Anda di halaman 1dari 15

AQIQAH DAN HUKUM YANG BERKAITAN DENGANNYA

Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci bersih, jauh daripada sebarang pencemaran
akidah. Ibu bapa adalah orang pertama yang menunjukkan hala tuju anak tersebut, ke
jalan yang mulia atau sebaliknya. Sabda Rasulullah saw :
"Setiap kelahiran (daripada bani Adam) dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci bersih),
maka ibu bapanyalah (yang menjadikannya) Yahudi, Nashrani atau Majusi." (Hadis
riwayat al-Bukhari)
Oleh yang demikian, ibu bapa bertanggungjawab mendidik anak mereka untuk mengenali
Allah, mengajar serta membimbing mereka tentang suruhan dan laranganNya. Hal ini
hendaklah diserapkan ke dalam jiwa dan minda mereka sejak dari kecil lagi, bahkan
Islam telah menganjurkan kita supaya menyerukan azan dan iqamah di telinga anak itu
sejak dari lahir lagi. Azan dan iqamah dilakukan supaya kalimah tauhid dan kalimah yang
mengakui keagungan Allah Subhanahu wa Taala dan keesaanNya adalah perkataan yang
mula-mula didengar oleh anak itu dan akan meresap ke hatinya yang suci bersih serta
meninggalkan kesan yang amat bererti buat dirinya.
Selain dari itu, menyerukan azan dan iqamah juga adalah sebagai usaha untuk memohon
perlindungan daripada gangguan syaitan, di mana dengan seruan azan dan iqamah ini
syaitan akan lari dari anak tersebut. (Bujairimi ala al-Khatib: 4/436-437) Sabda
Rasulullah saw :
"Sesiapa yang dikurniakan anak yang baru lahir, maka hendaklah diazankan di telinga
kanan dan diiqamah di telinga kiri, nescaya tidak akan menyakitinya Umm ash-Shibyan
(pengikut jin atau penunggu atau suatu penyakit yang terkena pada kanak-kanak pada
masa kecilnya)."
Demikian juga Islam menganjurkan supaya melakukan aqiqah bagi anak tersebut. Ini
bertujuan untuk mezahirkan perasaan syukur ibu bapa kepada Allah Subhanahu wa Taala
di atas anugerah cahaya mata atau zuriat keturunannya.
Di samping itu daging aqiqah yang dimasak dengan sedikit rasa manis itu diharapkan
agar perangai dan budi pekerti anak tersebut akan menjadi elok dan baik. (Al-Majmu:
8/322)
Pengertian Aqiqah Menurut Syara
Aqiqah dalam pengertian syara ialah binatang ternakan yang berkaki empat (binatang
anam) yang disembelih ketika hendak mencukur rambut kepala anak yang baru
dilahirkan, sama ada disembelih pada hari ketujuh atau selepasnya.
Hukum Aqiqah

Hukum melakukan aqiqah itu adalah sunat muakkadah iaitu sunat yang sangat
digalakkan oleh Islam. Sebagaimana perbuatan Nabi Muhammad shallallahu alaihi
wasallam ketika Baginda mengaqiqahkan cucundanya Hasan dan Husain alaihimassalam.
Ianya bukanlah perkara yang wajib dilakukan kerana hal ini pernah ditanyakan kepada
Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam, lalu Baginda bersabda yang maksudnya :
"Allah tidak menyukai kedurhakaan, seolah-olah Baginda tidak suka menyebut nama itu
(aqiqah). Baginda bersabda: "Barang siapa yang dikurniakan baginya anak, lalu dia ingin
menyembelihkan untuk anaknya maka sembelihlah untuk anak lelaki dua ekor kambing
yang sama keadaannya dan bagi anak perempuan seekor kambing." (Hadis riwayat Abu
Daud)
Maksud hadis daripada perkataan (suka atau ingin menyembelihkan untuk anaknya) itu
menunjukkan tidak wajib melakukan aqiqah, melainkan jika aqiqah itu dinazarkan
baharulah ianya dipanggil aqiqah wajib.
Dalam hadis yang lain, sabda Rasulullah saw yang maksudnya :
"Anak-anak tergadai (terikat) dengan aqiqahnya, disembelih (aqiqah) untuknya pada hari
ketujuh (kelahirannya) dan diberi namanya serta dicukur rambutnya." (Hadis riwayat atTirmidzi)
Terdapat dua pendapat dalam menghuraikan maksud hadis "anak tergadai dengan
aqiqahnya" di sini. Pendapat pertama mengatakan bahawa jika tidak diaqiqahkan, anak
itu akan terbantut atau terhalang pertumbuhannya, tidak seperti anak-anak lain yang
diaqiqahkan. Pendapat kedua mengatakan bahawa maksudnya ialah anak itu tidak akan
memberi syafaat kepada kedua ibu bapanya pada hari kiamat kelak jika dia tidak
diaqiqahkan. Pendapat kedua ini adalah pendapat Imam Ahmad bin Hanbal, dan pendapat
ini adalah pendapat yang terbaik. (Mughni al-Muhtaj: 4/369)
Orang Yang Dituntut Melakukan Aqiqah
Orang yang disunatkan melakukan aqiqah untuk anak yang baru dilahirkan itu ialah
orang yang wajib memberi nafkah kepada anak tersebut, iaitu bapa atau ibunya sekalipun
mereka itu orang fakir atau papa.
Aqiqah tidak boleh dilakukan oleh orang yang tidak wajib ke atasnya memberi nafkah
kepada anak tersebut melainkan dengan izin daripada orang yang wajib memberi nafkah
(bapa atau ibu). Sebagaimana Nabi pernah mengaqiqah cucunda Baginda Sayyidina
Hasan dan Sayyidina Husain sama ada dengan sebab izin daripada Sayyidina Ali
menantu Baginda ataupun ketika itu Sayyidina Ali dan isterinya tidak berkemampuan
lalu tertanggunglah nafkah tersebut ke atas Baginda Rasulullah.
Belanja untuk aqiqah itu hendaklah diambil daripada harta bapa atau ibu itu sendiri dan
tidak boleh diambil daripada harta anak yang hendak diaqiqahkan itu. Ini kerana
perbuatan aqiqah itu adalah merupakan tabarru (sedekah).

