Anda di halaman 1dari 6

MENGUSIK ATAU MENCABAR MINDA KHALAYAK SENI Mengenang perjalanan hidup dan sumbangan beberapa tokoh seni yang

kembali ke pangkuan Ilahi mengingatkan saya begitu berharga sekali sumbangan mereka yang banyak mewarnai sejarah seni visual tanah air. Selain itu saya juga terkenang kepada beberapa orang teman lain yang masih sihat dan uzur. Sumbangan dan komitment mereka dalam seni sama ada kecil dan besar juga turut memartabatkan seni dalam kehidupan. Beberapa artikel seni visual saya yang tercatat dalam blog, Facebook, Scribd dan majalah tempatan merupakan minat dan sumbangan kecil saya berasaskan pengalaman bersama rakan-rakan seni. Antara rakan-rakan tersebut ada yang masih terus produktif dan tidak kurang juga yang sudahpun terbaring. Saya merakamkan dokumentasi pengalaman bersama rakan di pameran seni, dalam studio, berbahas menerusi emel dan warung mamak, semuanya mengingatkan saya tentang masa dan pengalaman itu adalah suatu yang nostaljik. Saya membebaskan diri dari terikat dengan sesiapa untuk saya merenung sisa-sisa yang lalu. Untuk itu saya rasa terpanggil apabila semakin hari bertambah senarai pembaca yang kepingin sesuatu lalu memuat turun rencana-rencana saya dari Facebook dan Scribd. Dengan serba kekurangan, tentu bahan-bahan tersebut begitu penting kepada yang memerlukan. Saya berusaha untuk menyediakan sumber rujukan, nota kaki, bahan visual yang relevan dengan catatan yang boleh dirujuk. Kali ini saya ingin mengusik minda rakan-rakan khalayak seni tentang dilema seni visual yang menyentuh sikap, diskusi ilmu dan budaya berfikir. Hal ini didorong oleh keinginan beberapa orang rakan sewaktu kami berkunjung ke Balai Seni Visual Negara (Balai Seni Lukis Negara kini telah bertukar nama kepada Balai Seni Visual Negara -BSVN selaras dengan Akta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara 2011 (Akta 724) yang telah berkuatkuasa pada 27 Ogos 2011). Masing-masing berhujah tentang seni tranformasi baru yang sudah sampai ke tahap memerlukan orang ramai berfikir dan mentafsir kembali makna dan peranan seni itu dalam kehidupan. Seolah mencabar minda supaya tidak kaku dan beku. Supaya rakyat Malaysia belajar menjadi cerdik dalam menilai, mentafsir dan menganalisis setiap yang tersurat sama ada dari bahan seni atau isu persekitaran semoga tidak mudah diperbodohkan oleh pihak lain. Dua rakan saya yang berkesanggupan untuk menimbulkan beberapa pertanyaan tentang misi dan visi seni Malaysia. Dalam pertanyaan itu, masih terdapat banyak batasan dan kecetekan ilmu di kalangan audiens yang membatasi diri untuk berkongsi pandangan yang

sepenuhnya. Ini menjadi keyakinan kami bahawa pertanyaan demi pertanyaan perlu untuk meningkatkan hubungan langsung dengan situasi seni. Seorang rakan lagi mengaitkan dilema ini dengan melihat sejarah seni di Asia yang lebih besar ruang lingkupnya. Ia berfungsi dalam sempadan 'kenegaraan' semata-mata. Terutamanya karena jenis masalah yang dihadapi oleh kaum modenis Malaysia telah melanda di tempat lain dengan dilema yang boleh dikongsi bersama. Sebahagian besar delima itu telah mendahului Malaysia 15 tahun ke hadapan. Bermaksud kita sudah ketinggalan jauh, bukan bermakna kita kurang cerdik tetapi suasana dan persekitaran membentuk kita menjadi tertutup minda (tidak sopan kalau saya katakan bodoh, dungu atau nangoi). Kesedaran menegakkan idiom dan gaya akan mengajak kita kembali menuruti adat tradisi budaya sendiri. Cubaan dan cabaran dengan pengaruh seni moden yang jelasnya telah wujud selama lebih lima puluh tahun setidaknya tentu mencerminkan dilema berkaitan budaya. Apabila disebut budaya soal bangsa juga akan disentuh. Seperti kata Mamat Khalid soal bangsa adalah keramat besar dan akan memijak bumi, menahan langit yang dijunjung. Antara faktornya mungkin disebabkan ada perpindahan minda dan budaya yang dihadapi oleh para pembuat seni Asia yang telah menemukan diri mereka dalam keadaan kacau-bilau terutama generasi muda. Ini disebabkan kurang kesedaran dan penghargaan tentang pengaruh budaya sendiri yang tidak difahami secara akar umbinya. Jangka waktu yang begitu lama tinggal di dunia Barat dan terdedah dengan paparan dominasi kolonial tentu memberikan gangguan umum (alasan tidak logik sekiranya internet ada di sekeliling kita). Jelas dengan budaya tradisi bercampur-campur dengan pengaruh luar menjadikan semuanya terpotong jauh. Dengan kemajuan abad milenium, secara ilmiah dan psikologi, kaum modenis Asia mulai serius untuk meninggalkan sedikit pilihan akar umbi tradisi yang bercampur-baur dengan asimilasi luar yang positif. Mereka yang merasai selesa terus bersandar pada tradisi seni visual moden yang memiliki asal-usul dalam iklim ilmiah dan intelektual barat. Bermakna sudah lahir dua kelompok pembuat seni yang memegang kukuh pada pengaruh masing-masing.

