Anda di halaman 1dari 3

BERHALA BATU VS BERHALA NAFSU

Saya berterima kasih kepada sahabat-sahabat yang menjadi pendorong dan pemangkin kepada tulisantulisan ini. Dan juga pengunjung blog yang sering memberi kata dorongan.
Saya sentiasa bertanya, untuk apa saya menulis? Namun, jawapan yang sedia di dalam hati sejak dulu
sering mengingatkan saya aku menulis untuk mengingatkan diri sendiri disamping mengingatkan orang
lain.
Kita sendiri kekadang lambat mendapat manfaat daripada apa yang kita tulis berbanding pembaca. Dan
kita harap setelah pembaca mengamalkan, mereka berdoa untuk kita Begitulah yang pernah dikatakan
oleh penulis besar seperti Aid Al Qarni, yang merasakan doa-doa daripada pembaca buku-bukunya lebih
bernilai daripada bayaran royalti yang diterimanya.
Saya bukan penulis besar seperti dia tetapi saya juga mengharap adanya titisan doa daripada orang lain
sebagai pencetus hidayah daripada Allah untuk saya yang sedang bermujahadah.
Cukuplah itu sebagai perkongsian rasa. Justeru sebagai manusia, saya juga hendak didengarkan setelah
selalu mendengarkan. Tetapi itu bukanlah cerita peribadi, namun lebih kepada ingin berkongsi. Justeru
dalam hidup pembaca sendiri tentu tidak kurang warna-warninya yang dapat dipadankan dengan luahanluahan ini.
Dan pada kesempatan ini telusurilah tulisan ini. ia ada detak hati, letusan rasa bila melihat
perkembangan semasa. Saya cuba membawa kita jauh semula ke belakang untuk mendepani masalah
semasa, kerana sejarah itu sesungguhnya sering berulang. Nikmatilah BERHALA BATU VS BERHALA
NAFSU
Bila manusia tidak kenal Allah, manusia tidak akan mencintai-Nya. Bila manusia tidak kenal Allah, manusia
tidak akan takut kepada-Nya. Sedangkan cinta dan takut kepada Allah itu sumber kebaikan dalam hidup di
dunia ini. Tanpa cinta Allah, manusia tidak akan dapat mengasihi sesama manusia. Tanpa takut kepada
Allah, manusia tidak akan dapat dikawal kejahatan dan kelicikan tipu dayanya.
Orang yang mencintai Allah akan lunak, mesra dan sayang kepada sesama manusia. Kerana apa? Kerana
Allah menyuruhnya berbuat begitu. Iman kepada Allah adalah asas dan teras untuk berkasih-sayang. Justeru,
Rasulullah saw mengingatkan, tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mengasihi saudaranya seperti
dia mengasihi dirinya sendiri. Iman dan kasih sayang itu bagai irama dan lagu keduanya tidak dapat
dipisahkan. Teguh iman, kukuh persaudaraan.
Tidak ada kebaikan kepada Allah melainkan melalui kebaikan sesama manusia. Memberi salam kepada
orang lain mengundang kesejahteraan daripada Allah. Menziarahi saudara kita akan dilimpahi kasih-sayang
Allah. Membantu menyelesaikan masalah seseorang, Allah janjikan untuk menyelesaikan masalah kita.
Tidak ada dikotomi antara hubungan Allah dengan hubungan sesama manusia. Keduanya saling berkaitan
dan berdekatan antara satu sama lain.
Lalu, apabila kes dera bayi dan penzaliman terhadap kanak-kanak kembali berleluasa dalam masyarakat kini
dan kita ditanya apakah puncanya? Apalagi jawapannya kalau bukan kerana manusia tidak kenal Allah.
Tidak kenal Allah menyebabkan kita tidak cintakan Allah. Dan bila tidak cintakan Allah, maka lunturlah
kasih-sayang terhadap manusia. Itulah punca dera.