Jika diambil perbelanjaan itu daripada harta anak tersebut, maka aqiqah yang dibuat itu
tidak sah dan ibu atau bapa tersebut wajib menggantinya. (Al-Majmu: 8/324 dan Mughni
al-Muhtaj: 4/369)
***************************
AQIQAH DAN HUKUM YANG BERKAITAN DENGANNYA
Kemampuan Dalam Melakukan Aqiqah
Ibu bapa yang berkemampuan, adalah dituntut (sunat) melakukan aqiqah untuk anak
mereka itu sehingga anak itu baligh. Jika anak tersebut sudah mencapai umur baligh
tetapi ibu bapanya tidak melakukan aqiqah untuknya, maka sunat ke atas anak itu
melakukan aqiqah untuk dirinya sendiri dan gugurlah tuntutan sunat ke atas ibu bapa itu
melakukan aqiqah anaknya yang sudah baligh itu.
Adapun yang dimaksudkan dengan kemampuan yang merupakan syarat untuk melakukan
aqiqah itu ialah orang yang hendak melakukan aqiqah itu mempunyai wang belanja yang
lebih untuk dirinya dan orang-orang yang di bawah tanggungannya sebelum berlalu
jangka masa terpanjang bagi perempuan bernifas iaitu enam puluh hari.
Jika kemampuannya itu hanya wujud selepas berlalu masa tersebut (sebelum itu dia tidak
mampu, kemudian selepas enam puluh hari baharulah dia mampu), maka tidak
disunatkan ke atasnya melakukan aqiqah.
As-Syeikh Muhammad al-Khathib as-Syarbini di dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj
mengatakan bahawa jika wali anak tersebut tidak mampu untuk melakukan aqiqah sebaik
saja anak itu dilahirkan, kemudian dia mampu sebelum umur anak itu genap tujuh hari,
maka sunat ke atas wali itu melakukan aqiqah untuk anaknya itu.
Jika kemampuannya itu hanya wujud selepas hari ketujuh daripada hari kelahiran
anaknya dan dalam masa isterinya sudah melalui semaksima hari nifas (enam puluh hari),
maka kebanyakkan ulama mutaakhirin berpendapat tidak disunatkan ke atasnya aqiqah.
Adapun jika kemampuannya itu wujud selepas hari ketujuh daripada hari kelahiran
anaknya dan isterinya masih dalam nifas, maka dalam hal ini para ulama berbeza
pendapat. Menurut pendapat Yusuf al-Ardabili di dalam kitabnya al-Anwar li Amali alAbrar, beliau mentarjihkan (lebih cenderung kepada) pendapat yang mengatakan sunat ke
atasnya aqiqah.
Dalam erti kata lain, jika wali itu tidak mampu sehingga habis masa nifas isterinya, maka
gugurlah daripadanya hukum sunat melakukan aqiqah. (Mughni al-Muhtaj: 4/369-370)
Aqiqah Anak Zina