Generalisasi yang tidak jelas masih bertahan hari ini mengenai pengertian tentang "Barat dan "Timur". Pendekatan untuk seni hanya mencerminkan kompleksiti dari situasi yang saat ini belum sepenuhnya difahami oleh orang ramai. Kecenderungan umum di kalangan pembuat seni Asia untuk terlibat bersama pembuatan gambar sebagai kegiatan berkarya masih berlangsung namun ketika itu tidak menampakkan sesuatu yang mengajak audiens berfikir. Tetapi jangan diabaikan sudah ada segelintir kecil pembuat seni Asia dan Malaysia sendiri yang berusaha dan berani mencabar minda audiens. Kaedah yang dilakukan melalui isu-isu yang kontroversi. Ada pendapat yang bersetuju, audiens yang tidak tahu berfikir, barangkali tahap celik seni tidak sama aras dengan pembuat seni. Tidak ada upaya nyata bagi melakukan kembali pertanyaan dalam mempertimbangkan dilema artistik dalam seni kerana diskusi ilmu hanya tersebar dalam kelompok yang kecil. Bahawa seni moden yang begitu banyak diproduksi di Asia beberapa dekad terakhir itu telah secara serius menampakkan sikap ambil peduli oleh beberapa kerat pembuat seni yang menjuarai sebagai perintis.

Pameran seni visual yang kami kunjungi adalah berkaitan seni konsepsual (Consepsual Art) yang mencabar keupayaan minda untuk pertanyaan penting tentang apa maksud yang tersirat di sebalik karya tersebut. Situasi dan beberapa alternatif penawaran seperti anggapan umum bahawa seni itu perlu cantik sudah tidak terpilih dalam kamus seni konsepsual dan tidak semua yang cantik itu dapat dizahirkan. Sementara berdepan dengan situasi ilmu di kalangan audiens sebagai rujukan, pertanyaan yang muncul berlaku kepada persoalan imej seni yang perlu ditafsir di sebalik bentuk. Persoalan konsep dan idea yang diutamakan dalam pengkaryaan seni konsepsual banyak membuka ruang perbahasan, kritikan dan dialog sehingga sarat dengan falsafah sains estetik dan seni. Segala usaha untuk melihat sumbangan dalam konteks murni, "indah dan cantik" hanya mampu sekadar dalam kelompok kecil dengan kegagalan yang mematikan minat audeins kerana (audiens yang hadir ketika kami berada di situ terdiri di kalangan murid sekolah). Imej realis sebuah implikasi dari pertanyaan yang timbul adalah percubaan untuk mengungkapkan pameran yang berbentuk perundingan dengan jenis situasi yang berlaku dan dikaitkan melalui tafsiran bentuk dan unsur-unsur seni yang lain. Beberapa jenis seni moden yang jelas diperlukan dari awal untuk menyatakan bahawa kita adalah audiens yang celik seni tidak banyak didedahkan pada peringkat sekolah (hanya sedikit disentuh dalam sejarah dan teori di peringkat tingkatan 4, 5 dan 6 lebih lanjut di peringkat IPT) dan diamalkan dalam sistem pendidikan kita. Kertas-kertas soalan Pendidikan Seni Visual Tingkatan 4, 5 dan 6 berbentuk amali turut menjurus ke arah realisme yang dimaksudkan( lukisan alam benda, flora/fauna, gubahan fikiran, pemandangan, objek dan latar belakang, tema-tema seperti sebuah karangan). Dengan demikian, kita tidak terlibat dan tersisih jauh dengan bentuk-bentuk seni yang perlu ditafsir dalam tahap pemikiran yang tinggi. Itu bukan kelemahan pembuat seni tetapi kekurangan sistem, dasar serta kelemahan audiens dan persekitaran. Dengan penampilan imej yang bebas dari sifat konvensional, khususnya dalam bentuk 3 dimensi, banyak sudut yang perlu ditafsir untuk mencari makna-makna tersirat. Seperti diungkapkan oleh kurator pameran, Nasir Baharuddin bersama Faizal Sidik, bahawa objek yang ditampilkan adalah sesuatu yang baharu dalam erti kata telah dematerialized di mana secara lahiriah bentuknya yang pada zahir mengundang maksud yang perlu pada kritikan dan dialog. Suasana dan acuan dalam proses berfikir dalam persekitaran hidup kita tidak banyak didedahkan untuk khalayak terbiasa mengolahragakan minda sehingga penat berfikir. Soalansoalan peperiksaan berbentuk hafalan, mengingati fakta dan siapa pandai hafal dialah yang cemerlang. Bentuk-bentuk visual secara harfiah, sama ada teksnya, geraklakunya diterjemah secara tersurat dengan selapis makna yang mudah dan jelas difahami (literal). Oleh itu apabila ada genre-genre seni yang mahu mendidik audiens berfikir secara tersirat berakhir dengan kegagalan. Naskhah-naskhah berharga ini disepikan dan kecundang untuk diangkat sebagai karya bermutu. Meminjam dari falsafah Asia iaitu membina sikap dan budaya ilmu dalam rangka yang diharapkan membantu memperkaya gerakan seni moden perlu dipertimbangkan secara global melalui ruang keterlibatan yang menyeluruh dari peringkat atasan dan turun ke akar umbi. Oleh itu bukan maksud kita untuk mengkritik dan menyalahkan semua perkembangan yang terjadi di Barat sebagai perosak seni.

