Saya telah menjalani praktikum di Sekolah Kebangsaan Mawar, Sandakan. Tempoh
praktikum ini ialah selama 6 minggu bermula dari 28 Jan 2014 sehingga 29 Mei 2014. Semasa menjalani praktikum ini, pelbagai pengalaman telah saya tempuhi dan alami dan pengalaman ini banyak membantu saya menjadi seorang guru yang lebih baik dan banyak memperbaiki kelemahan diri saya sekaligus menyediakan saya untuk menjadi guru yang baik. Sebelum saya pergi lebih jauh lagi, saya rasa lebih baik jika terlebih dahulu saya sentuh serba sedikit tentang tugas seorang guru. Sedar atau tidak sebenarnya tugas yang dilakukan oleh warga guru adalah tugas yang amat berat iaitu usaha untuk memanusiakan manusia, untuk membentuk insan bersahsiah dan bermoral tinggi serta sentiasa menyeru murid-muridnya ke arah kebaikan. Warga guru sebenarnya menyambung dakwah Rasulullah saw iaitu menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran yang dilakukan oleh para pelajar. Kerjaya ini juga akan dapat saham akhirat yang tidak putus-putus dengan ilmunya yang diambil manfaat oleh pelajarnya. Semua yang disebut di atas akan diperolehi sekiranya dilakukan semata-mata untuk mencari reda Allah. Dengan kata lain niat hendaklah ikhlas. Alangkah ruginya sekiranya tugasan yang dilakukan hanya kerana menjalankan tanggungjawab mengajar semata-mata, cukup bulan dapat gaji dan elaun. Langsung tidak fikirkan macam mana dengan ibadat mereka, akhlak mereka dan masa depan mereka. Sememangnya tidak dinafikan tugas guru pada masa kini amat berat dengan masalah keruntuhan moral. Dulu masalah disiplin pelajar berkisar dengan merokok, ponteng kelas, vandalisme tapi pada masa kini pelajar terlibat dengan minuman keras, pil khayal, merempit, curi dan yang paling membimbangkan ialah seks bebas. Semua ini adalah cabaran buat insan yang bernama guru. Apatah lagi pelajar masa kini tidak boleh disentuh langsung. Silap hari bulan guru boleh disaman oleh ibubapa pelajar. Daoed Yoesoef (1980) menyatakan bahawa seorang guru mempunyai tiga tugas utama iaitu tugas profesional, tugas manusiawi, dan tugas kemasyarakatan. Tugas-tugas profesional dari seorang guru iaitu meneruskan atau menyampaikan ilmu pengetahuan, keterampilan serta nilai-nilai lain yang belum diketahui oleh murid dan seharusnya diketahui oleh mereka. Tugas manusiawi adalah tugas-tugas membantu anak didik agar dapat memenuhi tugas-tugas utama dan manusia kelak dengan sebaik-baiknya. Tugas-tugas manusiawi itu adalah transformasi diri, identifikasi diri sendiri dan pengertian tentang diri sendiri. Guru seharusnya dengan melalui pendidikan mampu membantu anak didik untuk mengembangkan daya berpikir sehingga mampu untuk turut serta secara kreatif dalam proses transformasi kebudayaan ke arah keadaban demi memperbaiki hidupnya sendiri dan kehidupan seluruh masyarakat disekelilingnya. Tugas kemasyarakatan merupakan tanggungjawab guru sebagai warga negara yang baik, turut mengembang dan melaksanakan apa-apa yang telah digariskan oleh bangsa dan negara. Seperti yang saya telah nyatakan tadi, sekolah tempat saya menjalani praktikum ini ialah sekolah perempuan dan semua pelajar di sekolah ini terdiri daripada murid perempuan. Lagi pula, jumlah murid di sekolah in juga tidak ramai iaiatu lebih kurang 205 orang murid sahaja. Ini memudahkan pengurusan dan pengawalan disiplin murid. Murid-murid juga tidak banyak kerenah dan jarang membuat masalah seperti melakukan kesalahan disiplin yang teruk seperti mencuri, membuli rakan, vandalisme atau sebagainya. Secara umumnya, saya tidak menghadapi masalah yang besar tentang murid di sekolah tersebut. Cuma kadang-kadang ada juga sedikit masalah kecil semasa di dalam kelas iaitu murid kurang member perhatian terhadap pengajaran yang berlangsung di dalam kelas. Ini pun mungkin berlaku kerana kelemahan saya sendiri dari sudut pemilihan kaedah