Anda di halaman 1dari 7

MERDEKA RAKYAT

Karya Hamidon Ahmed Judul: Anakku di langit Terbuka 102 x 102 cm Akrilik atas kanvas

Karya Koay Soo Kau Judul: Positive Vision is the Way to Succes 86 x 138 cm Warna minyak atas kanvas

Karya Yeong Seak Ling Judul: My Country, My Love, My Sky 139 x 139 cm Warna minyak atas kanvas

Apa sahaja bentuk suara rakyat, luahan hati dan rintihan boleh disalurkan. Rintihan yang disalurkan menerusi pelbagai pergerakan atau apa sahaja, merupakan hak dan suara rakyat. Secara individu maupun berkumpulan suara rakyat adalah merdeka rakyat yang menjadi rintihan dan perlu diambil perhatian. Pelbagai saluran dan media menjadi maklum dan atas kesanggupan untuk mendapat perhatian telah dibukakan saluran yang betul untuk rakyat menjadi merdeka. Saluran rakyat itu pula boleh diwakili oleh wakil atau pemimpin yang telah dipilih oleh rakyat. Saluran itu boleh menjadi gagasan yang mencetuskan gelombang kesedaran rakyat. Suara rakyat adalah cetusan perasaan dan disekat salurannya oleh undang-undang sekiranya boleh menganggugugat keselamatan awam, menjejaskan imej negara malah akan diharamkan sekiranya mencetuskan pelbagai perkara negatif. Suara rakyat ini telah menjadi suatu fenomena sejak azali lagi.

Rintihan bersama tanggungjawab melihat semua rakyat sedar kedudukan masingmasing. Setiap pihak berperanan mengikut bidang-bidang tertentu berasaskan prinsip bebas dan bertanggungjawab. Bebas bererti segala idea, cetusan fikiran dapat dikemukakan secara bebas tanpa tekanan daripada sesiapa. Bertanggungjawab bermaksud cetusan fikiran harus berlandaskan akal yang sihat, niat baik dan menepati norma-norma yang adil dan telus. Dalam bidang seni tampak, rintihan ini menjadi fakta yang diulang kembali. Segala fakta menjadi sejarah seni sehingga menzahirkan pengaruh masing-masing. Isme-isme yang membawa impak tersendiri dicetuskan secara beramai-ramai. Melalui warna, berus dan bahantara-bahantara lain diolah bagi meluahkan pandangan. Atas dasar hak secara adil dan saksama, rintihan ini boleh dijadikan suatu tema, isu dan idea. Bidang seni tampak melalui rentetan masa yang panjang telah berkembang menjadi asas kukuh mendaulatkan kemerdekaan rakyat. Dinyatakan golongan marhaen bangkit dengan suara perjuangan melalui gerakan seni memohon golongan borjuis insaf dan berperikemanusiaan. Segalanya tercatat dalam sejarah dan hasil lukisan ini masih disanjung di tempat yang mulia. Sekiranya pena digunakan untuk menulis ia menjadi sokongan untuk golongan anak-anak seni menyuarakan idea di sebalik hasil karya seni masing-masing. Genre seni yang pelbagai dapat menerjah tajam, lebih menajam dari mata pena dan ada yang menerima kejutan kerana kelantangan yang begitu menonjol di sebalik idea dan gagasan memerdekakan minda rakyat. Hal ini boleh berlaku dalam tempoh yang singkat bergantung pada gelombang yang sesuai. Ketika ini suasana yang dimaksudkan itu adalah suatu tempoh yang tepat. Waktu ini peranan pembuat seni sebagai pencetus pemikiran rakyat, perlu bangkit bersama idea yang berani. Idea dan olahan yang menampakkan energy diakui lahir berdasarkan input kreatif. Bukan sekadar indah dan cantik olahan warna dan mainan teknik malah sejauhmana idea di sebalik karya itu menepati suara rakyat yang merdeka boleh dianggap menajamkan pemikiran masyarakat. Suara yang berterusan setiap zaman menjadi ingatan yang terus dilaungkan. Kenapa ia dilaungkan? Sejak dari zaman dahulukala, laungan suara rakyat tidak

