Anda di halaman 1dari 4

PENGAJARAN secara formal di dalam bilik darjah biasanya begitu popular dilakukan dengan

menggunakan teks sebagai media pengantar. Proses ini telah berlaku dan klise dalam
duniapendidikan. Proses pendidikan memerlukan lebih banyak cara penyampaian mengikut
kesesuaian subjek pelajaran. Dalam pengajaran bahasa, komitmen guru secara lebih kreatif sangat
dituntut dalam berkomunikasi. Salah satu komunikasi ialah melalui teknik bercerita. Bercerita
merupakan salah satu sumber pendidikan yang amat rapat dengan dunia kanak-kanak. Bercerita
semacam satu budaya yang sangat hidup dalam masyarakat. Pendidikanawal tidak formal kanakkanak banyak diperolehi melalui komunikasi bercerita. Melaluinya informasi diperolehi begitu cepat
kerana dalam proses bercerita komunikasi lebih satu hala wujud. Pencerita bercerita, yang
mendengar akan menyoal dan bertanya pada waktu tertentu. Inilah sebenarnya yang diperlukan
dalam dunia pendidikan. Pendidikan itu hidup dalam suasana harmoni dan komunikasi tidak
tertekan.
Dalam pendidikan secara formal, teknik bercerita itu mempunyai banyak tujuan yang telah
digariskan oleh beberapa tokoh pendidikan. Ee Ah Meng (1993: 143) menggariskan 12 tujuan
becerita dan Mook Soon Sang (1993: 107) menggariskan lapan tujuan. Dengan merumuskan secara
singkat, antara tujuannya ialah:
* Ia memotivasikan murid-murid untuk minat belajar dalam suasana yang menggembirakan;
* Pembelajaran yang berlaku melalui cerita adalah lebih kekal dan diingati lebih lama. Oleh itu, nilainilai murni boleh diterapkan ke dalam cerita-cerita tersebut;
* Setengah-setengah cerita dapat melibatkan murid-murid secara aktif. Dengan itu, bercerita boleh
menjadi suatu strategi pengajaran yang memusatkan kepada murid-murid;
* Cerita yang bertema moral dapat membantu murid-murid menghayati nilai-nilai murni. Ini adalah
kerana murid-murid belajar melalui peniruan watak-watak baik yang ditonjolkan dalam cerita;
* Cerita dapat mengurangkan masalah disiplin secara tidak langsung. Ini adalah kerana murid-murid
yang tertarik kepada cerita ingin mendengar dengan teliti dan dengan itu tidak mungkin akan
menimbulkan masalah disiplin;
* Ia dapat memperluaskan pengalaman murid jika cerita itu dapat dikaitkan dengan kehidupan
seharian;
* Ia meningkatkan lagi kemahiran mendengar murid dan daya kreativiti murid-murid; dan
* Melatih murid menyusun idea secara teratur sama ada secara lisan atau tulisan bagi aktiviti
selanjutnya. Secara tidak langsung, mereka juga boleh menambahkan bahan-bahan untuk menulis
karangan.
Ada beberapa aspek yang perlu diambil kira bagi menentukan keberkesanan cerita. Suara amat
penting. Suara itu sebenarnya aset yang sangat dituntut dalam dunia pendidikan. Suara bukan
sahaja memainkan peranan yang amat penting yang menentukan keberkesanan sesuatu cerita,
malah sangat penting untuk semua aspek penyampaian pengajaran yang lain. Dalam bercerita,