Menurut Ibnu Hajar adalah sunat ibu tersebut melakukan aqiqah bagi anak zina itu, akan
tetapi aqiqah itu hendaklah dilakukan secara sembunyi-sembunyi (tidak dizahirkan) agar
tidak menimbulkan keaiban. (Hawasyi Tuhfah al-Muhtaj: 9/371)
Waktu Aqiqah
Aqiqah itu sunat dilakukan sebaik sahaja anak dilahirkan dan berterusan sehinggalah
anak itu baligh. Ini adalah pendapat yang paling rajih. Apabila anak itu sudah baligh,
gugurlah hukum sunat itu daripada walinya dan ketika itu hukum sunat berpindah ke atas
anak itu sendiri dalam melakukan aqiqah untuk dirinya sendiri.
Walaupun waktu yang disunatkan untuk beraqiqah itu panjang, tetapi yang afdhal
hendaklah dilakukan pada hari ketujuh daripada hari kelahirannya. Sebagaimana dalam
hadis daripada Aisyah Radhiallahu anha katanya maksudnya :
"Rasulullah saw mengaqiqahkan Hasan dan Husain pada hari ketujuh, memberikan
kedua-duanya nama dan Baginda menyuruh supaya menghilangkan daripada keduanya
kesakitan kepala (mencukur rambut kepala)." (Hadis riwayat al-Hakim)
Termasuk dalam kiraan tujuh hari itu, hari anak itu dilahirkan. Jika anak itu dilahirkan
pada waktu siang sebelum terbenam matahari, maka hari itu dikira satu hari. Sebaliknya
jika dia dilahirkan pada waktu malam, maka malam dia dilahirkan itu tidak dikira sebagai
satu hari, bahkan kiraan tujuh hari itu bermula daripada hari selepasnya (siang
berikutnya).
Waktu yang afdhal untuk menyembelih binatang aqiqah itu ialah setelah terbit matahari.
Jika tidak sempat melakukan aqiqah pada hari ketujuh, maka digalakkan juga melakukan
aqiqah itu pada hari keempat belas daripada hari kelahiran. Jika tidak sempat
melakukannya juga, maka lakukanlah pada hari kedua puluh satu. Begitulah dengan
seterusnya boleh dilakukan setiap kali berlalunya tujuh hari yang berikut, seperti pada
hari kedua puluh lapan, tiga puluh lima dan seterusnya. (Al-Majmu: 8/323-324)
Di dalam kitab Kifayah al-Akhyar ada menyebutkan bahawa masa untuk menyembelih
aqiqah (bagi yang mampu) itu hendaklah jangan melebihi tempoh sehingga kering darah
nifas ibu yang bersalin. Jika tidak dilakukan aqiqah setelah kering darah nifas, maka
bolehlah dilakukan selepas itu, tetapi janganlah terlewat sehingga anak itu berhenti
menyusu (dalam tempoh dua tahun daripada hari kelahiran). Jika tidak dilakukannya
juga, maka bolehlah dilakukan selepas itu, tetapi janganlah terlewat sehingga anak itu
berumur tujuh tahun. Jika tidak dilakukannya juga sehingga anak itu berumur tujuh
tahun, bolehlah dilakukan selepas itu, tetapi sebelum anak itu mencapai umur baligh. Jika
anak itu mencapai umur baligh, maka pada masa itu diberi pilihan kepada anak tersebut
untuk melakukan aqiqah bagi dirinya sendiri. (Kifayah al-Akhyar: 534)
Melakukan Aqiqah Sebelum Kelahiran

Sebagaimana penjelasan di atas, jika penyembelihan aqiqah itu dilakukan selepas hari
ketujuh ataupun sebelum hari ketujuh selepas kelahiran adalah memadai aqiqah tersebut.
Ini kerana adanya sebab yang mensyariatkan ibadat aqiqah tersebut iaitu kelahiran anak.
Akan tetapi jika aqiqah itu dilakukan sebelum kelahiran anak, maka tidak memadai
aqiqahnya itu melainkan ianya hanya dikira sebagai binatang sembelihan biasa sahaja.
(Al-Majmu: 8/323)
Adapun menurut Ibnu Hajar, tidak disunatkan aqiqah itu bagi anak keguguran melainkan
jika ditiupkan padanya roh. Jika anak keguguran itu tidak ditiupkan padanya roh, maka
tidaklah dibangkitkan dan tidak memberi manfaat anak itu di akhirat kelak. (Bughyah alMustarsyidin: 258)
Manakala anak damit yang mati sebelum atau selepas hari ketujuh daripada kelahirannya
dan dia berkemampuan untuk menyembelih binatang, maka sunat diaqiqahkan anak
tersebut. (Ianah ath-Thalibin: 2/526 dan al-Majmu: 8/323)
*************************************
AQIQAH DAN HUKUM YANG BERKAITAN DENGANNYA
(Bilangan 135 Bahagian Ketiga)
Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu `Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie
Wasahbihie Waman Walaah
Binatang Aqiqah Serta Syarat-Syaratnya
Binatang yang sah disembelih untuk aqiqah itu sama seperti binatang-binatang yang sah
dibuat korban. Untuk lebih jelas lagi disebutkan syarat-syarat binatang yang sah untuk
dibuat aqiqah itu ialah:
1. Binatang aqiqah itu hendaklah binatang ternakan (naam) seperti unta atau yang
sejenisnya, lembu atau yang sejenisnya seperti kerbau dan kambing atau yang sejenisnya
seperti biri-biri dan kibasy. Firman Allah Subhanahu wa Taala:
Tafsirnya: "Dan bagi tiap-tiap umat telah kami syariatkan ibadat menyembelih korban
supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada
mereka daripada binatang-binatang ternak yang disembelih itu". (Surah al-Hajj:
34)
Seekor unta, lembu atau kerbau itu boleh dikongsi oleh tujuh orang sama ada daripada
keluarga yang sama atau yang lain walaupun tidak semuanya bermaksud aqiqah,
misalnya ada di antaranya bermaksud aqiqah dan yang lainnya kerana mahukan
dagingnya sahaja ataupun daging korban. Ini dijelaskan dalam sebuah hadis:
Maksudnya: "Kami keluar bersama Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam (dari
Madinah) mengucapkan tahlil (Lailahaillallah), dengan berniat untuk mengerjakan haji,

