Anda di halaman 1dari 2

Ampunilah kami akan kesalahan kami, seperti kami juga mengampuni orang yang bersalah kepada kami (Matius

6:12). Yesus mengajar murid-murid-Nya untuk memohon pengampunan daripada Bapa untuk kesalahankesalahan mereka. Ini adalah satu amalan mesti yang baik yang perlu setiap orang Kristian lakukan kerana tidak ada orang Kristian yang tidak berdosa dan berlaku salah (lihat 1 Yohanes 1:8-10). Pengampunan dalam Alkitab membawa maksud penyingkiran, meninggalkan, mengetepikan atau menghantar pergi. Setiap hari, ramai orang dihantar pergi di lapangan terbang dan mereka yang tinggal, melambai sedih kerana banyak kali yang pergi itu tidak akan kembali. Apabila Bapa mengampuni kita, kita boleh melambai dengan sukacita kerana salah kita telah terbang pergi dibawa Tuhan dan tidak akan kembali atau dilihat lagi. Adalah menarik bahawa perkataan yang dipakai Yesus yang diterjemahkan kesalahan ialah opheilema dalam bahasa Yunani yang bermaksud hutang. Apabila kita berdosa kita berhutang dengan Tuhan; apabila kita berlaku salah kepada orang lain kita juga berhutang dengan mereka. Apabila seseorang itu membunuh manusia lain (dosa pembunuhan) dia dikatakan mempunyai hutang nyawa. Apabila seseorang itu bercakap salah dan salahnya diketahui, sering kali dia akan diminta memohon maaf kerana itu hutangnya (dalam bahasa Inggeris dia dikatakan owe an apology). Jadi, bila pengampunan diminta, apa sebenarnya diminta ialah supaya hutang yang terhasil daripada salah kita itu dimansuhkan, diabaikan, diketepikan, dilambaikan pergi. Sebagai orang Kristian yang memohon pengampunan dan diampuni Bapa, kita dituntut untuk juga mengampuni orang yang bersalah terhadap kita, yang berhutang dengan kita kerana salah laku atau salah katanya. Keengganan mengampuni tidak sesuai dengan mana-mana anak Tuhan kerana kita dipanggil berlaku seperti bapa kita di syurga. Ini sangat penting sehingga amaran diberi bahawa jika kita tidak mengampuni, maka Bapa pun tidak akan mengampuni kita (Matius 10:14-15). Mesti ditekankan di sini bahawa kita disuruh mengampuni kesalahan yang dilakukan orang ke atas kita dan bukannya mengampuni dosa orang sembarangan, lagi-lagi yang tidak ada kaitan dengan kita. Juga mesti didedahkan di sini bahawa perkataan kesalahan dalam Matius 10:14-15 bermaksud kesilapan atau kegagalan moral yang tidak sengaja atau sengaja terhadap kita. Mengampuni perbuatan seperti ini bermaksud kita tidak menuntut pembalasan, bayaran atau tindakan yang setimpal dengan salah mereka. Walaupun begitu, saya mesti tekankan bahawa hal memohon pengampunan dan memberi pengampunan tidak hanya disentuh di sini dalam ajaran Yesus. Untuk pemahaman yang lengkap, ayat-ayat lain juga mesti diperhatikan supaya ajaran/kesimpulan yang seimbang akan terhasil. Kalau tidak, apa yang akan terjadi ialah pembikinan komen seperti ini: Tidak apalah, ampuni dia Tidak baik kalau kamu tidak ampuni suami kamu yang memukul kamu dan tidur dengan perempuan lain. Tidakkah kita disuruh mengampuni? Ampunilah dia walaupun dia tidak mahu mengaku dia bersalah. Kita mesti mengampuni semua orang

Ketiga-tiga contoh di atas ialah salah pengamalan ajaran Yesus tentang pengampunan kerana lupa memerhatikan SATU lagi syarat penting pengampunan: permohonan maaf kerana sudah bertaubat.

Perhatikan ayat-ayat ini: Matius 18:26 hamba diampuni sesudah memohon belas kasihan Lukas 17:4- saudara diampuni 7 kali tujuh puluh tujuh kali, setiap kali sesudah dia datang dan mengaku salahnya 1 Yohanes 1:9 Tuhan mengampuni sesudah ada pengakuan dosa

Sebagai anak-anak Bapa yang diampuni serta-merta SESUDAH kita datang kepada Bapa, mengaku dosa kita dan memohon maaf, kita juga mesti serta-merta mengampuni sesiapa sahaja yang bersalah terhadap kita SESUDAH dia datang kepada kita, mengaku dosanya dan memohon maaf. Marilah kita mulai hari ini tidak serik meminta pengampunan daripada Bapa dan menerima pengampunan-Nya. Mari kita juga tidak serik mengampuni semua orang yang memohon pengampunan daripada kita. Kita hidup sebagai orang yang diampuni yang mengampuni!

Anda mungkin juga menyukai