Anda di halaman 1dari 4

M5

rencana
ARKIB : 10/05/2009

Menangani krisis cara kita


Malaysia dilanda krisis kewangan pada Julai 1997. Tiba-tiba, kita mendapati
diserang. Mata wang kita, yang stabil sekitar RM2.50 berbanding dolar AS selama
kira-kira 10 tahun (1986-1996), mula bertambah lemah sehingga mencecah hampir
RM5 berbanding dolar AS.
Pasaran saham kita merupakan pasaran saham yang menampilkan prestasi terbaik
di rantau ini, mula menjunam. Ini menimbulkan keadaan panik di kalangan korporat
apabila melihat nilai perniagaan mereka merudum. Ia turut menyebabkan orang
ramai yang melabur menjadi cemas kerana pelaburan mereka, sama ada dalam
saham atau hartanah, merosot dengan banyak. Untuk memburukkan lagi keadaan,
pihak berkuasa kewangan pada masa itu mula menaikkan kadar faedah dan
mengurangkan kredit, yang menyebabkan kitaran ganas (vicious cycle).
Menjelang penghujung 1997, apabila keadaan menjadi semakin buruk dari sehari ke
sehari, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ketika itu, meminta saya
kembali menyertai perkhidmatan awam untuk membantunya dalam mengatasi krisis
berkenaan.
Untuk memerangi musuh, seseorang itu perlu mengetahui siapa musuh itu dan
senjata apa yang digunakannya. Hanya dengan cara itu, barulah kita boleh merangka
strategi yang betul dan tepat untuk mengalahkan musuh - malah memungkinkan
kita untuk menewaskannya dalam permainannya sendiri. Musuh-musuh itu adalah
para spekulator mata wang. Mereka mengesan mangsa seterusnya setelah berjaya
menyerang Baht Thai pada 1997. Mereka menyebarkan mitos "penularan" dalam
usaha mereka menyerang mata wang negara lain di rantau ini. Senjata mereka:
meminjam mata wang negara yang hendak diserang, menjual mata wang itu secara
besar-besaran di pasaran dan, pada masa yang sama, menyebarkan cerita kononnya
ekonomi negara itu lemah.
Dan apabila mata wang negara itu menjadi lemah, mereka akan membeli semula
mata wang itu pada harga yang lebih murah berbanding harga jualan. Selepas itu,
mereka akan melunaskan pinjaman mereka dan memperolehi keuntungan yang
lumayan.
Bagaimana kita hendak melawan musuh sedemikian? Mungkin cara yang paling
mudah untuk menentang mereka ialah Bank Negara membeli mata wang semasa
spekulator mata wang menjualnya. Memandangkan pembelian oleh bank pusat
dapat meneutralkan jualan spekulator, mata wang itu tidak akan lemah.
Dalam sesetengah keadaan, strategi sedemikian boleh berjaya tetapi tidak semasa
krisis 1997/98. Pada 1997, spekulator mata wang terutamanya dana lindung nilai
mempunyai jumlah modal yang amat besar dan selain itu, mereka boleh meminjam
sehingga 20 kali ganda modal mereka daripada bank-bank antarabangsa. Rizab mata
wang asing Bank Negara pada 1997 cuma AS$20 bilion. Jumlah sumber spekulator
mata wang pula melebihi AS$500 bilion.
Pada 1998, apabila kita mula menganalisis situasi itu, kita menyedari terdapat dua
elemen yang memihak kepada manipulator mata wang iaitu:
i) Keupayaan mereka untuk meminjam jumlah ringgit tanpa had bagi tujuan jualan
singkat
ii) Rejim kadar tukaran apungan, di mana jika terdapat jumlah jualan yang lebih
besar berbanding dengan pembelian, mata wang itu akan menjadi lemah, dan begitu
juga sebaliknya.
Langkah-langkah "bukan ortodoks", yang kita perkenalkan pada 1 September 1998,
pada dasarnya bertujuan menyingkirkan kedua-dua elemen itu. Pertama, kita
menghentikan amalan membenarkan bukan pemastautin meminjam ringgit untuk
jualan singkat. Ini dengan serta-merta dapat mengekang spekulator daripada
memperolehi ringgit. Dan kedua, kita menukar rejim mata wang daripada rejim