maka Baginda Shallallahu alaihi wasallam menyuruh kami berkongsi pada unta dan
lembu, setiap tujuh orang daripada kami bagi seekor badanah". (Hadis riwayat Muslim)
Seekor kambing pula hanya untuk seorang sahaja tidak boleh dikongsikan. Jika
dikongsikan seekor kambing itu untuk dua orang atau lebih, maka tidak sah aqiqah
tersebut.
Afdhalnya binatang yang dibuat aqiqah itu yang berwarna putih, kemudian yang
berwarna kuning, kemudian yang putih tetapi yang tiada bersih putihnya, kemudian yang
sebahagian badannya berwarna putih, kemudian yang sebahagian berwarna hitam,
kemudian berwarna hitam semuanya, kemudian yang berwarna merah semuanya.
2. Binatang aqiqah itu hendaklah cukup umur, sebagaimana disyaratkan di dalam korban.
Sabda Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam:
Maksudnya: "Jangan kamu menyembelih korban melainkan yang telah musinnah kecuali
jika kamu sukar mendapatkannya, maka sembelihlah anak daripada biri-biri." (Hadis
riwayat Muslim)
Adapun musinnah itu ialah ats-tsaniy (yang gugur gigi hadapannya) daripada binatang
ternakan unta, lembu dan kambing. Maka ukuran umur bagi binatang aqiqah itu ialah:
a. Unta yang gugur gigi hadapannya ialah yang telah sempurna umurnya lima tahun dan
masuk tahun keenam.
b. Lembu dan kambing yang gugur gigi hadapannya ialah yang telah sempurna umurnya
dua tahun dan masuk tahun ketiga.
c. Manakala kambing biri-biri dan kibasy memadai yang berumur cukup satu tahun atau
yang gugur gigi hadapannya walaupun belum cukup umurnya satu tahun dengan syarat
telah melimpasi umurnya enam bulan. (Al-Majmu 8/286-287 dan Ianah ath-Thalibin
2/518)
3. Binatang aqiqah itu hendaklah sihat (tidak berpenyakit) dan selamat daripada
kecacatan atau aib yang boleh mengurangkan daging atau lemaknya atau anggota lain
yang boleh dimakan. Sabda Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam:
Maksudnya: "Empat perkara yang tidak boleh ada pada binatang korban itu, lalu Baginda
bersabda: "Buta yang nyata butanya, sakit yang nyata penyakitnya, tempang yang nyata
tempangnya dan yang kurus dan lemah." (Hadis riwayat Abu Daud)
Daripada hadis di atas dapat difahami bahawa binatang yang tidak sah dijadikan aqiqah
itu ialah:

i. Binatang yang buta atau rosak matanya atau yang tidak dapat melihat sekalipun biji
matanya masih ada. Jika matanya itu ada sedikit kecacatan seperti sedikit rabun tetapi ia
masih boleh melihat, maka ia sah dibuat aqiqah.
ii. Binatang yang jelas tempang kakinya yang mana jika ia berjalan bersama-sama
sekumpulan kawan-kawan binatang yang lain di padang untuk mencari makan, ia tidak
boleh ikut berjalan bersama dengan binatang-binatang itu, bahkan ia tertinggal jauh di
belakang. Jika tempangnya itu sedikit iaitu tempang yang tidak menghalang daripada
mengikuti kawan-kawannya, maka ia sah dibuat aqiqah.
iii. Binatang yang nyata sakitnya sehingga menjadikan binatang tersebut kurus dan
kurang dagingnya. Tetapi jika sakitnya itu sedikit dan tidak mengurangi dagingnya maka
ia sah dibuat aqiqah.
iv. Binatang yang kurus sama ada kerana sakit, gila atau kurang makan dan sebagainya.
v. Binatang yang telinganya terpotong walaupun sedikit atau yang tidak bertelinga sejak
dilahirkan kerana telah hilang sebahagian anggota yang boleh dimakan dan
mengurangkan dagingnya. Tetapi tidak mengapa jika telinganya koyak atau berlubang
dengan syarat tidak gugur daripada dagingnya, walaupun sedikit.
vi. Binatang yang terpotong ekornya walaupun sedikit atau terpotong sebahagian
lidahnya atau yang terpotong suatu yang nyata daripada pahanya. Adapun yang dilahirkan
tanpa berekor sejak dilahirkannya adalah sah dibuat aqiqah.
vii. Binatang yang gugur semua giginya sehingga menghalangnya makan rumput.
Adapun yang tanggal sebahagian giginya dan tidak menghalangnya makan rumput dan
tidak mengurangkan dagingnya (tidak kurus) ia boleh dibuat aqiqah.
viii. Binatang yang berpenyakit gila atau yang kena penyakit kurap sekalipun sedikit.
ix. Binatang yang bunting kerana bunting itu mengurangkan dagingnya. (Al-Majmu
8/293-2966 dan Mughni al-Muhtaj 4/520) Bagi binatang yang baharu beranak boleh
dibuat korban berdasarkan pendapat Ibnu Hajar dalam Tuhfah dan Ar-Ramli dalam
Nihayah, manakala mengikut pendapat Khatib Syarbini dalam Mughni bahawa binatang
tersebut tidak memadai dibuatkan korban. (Sabilul Muhtadin 2/213)
****************************
AQIQAH DAN HUKUM YANG BERKAITAN DENGANNYA
(Bilangan 135 Bahagian Keempat)
Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu `Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie
Wasahbihie Waman Walaah
Daging Aqiqah