pengajaran dan bahan bantu mengajar yang disediakan. Sementara itu, pihak pengurusan sekolah juga memberikan kerjasama yang cukup baik sepanjang saya menjalani praktikum di sekolah ini. Pihak pengurusan terutamanya guru besar telah banyak memberikan bantuan kepada saya sepanjang saya menjalani praktikum di sekolah tersebut. Pengurusan di sekolah ini saya lihat berjalan dengan baik kerana guru besar sekolah tersebut mengamalkan corak pengurusan yang berdiplomasi di mana beliau mengambil kira pandangan orang bawahan beliau dalam segala hal. Beliau juga seorang yang mudah mesra dan senang dibawa berbincang. Begitu juga dengan guru-guru penolong kanan di sekolah tersebut yang begitu mesra dan tidak lokek untuk membantu saya jika saya menghadapi sebarang masalah ketika menjalani praktikum di sekolah tersebut. Sekolah ni bagi saya merupakan sekolah yang cantik dan ceria. Ini kerana persekitaran sekolah ini adalah bersih dan menenangkan. Walaupun sekolah ini agak kecil namun ia dilengkapi oleh fasiliti yang lengkap seperti kantin, pusat sumber, bilik komputer, makmal sains, bilik kemahiran hidup dan sebagainya. Pendek kata, sekolah ini serba serbi lengkap dengan segala kelengkapan yang diperlukan oleh guru dan murid dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran. Persekitaran sekolah juga cantik di mana sekolah ini dilihat cukup menjaga keindahan persekitaran sekolah di mana persekitaran sekolah ini sentiasa dijaga dengan rapi bagi memastikan ia sentiasa cantik dan kemas. Di samping itu, suasana di sekolah ini juga aman di mana murid tidak berbuat bising di dalam kelas. Ini mungkin kerana semua murid di sekolah ini murid perempuan. Selain itu, guru-guru di sekolah tersebut juga amat mesra dan mudah dibawa bergaul. Saya tidak menghadapi sebrang masalah dengan pergaulan dengan semua guru di sekolah tersebut kerana mereka semuanya mudah mesra dan tidak lokek untuk berkongsi ilmu serta pengalaman mereka dalam membantu saya sepanjang proses praktikum yang saya jalani berlangsung. Lebih-lebih lagi guru pembimbing saya yang banyak membantu dan memberi tunjuk ajar kepada saya serta melicinkan perjalanan praktikum yang saya jalani ini. Beliau banyak memberikan tunjuk ajar dan teguran yang membina kepada saya sepanjang saya menjalani praktikum yang saya rasa banyak membantu saya dalam memperbaiki kelemahan saya dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Bagi saya, sekolah ini cukup baik dan dan mampu meransang murid belajar dengan berkesan. Ini kerana seperti yang saya sebutkan tadi, persekitaran sekolah ini indah dan menenangkan ditambah lagi dengan suasana yang aman tanpa kebisingan yang mampu menghasilkan persekitaran yang kondusif bagi menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, budaya di sekolah ini saya lihat cukup baik di mana semua guru terlibat serta berganding bahu dalam menjayakan misi dan visi sekolah. Ini dibuktikan dengan semua guru turun padang dalam menjayakan apa jua aktiviti yang dijalankan di sekolah bagi memastikan kecemerlangan murid. Hal ini tidak terhad kepada aspek kurikulum ataupun akademik sahaja bahkan juga turut melibatkan aktiviti kokurikulum di waktu petang seperti unit beruniform , sukan mahupun persatuan. Semua guru mempunyai tugas serta tanggungjawab masing-masing yang mesti dipikul dan saya lihat mereka semua begitu komited dalam menjalankan tugas masing-masing serta bantu membantu antara satu sama lain dalam segala hal. Masyarakat juga saya lihat cukup mengambil berat tentang pelajaran anak mereka masing-masing. Ini dibuktikan dengan aktifnya persatuan ibi bapa dan guru di sekolah ini dalam merangka aktiviti-aktiviti yang bersesuaian bagi menjamin kecemerlangan pelajar di sekolah tersebut. Masyarakat sekeliling yang terdiri daripada ibu bapa murid di sekolah tersebut juga tidak lokek untuk memberikan sumbangan