Anda di halaman 1dari 4

Refleksi

Selepas diberikan kerja kursus PJM3103E Kurikulum dan Pedagogi


Pendidikan Jasmani, saya berasa bimbang dan tercabar untuk menyiapkan tugasan
ini kerana saya takut tidak mampu menyempurnakan tugasan ini dalam masa yang
ditetapkan. Pada mulanya, saya rasa agak keliru dan saya juga telah merasakan
bahawa tugasan ini memerlukan kreativiti yang tinggi untuk mendapat hasil yang
memuaskan. Namun demikian, cabaran dan halangan ini tidak mematahkan
semangat saya untuk cuba menghasilkan tugasan yang terbaik.

Oleh itu, selepas mendengar penjelasan dan taklimat mengenai kerja kursus,
tanpa membuang masa, saya telah bermula tugasan ini dengan mencari maklumat-
maklumat yang berkaitan di pusat sumber sekolah. Selepas selesai mencari
maklumat, saya telah berbincang dengan rakan-rakan saya supaya senang untuk
saya menyelesaikan tugasan ini dan tidak mengambil masa yang panjang dalam
proses menyelesaikan tugasan ini. Apabila saya menghadapi masalah semasa
menjalankan tugasan ini, saya juga meminta bantuan dari rakan-rakan saya, mereka
semua sudi menghulurkan tangan mereka membantu saya.

Bagi tugasan PJM3103E, kami dikehendaki untuk melaksanakannya secara


individu. Kami dikehendaki untuk menghasilkan penulisan tentang kepentingan
pendidikan jasmani terhadap perkembangan individu dari aspek jasmani, emosi,
rohani, intelek dan sosial dan juga menyediakan sebuah rancangan pengajaran
harian KSSR. Seterusnya, menjalankan pengajaran mikro berdasarkan rancangan
pengajaran harian yang telah disediakan.

Oleh itu, melalui tugasan pertama, secara langsung saya telah menyedari
Pendidikan jasmani amat penting untuk dilaksanakan dalam kurikulum sekolah
rendah. Melalui Pendidikan jasmani, pelbagai aspek dapat dikembangkan ke tahap
yang lebih tinggi. Aspek jasmani, emosi, rohani, intelek, sosial seseorang individu
mungkin akan terjejas sekiranya mereka mengabaikan aspek pembangunan fizikal
dan jasmani diri masing-masing. Pendidikan jasmani juga mampu membantu
membangunkan dan meningkatkan keupayaan fizikal dan kecergasan seseorang
individu. Melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran, pendidikan jasmani juga
dapat membantu seseorang individu membangunkan kemahiran pergerakan asas.
Bukan itu sahaja, pendidikan jasmani di sekolah rendah juga dapat membantu murid-
murid meningkatkan kefahaman mengenai keselamatan diri, alatan dan tempat
beraktiviti. Saya juga telah mengetahui dalam aspek pembangunan emosi dan
sahsiah, pendidikan jasmani mampu membantu murid meneroka kelemahan dan
kelebihan diri mereka seterusnya memberi peluang dan ruang kepada mereka untuk
mengenali dirinya dan mencungkil bakat mereka dalam sukan dan permainan.

Bagi tugasan dua iaitu menyediakan rancangan pengajaran harian (rph) dan
melaksanakan pengajaran dan pembelajaran. Pada permulaan, saya tidak berapa
mahir dalam membuat rph Pendidikan Jasmani. Saya tidak faham tentang format rph
Pendidikan Jasmani yang betul. Namun, saya telahpun mempelajarinya selepas
pensyarah kami, Encik Ravi menerangkan tentang cara dan format yang betul
kepada kami semasa waktu kuliah. Semasa membuat rph, saya berasa tertekan
kerana tidak ada idea untuk merancang aktiviti-aktiviti yang sesuai. Oleh itu, saya
telah melayari internet untuk mencari contoh-contoh yang sesuai untuk digunakan
dalam rph saya. Saya juga telah merujuk buku panduan pengajaran Pendidikan
Jasmani untuk mendapatkan idea yang sesuai.

Sebelum sampai giliran saya untuk menjalankan pengajaran mikro, saya


telah melibatkan diri dalam pengajaran mikro beberapa orang rakan. Melalui
penilaian dan peneguran yang diberi oleh Encik Ravi, saya telah menyedari bahawa
kami yang memainkan peranan sebagai murid mempunyai tanggungjawab yang
amat penting dalam menentukan sama ada rakan kami berjaya dalam
pengajarannya. Kami tidak harus merosakkan pengajaran rakan, sebaliknya kami
harus menolong rakan supaya pengajaran mereka dapat dijalankan dengan lancar.
Kami haruslah bersikap serius dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Bukan itu
sahaja, beliau juga mengingatkan kami sentiasa peka terhadap keperluan murid-
murid dan menjaga keselamatan murid-murid supaya tidak mengalami sebarang
kecederaan semasa aktiviti-aktiviti dijalankan.

Pada hari pengajaran mikro saya, saya berasa sangat cemas dan risau
bahawa saya tidak dapat melakukannya dengan baik kerana itu merupakan
pengalaman pertama saya mengajar subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.
Sehubungan dengan itu, saya telah cuba sedaya upaya saya mengajar dengan
sebaiknya. Sebelum sampai waktu pengajaran, saya telah meminjam alatan-alatan
yang diperlukan bersama kawan saya. Sampai giliran saya, proses pengajaran dan
pembelajaran dapat dijalankan dengan lancar atas bantuan alatan-alatan yang
dipinjam.

