Anda di halaman 1dari 2

Pada satu masa, terdapat seorang tukang kayu yang semakin dimamah usia.

Dia
bercadang untuk bersara daripada kerjanya sebagai tukang kayu yang bertanggungjawab
membuat rumah di sebuah syarikat pembinaan. Dalam fikirannya lagi, dengan tenaga
yang semakin kurang, dia ingin menghabiskan sisa-sisa hidupnya bersama keluarga
tersayang.

Tukang kayu ini tidak akan menerima lagi upah sekiranya beliau bersara. Tetapi, dia tetap
dengan keputusannya. Lalu, tukang kayu itu memberitahu majikannya tentang hasratnya
tersebut.

Apabila majikannya mendengar luahan hati tukang kayu yang berpengalaman itu, dia
merasa sedih dan juga memujuk tukang kayu tersebut agar menarik balik keputusannya.
Akan tetapi, tukang kayu itu tidak berganjak dan tetap dengan niat untuk bersara. Justeru
itu, majikannya bersetuju dengan keputusan tukang kayu itu, tetapi dengan satu syarat.
Permintaan terakhir majikannya ialah menyuruh tukang kayu itu membina sebuah rumah
buat kali terakhir.

Tukang kayu itu merasa gembira dan bersetuju dengan syarat yang telah ditetapkan oleh
majikannya. Tetapi, kegembiraannya untuk bersara mengatasi semangat dan kemahiran
yang ditunjukkan semasa bekerja. Akibatnya, rumah yang dibina buat kali terakhir itu
telah disiapkan dengan sambil lewa, tanpa penelitian khusus serta menggunakan kayu
yang rendah kualitinya. Rumah itu berjaya disiapkan dalam jangkamasa yang singkat.

Apabila majikannya melihat rumah itu, dia mengambil kunci pintu utama rumah tersebut
dan memberikannya kepada tukang kayu itu seraya berkata "Inilah hadiah persaraan
daripada saya kepada kamu. Selamat bersara."

Tukang kayu itu terkejut besar dengan kata-kata majikannya. Beliau tidak menyangka
bahawa rumah yang dibinanya buat kali terakhir itu adalah rumah untuk kegunaannya
sendiri. Alangkah menyesalnya dia kerana menyiapkan rumah itu secara tergesa-gesa dan
jika dia tahu sebelum itu, dia akan membina rumah tersebut dengan penuh teliti dan
menggunakan bahan yang bermutu tinggi.

Pengajaran

Senario ini mungkin pernah berlaku di dalam hidup kita seharian. Hidup ini boleh
diibaratkan sebagai membina sebuah rumah untuk kegunaan dan kemudahan kita di masa
hadapan. Kita pula sering mengambil mudah dengan kehidupan sekarang, kita merasa
selesa kerana ibu bapa kita sentiasa berada di samping kita, memberi sokongan dan
membantu kita. Tetapi, sedarkah kita apabila mereka tiada nanti, siapakah yang
bertanggungjawab ke atas hidup kita? Tak lain tak bukan DIRI KITA SENDIRI.
Belajarlah bertanggungjawab dan bijak merancang masa depan kita. Gunakan masa muda
ini dengan belajar bersungguh-sungguh dengan cita-cita untuk menjadi seorang manusia
berguna kepada agama, keluarga, bangsa dan negara.

Kata-kata hikmat:
"Berusahalah dengan ikhlas tanpa memikirkan balasan semata-mata, kerana semakin
tinggi keikhlasan di dalam diri, semakin tinggilah balasan baik yang akan diperolehi
dalam keadaan sedar atau tidak."

moga dpt manfaat dr artikel ni,insyaAllah..

Anda mungkin juga menyukai