Anda di halaman 1dari 9

Memartabatkan bahasa Melayu

Oleh PROF. DR. AWANG SARIYAN


BAHASA Melayu sejak lebih daripada satu alaf telah memiliki martabat sebagai bahasa
besar. Sejak abad ke-7 Masihi, bahasa Melayu telah menjadi bahasa kerajaan, bahasa
perdagangan, bahasa pengajian agama dan lingua franca bagi rantau Kepulauan Melayu di
bawah kerajaan Sriwijaya. Pada zaman kesultanan Melayu dari sekitar abad ke-13 hingga
abad ke-19, bahasa Melayu mencapai puncak kegemilangan sebagai bahasa tamadun Melayu
baharu, dengan menjadi bahasa pentadbiran, bahasa diplomasi, bahasa undang-undang,
bahasa ilmu dan falsafah, bahasa perdagangan, bahasa ketatanegaraan dan bahasa sastera
tinggi.
Sarjana Belanda Francois Valentijn mengungkapkan kebitaraan bahasa Melayu pada abad ke16 sebagai yang berikut:
``Bahasa mereka, bahasa Melayu, bukan saja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga
digunakan di seluruh kepulauan Melayu dan di negeri-negeri Timur, sebagai suatu bahasa
yang difahami di mana-mana saja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau
Latin di Eropah, atau sebagai bahasa lingua franca di Itali dan di Levant. Sungguh luas
tersebarnya bahasa Melayu itu sehingga kalau kita memahaminya tidaklah mungkin kita
kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan saja dimengerti di Parsi bahkan lebih jauh dari
negeri itu, dan di sebelah timurnya sehinggan kepulauan Filipina.''
Kebitaraan bahasa Melayu pada abad 16 dan 17 dapat dirumuskan dengan kenyataan bahawa
bahasa tersebut telah mencapai taraf bahasa antarabangsa, terutama dengan kedudukannya
sebagai bahasa diplomatik, lingua franca, bahasa perdagangan sedunia, bahasa penyebaran
agama besar dunia dan bahasa sastera.
Kelunturan martabat bahasa Melayu
Martabat bahasa Melayu dilunturkan oleh penjajah (Belanda di Indonesia dan Inggeris di
Malaysia) dengan menurunkan darjat bahasa itu daripada bahasa besar dan bahasa
perhubungan luas menjadi bahasa setempat atau bahasa vernakular yang disempitkan
fungsinya hanya sebagai bahasa perhubungan sehari-hari dan lebih untuk lingkungan
masyarakat Melayu. Dalam zaman penjajahan Inggeris, bahasa Melayu disetarafkan dengan
bahasa keturunan yang dibawa oleh Inggeris untuk kepentingan ekonomi, iaitu keturunan
Cina dan India dengan menjadikannya bahasa penghantar di sekolah vernakular Melayu,
sama halnya dengan bahasa Cina di sekolah vernakular Cina dan bahasa Tamil di sekolah
vernakular India.