Namun kita berharap untuk cuba menghasilkan karya di luar skop yang tidak lagi berfokuskan Barat. Apa yang boleh dilakukan adalah berusaha untuk menabur benih dalam proses berfikir yang suatu hari nanti mungkin membebaskan pembuat seni Malaysia dari bergantung kepada pengaruh Barat.

Ini merupakan keyakinan, bahawa semua seni moden yang diproduksi di Malaysia hingga saat ini belum sama sekali bebas daripada beberapa jenis pengaruh eklektik yang berasal dari berbagai-bagai "isme" Barat. Masih jelas, belum ada upaya yang nyata untuk pertanyaan ini kembali dibincangkan sebagai mendasari asas di sebalik cabaran kita dengan idiom dan gaya yang berasal dari gerakan seni utama iaitu Barat. Cuba kita jadikan seperti bebas dan tidak berpaut secara mutlak pada sistem estetika yang berasal dari pertimbangan falsafah Barat. Pembuat seni Malaysia telah terikut, akibatnya tidak dapat menzahirkan suatu sudut pandang yang benar-benar realiti. Segala gaya dan penampilan masih berpaut kukuh berkiblatkan tokoh-tokoh seniman Barat.Tokoh-tokoh seni konsepsual seperti Marcel Dunchamps, Joseph Kosuth, Andy Warhol, Robert Rauschenberg dan lain-lain lagi adalah insan yang lahir ketika manusia lain sedang tidur lena. Selagi kita tidak mencuba untuk kembali kepada persoalan dasar di atas tidak mungkin kita berfungsi dan berpijak di bumi nyata. Maka kita akan terus menghasilkan karya untuk mengulangi kecemerlangan teknik Barat walaupun ia dianggap terburuk dan meniru.