Walaubagaimanapun, terdapat beberapa halangan yang terpaksa saya


hadapi semasa menjalankan aktiviti mengajar. Antara halangan tersebut adalah saya
terpaksa melontarkan suara dengan lebih kuat. Hal ini kerana, proses pengajaran
dan pembelajaran berlaku di padang. Jadi, saya perlu melontarkan suara yang kuat
kerana padang merupakan suatu tempat yang terbuka. Hal ini juga supaya para
murid saya dapat mendengar setiap arahan saya dengan baik dan jelas. Selain itu,
saya juga perlu bijak dalam mengorganisasikan kedudukan murid, sama ada dalam
kedudukan sedara bentuk ladam kuda, bentuk U dan sebagainya. Hal ini kerana,
tidak semestinya segala perancangan yang telah direncanakan dalam rancangan
pengajaran harian dapat dilaksanakan seratus peratus semasa menjalankan sesi
pengajaran dan pembelajaran terhadap para murid.

Melalui pengajaran mikro, saya telah menyedari bahawa pengajaran dan


pembelajaran Pendidikan Jasmani bukan begitu senang seperti yang saya sangka
sebelum ini. Saya harus memastikan murid dapat mengambil perhatian dalam aktiviti
pendidikan Jasmani, maka bahan bantu mengajar semasa set induksi adalah amat
penting. Dalam konteks ini, saya mendapat tahu bahawa muzik adalah salah satu
bahan bantu mengajar yang sangat berguna untuk menarik perhatian murid kerana
murid akan bersemangat semasa mendengar muzik.

Selain itu, saya juga mempelajari bahawa prinsip yang paling penting dalam
proses pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani ialah penglibatan murid
dalam aktiviti mestilah dimaksimumkan. Saya haruslah memastikan murid tidak
dibiar menunggu-tunggu giliran untuk bermain sehingga rasa bosan lalu hilang
semangat untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang dijalankan. Dalam konteks ini,
pembahagian kumpulan yang sesuai penting untuk memaksimumkan penglibatan
setiap murid dalam aktiviti.

Melalui tugasan kali ini, saya berasa amat bersyukur kerana telah
mempelajari banyak pengetahuan baru melalui kursus PJM 3103E ini. Saya
menyedari bahawa sebagai seorang guru pendidikan Jasmani, saya harus mahir
dalam kandungan kurikulum KSSR Pendidikan Jasmani dan dapat melaksanakan
pengajaran dan pembelajaran dengan strategi yang berkesan. Tambahan pula,
pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani akan lebih menarik dan berkualiti
sekiranya aktiviti yang dirancang adalah kreatif dan mencapai Standard
Pembelajaran yang disenaraikan.

Selain itu, boleh dikatakan bahawa pengalaman menyiapkan tugasan ini telah
memberikan pengalaman yang bermakna kepada saya. Hal ini kerana tugasan ini
memerlukan saya untuk membuat satu rancangan pengajaran harian dan perlu
membentangkan rancangan pengajaran harian tersebut secara micro teaching.
Pengalaman ini amat berguna kerana saya berpeluang membentangkan rancangan
pengajaran harian ini secara praktikal di padang. Di samping itu, saya juga dapat
membuat penambahbaikan terhadap cara dan teknik pengajaran saya. Oleh itu,
segala pengalaman melalui sesi pengajaran micro teaching amat bermakna bagi
saya ketika saya keluar untuk berpraktikum nanti.

Kesimpulannya, kerja kursus ini serba sedikit telah memberi impak kepada
diri saya terutama sekali dari segi mental dan rohani. Banyak pengalaman dan
pengetahuan baru yang saya pelajari di sepanjang kerja kursus ini dijalankan. Antara
perkara yang saya pelajari adalah kepentingan berfikiran kritis dan kreatif serta
membaiki kemahiran berkomunikasi saya. Sebagai seorang bakal pendidik, perkara-
perkara tersebut amat penting bagi membantu saya dalam membentuk akhlak dan
cara pemikiran seorang guru. Oleh itu, saya berasa berbesar hati kerana dapat
menjalankan tugasan projek ini setelah menilainya dari sudut yang positif.

Akhir sekali, sekalung penghargaan saya berikan kepada pensyarah


pembimbing, En. Ravi A/L Margapandu di atas segala tunjuk ajar yang diberikan
sepanjang saya menyiapkan tugasan ini. Tidak lupa juga kepada rakan-rakan
seperjuangan yang sentiasa memberikan tunjuk ajar kepada saya semasa saya
menghadapi masalah. Banyak pengalaman dan inputinput yang berguna telah saya
pelajari dalam kerja kursus ini. Segala inputinput terbaru ini amat membantu saya
meningkatkan penguasaan diri terhadap subjek Pendidikan Jasmani yang
memerlukan pengetahuan yang mendalam mengenai kurikulum dan pedagogi
pendidikan jasmani. Segala pengalaman dan pengetahuan yang saya perolehi akan
saya manfaatkan dan aplikasikan pada masa yang akan datang. Sekian, Terima
Kasih.

Anda mungkin juga menyukai