Dalam bidang bahasa dan pendidikan, jelas bahawa bahasa Melayu hanya menjadi bahasa
penghantar sekolah Melayu yang terbatas pula jangkauan bidang ilmu dan kemahirannya. Hal
ini direncanakan dengan cukup kemas oleh penjajah Inggeris, semata-mata untuk menutup
kemungkinan anak watan dapat muncul sebagai bangsa berwibawa dan dengan demikian
berupaya membebaskan negara daripada cengkaman penjajahan.
Selama hampir setengah abad negara menikmati kemerdekaan, bahasa Melayu telah menjadi
salah satu asas pembinaan negara yang penting melalui tiga fungsi iaitu sebagai bahasa
kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.
Sebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu telah memungkinkan berlangsungnya pendemokrasian
pendidikan apabila sejumlah besar generasi muda mendapat peluang belajar dalam bahasa
kebangsaan, tanpa kekangan faktor taraf sosioekonomi dan pengasingan etnik serta
keeksklusifan bahasa penghantar ilmu yang dahulunya didominasi oleh bahasa Inggeris.
Namun, apabila ada tindakan berpatah kembali untuk menjadikan bahasa lain sebagai wahana
bidang-bidang utama kenegaraan itu, khususnya melalui bidang pendidikan, maka martabat
bahasa Melayu sudah mula tergugat. Pengurangan fungsi dan peminggiran bahasa Melayu
dalam bidang-bidang yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa
Kebangsaan, Akta Pendidikan dan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka secara langsung akan
menjejaskan martabat bahasa Melayu sebagai salah satu tonggak pembinaan negara.
Walau bagaimanapun dengan adanya tantangan-tantangan semasa, bahasa Melayu
mengalami kemerosotan dalam dua aspek, iaitu aspek taraf dan mutunya.
Kemerosotan dalam aspek taraf bermaksud penyempitan penggunaan bahasa Melayu dalam
bidang-bidang yang telah ditetapkan penggunaannya oleh undang-undang.
Sebagai contoh, penggunaan bahasa Melayu dalam bidang pentadbiran, undang-undang,
penyiaran dan pendidikan.
Kemerosotan dalam aspek mutu bahasa pula berkaitan dengan kurang pekanya sebilangan
anggota masyarakat terhadap bentuk bahasa Melayu yang baku dan ragam bahasa Melayu
rasmi, khususnya dalam konteks bidang yang rasmi seperti pentadbiran, penyiaran dan
pendidikan. Percampuran ragam bahasa basahan (yang ditandai oleh fenomena bahasa rojak
atau istilah linguistiknya peralihan kod, bahasa SMS, bahasa sembang di Internet dan
sebagainya) dengan bahasa yang baku dalam situasi rasmi menjadikan bahasa Melayu
kehilangan darjat dan citra sebagai bahasa budaya tinggi.
Demikian juga, semakin tidak nyata semangat cinta dan hormat kepada bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan dan asas jati diri negara apabila kian banyak terjadi fenomena

penamaan tempat, bangunan dan jalan, termasuk di kawasan yang menjadi pusat pentadbiran
negara, yang mengutamakan nama berdasarkan bahasa asing (misalnya precinct, parcel dan
boulevard).
Senario kini tentang kedudukan bahasa Melayu menunjukkan kian kurang terbudayanya
bahasa Melayu dalam kalangan sejumlah anggota masyarakat, khususnya dalam konteks
yang fungsional, iaitu yang berkaitan dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Senario itu tergambar pada beberapa perkara
berikut:
1. Penghayatan penjawat awam yang kurang memuaskan dalam pelaksanaan peruntukan
Perkara 152 tentang peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi sehingga masih banyak
urusan rasmi tidak mengutamakan bahasa Melayu.
2. Tidak tegasnya dan tidak selarasnya penguatkuasaan penggunaan bahasa dalam sektor
tertentu seperti penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di tempat awam dan
penyiaran.
3. Pengurangan peranan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan sebagai kesan pelaksanaan
beberapa keputusan dan pengecualian pengajaran bahasa Melayu sebagai subjek wajib.
4. Globalisasi yang sebahagian besarnya melalui perantaraan bahasa asing, khususnya bahasa
Inggeris, sehingga timbul keghairahan yang kadangkala berlebihan dalam kalangan pelbagai
lapisan masyarakat (pemimpin, profesional dan orang awam) untuk mengutamakan
penguasaan bahasa Inggeris dan mengurangkan perhatian kepada penggunaan bahasa
Melayu.
5. Budaya berbahasa Melayu dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat Malaysia,
termasuk dalam kalangan orang Melayu sendiri tidak cukup mantap kerana adanya anggapan
bahawa bahasa Melayu tidak berkolerasi dengan taraf sosial dan pendidikan serta tidak
mempunyai nilai ekonomi yang tinggi.
Jika bahasa Melayu digunakan pula, masih besar jumlah anggota masyarakat, termasuk
golongan yang berpengaruh yang menggunakannya pada tahap mutu bahasa yang tidak
begitu mencerminkan budaya tinggi.
6. Kenyataan yang merendahkan taraf dan relevannya bahasa Melayu turut mengurangkan
perhatian dan keyakinan sebilangan anggota masyarakat kepada bahasa Melayu. Sebagai
contoh, dalam pada DBP mengusahakan penglibatan sektor swasta menggunakan bahasa
kebangsaan pada papan perniagaan dan iklan mereka, Menteri Perumahan dan Kerajaan
Tempatan (menurut laporan The Star pada 1 Januari 2004) membuat kenyataan bahawa