Daging aqiqah digalakkan supaya tidak disedekahkan dalam keadaan mentah, bahkan
disunatkan supaya dimasak terlebih dahulu dengan sedikit rasa manis walaupun aqiqah
itu aqiqah nazar. (Bughyah al-Mustarsyidin: 258 dan Mughni al-Muhtaj: 4/370) Ini
Kerana Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam suka pada yang manis, sebagaimana
dalam hadis daripada Aisyah Radhiallahu anha katanya:
Maksudnya: "Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam suka yang manis dan madu."
(Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi, Ibnu Majah dan ad-Darimi)
Tujuannya ialah untuk bertafaul (menaruh harapan baik) terhadap keelokkan perangai
dan budi pekerti anak yang diaqiqahkan.
Adapun jika dimasak dengan tidak ada rasa manis seperti dimasak dengan rasa yang
masam, maka tidaklah ianya menjadi makruh kerana tidak ada larangan mengenainya.
Kemudian daging yang telah dimasak itu diberi makan kepada fakir miskin, sama ada
dengan dihantar masakan itu ke rumah-rumah mereka atau dijemput mereka itu hadir
makan di rumah tempat beraqiqah. Namun yang lebih afdhal adalah dihantar masakan
tersebut ke rumah-rumah orang fakir miskin.
Adapun pangkal paha kambing di sebelah kanan sunat disedekahkan dalam keadaan
mentah kepada bidan yang menyambut kelahiran anak tersebut. (Bughyah alMustarsyidin: 258) Ini kerana Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam menyuruh puteri
Baginda Sayyidatina Fatimah Radhiallahu anha melakukan yang demikian itu dengan
sabda Baginda:
Maksudnya: "Timbanglah rambut Husain dan sedekahkan perak dengan seberat
timbangan rambutnya itu dan berikan kepada bidan kaki aqiqah." (Hadis riwayat alHakim)
Sementara itu, sunat bagi orang yang beraqiqah memakan sebahagian kecil daripada
daging binatang yang diaqiqahkan, selagi mana aqiqahnya itu bukan aqiqah wajib (aqiqah
nazar) atau aqiqah kerana wasiat.
Demikian juga, daging aqiqah itu sunat dihadiahkan kepada orang kaya, dan dia memiliki
apa yang dihadiahkan kepadanya itu.
(Mughni al-Muhtaj: 4/370) Dengan maksud memiliki itu adalah orang kaya tersebut
boleh memakan atau menjualnya. Akan tetapi daging aqiqah itu haram diberi atau dijual
kepada orang kafir.
Dalam hal memakan, menyedekah dan menghadiahkan daging aqiqah tersebut sama
keadaannya dengan korban.

Semasa memotong daging disunatkan supaya jangan dipecah-pecahkan tulang binatang


aqiqah itu, bahkan disunatkan supaya mengasingkan tulang-tulang itu mengikut sendisendinya. Sebagaimana dalam hadis daripada Aisyah Radhiallahu anha katanya:
Maksudnya: "Afdhal bagi anak lelaki dua ekor kambing yang sama keadaannya dan bagi
anak perempuan seekor kambing. Dipotong anggota-anggota (binatang) dan jangan
dipecah-pecah tulangnya." (Hadis riwayat al-Hakim)
Ini bertujuan untuk bertafaul (menaruh harapan baik) terhadap tulang anak itu nanti tidak
pecah dan tidak patah sebagaimana tidak pecah dan tidak patahnya tulang-tulang
binatang aqiqah itu.
Adapun jika dipecah-pecahkan tulang aqiqah itu, maka tidaklah ianya menjadi makruh
akan tetapi hanyalah menyalahi yang utama
(khilaf al-awla). (Al-Majmu: 8/322)
Aqiqah Nazar
Apa yang dimaksudkan dengan aqiqah nazar itu sama keadaannya dengan korban nazar.
Iaitu binatang sembelihan bagi aqiqah itu menjadi wajib apabila ia dinadzarkan, sama ada
nadzar itu nadzar yang sebenar (nadzar hakikat) ataupun nadzar dari segi hukum sahaja,
sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam:
Maksudnya: "Sesiapa yang bernadzar untuk mentaati Allah, maka hendaklah dia
mentaatiNya". (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Apa yang dimaksudkan dengan nadzar yang sebenar itu adalah dengan menyebut nama
Allah atau menggunakan perkataan nadzar. Sebagai contoh orang yang beraqiqah itu
berkata: "Demi Allah wajib ke atasku menyembelih kambing ini sebagai aqiqah", ataupun
dia berkata: "Aku bernadzar untuk menyembelih kambing sebagai aqiqah anakku."
Adapun bernadzar dari segi hukum sahaja seperti seseorang itu berkata: "Aku jadikan
seekor kambing yang aku pegang ini untuk aqiqah anakku", ataupun dia berkata: "Ini
adalah aqiqah anakku", maka dianggap sama seperti bernadzar yang sebenar kerana dia
telah menentukan (tayin) binatang tersebut. (Ianah ath-Thalibin: 2/526)
Oleh itu, menurut Ibnu Hajar bahawa aqiqah wajib yang disebabkan oleh nazar atau
tayin itu wajib disedekahkan kesemuanya dengan mentah. (Hawasyi Tuhfah al-Muhtaj:
9/372) Sementara menurut Khatib Syarbini dan ar-Ramli bahawa tidak wajib
disedekahkan kesemuanya dalam keadaan mentah bahkan sunat dimasak. (Nihayah alMuhtaj: 8/146-147 dan Mughni al-Muhtaj: 4/370)
*********************
AQIQAH DAN HUKUM YANG BERKAITAN DENGANNYA
(Bilangan 135 Bahagian Kelima)