suara itu mempunyai disiplin. Intonasi suara perlulah jelas dan lantang supaya dapat didengar oleh
semua pendengar. Nada suara tidak terlalu mendatar. Pencerita perlu menunjukkan emosi
melalui nada suara yang sesuai seperti sedih, cemas, marah dan gembira. Variasi suara dan
kecekapan bercerita perlulah sesuai dengan situasi episod cerita. Sebutan mestilah jelas.
Di samping suara, bahasa juga satu keperluan yang mesti diambil kira. Melalui bahasalah
pengajaran bercerita itu dapat disalurkan. Oleh itu penggunaan bahasa perlu sesuai dengan tahap
kebolehan pendengar. Sebelum istilah-istilah baru diperkenalkan, kanak-kanak perlu telah faham
asas-asas bahasa yang boleh dijadikan titik tolak semasa bercerita. Pergerakan bahasa mestilah
bergerak dari yang konkrit kepada yang abstrak. Apa yang penting cerita itu dapat difahami dengan
jelas dan memberi kesan kepada murid-murid.
Aspek lain yang dapat mendukung keberkesanan cerita itu ialah gerak badan dan memek muka.
Gerak badan dan memek muka perlu sesuai dan tepat. Memek muka yang berlebihan boleh
menukar 'mood' murid-murid dan ini perlu dielakkan. Oleh itu hubungan guru dan murid itu mesti
sentiasa terjalin semasa bercerita. Guru boleh menukar haluan jika didapati konsentrasi dan emosi
murid tidak seperti yang diharapkan.
Teknik bercerita ini sebenarnya boleh dipraktikkan secara bebas oleh guru. Secara asasnya teknik
bercerita itu hanya perlukan cerita, penyampai dan audiennya. Bagaimanapun dalam
dunia pendidikan formal, teknik bercerita dapat dimodifikasi dan dimanipulasi mengikut kesesuaian
dalam bilik darjah, bahan pengajaran dan teknologi pendidikan yang ada. Dengan itu lahirlah
pelbagai metod yang boleh digunakan dalam menjayakan teknik bercerita ini.
Antaranya ialah bercerita sambil bersoal jawab. Sebelum guru memulakan cerita, murid-murid
diarah untuk mendengar dan mengikuti jalan cerita dengan sepenuhnya, termasuk juga aspekaspek pengajaran dan nilai yang terdapat dalam cerita tersebut. Sambil guru bercerita,guru akan
berhenti bercerita dan menyoal murid-murid mengenai apa yang telah diceritakan.
Kemudian guru menyuruh murid-murid meramal cerita seterusnya dan setelah itu menyambung
kembali ceritanya. Ini bertujuan supaya murid-murid akan terus mengikuti cerita itu dan memahami
cerita yang disampaikan. Teknik ini boleh digunakan untuk pengajaran kefahaman, karangan, kosa
kata dan sebagainya.
Teknik bercerita juga boleh disampaikan terus melalui buku. Guru menyampaikan cerita kepada
murid-murid melalui bacaan daripada buku cerita. Sementara itu murid-murid mendengar,
memahami, menghayati dan kemudian diminta menceritakan kembali cerita yang didengar
itu. Guru mestilah menghayati cerita yang dibacakan dan menyampaikannya dengan gaya dan
intonasi yang boleh menarik minat murid untuk mengikuti cerita sehingga selesai. Menerusi teknik ini
pengajaran bahasa seperti kemahiran bertutur, membina ayat, kefahaman, karangan, kosa kata dan
sebagainya boleh diajarkan.
Teknologi moden dapat menambah variasi penyampaian. Murid-murid akan diperlihatkan dengan
gambar-gambar slaid melalui OHP atau 'Power Point' komputer. Kemudian murid-murid diminta
untuk memerhati gambar-gambar slaid yang ditayangkan dan seterusnya mengikuti cerita yang
akan diperlihatkan dari slaid tadi. Menerusi slaid murid-murid dapat mengikuti urutan atau jalan
cerita dengan mudah dan cerita itu akan lebih menarik.