penggunaan bahasa kebangsaan tidak akan diwajibkan lagi pada papan perniagaan dan iklan.
Seorang menteri kanan pula, mengajak masyarakat mengabaikan pejuang bahasa yang
didakwanya berfikiran sempit.

Langkah meningkatkan martabat bahasa Melayu


Peningkatan martabat bahasa Melayu sebagai teras pembinaan bangsa Malaysia memerlukan
perencanaan semula dalam beberapa aspek dan pada waktu yang sama memerlukan
peneguhan dasar-dasar yang berkaitan dengannya, sebagai langkah membina ketahanan jati
diri dan maruah bangsa dan negara.
Dalam bidang bahasa, antara langkah yang perlu diambil termasuklah:
1. Penegasan dasar bahasa dan penguatkuasaan dasar bahasa secara bersepadu - contohnya,
pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi hendaklah ditegaskan semula
supaya semua urusan rasmi dan majlis rasmi di peringkat negara mengutamakan penggunaan
bahasa Melayu, selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa
Kebangsaan. Semua peruntukan tentang bahasa kebangsaan yang terdapat dalam undangundang negara hendaklah bukan sahaja dihormati malah dilaksanakan dengan ikhlas dan jujur
oleh semua lapisan, daripada pemimpin negara hingga penjawat awam dan masyarakat
umum. Usahlah ada sebarang tindakan yang melemahkan undang-undang tersebut, sama ada
melalui pengenalan dasar baru, pernyataan atau tindakan yang bercanggah dengan undangundang itu.
2. Pindaan dan perluasan peruntukan akta yang berkaitan - pindaan Akta Bahasa Kebangsaan
yang memberikan cakupan lebih luas penggunaan bahasa Melayu, pindaan akta-akta yang
sudah tidak kemas kini atau tidak jelas tentang penggunaan bahasa Melayu seperti Akta
Jalan, Parit dan Bangunan, Akta Pertubuhan, Akta Pendaftaran Perniagaan, Akta Syarikat,
Akta Cap Dagang, Akta Industri Pelancongan dan beberapa yang lain perlu disegerakan.
Selain itu, akta yang sedia ada seperti Akta Komunikasi dan Penyiaran dan Undang-Undang
Kecil Pengiklanan mestilah dikuatkuasakan pelaksanaannya secara tegas.
3. Pengayaan khazanah ilmu dan persuratan dalam bahasa Melayu - usaha ini perlu
ditingkatkan supaya nilai bahasa Melayu menjadi lebih tinggi sebagai bahasa budaya tinggi,
melalui penerbitan bahan ilmiah dan rujukan umum dalam pelbagai bidang untuk pelbagai
peringkat dan dalam pelbagai media (bercetak dan elektronik). Agenda pengayaan khazanah
ilmu dan persuratan Melayu mesti dimasukkan dalam agenda pembangunan negara melalui
Belanjawan Negara.