Atas dasar kepercayaan kita yang hanya yakin seni lukis Malaysia sebagai asli dan tulen, menjadi produktif dan lebih kreatif apabila fungsi pembuat seni yang bebas dan tidak terkongkong dapat melepaskan diri dari pengaruh seni Barat. Untuk melaksanakan hal ini, pertama sekali pembuat seni kita harus kembali menjawab pertanyaan iaitu adakah perkembangan yang telah terjadi selama ini merupakan suatu gaya yang ditiru secara langsung dari Barat atau berdasarkan ciri-ciri tempatan? Seterusnya pertanyaan berikut, adakah aktiviti artistik merujuk seni tempatan telah dipengaruhi oleh "gambar-membuat" daripada pendekatan "pemecahan masalah yang ilmunya berkiblatkan Barat?" Jawapan dari persoalan ini akan menyuburkan tradisi polemik atau dialektik dalam seni tempatan. Polemik kefahaman baharu dari seni tradisi telah lahir sehingga terhasil karya seni dari bentuk-bentuk yang ditemui bukannya dari seni Barat. Hasilnya diambil dan diolah dari budaya primitif, dari seni penglipurlara dan seni dalam alam kanak-kanak. Perubahan ini mendekatkan semangat asimilasi dalam kelahiran semula tradisi baharu yang lebih subjektif yang tidak melupakan semangat kesenian. Terlalu ramai pembuat seni misalnya, tidak mampu mendiskusikan karya mereka secara formaliti dan sebahagiannya tidak menyedari implikasi sekiranya budaya diskusi itu dimatikan. Secara idiomnya seni modenis yang mereka bawa itu telah dimanipulasi oleh seni Barat jika tidak dibahaskan secara ilmiah kita akan gagal mencari titik persetujuan. Juga tidak ada keupayaan yang serius untuk melihat sejauhmana kesanggupan mereka dalam konteks waktu untuk menyuburkan tradisi polemik dalam seni. Usaha menyuburkan tradisi ini membawa terhasilnya suatu gagasan yang boleh berlanjutan dan yang penting kesedaran bahawa

pembuat seni tidak harus kaku dan terkongkong. Pembuat seni bukan sekadar sebagai pembuat artifak sebaliknya sambil berkarya tercetus semacam pemikiran yang menerima pembuat seni sebagai seorang pemikir atau teoritis. Media masa seperti saluran TV, radio selain internet perlu ada slot khas untuk menghidupkan diskusi ilmu apabila setiap pameran seni visual dilangsungkan. Apa yang sebaliknya terpasak dalam minda rakyat Malaysia ialah setiap detik disalurkan politik tikus, perdebatan dan fitnah yang berbau busuk dan tengik. Sikap seperti itu mungkin boleh dimaafkan sekiranya berlaku dalam 20 tahun lalu tetapi pasti tidak lagi seperti di era milenium. Bahawa seni Malaysia dalam era sebelum merdeka dan pasca merdeka sudah berbeza dengan era masa kini. Pertimbangan-pertimbangan ini sebagai mencerminkan keseriusan dalam mengembangkan ilmu dan kesedaran untuk memartabatkan seni dalam situasi kehidupan. Seni itu mendahului zaman dan menjadi zaman itu terpengaruh dengan tranformasi baru dalam penonjolan hasil seni.

Ketiadaan suasana dan persekitaran intelektual dalam situasi seni lukis Malaysia ketika 20 tahun lalu boleh dimaafkan. Namun di era milenium ini tidak seharusnya diskusi ilmu terbeku dalam kecelikan seni. Kerana itu suatu pembaharuan harus di mulai seperti yang dilaunglaungkan. Tidak ada tradisi intelektual untuk sebahagian besar dari masalah seni yang timbul sebagai alasan yang boleh dimaafkan kerana fakta menunjukkan kita memiliki begitu ramai pembuat seni handalan. Ruang keterlibatan yang tidak menyeluruh dengan berlengkar dalam sempadan yang sempit sekadar pertimbangan gaya dan teknik, pasti membatasi keterlibatan untuk satu "pembuatan gambar". Sekiranya dibiarkan akan melemahkan perkembangan seni itu dan melenyapkan tradisi polemik dalam aspek falsafah estetika dan artistik. Telah ada beberapa jenis upaya yang dilakukan untuk mempertimbangkan falsafah estetika namun pemahamannya tidak cukup untuk mengangkat isu tertentu menjadi lebih global. Kecenderungan umum di kalangan pembuat seni tempatan yang mengabaikan kepentingan sejarah seni dan keutamaan idea tidak harus dibiarkan sepi. Kesepian dan tidak kepekaan sejarah seni dan gelombang cetusan idea boleh menonjolkan kelemahan diri pembuat seni sehingga kurang untuk ditonjolkan kekuatannya. Ini menjejaskan masa hadapan kerjaya seorang pembuat seni itu. Terlalu ramai pembuat seni terbaik telah mengalami kelelahan idea sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan terhenti untuk terus berkarya. Komitmen mereka untuk seni semakin menurun dan tidak menampakkan perkembangan yang positif dalam gaya dan artistik. Bagaimana hal ini berlaku adalah berpatah balik pada persoalan budaya intelektual dan wacana seni yang tidak diberi perhatian secara serius. Pengabaian ini akan melenyapkan suatu komitmen dalam seni modenisme, akhirnya generasi kita akan terlepas banyak pembaharuan dalam tranformasi seni yang telah memecut jauh ke hadapan. Mengharapkan tradisi ilmu dalam pembukuan seni tampak juga mengecewakan, kelangsungan menterjemah buku-buku seni yang hebat jauh kekurangan dan mengharapkan tulisan tentang seni pun tidak ramai yang mahu menulis. Mungkin tidak ada pembaca sehebat pembaca yang minat kepada buku politik tikus. Jadi berdondang sayanglah kita dalam dunia seni yang semakin pudar.