mendapat perhatian. Suara rakyat telah diangkat menjadi suara daulat manusia agar laungannya lebih meluas. Nyatalah tuntutan rakyat yang merdeka mindanya bukan berpusat pada sogokan, ugutan, janji palsu, janji setia mengenang jasa dan slogan pandir. Setiap hari diulangulang menjadikan rakyat bersikap sinis dan skeptis. Sebaliknya tuntutan rakyat untuk keadilan melangkaui sempadan yang boleh mencerdikkan rakyat. Sekadar memutar bahan basi, menjulang keris, mengangkat gengaman penumbuk dan laungan bodoh sombong perlu diganti dengan mesej baharu yang segar. Melalui karya seni dengan idea dan isu-isu terkini boleh menyemarakkan rasa merdeka sebenar. Di sebalik catan, arca, seni fotografi dan lain-lain genre seni segala kreativiti pembuat seni boleh dikongsi oleh rakyat yang dahagakan kebebasan minda yang merdeka. Hasil lukisan seorang pemikir seni tersebut memerangkap pemerhati dalam keadaan semasa sesuatu tempat, ruang dan waktu. Imej-imej visual yang terdapat dalam lukisan tersebut menyedarkan kita tentang keadaan semasa dan bagaimana keadaan semasa itu boleh membuat kita berfikir. Kebencian rakyat di sebalik kezaliman, rasuah, ketidakadilan, mengadu domba dan mencari ketamakan kuasa yang dilihat berbaloi untuk peribadi dapat diolah dalam bentuk media baru. Oleh itu apa yang diperhatikan adalah keadaan semasa yang melambangkan isi hati pemikir dengan apa yang dialami dan dengan apa yang berlaku dalam keadaan masa tertentu. Kemakmuran yang kita kecapi tiada nilainya sekiranya diganggu-gugat oleh anasir luar. Kehidupan harmoni yang kita idamkan hanya sementara sekiranya kita tidak bersatu di bawah laungan Ungkapan-ungkapan ini sudah klise yang boleh membodohkan setiap orang. Siapakah anasir luar itu? Apakah keharmonian hidup kita hanya sementara? Segala ungkapan ini memerlukan kita berfikir dan merenung jauh. Di sebalik karya seni segalanya ini akan terjawab. Melalui seni yang indah dan nilai estetik yang tinggi boleh menggantikan ungkapan klise. Ungkapan-ungkapan segar boleh dicetuskan dalam bentuk seni, imej visual dan prinsip rekaan oleh tangan-tangan seni yang berminda kreatif. Pembuat seni yang jujur dan tulen adalah golongan intelektual yang menyampaikan pandangan secara telus tanpa sebarang niat

mengampu atau menyedapkan hati pihak tertentu. Pembuat seni perlu sedar di luar sana ada golongan penikmat seni yang rata-rata berada dalam mangkuk seni yang perlu dipecahkan. Kerana di luar mangkuk seni itu ada ramai rakyat merdeka dengan merdeka minda yang menanti sesuatu yang baharu untuk dihayati.

Rakyat merdeka bersama penikmat seni, mengharapkan karya yang dipamerkan ada perasaan yang bererti untuk suatu kesedaran. Karya seni mampu memberikan gambaran tentang sisi kemanusiaan, kepincangan, kezaliman manusia yang berlindung di sebalik kuasa dan pengaruh. Seni mampu mengungkapkan peristiwa penderitaan rakyat yang menjadi iktibar dan berulang melalui sejarah kehidupan.

Fungsi seni menjadi media yang di dalamnya mengandungi unsur kesedaran, pencerahan jiwa manusia untuk kembali melihat hubungan antara manusia dengan manusia dan alam semesta yang adil dan jujur. Kehidupan yang dicontohi dalam kejujuran melalui role model peringkat atasan mengajar manusia hidup dalam rasa aman dan belajar mempercayai orang lain. Melihat suatu contoh nyata perlakuan negatif dan positif bagi kemurnian jiwa serta keseimbangan moral boleh digambarkan di atas kanvas, diukir, dikimpal dan diberi sentuhan seni yang tinggi nilai estetiknya.