4. Pembudayaan bahasa Melayu melalui sistem pendidikan - usaha ini perlu dimantapkan
semula, dari peringkat prasekolah hingga peringkat pengajian tinggi. Kerajaan perlu
memberikan penegasan yang lebih berat kepada usaha pembudayaan bahasa Melayu sebagai
asas peneguhan tamadun bangsa Malaysia dalam dua aspek yang penting. Yang pertama ialah
pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam proses pemerolehan
dan pengembangan ilmu, selaras dengan perancangan yang dilakukan oleh Jawatankuasa
Pelajaran Razak 1956 yang diperkukuh oleh Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Rahman
Talib 1960 dan dimaktubkan dalam Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996.
Sebarang usaha berundur daripada keputusan yang penting dan bijaksana serta telah
membuktikan kejayaan dalam proses pembinaan negara hendaklah dielakkan. Kejayaan
Universiti Kebangsaan Malaysia dan universiti-universiti lain dalam pelaksanaan bahasa
Melayu sebagai bahasa ilmu untuk pelbagai bidang ilmu tidak harus direncatkan. Aspek yang
kedua ialah pembudayaan bahasa yang baik, teratur, santun dan mewakili budaya tinggi
melalui kegiatan pengajaran dan pemelajaran, sukatan pelajaran, buku teks dan bacaan
tambahan serta melalui pelbagai kegiatan kokurikulum. Dengan demikian diharapkan landaan
pelbagai ragam bahasa tidak rasmi, sama ada bahasa sembang Internet, bahasa SMS atau
yang lain tidak akan sampai menggugat bahasa yang mewakili budaya teras.
5. Komponen bahasa dan persuratan dalam pelbagai program negara - semua program negara
yang bersifat pembinaan sahsiah di pelbagai peringkat mesti memasukkan program bahasa
dan persuratan, misalnya dalam Program Khidmat Negara, kursus Biro Tatanegara, KP3P dan
sebagainya. Kursus atau apa-apa juga program motivasi untuk kalangan ahli politik dan
profesional perlu memasukkan modul bahasa dan persuratan di dalamnya.
6. Modul bahasa dan persuratan dalam program latihan jabatan - setiap jabatan dan agensi
kerajaan perlu memasukkan modul bahasa, penulisan dan persuratan dalam program ``kursus
dalam perkhidmatan'' masing-masing.
7. Pemantauan berterusan terhadap bidang penyiaran dan media massa - usaha ini perlu
dilaksanakan untuk memastikan bahawa media massa melaksanakan tanggungjawab sebagai
ejen pemantapan bahasa yang baik dan santun dalam penyiaran dan penerbitan program atau
bahan. Tindakan perlu dilaksanakan dalam bentuk tindakan pentadbiran dan juga tindakan
undang-undang.
8. Program pemasyarakatan bahasa kebangsaan bertaraf kebangsaan - kerajaan, melalui
semua kementerian, jabatan dan agensi serta perbadanan dan pihak swasta hendaklah secara
aktif dan terancang menyertai program pemasyarakatan bahasa kebangsaan di seluruh negara

yang telah dirancang dan dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, khususnya Bulan
Bahasa dan Sastera Negara yang dilaksanakan setiap tahun selama sebulan. Selain itu, setiap
jabatan kerajaan dan swasta hendaklah diminta merancang dan menganjurkan kegiatan yang
dapat menyemarakkan pembudayaan bahasa Melayu dari waktu ke waktu dalam perancangan
tahunan supaya bahasa dan persuratan Melayu tidak terpinggir dalam sektor di luar
lingkungan orang atau institusi khusus dalam bidang bahasa dan sastera.
Pembangunan negara yang hakiki dan bersepadu hanya tercapai apabila semua bidang yang
penting diberi perhatian yang sama beratnya, termasuk bidang bahasa dan budaya. Dalam
konteks pembentukan jati diri dan citra negara ini pula, dasar-dasar yang bersifat endoglosia,
iaitu berasaskan keperibumian yang disokong oleh hakikat sejarah kebudayaan dan tamadun
di negara dan dirantau ini perlu dipertahankan dan ditingkatkan.
Tidak seharusnya berlaku keadaan negara menuju kejayaan ekonomi dan industri sementara
mengalami kehancuran dari segi unsur dalaman bangsa, terutama bahasa dan budaya. Oleh
itu, kerjasama antara semua kementerian, jabatan, agensi, pertubuhan, sektor swasta dan
orang perseorangan perlu digemblengkan secara bersepadu oleh pemerintah dalam bentuk
rangkaian yang berkesan untuk memastikan pencapaian yang seimbang.

