuali taraf perkahwinan adalah tidak memberi kesan yang signifikan terhadap perbezaan yang wujud. Bagi taraf pendidikan pula dapatan kajian ini adalah sejajar dengan kajian yang dilakukan oleh Fletcher (2007) dan Iskandar et. al. (2009) Keadaan ini mungkin wujud berikutan, dasar Kementerian Pendidikan Malaysia yang menggalakkan guru-guru melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan sasaran 50 peratus guru-guru berijazah ditempatkan di sekolah rendah menjelang 2010. Walau bagaimanapun dapatan ini adalah tidak selari dengan Goleman (1995). Menurut beliau, taraf pendidikan turut memainkan peranan dalam menentukan kecerdasan emosi seseorang. Bagi faktor taraf perkahwinan, kewujudan hubungan yang signifikan adalah disebabkan faktor kematangan seseorang individu dalam menghadapi permasalahan kehidupan berumah tangga. Pengalaman yang diperoleh lebih mematangkan mereka dalam mengurus kecerdasan emosi.

3.4

Perbandingan Tahap Komitmen Guru Dalam Bekerja Mengikut Faktor-Faktor Demografi

Tahap komitmen bekerja dianalisis berdasarkan dimensi identifikasi, penglibatan dan kesetiaan. Dapatan kajian menunjukkan tidak terdapat hubungan yang signifikan dari segi tahap komitmen guru dalam bekerja mengikut semua faktor demografi yang dikaji. Keputusan kajian adalah tidak menepati pendapat Morrow (1993) yang menyatakan faktor demografi seperti umur, jantina, taraf perkahwinan , taraf pendidikan dan pengalaman bekerja berpengaruh terhadap komitmen organisasi. Menurut Morrow juga, pekerja dengan taraf pendidikan yang lebih tinggi akan menjawat jawatan yang bersesuaian dengan mereka, lebih bertanggungjawab dan ini menuntut kepada komitmen yang juga lebih tinggi berbanding mereka yang berjawatan rendah atau berpendidikan lebih rendah. Dengan kata lain, jawatan yang disandang turut memainkan peranan dalam menentukan tahap komitmen seseorang pekerja. Dapatan kajian ini turut, tidak selaras dengan teori-teori pembangunan kerjaya. Menurut Super (1957) di dalam Cohan A. (1993), komitmen terhadap organisasi meningkat mengikut fasa-fasa kerjaya (career stages) sejajar dengan peningkatan usia. Walau bagaimanapun Meyer dan Allen (1984) berpendapat, pekerja yang baru juga cenderung untuk lebih komited terhadap organisasi kerana sikap berhati-hati, kurangnya pengalaman bekerja dan kurangnya peluang pekerjaan. Keadaan ini menyebabkan mereka cuba mengekalkan diri di dalam organisasi. Situasi ini turut disokong oleh Mowday et. al. (1982). Mowdey et. al. (1982, 1979) menyatakan komitmen terhadap organisasi berkait rapat terhadap pencapaian matlamat, nilai, kesanggupan yang kuat untuk terus kekal di dalam organisasi. Pekerja dengan komitmen yang tinggi, berasa gembira dengan kerja mereka dan kurang berminat untuk meninggalkan organisasi Hasil dapatan juga menunjukkan tahap komitmen yang diberikan adalah sederhana tanpa mengira mata pelajaran yang diajar. Ini menunjukkan satu situasi yang baik yang mana menunjukkan bahawa para guru senantiasa komited di dalam bekerja tanpa mengira mata pelajaran yang diajar dan seterusnya merealisasikan misi dan visi organisasi. Perbezaan dalam aliran hasil kajian ini juga berpunca dari matlamat yang hendak dicapai oleh sesebuah organisasi. Tindakan ke arah pencapaian matlamat itu menyebabkan faktor demografi tidak memberikan kesan terhadap tahap komitmen bekerja. Pada masa yang sama, guru-guru juga mempunyai pendapat bahawa peningkatan tahap komitmen tidak akan