Pita rakaman juga masih berkesan jika digunakan kerana ia dapat membantu kemahiran mendengar
murid-murid. Murid-murid diperdengarkan kepada rakaman yang mengandungi urutan beberapa
peristiwa dan mereka diminta mengimaginasikan peristiwa tersebut.
Jika guru berupaya untuk mewujudkan teater pembaca maka ia akan lebih baik dan berkesan dalam
menyampaikan ceritanya. Teater pembaca adalah satu aktiviti drama yang boleh melibatkan semua
murid dalam sesebuah bilik darjah. Sebahagian daripada mereka akan membaca sebuah cerita
dengan penghayatan dan intonasi yang betul sehingga menimbulkan suasana cerita yang menarik
dan mudah difahami. Ini bertujuan untuk membantu penonton memahami, menghayati dan
merasakan seolah-olah cerita itu sedang berlaku di hadapan mata mereka. Pembaca hanya
dikehendaki menggunakan suara, gerak badan dan memek muka. Namun begitu, teknik ini perlu
perancangan yang rapi agar pengajaran dapat berjalan dengan lancar dan murid-murid dalam
keadaan yang terkawal.
Bercerita menggunakan pelbagai seni bahasa itu sangat mendukung perkembangan kosa kata dan
kepekaan murid kepada seni bahasa dan budaya mereka. Syair, pantun, sajak, seloka, gurindam,
hikayat dapat digunakan untuk menambah variasi pengajaran dan pembelajaran. Guru boleh
mereka sebuah syair yang berbentuk cerita umpamanya riwayat hidup seseorang, kisah-kisah
sejarah yang bersesuaian dan sebagainya. Syair yang berbentuk cerita hendaklah disampaikan
dengan penuh
penghayatan. Ini akan menimbulkan minat di kalangan murid-murid lebih-lebih lagi mereka jarang
mendengar syair.
Bercerita menggunakan kad gambar atau gambar bersiri, gambar kartun, keratan akhbar dan
keratan majalah juga dapat digunakan dalam mencari suasana baru dalam bercerita. Melaluinya
murid-murid dibimbing membina cerita sendiri berdasarkan bahan-bahan rangsangan seperti
gambar kartun dan keratan akhbar. Dengan menggunakan gambar-gambar kartun atau keratan
akhbar murid-murid disuruh memerhati dan kemudian menceritakan mengenai gambar atau keratan
akhbar itu. Mereka akan bercerita kepada gurudan rakan-rakan sedarjah. Cerita tidak perlu panjang.
Murid-murid dapat dilatih menyampaikan maklumat dengan berkesan secara bersahaja. Ini
membolehkan murid-murid berkomunikasi dengan lebih berkesan. Dengan ini, kemahiran
berbahasa murid-murid dapat dipertingkatkan.
KESIMPULAN
Berdasarkan keterangan yang diberikan di atas dapatlah disimpulkan bahawa dengan
menggunakan teknik bercerita banyak aspek-aspek bahasa, yang boleh diajarkan umpamanya
empat kemahiran asas iaitu kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Begitu juga
dengan memasukkan isi-isi pelajaran ke dalam cerita simpulan bahasa, perkataan berlawan, cakap
ajuk, cakap pindah selain dari pengajaran karangan, fahaman, tatabahasa, kosa kata dan
sebagainya. Di samping itu, guru juga seharusnya menyerapkan nilai-nilai murni melalui cerita.
Dengan ini, prinsip bahasa merentas kurikulum dapat dipraktikkan. Di samping mereka seronok
mendengar cerita mereka juga memperolehi pelajaran dan lebih memahami pengajaran cerita yang
ingin disampaikan.

Selain daripada itu teknik ini juga dapat mencungkil bakat murid-murid dan memberi latihan kepada
mereka untuk berhadapan dengan khalayak ramai. Namun begitu kita haruslah ingat bahawa teknik
bercerita hanyalah satu jalan untuk menyalurkan pengetahuan kepada murid dengan cara yang
menarik agar menimbulkan minat mereka untuk belajar. Panduan ini hanya diharapkan menjadi titik
tolak untuk diterapkan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu dan pelajaran lain yang
difikirkan sesuai oleh guru.
BIBLIOGRAFI
Ee Ah Meng, 1993, Pedagogi II Amalan Dalam Bilik Darjah, Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Kamarudin Hj. Husin, 1990, Pengajaran dan Pembelajaran Lisan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Mok Soon Sang, 1993, Pedagogi 2 Strategi Pengajaran dan Pembelajaran Pengajaran Mikro,
Selangor Darul Ehsan: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Raminah Hj. Sabran dan Rahim Syam, 1985, Kaedah Pengajaran Bahasa Malaysia, Kuala Lumpur:
Fajar Bakti Sdn.Bhd.
Sidang Pengarang, 1992, Kurikulum Baru Sekolah Rendah - Jilid 7 Aktiviti Bahasa, Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
______________, 1995, Bahasa Melayu Sekolah Rendah Negara Brunei Darussalam Buku 4 Edisi
Kedua, Bandar Seri Begawan: Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan.
______________, 1998, Kamus Dewan Edisi Ketiga, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Anda mungkin juga menyukai