Anda di halaman 1dari 6

Rukun Negara

Bahawasanya Negara Kita Malaysia mendukung cita-cita hendak:


mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya;
memelihara satu cara hidup demokratik;
mencipta satu masyarakat adil di mana kemakmuran Negara akan dapat
dinikmati bersama secara adil dan saksama;
menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang
kaya dan berbagai corak; dan
membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan
teknologi moden.

Maka Kami, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga


dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas
prinsip-prinsip berikut:
Kepercayaan Kepada Tuhan
Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
Keluhuran Perlembagaan
Kedaulatan Undang-undang
Kesopanan dan Kesusilaan

Bilakah Rukun Negara mula digunapakai


Prinsip Rukun Negara telah diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan AgongSeri
Paduka Baginda Tuanku Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan
Zainal Abidin pada 31 Ogos 1970, iaitu sempena ulang tahun ke-13
kemerdekaan Malaysia.

Kenapa Rukun Negara dibentuk


Selepas Malaysia Merdeka dan negara mula dibangunkan, sedikit demi
sedikit terdapat jurang antara kemewahan bandar dan kemiskinan desa,
kemewahan orang bukan Melayu dengan kesempitan hidup orang Melayu
yang menyebabkan rasa tidak puashati di antara rakyat. Ini menyebabkan
beberapa kekacauan serta perbalahan yang melibatkan kaum berlainan
berlaku di beberapa kawasan di Tanah Melayu. Apabila berlakunya
peristiwa berdarah 13 Mei 1969, kerajaan melihat perlunya satu formula
untuk mengatasi masalah ini.

Di antara Objektif Rukun Negara adalah untuk mencapai perpaduan yang


lebih erat di kalangan seluruh masyarakat, mencipta satu masyarakat
yang adil supaya kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara
adil dan saksama.

Majlis Perundangan Negara yang dipengerusikan oleh Allahyarham Tun


Abdul Razak bin Hussein (merangkap Pengarah MAGERAN) telah
ditubuhkan di bawah Undang-undang Darurat yang diwartakan pada 29
Januari 1970, hasil daripada mesyuarat MAGERAN yang mentadbir negara
ketika itu. Ianya di anggotai oleh Pengerusi, tiga orang menteri
(Allahyarham Tun Dr. Ismail bin Dato' Abdul Rahman, mendiang Tun Tan
Siew Sin dan mendiang Tun V.T Sambanthan ), wakil-wakil kerajaan negeri
dan wakil-wakil daripada parti politik.

Majlis Perundingan Negara bertanggungjawab menjadi pemikir dalam


merangka perpaduan negara dan mencari satu cara yang mampu untuk
mengatasi garis pemisah antara kaum. Dengan itu, maka lahirnya satu
ideologi kebangsaan yang baru iaitu Rukun Negara yang digubal sebagai
falsafah negara dan pendekatan baru ke arah mewujudkan sebuah negara
bangsa yang stabil. Selain itu, Majlis Perundangan Negara juga mula
menggunakan tema untuk menyambut kemerdekaan pada setiap tahun
sebagai langkah mengekalkan semangat cintakan negara dan memupuk
keharmonian kaum.

Penjelasan Maksud 5 Prinsip Rukun Negara


a) Kepercayaan kepada Tuhan
Bangsa dan Negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh
kepada Tuhan. Melalui kepercayaan beragama inilah akan menjadikan
bangsa dan negara ini sebagai satu bangsa dan negara yang berdaulat.

Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama


rasmi Persekutuan, tetapi agama dan kepercayaan-kepercayaan lain boleh
diamalkan dengan aman dan tenteram di mana-mana bahagian di dalam
Persekutuan dan tindakan membeza-bezakan terhadap seseorang
warganegara atas alasan agama adalah dilarang sama sekali.

Jawatankuasa penggubal Rukun Negara menyedari akan pentingnya


agama dan kepercayaan kepada Tuhan dalam kehidupan manusia.
Ketiadaan agama boleh meruntuhkan keperibadian seseorang dan juga
sesuatu bangsa dan negara. Menyedari betapa pentingnya keteguhan
pegangan anggota masyarakat terhadap ajaran agama masing-masing,
prinsip ini telah dipilih sebagai prinsip pertama dalam Rukun Negara.

b) Kesetiaan Kepada Raja dan Negara


Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja
Berpelembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
sebagai Ketua Negara. Selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong
sebagai Raja mengikut Perlembagaan, sistem beraja juga diamalkan di
setiap negeri, dan Yang Di-Pertua Negeri bagi negeri-negeri yang tidak
beraja. Seri Paduka Baginda, Raja-Raja dan Yang Di-Pertua Negeri adalah
merupakan lambang perpaduan rakyat.