Dikemaskini pada 21 Okt 2008

MENJADI BAHASA KOMUNIKASI MASYARAKAT ANTARABANGSA

HASRAT kita untuk melihat bahasa Melayu menjadi salah satu bahasa komunikasi
masyarakat antarabangsa seperti bahasa Inggeris, bahasa Jerman, bahasa Perancis, bahasa
Arab, dan bahasa Mandarin tidak mustahil akan tercapai jika pelbagai usaha untuk
memajukan bahasa dan bangsa terus dilakukan. Walaupun penggunaan bahasa Melayu belum
tersebar luas ke seluruh dunia dan bahasa Melayu belum menjadi bahasa perantara
pertemuan-pertemuan antarabangsa, namun dengan usaha bersungguh-sungguh, hasrat untuk
melihat bahasa Melayu menjadi salah satu bahasa yang turut digunakan dalam komunikasi
orang Amerika, Belanda, Itali, Jerman, Kanada, dan lain-lain pasti menjadi suatu kenyataan.
Pada Sabtu malam yang lalu, kita mungkin telah meluangkan masa untuk menyaksikan
kemuncak Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2011
yang disiarkan secara langsung melalui TV1. Kita tentu berasa bangga dengan kehadiran
peserta dari seluruh pelosok dunia seperti Afghanistan, Albania, Amerika Syarikat, Armenia,
Australia, Azerbaijan, Bangladesh, Belanda, Bulgaria, Cameroon, China, Estonia, Hungary,
India, Iran, Itali, Jepun, Jerman, Kanada, Kyrgystan, Korea Selatan, Kosovo, Latvia,
Macedonia, dan lain-lain. Bahasa Melayu kini telah berkembang dan berhasil menarik minat
warga asing untuk mempelajari dan menggunakannya. Dalam Kata Alu-aluan untuk
Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2011 itu,YAB
Dato Seri Mohd. Najib Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia menyatakan
bahawa sebagai rakyat Malaysia dan pemilik bahasa ibunda itu, kita harus merasa bangga
kerana di celah-celah ruang penguasaan teguh bahasa Inggeris, bahasa Melayu ampuh
mencorak ritmanya yang tersendiri dan semakin mekar di persada dunia.
Usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa sebenarnya harus
bermula dari masyarakat kita sendiri. Dalam tulisan saya Menuju Bahasa Antarabangsa
(Utusan Borneo, 8 Mac 2010), saya menyentuh sikap dan pandangan masyarakat yang masih
mengagung-agungkan kehebatan dan kelebihan bahasa asing. Sikap dan pandangan itu tentu
sahaja memberikan kesan terhadap usaha mengembangkan bahasa Melayu bukan sahaja di
negara sendiri, tetapi juga di peringkat antarabangsa. Hasrat untuk menempatkan bahasa
Melayu di persada dunia sudah tentulah sukar dicapai jika di tanah air sendiri bahasa itu kian
terpinggir. Sebagai pemilik, kita seharusnya berbangga dengan bahasa sendiri. Dengan
adanya kebanggaan itu, kita akan berasa ikut bertanggungjawab untuk turut sama dalam
sebarang usaha memajukan dan mengembangkan bahasa Melayu supaya dipandang oleh
masyarakat antarabangsa.