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu `Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie


Wasahbihie Waman Walaah
Bilangan binatang yang hendak disembelih
Jika anak yang dilahirkan itu lelaki, maka yang afdhalnya disunatkan menyembelih dua
ekor kambing yang sama keadaan keduanya (besarnya). Manakala bagi anak perempuan,
memadai dengan seekor kambing sahaja. Ini berdasarkan hadis daripada Ummi Kurz alKabiyyah katanya:
Maksudnya: "Aku pernah mendengar Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam bersabda
tentang anak lelaki dua ekor kambing yang sama keadaannya dan anak perempuan seekor
kambing." (Hadis riwayat Abu Daud)
Antara sebab aqiqah untuk anak lelaki itu sebanyak dua ekor kambing adalah kerana
menunjukkan tanda syukur dan kegembiraan atas kelahiran anak tersebut dan
kegembiraan atas kelahiran anak lelaki itu lebih tinggi, maka oleh itu sembelihannya
lebih banyak.
(Al-Majmu: 8/318)
Pada perkara membuat aqiqah itu, yang lebih afdhal ialah dengan menyembelih tujuh
ekor kambing, kemudian seekor unta, kemudian dengan seekor lembu atau kerbau,
kemudian dengan seekor kibasy, kemudian dengan seekor kambing, kemudian dengan
satu pertujuh unta dan seterusnya dengan satu pertujuh lembu atau kerbau. (AlMajmu:8/290 dan 321)
Oleh kerana itu, jika seseorang itu mempunyai harta yang banyak, adalah lebih afdhal
lagi dan dituntut supaya dia melakukan aqiqah bagi seorang anak dengan tujuh ekor
kambing atau dengan seekor unta atau lembu.
Memadai dengan seekor kambing
Jika seseorang itu tidak berkemampuan untuk melakukan aqiqah bagi anak lelakinya
dengan dua ekor kambing, maka memadailah dengan seekor kambing atau satu pertujuh
daripada seekor unta, kerbau atau lembu. Ini kerana Nabi Shallallahu alaihi wasallam
sendiri membuat aqiqah untuk cucunda Baginda dengan menyembelih seekor kambing.
Sebagaimana hadis daripada Ali bin Abi Thalib katanya:
Maksudnya: "Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam mengaqiqahkan Hasan dengan
seekor kambing." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Seekor kambing untuk dua orang anak

Jika seseorang itu mempunyai dua orang anak, lalu dibuatkan aqiqah untuk mereka
dengan berkongsi seekor kambing adalah tidak sah aqiqah tersebut. Ini kerana seekor
kambing itu hanya memadai dengan seorang sahaja melainkan unta atau lembu, kerana
ianya boleh dikongsikan sehingga tujuh bahagian. Sebagai contoh, seekor unta atau
lembu disembelih untuk dikongsikan bagi tujuh orang kanak-kanak.
Seekor unta atau lembu itu juga, dagingnya boleh dikongsikan sama ada kesemua daging
itu khusus untuk aqiqah atau pada sebahagiannya untuk daging biasa sahaja ataupun
untuk daging korban, asalkan pembahagiannya itu bertepatan iaitu setiap seekor unta atau
lembu tidak melebihi daripada tujuh bahagian.
Bilangan binatang bagi anak yang khuntsa
Bagi anak khuntsa (anak yang tidak diketahui jantinanya sama ada lelaki ataupun
perempuan), para ulama berbeza pendapat dalam menentukan bilangan binatang aqiqah
yang hendak disembelih untuknya.
Ibnu Hajar berpendapat bahawa anak khuntsa sama seperti anak perempuan iaitu
memadai disembelih dengan seekor kambing sahaja. (Hawasyi Tuhfah al-Muhtaj: 9/371)
Manakala Imam ar-Ramli mengatakan bahawa bagi anak yang khuntsa sunat disembelih
dua ekor kambing sama seperti anak lelaki atas jalan berhati-hati (ihtiyathan). (Nihayath
al-Muhtaj: 8/149)
Cara menyembelih binatang aqiqah
Cara penyembelihan binatang aqiqah itu sama keadaannya dengan penyembelihan
binatang korban, demikian juga perkara-perkara yang disunatkan serta adab-adabnya
ketika penyembelihan itu dijalankan.
Menyembelih binatang aqiqah itu ialah dengan memotong kesemua halqum dan mari
sehingga putus dengan alat yang tajam seperti pisau (bukan tulang atau kuku). Halqum
itu ialah tempat keluar masuk nafas dan urat mari itu pula ialah tempat laluan makanan
dan minuman yang terletak di bawah halqum.
Adalah wajib bagi orang yang menyembelih itu memotong halqum dan mari itu. Jika
ditinggalkan sebahagian daripada halqum atau mari itu (belum putus) dan mati binatang
tersebut dalam keadaan yang demikian, maka tiada sempurna sembelihan itu dan ia
adalah dikira bangkai. Begitu juga jika telah berhenti gerak binatang yang disembelih itu
padahal halqum atau mari belum putus, kemudian dipotong semula halqum atau mari
yang tertinggal itu, maka yang demikian itu pun adalah menjadi bangkai (tidak boleh
dimakan).
Disyaratkan binatang yang disembelih itu ada hayat mustaqirrah ketika mula-mula
disembelih iaitu ia akan hidup jika tidak disembelih ketika itu. Di antara tanda adanya
hayat mustaqirrah itu ialah kuat geraknya ketika dipotong halqum dan marinya, dan