Yahzanon Tahir & Yusof Boon / Journal of Edupres

194

menaikkan gaji atau kekananan mereka atau peluang mendapatkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang atau sebarang keistimewaan khas. Ini adalah selaras dengan teori jangkaan oleh Porter dan Lawler (1968) iaitu motivasi seseorang pekerja ada hubungannya dengan jangkaan tentang hasil yang boleh diperoleh dari pekerjaannya. Hubungan ini wujud kerana setiap pekerja tahu apa yang diinginkan daripada pekerjaannya dan setiap usaha yang disumbangkan akan memperoleh ganjaran yang dikehendaki. Menurut teori hierarki Maslow (1970) pula, mencari kepuasan adalah pendorong yang memainkan peranan besar dalam menentukan tingkah laku manusia tetapi ia tidak semestinya menghasilkan prestasi yang tinggi. Dalam konteks kajian ini, kepuasan peribadi wujud apabila penat jerih mendidik anak bangsa dijelmakan dalam bentuk hasil dari keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah yang diumumkan serta kedudukan dalam ranking penarafan sekolah diperoleh di peringkat kebangsaan

3.5

Hubungan Antara Tahap Kecerdasan Emosi Dengan Komitmen Guru Dalam Bekerja

Hasil kajian menunjukkan pekali korelasi antara tahap kecerdasan emosi dan tahap komitmen bekerja ialah r=-0.117 pada aras keertian 0.05. ini menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan di antara tahap kecerdasan emosi dengan tahap komitmen kerja. Walau bagaimanapun nilai pekali korelasi ini adalah sangat lemah, menandakan kecerdasan emosi bukan faktor penentu utama tahap komitmen bekerja guru. Dapatan ini tidak menyokong pendapat Goleman (1998). Menurut beliau, sesebuah organisasi yang mengamalkan pengurusan dengan prinsip kecerdasan emosi dan mementingkan kemanusiaan (humanistik), membolehkan pekerjanya terus kekal bertahan di dalam organisasi. Dengan ini, setiap pekerja akan memberikan kerjasama yang maksimum dan penglibatan secara rela yang tentunya menyumbang kepada komitmen terhadap organisasi. Keadaan yang wujud menunjukkan kecerdasan emosi yang tinggi tidak bermakna akan menghasilkan komitmen kerja yang tinggi. Ini menunjukkan juga banyak faktor lain perlu diberi perhatian dalam meningkatkan komitmen kerja seperti yang diutarakan oleh tokoh-tokoh motivasi. Peranan pentadbir, budaya organisasi, kesihatan pekerja dan sikap pekerja juga perlu diberi perhatian. Aliran trend semasa terhadap kecerdasan emosi dan komitmen bekerja juga perlu diberi perhatian kerana terdapat dapatan kajian yang dilaksanakan oleh tokoh-tokoh kecerdasan emosi dan komitmen bekerja yang mungkin telah tidak lagi bersesuaian dengan keadaan semasa.

4.0

KESIMPULAN

Profesion keguruan adalah satu profesion yang mulia. Bagi menjamin profesion ini sentiasa dipandang mulia, maka para guru perlulah mempunyai kecerdasan emosi yang tinggi serta mempunyai komitmen bekerja yang tinggi. Kecerdasan emosi yang tinggi membolehkan para guru bertingkah laku sewajarnya sebagai seorang guru dan senantiasa berada di dalam keadaan stabil dan seterusnya berupaya membangunkan potensi pelajar melalui pengajaran dan pembelajaran yang berkesan tanpa mengira mata pelajaran atau tahap kesukaran yang ditemui ketika berhadapan dengan pelajar.