Bahasa Melayu sebenarnya sedang bergerak menuju bahasa antarabangsa. Penubuhan


beberapa pusat pengajian Melayu di luar negara yang bertujuan menyebarluaskan
penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat antarabangsa merupakan usaha yang
menjurus kepada matlamat menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan luas di
peringkat antarbangsa. Bahasa Melayu diajarkan di pelbagai universiti ternama dunia. Kursi
Pengajian Melayu diwujudkan di Leiden University, Belanda, Ohio University, Amerika
Syarikat, University Wellington, New Zealand, Hankuk University of Foreign Studies, Korea
Selatan, dan Beijing Foreign Studies University, China. Di negara China pula terdapat siaran
radio dalam bahasa Melayu. Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM), Majlis Bahasa
Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM), dan Majlis Sastera Asia Tenggara
(MASTERA) turut ditubuhkan untuk memantapkan penyebaran dan penggunaan bahasa
Melayu ke peringkat rantau dan antarabangsa.
Meskipun demikian, banyak usaha lain yang perlu dilakukan untuk menjadikan bahasa
Melayu sebagai bahasa antarabangsa. Bahasa Melayu tidak akan ke mana-mana jika
bergantung pada jumlah penuturnya semata-mata. Bahasa Mandarin diakui sebagai bahasa
antarabangsa bukan kerana bilangan penuturnya yang paling banyak di dunia, tetapi kerana
kemajuan dan pencapaian negara China dalam bidang teknologi. Bahasa Mandarin menjadi
bahasa antarabangsa yang penting dengan kebangkitan negara China sebagai kuasa ekonomi
dunia. Begitu juga halnya dengan bahasa Inggeris. Meskipun status bahasa itu sebagai bahasa
antarabangsa turut ditentukan oleh bilangan penuturnya yang banyak, namun status
keantarabangsaan yang dimiliki oleh bahasa Inggeris sangat berkait erat dengan penguasaan
ekonomi dunia oleh negara-negara berbahasa Inggeris. Di samping itu, bahasa Inggeris turut
menjadi bahasa ilmu pengetahuan dan teknologi moden.
Dalam hal ini, pengembangan bahasa untuk menjadi bahasa antarabangsa tampaknya
sangat berkait rapat dengan pengembangan masyarakat pemiliknya sendiri. Bangsa kita harus
muncul sebagai bangsa yang menguasai ekonomi. Bangsa kita harus menjadi bangsa pencipta
tekonologi baharu. Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam suatu majlis yang diadakan sempena
ulang tahun ke-30 Universiti Kebangsaan Malaysia pada 20 Mei 2000 pernah menyatakan
bahawa bangsa Melayu perlu memberikan tumpuan kepada usaha memajukan bangsa bagi
menarik perhatian dunia terhadap bahasa Melayu. Menurut beliau, bangsa kita akan hanya
dihargai apabila kita dapat menunjukkan kemajuan dalam pelbagai bidang kehidupan yang
tidak terlepas daripada ilmu pengetahuan dan teknologi. Dalam kata alu-aluan Pertandingan
Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2011 itu, YAB Dato Seri Mohd.
Najib Tun Haji Abdul Razak turut menyatakan bahawa untuk mempertahankan martabat

bahasa Melayu, kita perlu ada kekuatan ekonomi dan politik yang teguh di dalam negara dan
di segenap penjuru dunia. Kekuatan itulah yang akan memastikan bahasa Melayu terus kekal
subur.
Memang, perjalanan bahasa Melayu menuju bahasa antarabangsa masih jauh. Kita
mengakui bahawa masih banyak yang belum dilaksanakan. Kejayaan yang diharapkan masih
belum tercapai sepenuhnya. Bahasa Melayu belum cukup mantap dalam beberapa ranah dan
masih tidak mendapat sokongan yang padu dan menyeluruh daripada setiap orang. Bahasa
kebangsaan masih tidak dihargai dengan sewajarnya, bahkan penghargaan terhadapnya kini
dirasakan semakin memudar. Rasa menghargai bahasa asing masih terus menampak pada
sebahagian besar bangsa kita. Hal ini menunjukkan bahawa apa-apa yang diusahakan selama
ini belum memadai. Kita harus bekerja keras dan memperhebat usaha jika ingin melihat
bahasa Melayu dapat menjadi bahasa antarabangsa pada suatu masa kelak.

Anda mungkin juga menyukai