menyembur darahnya. Mengikut Imam An-Nawawi memadai dengan kuat geraknya


ketika disembelih.
Ketika hendak menyembelih binatang aqiqah, sunat dibaca seperti berikut:
Sila lihat lampiran = Aqiqah_01.jpg
(http://www.brunet.bn/gov/mufti/irsyad/pelita/2002/Image1.jpg)
Ertinya: "Dengan nama Allah Maha Besar (kerajaanNya). Ya Allah, mohon kurniakan
selawat, rahmat dan kebesaran kepada Sayyidina Muhammad, keluarga dan sahabatsahabat Baginda. Ya Allah, ini aqiqah si Polan."
Binatang yang panjang lehernya seperti unta, sunat disembelih di pangkal leher yang
bawah (berhampiran dada) dengan memotong halqum dan mari, kerana mengikut
sunnah Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam. Yang demikian itu juga akan
memudahkan roh binatang itu keluar. Sementara binatang yang pendek lehernya seperti
lembu, kerbau dan kambing disembelih di hujung leher (yang atas).
Sunat disembelih lembu, kerbau atau kambing dengan dibaringkan binatang itu di atas
tanah sebelah rusuk kirinya dan diikat kakinya, sementara kaki kanannya bebas lepas
tanpa diikat supaya binatang itu dapat berehat dengan menggerakkan kaki kanannya itu.
Sementara unta pula, sunat disembelih dengan didirikan binatang itu. Jika tidak mampu
untuk disembelih dalam keadaan unta tersebut berdiri, maka sembelihlah dalam keadaan
unta itu duduk. (Mughni al-Muhtaj: 4/341)
***************************
AQIQAH DAN HUKUM YANG BERKAITAN DENGANNYA
(Bilangan 135 Bahagian Akhir)
Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu `Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie
Wasahbihie Waman Walaah
Perkara Sunat Selain Aqiqah Pada Hari Ketujuh
Selain daripada aqiqah yang disunatkan pada hari ketujuh itu ialah sunat dicukur
keseluruhan rambut anak yang diaqiqahkan sama ada anak itu lelaki ataupun perempuan.
Menurut pendapat yang ashah, sunat mencukur rambut anak itu selepas menyembelih
binatang aqiqah. (Al-Majmu: 8/324-325)
Sehubungan dengan itu, meskipun amalan bercukur itu adalah sunat, namun terdapat
bentuk-bentuk cukuran yang dilarang oleh Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam iaitu
apa yang disebut dalam bahasa Arab sebagai qaza (???). Qaza ialah mencukur
sebahagian rambut kanak-kanak dan meninggalkan sebahagian yang lain. Sama ada
mencukur di tengah kepala dan meninggalkan yang tepi, mencukur di tepi meninggalkan

rambut di tengah atau mencukur rambut depan meninggalkan rambut belakang atau
sebaliknya. Semua ini dinamakan qaza.
Sementara mencukur keseluruhan rambut tidak disunatkan kecuali bagi orang-orang yang
mengerjakan haji atau umrah atau orang yang baru masuk Islam atau anak yang
dilahirkan. Manakala perempuan makruh mencukur rambut kecuali dalam keadaan
darurat.
(Bujairimi ala al-Khatib: 4/437-438)
Larangan melakukan qaza ini telah disebut dengan jelas di dalam hadis daripada
Abdullah bin Umar Radhiallahu anhuma katanya yang maksudnya :
"Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam menegah daripada melakukan
qaza (mencukur sebahagian daripada rambut kepala)." (Hadis riwayat al-Bukhari dan
Muslim)
Dalam hadis yang lain daripada Abdullah bin Umar Radhiallahu anhuma yang
maksudnya :
"Sesungguhnya Nabi Shallallahu alaihi wasallam telah melihat seorang kanak-kanak
yang dicukur sebahagian rambutnya dan ditinggalkan sebahagian yang lain, lalu Nabi
melarang mereka berbuat demikian dan Baginda bersabda: "Kamu cukur (rambut itu)
kesemuanya atau kamu tinggalkan kesemuanya (tidak mencukurnya)." (Hadis riwayat
Abu Daud)
Sunat disedekahkan emas atau perak hasil daripada timbangan berat rambut yang dicukur
itu kepada fakir miskin jika berkemampuan. Jika tidak mampu, maka tidaklah diberatkan
ke atas ibu bapa anak tersebut melainkan sekadar yang terupaya, umpamanya digantikan
dengan nilaian wang atau sebagainya mengikut kemampuan.
Hal ini bersandarkan kepada hadis Nabi Shallallahu alaihi wasallam daripada Ali bin
Abu Thalib katanya yang maksudnya:
"Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam telah beraqiqah untuk Hasan dengan seekor
kambing dan Baginda bersabda: "Wahai Fatimah! Cukurlah kepalanya (rambutnya) dan
bersedekahlah seberat timbangan rambutnya itu dengan perak." (Ali) berkata: "Lalu dia
(Fatimah) timbang (rambut anaknya itu), maka beratnya adalah satu dirham atau setengah
dirham." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Sunat dilumuri kepala kanak-kanak itu dengan wangi-wangian seperti zafaran (kuma
kuma) atau khaluf (daripada wangi-wangian yang berwarna kuning dan merah. Makruh
dilumuri kepala kanak-kanak itu dengan darah binatang aqiqah. (Al-Majmu: 8/324)
Sebagaimana di dalam hadis yang diceritakan oleh Abdullah bin Buraidah katanya yang
maksudnya :