Yahzanon Tahir & Yusof Boon / Journal of Edupres

195

RUJUKAN Ball, S. J., & Goodson, I. F. (1985). Teachers Lives And Careers. London: Falmer. Baron, R. A., & Greenberg, J. (1990). Behaviour In Organisations: Understanding And Managing The Human Slide Work. Edisi 3. Boston: Allyn Bacon. Boyatzis, R., & Goleman, D. (2001). Clustering Competence In Emotional Intelligence Insights From The Emotional Competence Inventory (ECI), in Bar-On, R. and Parker, J.D.A. (Eds), Handbook of Emotional Intelligence. Jossey-Bass: San Francisco,C.A. Burden, R. (1990). Teacher Development. Dalam W. R. Houston (Bd.), Handbook Of Research On Teacher Education. New York: Macmillan. Chua Yan Piaw (2006). Kaedah Penyelidikan. Buku 1. Kuala Lumpur: McGraw Hill Education. Cohan, A. (1993). Organizational Commitment And Turnover: A Meta-analysis. Academy of Management Journal. 36(5): 1140-1157. Fletcher, F. (2007). Hubungan Tahap Kecerdasan Emosi Dengan Tahap Kepuasan Kerja Dan Tahap Komitmen Kerja Di Kalangan Guru Bimbingan Dan kaunseling Sekolah Menengah Di Bandar raya Kucing, Sarawak. Universiti Teknologi Malaysia. Tesis Sarjana. Fullan, M. G., & Miles, M. B. (1992). Getting Reform Right: What Works And What Doesn't. Phi Delta Kappan. (73): 745-752. Fuller, F. F. (1969). Concerns Of Teachers: A Developmental Conceptualization. American Education Research Journal. 6: 207-226. Glathorn, A., & Fox, L. E. (1996). Quality Teaching Through Profesional Development. Thousand Oaks, CA: Corwin. Goleman, D. (1995). Emotional intelligence: Why It Can Matter More Than IQ. New York: Bantam Books. Goleman, D. (1998). Working With Emotional Intelligence. New York: Bantam Books. Hall,G., & Loucks, S. (1978). Change In School: Facilitating The Process. Albany, NewYork: SUNY. Iskandar (2008). Pengaruh Kecerdasan Emosi Dan Kepuasan Kerja Ke Atas Komitmen Organisasi Di Kalangan Pensyarah Pendidikan Tinggi Daerah Jambi, Indonesia. Universiti Kebangsaan Malaysia. Tesis Doktor Falsafah. Meyer, J. P., & Allen, N. J. (1984). Testing The Side-bet Theory of Organisational Commitment: Same Methodological Considerations. Organisational Behaviour And Human Performance. 17: 289-298.

Yahzanon Tahir & Yusof Boon / Journal of Edupres

196

Miskel, C. G. (1977). Principles Attitudes Toward Work and Co-workers, Situational Factors, Perceived Effectiveness and Innovation Effort. Educational Administration Quarterly. 13(2): 51-57. Murray, B. (1998). Does Emotions Intelligence matter in the workplace? APAs Annual Convention. 29(7). (On-line). Diperoleh dari: http://www.apa.org/monitor/jul98/emot.html. Diakses pada 10 Mac 2010. Mohd. Azhar (2004). Komitmen Guru Terhadap Organisasi Dan Profesion Perguruan: Satu Tinjauan di SM Teknik Kota Tinggi, Johor. Universiti Teknologi Malaysia. Tesis Sarjana. Mohd. Najib Abd. Ghafar, Azizi Hj. Yahaya dan Yusof Boon (2002). Kecerdasan Emosi: Perbandingan Pelatih Penguruan Ijazah Pertama dan Ijazah Lanjutan. Kajian Jangka Pendek (RMC). UTM. Tidak Diterbitkan. Morrow, P. C. (1983). Concept Redundancy In Organizational Research: The Case Of Work Commitment. The Academy of Management Review. 8(3): 486-500. Mowday, R. T., Steers, R. M., & Porter, R. M. (1979). The Measurement Of Organizational Commitment. Journal of Vocational Behaviour. 14: 224-247. Mowdey, R., Porter, L., & Steers, R. (1982). Organizational Linkages: The Psychology of Commitment, Absenteeism, and Turnover. New York: Academic Press. Noriah Mohd Ishak (1994). Pola Pemilihan Respons Menangani Ketegangan Dan Hubungannya Dengan Punca Ketegangan Di Kalangan Guru-guru. Universiti Kebangsaan Malaysia. Tesis Sarjana. Noriah Mohd. Ishak, Siti Rahayah & Syed Najamuddin Syed Hassan (2003). Hubungan Antara Faktor Kecerdasan Emosi, Nilai Kerja Dan Prestasi Kerja di Kalangan Guru Maktab Rendah Sains Mara. Jurnal Teknologi. 39(E): 75-82. Salovey, P., & Mayer, J. D. (1990). Emotional Intelligence. Imagination, Cognition and Personality. 9: 185-211. Samuel, O.S. (2008). Demographic and Psychological Factors Predicting Organizational Commitment Among Industrial Workers. Anthropologist. 10(1): 31-38.

Anda mungkin juga menyukai