1. IKHLAS NIAT Kewajipan ke atas setiap muslim di dalam memastikan niat ketika
menuntut ilmu ikhlas kerana Allah dan bukannya untuk mencari habuan dunia yang
sementara kerana Rasulullah S.A.W pernah memberi amaran yang mana Allah akan
menyediakan tempat di dalam neraka bagi mereka yang menuntut ilmu untuk kesenangan
dunia semata-mata tanpa memikirkan maslahat Islam dan ummatnya. Memang agak
susah untuk ikhlas di dalam belajar tetapi kita mesti terus berusaha ke arahnya. Kita yang
berada dalam sistem sekular yang mementingkan material menyebabkan kita terlupa
bahawa ilmu yang dipelajari bukan untuk mendapatkan tempat dan kedudukan serta
kerja tetapi adalah untuk menjauhkan kita daripada kejahilan yang mana dengan ini
mampu menjadi perisai diri di dalam melawan arus kesesatan dan seterusnya membawa
perubahan kepada keislaman. Jadikanlah diri kita sebagaimana padi yang mana semakin
semakin berisi semakin tunduk ke bumi kerana rendah diri. Jangan jadi sebagaimana
lalang yang tinggi semakin mendongak ke langit kerana sombong. Ingatlah bahawa orang
yang benar ikhlas dalam menuntut ilmu sahaja yang mampu memiliki sifat terpuji
termasuk merendah diri. Maksud firman Allah dalam ayat 235 surah al-
Baqarah :.........Dan ketahuilah bahawa Allah mengetahui apa yang tersemat dalam
hatimu maka takutlah kepadaNya dan ketahuilah bahawa Allah Maha Pengampun lagi
Maha Penyayang. Ingatlah bahawa setiap orang akan binasa melainkan orang yang
berilmu, setiap orang yang berilmu akan binasa melainkan orang yang beramal dan setiap
orang yang beramal akan binasa melainkan orang yang benar-benar ikhlas.
4. MEMILIH TEMAN YANG SOLEH - Pilihlah teman yang mampu membawa kita ke
arah kebaikan dan cubalah hidupkan budaya nasihat menasihati antara satu sama lain di
dalam rumah kita sendiri samada berbentuk rasmi seperti diskusi kitab atau melalui
perbincangan yang tidak rasmi setiap hari.Loqman Al-Hakim pernah berpesan kepada
anaknya supaya sentiasa bersama orang alim dan soleh serta menghadiri majlis ilmu
kerana apabila Allah menurunkan keberkatan kita turut sama memperolehinya.
Disamping itu apabila kita sentiasa bersama orang soleh akan menasihati kita ke arah
kebaikan serta menegur kita apabila berlakunya kesilapan dan kesalahan. Ini kan
mematangkan lagi diri kita disamping menambahkan lagi semangat kita dalam belajar. Ini
bukan bermakna kita diminta menjauhi mereka yang tidak soleh sebaliknya kita diminta
berdakwah kepada mereka setakat kemampuan yang ada dan jangan pula kita yang
terpengaruh dengan cara hidup mereka. Ingatlah firman Allah dalam surah Al-Zukhruf
ayat 67 yang bermaksud :Teman-teman yang rapat pada hari itu sebahagiannya menjadi
musuh kepada sebahagian yang lain kecuali mereka yang bertaqwa. Rasulullah S.A.W
pernah berpesan kepada kita melalui hadis yang diriwayatkan oleh imam Tarmizi dan
Abu Daud : Seseorang itu mengikut agama sahabat temannya. Maka hendaklah
seseorang itu memerhati siapakah yang dijadikan teman.
8. MENGHORMATI GURU- Kita juga wajib menghormati guru dan mematuhi segala
arahannya selagi mana tidak menyalahi kehendak Islam. Kita mesti patuh kepadanya
walaupun fikrah atau pendapat kita berbeza. Kita pernah mendengar bagaimana imam
As-Syafi'e walaupun berijtihad bahawa qunut di dalam solat Subuh sunat ab'adh(kena
sujud sahwi jika tidak melakukannya) tetapi dia tidak melakukannya apabila mendirikan
solat itu berhampiran maqam gurunya imam Malik kerana menghormati gurunya.
Bagaimana dengan kita? Sesungguhnya ulama' silam begitu menitik beratkan masalah
keberkatan ilmu, sedangkan kita hari ini tidak lagi mengendahkan perkara ini. Ini
menyebabkan timbulnya pelbagai masalah terutama keruntuhan akhlak di kalangan
remaja.Guru janganlah dianggap sebagai guru di sekolah, universiti atau di tempat
pengajian sahaja tetapi kita mestilah menganggap bahawa dia pengajar dan secara
langsung sebagai pendidik yang mesti dihormati walaupun di mana berada.Cubalah kita
fikir dan renungi bersama tentang dua keadaan berbeza antara pelajar dulu dan sekarang
mengenai pandangan dan penghormatan mereka terhadap guru. Tanpa ada keserasian dan
kasih sayang yang wujud antara guru dan pelajar tidak memungkinkan berlakunya
ketenteraman dalam kehidupan seharian.Oleh itu marilah kita sama-sama membina
kembali keutuhan dan mahabbah antara guru dan pelajar agar ia mampu menyinarkan
kembali suasana harmoni serta menghindari perkara negatif dalam kehidupan.