"Aku pernah mendengar Abu Buraidah berkata: "Kami pada zaman jahiliyyah, apabila
salah seorang daripada kami dikurniakan seorang anak lelaki, disembelih seekor kambing
dan dilumuri kepalanya (anak itu) dengan darahnya (kambing). Ketika Allah
mendatangkan Islam, kami menyembelih seekor kambing dan mencukur rambutnya
(anak itu) serta melumurinya (kepala anak itu) dengan zafaran (sejenis wangi-wangian)."
(Hadis riwayat Abu Daud)
Sunat memberi nama anak yang baru dilahirkan pada hari ketujuh daripada kelahiran.
Sebagaimana di dalam hadis daripada Amr bin Syuaib daripada bapanya daripada
datuknya yang maksudnya :
"Sesungguhnya Nabi Shallallahu alaihi wasallam memerintahkan agar memberi nama
kepada anak yang baru lahir pada hari ketujuh daripada hari kelahirannya,
menghilangkan kotoran daripadanya (mencukur rambut) dan membuat aqiqah untuknya."
(Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Bolehlah juga diberi nama anak tersebut pada saat hari dia dilahirkan. Sebagaimana di
dalam hadis daripada Anas Radhiallahu anhu katanya yang maksudnya :
"Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam telah bersabda: "Anakku lahir pada malam tadi,
maka aku beri nama dengan nama datukku iaitu Ibrahim." (Hadis riwayat Muslim dan
selainnya)
Bolehlah juga diberi nama anak tersebut sebelum hari ketujuh atau pun selepasnya. (AlMajmu: 8/326)
Jika anak yang meninggal kerana keguguran dan sudah ditiupkan roh ke dalamnya, maka
sunat diberikan dia nama. Apabila tidak dikenali apakah dia lelaki atau perempuan, maka
diberi nama yang sesuai untuk lelaki atau perempuan seperti Talhah, Umairah dan
sebagainya. Demikian juga sunat diberi nama anak yang belum sempat diberikan nama
sebelum dia meninggal dunia.
Sunat mengadakan walimah (kenduri) bagi aqiqah itu. Kerana ianya termasuk dalam
salah satu yang sunat diadakan kenduri, seperti kenduri kahwin, selepas melahirkan anak,
selesai membina bangunan, orang yang terkena musibah, orang yang balik daripada
musafir, kenduri kerana hafaz dan khatam al-Quran dan berkhatan. (Raudhah athThalibin: 5/646)
Sunat mengkhatan anak damit itu pada hari ketujuh daripada kelahirannya jika anak itu
tidak lemah ataupun ianya terdaya untuk berkhatan. (Al-Majmu: 1/367) Sebagaimana di
dalam hadis Jabir katanya yang maksudnya :
"Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam telah mengaqiqahkan Hasan dan Husain dan
mengkhatankan keduanya pada hari ketujuh."
(Hadis dikeluarkan oleh al-Baihaqi)

Perbezaan Antara Aqiqah Dan Korban


Kebanyakkan daripada hukum aqiqah dan korban itu mempunyai persamaan, sama ada
dalam hukum sedekah, hadiah, makan, menyimpan daging dan menentukan kadar daging
yang dimakan adalah sama dan tiada perbezaan di dalamnya.
Walaupun yang demikian itu, ada sedikit perbezaan hukum antara aqiqah dan korban
tersebut. Seperti daging aqiqah itu hendaklah dimasak terlebih dahulu, sedangkan korban
diberikan dalam keadaan mentah. Daging aqiqah jika diberikan kepada orang kaya
nescaya akan menjadi miliknya, manakala daging korban jika diberikan kepada orang
kaya tiadalah orang kaya itu memilikinya, hanya untuk dimakannya sahaja.
Demikian juga, ada perbezaan dari segi waktu. Amalan berkorban itu dituntut waktunya
pada Hari Raya Adha dan hari-hari Tasyriq iaitu hari ke sebelas, dua belas dan tiga belas
daripada bulan Zul Hijjah. Sementara aqiqah pula tidak terikat dengan waktu.

Anda mungkin juga menyukai