Pada hal Islam menekankan kasih sayang bukan sahaja kepada manusia malah kepada tumbuhan dan
haiwan. Pada musim haji, para jemaah dilarang merosakkan pokok. Pada waktu berperang tentera Islam
dilarang menebang pokok yang berbuah. Hutan jangan dipugar dengan mengetepikan kelestarian alam, itu
haram. Itu kasih-sayang kepada tumbuhan.
Manakala pada haiwan pula pernah Rasulullah saw bersabda, akan seseorang yang dimurkai Allah kerana
mengurung kucingnya tanpa diberikan makanan. Pisau untuk menyembelih binatang sangat perlu
ditajamkan. Dan nabi Muhammad sangat melarang umatnya menyeksa binatang. Unta dan keldai jangan
dibebani dengan bebanan yang berat sehingga melebihi kemampuannya menanggung.
Orang yang cinta Allah, akan mencinta makhluk-Nya. Orang yang mencintai makhluk yang di bumi, akan
dicintai oleh makhluk yang di langit. Dan begitulah sebaliknya, jika orang tidak cintakan Allah, dia akan
membenci makhluk-Nya. Bila dia membenci apa yang di bumi, akan mengutuknya apa yang di langit.
Mengapa ada manusia yang sanggup mendera bayi dan kanak-kanak kecil? Mengapa mereka tergamak
berbuat demikian? Sedangkan harimau yang ganas itu pun tidak mendera anaknya? Apakah manusia lebih
ganas daripada haiwan? Apakah ada insan yang lebih kejam daripada binatang?
Jawabnya, ya! Bila manusia tidak kenal Allah, manusia akan jadi lebih ganas daripada haiwan. Pada skala
yang makro, lihat bagaimana bom atom, senjata kimia dan nuklear telah membunuh ribuan, malah jutaan
manusia. Manusia yang dibunuh manusia lebih banyak daripada manusia yang dibunuh oleh haiwan ganas.
Tidak syak lagi, manusia lebih ganas daripada harimau, singa dan buaya!
Pada skala mikro, betapa banyak bayi atau anak-anak kecil yang dibuang, didera malah dibunuh oleh ibubapa, jiran atau manusia yang durjana? Padahal mengurung kucing tanpa diberi makan pun sudah dimurkai
Allah, inikan pula menendang, memijak dan mencekik bayi dan kanak-kanak. Mengapa manusia kembali ke
zaman Jahiliah, yakni ketika umat Arab membunuh bayi-bayi perempuan mereka?
Tentulah kerana hati manusia yang mendera itu sama dengan hati orang Arab jahiliah. Hati yang karat
dengan berhala. Jika dahulu manusia menyembah berhala batu kini manusia (yang beragama Islam)
menyembah berhala nafsu dalam diri sendiri. Nafsu menyebabkan hati nurani menjadi rapuh dan kotor.
Nafsu menjadi penjana sifat-sifat mazmumah seperti hasad dengki, pemarah, rakus, dendam, gila dunia,
cinta nama dalam diri manusia. Dan bila mazmumah sudah bertakhta, kasih sayang dan cinta sesama
manusia akan sirna.
Kata orang, kemiskinan menjadi satu tekanan dalam diri ibu-bapa sehingga tega mendera anaknya. Tetapi
Siti Fatimah dan Sayidina Ali juga miskin tidak sampai mendera anaknya Sayidina Hasan dan Husin. Kata
pengkaji lagi, kerana manusia moden sering terancam, maka mereka sendiri bertukar menjadi pengancam
tetapi sejarah hidup sahabat-sahabat Rasulullah memaparkan hakikat sebaliknya.
Pernah seorang sahabat Rasulullah saw dijadikan tawanan dan menunggu masa untuk dihukum mati.
Menjelang hukuman mati, Sayidina Khubaib meminta pisau untuk merapikan janggut dan misainya Pisau
itu diberikan kepadanya. Namun entah bagaimana, seorang anak kecil dari kaum Kafir Quraisy telah pergi
berhampiran dengan Khubaib dan bermain-main dengannya.
Setelah menyedari hal itu, kaum Quraisy gempar dan berlari mendapatkan demi menyelamatkan budak
tersebut. Mereka merasakan Khubaib pasti akan mencederakan anak kecil kaum yang akan membunuhnya
nanti. Atau setidak-tidaknya menjadikan anak itu sebagai tebusan untuk menyelamatkan diri

Apakah itu yang dilakukan Khubaib? Tidak, beliau tidak mencederakan sedikit pun anak itu kerana dalam
hatinya ada iman. Subur iman, maka bersemilah kasih-sayang. Dan kasih sayang tidak akan tega
membiarkan pemiliknya membenci apalagi mendera atau menyeksa sesama manusia. Itulah yang ada di
dalam hati Khubaib, dan itulah yang tidak ada dalam hati para pendera masa kini.
Bagaimana mengatasi masalah penderaan sesama manusia? Tidak ada lain, melainkan setiap diri perlu
kembali mengenali dan mencintai Allah. Mungkin jawapan ini pun sukar diterima memandang umat Islam
telah pun belajar tentang persoalan iman percaya kepada Allah, percaya kepada malaikat dan lain-lain
rukun Iman di sekolah. Namun mengapakah masih berlaku kejahatan dan kemungkaran termasuk masalah
penderaan ini?
Amat besar bezanya antara tahu dan kenal. Tahu itu di akal, kenal itu di hati. Ramai orang yang tahu Allah
Maha Melihat, Maha Mendengar dan sebagainya tetapi sedikit sekali yang benar-benar kenal akan sifat-sifat
kesempurnaan Allah itu. Jika kita hanya tahu Allah Maha melihat tidak akan benar-benar mendorong
manusia melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Tetapi apabila manusia kenal sifat-sifat Allah,
barulah dia merasa Allah melihat, mendengar dan sebagainya.
Hanya apabila seseorang merasa Allah melihat, mendengar, mengetahui dan sebagainya, barulah dia akan
dapat menegakkan kebaikan dan meninggalkan kejahatan dalam hidupnya. Untuk mengetahui sifat-sifat
kesempurnaan Allah cukup dengan belajar. Tetapi untuk mengenal dan merasainya, tidak cukup dengan
belajar kita perlu lebih daripada sekadar itu.
Bagaimana? Imam Ghazali r.h.m telah menjawab pertanyaan hati anda dan saya melalui katanya:
Cara menambahkan keyakinan itu bukanlah dengan mengajar keterampilan berdebat dan berhujah akan
tetapi caranya adalah menyibukkan diri dengan membaca Al Quran dan tahfiznya, membaca hadis dan
maknanya serta sibuk dengan tugas-tugas ibadah. Dengan ini akidah anak-anak akan bertambah kukuh
Hanya dengan itu barulah berhala nafsu dapat ditumbangkan. Dan hanya dengan itu penderaan sesama
manusia dapat dihapuskan. Jika tidak, percayalah penderaan akan terus berleluasa. Anak-anak didera oleh
ibu-bapa atau orang dewasa, buruh didera oleh majikan, pengikut didera pemimpin dan sikaya terus
mendera simiskin.

Anda mungkin juga menyukai