Adalah menjadi keyakinan kita jika pembuat seni Malaysia yang masih dan akan terlibat dengan modenisme, seharusnya tahu daerah keterlibatan secara menyeluruh. Sampai ke dalam daerah masing-masing, pembuat seni moden kita akan berdepan dengan persoalan untuk diungkit oleh audiens tentang kecemerlangan teknik dan sudah berhasil sampai di mana. Jika masih ditakuk lama, sama ertinya dengan tidak lahirnya imaginatif, inovatif dan pembaharuan. Ini akan dijadikan sempadan aktiviti seni sama ada berubah dan berkembang menjadi produktif dan inovatif.

Ada banyak alasan selain dari tidak kemampuan pembuat seni untuk berfungsi pada tingkat yang jauh lebih dalam daripada yang telah dimanifestasikan. Mungkin yang paling serius menjadi kecenderungan oleh sebahagian pembuat seni kita untuk tidak turut bersama menjadi idiom modenisme kerana gagasan bahawa seni adalah pada dasarnya untuk muzium dan galeri seni. Mereka masih terus berfungsi atas dasar kesetiaan pada citarasa yang selesa dan serasi ke arah kreativiti yang diberi sentuhan tersendiri. Idea dari "keunikan" meletakkan pembuat seni dan karyanya memiliki nilai unik yang tersendiri. Adakah kita perlu menjadikan suatu penghormatan terhadap kesetiaan, kesucian seni dan membiarkan generasi baru menilainya? Atau kita kekalkan bentuk lain mungkin ekspresi yang terus dengan artifak tradisional sebagai warisan klasik. Membiarkan semua ini seperti suatu kebebasan yang nanti menjadi tradisi ketergantungan pada teknik yang bukan lagi mencabar disiplin mental.

Hal ini akan melambakkan terlalu banyak karya seni berbentuk artifak, berorientasikan sikap yang berhati-hati dan kesetiaan pada citarasa. Juga menunjukkan fakta bahawa seniman kita telah tidak begitu berminat pada dimensi baru. Hal ini juga menjadi fakta bahawa seniman kita lebih cenderung ke arah imej realiti sebagai pembuat gambar yang cantik dan akan digantung pada dinding atau mematuhi citarasa pembeli. Karya yang dihasilkan nanti akan merupakan sedikit lebih dari latihan dalam memenuhi impian untuk merasai yang cantik dan baik. Adakah hal yang disebut di atas menjadikan seni moden berdepan dengan cabaran sama ada telah hampir dimulai atau sudah berakhir? Sedangkan di sekeliling kita sudah lahir suatu keanehan baharu dalam bentuk, teknik dan gaya. Dalam pelbagai genre, malah bahan yang diolah juga sudah pelik dan ganjil. Telah ada sentuhan teknologi yang hyper high demensional. Sudah ada bentuk-bentuk media baharu, malah sesuatu yang kontroversi seperti Nasi Lemak 2.0 yang bukan lagi terikat dalam suatu alam yang kaku.

Hal yang dijangkakan berlaku di masa hadapan ialah pemikiran, perasaan dan pengamatan yang tajam daripada audiens. Pembuat seni akan dipersoalkan tentang bentuk komunikasi visual yang melahirkan istilah seni yang baharu. Dengan sifat analisis yang tidak lagi menampilkan ciri-ciri tertentu sebagai cerminan identiti masyarakat sudah dibuktikan oleh anakanak muda kelahiran generasi baru. Pencarian sudut pandang baru mencerminkan realiti telah jelas menyaksikan ada insentif yang nyata dan sejauh ini, apakah fungsi pembuat seni Malaysia dalam konteks Malaysia? Sejauh manakah pelajaran yang boleh dipetik dari perkembangan seni visual moden yang telah memanifestasikan diri, di Timur pun kurang ke Barat pun tidak?

Anda mungkin juga menyukai