Kesetiaan kepada Raja dan Negara bermaksud, bahawa setiap


warganegara hendaklah menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas
kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Di peringkat negeri
pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja yang
memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan
taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong.

c) Keluhuran Perlembagaan
Prinsip ini menekan perlunya rakyat menerima, mematuhi dan
mempertahankankeluhuran atau kemuliaan Perlembagaan Negara.
Perlembagaan Negara adalah sumber perundangan yang tertinggi.
Fungsinya untuk memberi perlindungan kepada setiap rakyat negara ini
akan hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara. Setiap warga
negara Malaysia dikehendaki menghormati, menghargai, serta memahami
maksud dan kandungan serta latar belakang sejarah pembentukan
Perlembagaan Negara.

Perlembagaan Negara telah digubal berasaskan kesepakatan semua kaum


dan semua pihak di negara ini. Dengan demikian ia merupakan satu
kontrak sosial rakyat yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu gugat
oleh mana-mana individu atau mana-mana pihak. Perlembagaan Malaysia
menentukan pola politik dan kedudukan sosio-ekonomi rakyat di negara

ini. Ia adalah sumber rujukan bagi segala hal yang berkaitan denga sistem
pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak sosio-ekonomi rakyat.

d) Kedaulatan Undang-Undang
Keadilan diasaskan atas kedaulatan undang-undang di mana setiap rakyat
sama tarafnya di sisi undang-undang negara. Kebebasan asasi terjamin
bagi semua warganegara Malaysia. Undang-undang negara berasaskan
kepada Perlembagaan. Oleh itu kedaulatannya perlu diterima dan
dipertahankan. Tanpa undang-undang, hidup bermasyarakat dan
bernegara tidak aman dan stabil. Oleh itu undang-undang negara dijamin
pula oleh institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa. Setiap negara
memerlukan undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu
masyarakat yang aman, stabil dan makmur. Kewujudan undang-undang
akan menjamin kehidupan anggota masyarakat dapa bergerak dengan
licin dan teratur tanpa sebarang kekacauan, di mana semua anggota
masyarakat akan merasas selamat. Hak-hak semua rakyat boleh
diamalkan dengan bebas asalkan tidak melanggar undang-undang serta
perkara-perkara sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Negara.
Hak-hak dari kebebasan yang ijamin oleh Perlembagaan itu tidaklah
termasuk hak menggulingkan kerajaan sama ada dengan kekerasan atau
dengan cara-cara yang tidak menurut Perlembagaan.

e) Kesopanan dan Kesusilaan


Prinsip ke lima ini menekankan perkembangan personaliti dan tingkah
laku seseorang rakyat. Tujuannya ialah untuk membentuk warga negara
yang bersopan santun dan bersusila selaras dengan kempen Budi Bahasa
dan Nilai Murni yang dijalankan sekarang. Sifat individu yang bersopan
santun dan bersusila adalah paling bermakna dan amat penting dalam
konteks perhubungan antara satu sama lain dalam masyarakat pelbagai
kaum di negara ini.

Sikap bersopan santun dan bersusila patut diamalkan bagi membentuk


seseorang individu dan masyarakat yang berdisiplin serta bermoral tinggi
yang akan membantu mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni.
Tatasusila ini membenci dan mengutuk tingkah laku atau perbuatan yang
angkuh atau menyinggung perasaan seseorang atau sesuatu golongan.
Tingkah laku sopan juga mengandungi suatu darjah kesusilaan yang tinggi
dalam kedua-dua kehidupan persendirian dan kehidupan bernegara.
Prinsip ini menjadi panduan supaya perilaku masyarakat sentiasa
terpelihara dan berkembang sesuai dengan keperibadian bangsa dan
nilai-nilai murni.

Kesimpulan
Tahun ini negara akan menyambut Hari kemerdekaan yang ke-57, kita
sebagai rakyat Malaysia sewajarnya lebih bersatu-padu berbanding 57
tahun yang lalu. Namun, hakikatnya, pada ketika ini kebanyakkan dari kita
mempunyai sifat perkauman yang tinggi. Sifat toleransi di antara kaum
dan agama juga sudah semakin luntur.

Ramai rakyat yang tidak lagi melihat kepentingan Rukun Negara pada
masa ini. Didalam keadaan kita menuju kemajuan, ianya dilupakan
sebagai salah satu alat yang membantu rakyat Malaysia bersatu-padu
suatu ketika dahulu. Ia sepatutnya bukan setakat dibaca sahaja tetapi
juga di amalkan didalam kehidupan seharian kita.

Read more: http://www.malaysiancoin.com/2014/07/sejarah-dan-maksudrukun-negara-malaysia.html#ixzz3Qe8VxKI4

Anda mungkin juga menyukai