Masih ada ruang untuk seni memainkan peranannya melalui fungsi yang cuba membangkitkan daya hidup manusia untuk tetap bertahan dan berfikir kritis memperjuangkan hak-hak kehidupan nurani rakyat.

Karya seni adalah suatu kepuasan dan kejujuran. Rakyat dapat melihat suatu kejujuran dari lukisan-lukisan ini dan hal itu memang patut untuk diperlihatkan ke mata dunia.

Harus kerap dipamerkan karya-karya seni semasa yang secara terus terang memperlihatkan isu rakyat yang tertindas. Dengan kekerapan hasil seni sebegini ditampilkan kepada khalayak, diharapkan dapat menjadi inspirasi bagi para pelukis

kita memiliki kesedaran untuk menggarap realisme sosial. Seperti di Indonesia misalannya, tokoh tersohor yang menjadi seniman berani mengekspresikan kepincangan sosial dan mengangkat hak rakyat antaranya Affandi, Basuki Abdullah, Raden Saleh, Abdullah Sudrio Subroto, Gambir Anom, Trubus dan lain-lain lagi.

Di sebalik pohon sebagai latar depan dan langit yang dijunjung sebagai latar belakang, disusun atur mengikut prinsip rekaan yang betul dalam lukisan, masih ada ruang komposisi untuk memerdekakan rakyat melalui imej visual duka cerita nelayan yang tak pernah menjadi kaya. Bukan kerana malas tetapi kemerdekaan minda dibelenggu melalui sogokan hiburan murahan untuk keseronokan semata-mata tidak dipentingkan pembinaan minda masyarakat. Lambakan program berunsur cinta,

pesta/karnival, tahayul, mistik-misteri, fitnah seks, angan-angan fantasi, lawak bodoh, propaganda kosmetik, retorik kepandiran dan lagenda-metos kosong. Imej visual yang lain tentang apa ertinya sebidang tanah dan apa ertinya rumah. Semuanya itu berkait dalam kisah hidup yang boleh digarap melalui lukisan. Untungnya siapa dan ruginya pula siapa adalah ungkapan kita di sebalik tanah dan rumah. Dalam bahasa yang lembut, keputusan dibuat yang tidak adil terhadap rakyat. Keuntungan diagihkan sesama mereka yang diambil dari rakyat yang kehilangan tanah. Kembali pada peranan sebagai pembuat seni yang diharapkan ialah tidak lagi terasing jauh daripada masyarakat. Biarkan seni itu bersama kepentingan humanisme yang ditunggu oleh masyarakat. Apabila pembuat seni bersama masyarakat dapat didekati siapa pelakonnya. Sekiranya ada pelakon anti-penjajahan baru, siapakah wataknya? Contoh dan ilham ini boleh menjadikan pembuat seni dan pemikir seni bekerja kuat menampilkan karyakarya media baru, dimensi baru untuk menyedarkan rakyat bahawa pelakon antipejajahan baru itu, wataknya adalah di kalangan orang tertentu. Dalam karya seni banyak contoh untuk menyerlahkan imej-imej sedemikian. Siapakah watak itu? Adakah mereka terdiri di kalangan anasir luar? Sekiranya sudah ada ditampilkan oleh karyawan

seni yang bergelar kartunis maka syabas untuk mereka. Tulisan ini berkeyakinan, genre-genre seni lain mampu mencetuskan minda rakyat yang merdeka.

Pembuat seni sebagai seorang tokoh pemikir akan disokong oleh ramai pihak. Pembuat seni yang berperibadi jujur, merdeka jiwa, nampak gagah dan berani, sekaligus menampilkan karya yang indah dengan peribadi yang menakjubkan. Setidaknya selesai pameran sesama kita dalam dunia seni, berpeluh mengangkut hasil karya. Memerah keringat untuk pameran akan datang. Setidaknya untuk dunia seni kita meneruskan amalan mengangkut kembali yang sedia ada dan menyalin kembali yang sedia basi meletakkan kita sebagai penyalin photokopi. Setidaknya adakah ini menunjukkan kita rakyat merdeka yang merdeka jiwanya?

Anda mungkin juga menyukai