kepada pihak sekolah sama dari aspek kewangan mahupun tenaga bagi sama-sama bantu mebantu meningkat kecemerlangan murid di sekolah ini. Sekolah ini mengamalkan budaya yang saya rasa diamalkan di semua sekolah di seluruh Malaysia di mana mereka mengutamakan kecemerlangan murid bukan sahaja dari aspek akademik, tetapi juga mementingkan aspek sahsiah serta penglibatan murid dalam aktiviti kokurikulum. Berkaitan tentang guru pula, di sekolah ini hanya terdapat 20 orang guru sahaja termasuk guru besar dan para penolong kanan beliau. Oleh sebab bilangan guru tidak ramai, maka tanggungjawab yang dipikul oleh setiap orang guru agak berat namun semua guru di sekolah ini saya lihat cukup komited dalam menajalankan tugas mereka. Mereka juga saya lihat sanggup membanting tulang berusaha meningkatkan kecemerlangan murid tanpa mengenal erti penat dan jemu. Bagi saya semua guru di sekolah tersebut adalah guru yang luar biasa kerana mereka saya lihat bukan sahaja mahir dalam bidang pengkhususan mereka bahkan juga mahir dalam bidang yang lain seperti pengurusan, teknologi maklumat dan sebagainya terutama sekali guru pembimbing saya saya yang cukup kreatif dalam segala hal, mahir dalam teknologi maklumat dan cukup aktif dalam semua program sekolah. Beliau juga cukup dihormati dan disegani oleh semua murid di sekolah tersebut di mana semua murid memberikan tumpuan yang cukup baik semasa beliau mengajar. Semasa di sekolah ini juga, saya mengalami dan mengahadapi pelbagai pengalaman pahit dan manis serta peristiwa yang mencabar pengetahuan serta kesabaran saya sebagai seorang guru. Pengalaman manis yang yang saya alami aialah apabila saya dapat melibatkan diri dalam semua aktiviti yang dijalankan di sekolah serta dianggap sebagai keluarga oleh semua guru di sekolah tersebut. Peristiwa yang saya rasa cukup mencabar saya ialah untuk memastikan tumpuan murid terhadap saya di dalam kelas semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Ini memerlukan ilmu, usaha serta kesabaran yang cukup kuat bagi memastikan semuanya berjalan seperti yang dirancang. Pengalaman yang saya rasa agak pahit untuk diingat ialah apabila terpaksa berpisah dengan warga sekolah yang cukup saya kasihi seperti guru besar, para guru dan terutamanya murid-murid yang belajar di kelas saya. Mengenai kursus kpli ini pula, bagi saya kursus ini amat baik di mana para siswazah diberi peluang untuk berkhidmat sebagai seorang guru yang terlatih walaupun pada asalnya mereka bukan berasal dari jurusan pendidikan. saya merasakan bahawa tempoh kursus selama satu tahun adalah amat singkat serta tidak mencukupi bagi menghasilkan guru yang berketrampilan dan saya merasakan bahawa kursus ini perlu dipanjangkan mungkin selama dua tahun atau tiga tahun bagi memastikan guru-guru yang dihasilkan betul-betul berkualiti dan mampu menghasilkan modal insan yang cemerlang di dunia dan di akhirat. Akhir sekali, saya juga ingin menyentuh serba sedikit tentang mentor kami di mana beliau bukan dari jabatan pendidikan islam tetaqpi merupakan pensyarah di jabatan pendidikan jasmani. Bagi saya ini semua tidak menjadi masalah kerana saya merasakan bahawa beliau telah menjalankan tugas dengan baik dan memastikan kebajikan kami sebagai mentee beliau terjaga. Saya merasakan bahawa perkara ini wajar diteruskan asalkan para pensyarah yang ditugaskan sebagai mentor tersebut memahami keperluan dan sensitiviti kami sebagai guru pendidikan islam. Sebagai penutup, saya merasakan bahawa praktikum yang telah saya jalani ini adalaha amat bermakna dan cukup membantu saya dalam menyediakan diri saya untuk menjadi bakal guru yang cemerlang. Ia juga dapat menyediakan saya dalam semua aspek yang dperlukan untuk menjadi seorang guru. Saya berpendapat bahawa program praktikum ini adalah amat relevean untuk diteruskan untuk melahirkan bakal guru yang berkualiti.