kadar apungan kepada rejim kadar tetap. Kita menambatnya pada kadar RM3.80.
Berikutan langkah-langkah bukan ortodoks itu, ekonomi negara bertambah pulih
dan sejak 10 tahun lepas, kita bukan sahaja terselamat daripada krisis itu malah
menjadi makmur, dan kita kini berada di landasan yang sempurna untuk menuju ke
Wawasan 2020. Apabila gangguan manipulator mata wang beransur hilang sejak
beberapa tahun lepas, kita kembali kepada rejim kadar apungan pada 2005.
Selain mengingati ulang tahun ke-10 krisis mata wang, tahun 2007 juga merupakan
ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara. Lima puluh tahun yang pertama
menyaksikan transformasi Malaysia daripada sebuah negara dunia ketiga yang
miskin kepada sebuah negara yang moden dan makmur. Kerajaan pasca Merdeka
yang pertama telah memilih untuk mengekalkan struktur ekonomi yang diwarisi di
samping menerima pakai pendirian dasar pro-perniagaan. Dengan sikap laissez
faire (tanpa campur tangan kerajaan) ini mungkin nampak pelik mengikut
keperluan untuk menangani ketidakseimbangan yang serius pada ketika itu. Adalah
penting bagi kita untuk mengingatinya kerana ia telah memberikan kerajaan satu
ekonomi yang agak bertenaga yang boleh diusahakan untuk agenda pembangunan
masa depan negara.
Walaupun negara mencapai kemerdekaan ketika dunia dipengaruhi oleh ketegangan
ideologi, ia bersikap pragmatik. Pada 1957, kecenderungan terhadap fahaman
nasionalis-sosialis oleh negara-negara baru merdeka ketika itu telah dapat dielak.
Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, merupakan contoh
pragmatisme ini dan beliau telah mewujudkan tradisi dalam semua keputusannya;
daripada perjanjian politik pra Merdeka dengan British dan antara kaum yang
terdapat di Tanah Melayu hinggalah kepada dasar-dasar ekonomi luar dan dalam
negara.
Berjuang
Oleh itu, ketika banyak negara sedang membangun berjuang menghadapi cabaran
politik yang dipengaruhi oleh perbahasan ideologi - mengenai pilihan "isme" yang
dicipta oleh manusia dan mengenai kedudukan wanita dalam masyarakat - kita perlu
mengingatkan diri kita bahawa beradanya kita di tempat sekarang ialah kerana
sebahagian besarnya disebabkan isu-isu, yang memecahbelahkan dapat diatasi
ketika itu. Kita meneruskan langkah dengan memastikan semua orang - tanpa
mengira kaum dan gender - turut dilibatkan. Bukan sahaja itu, kita sebenarnya
sudah lama sedar bahawa jaminan ekonomi bergantung kepada keupayaan kita
untuk bersaing di peringkat antarabangsa kerana ekonomi kita sentiasa disepadukan
dengan ekonomi dunia - jauh sebelum globalisasi menjadi ikut-ikutan sekarang.
Hasil pembangunan negara, kira-kira 50 tahun kemudian, telah mendapat pujian.
Sekarang kita sudah hampir menghapuskan kemiskinan dan menyaksikan
pembentukan golongan berpendapatan sederhana. Walaupun kita mungkin
memandang ringan perkara ini, namun peningkatan kemajuan ekonomi dan mobiliti
sosial yang kita saksikan adalah sangat meluas. Adalah agak mengejutkan jika
kerapuhan situasi politik dan kerentanan ekonomi ketika Merdeka diberi
pertimbangan. Banyak perkara boleh menjadi silap.
Kita telah bertindak terhadap setiap krisis ekonomi; dari 1974 hingga 1986 hinggalah
kepada krisis kewangan 1997/98. Seperti mana semasa kita mendapat kemerdekaan,
kita telah mengambil langkah yang praktikal dan bebas setiap kali kita menghadapi
krisis. Kita membuat keputusan yang wajar dan menyakitkan tetapi kita
melakukannya mengikut "cara kita".
Dengan masa berlalu, faktor-faktor yang telah menjurus kepada pembangunan dan
krisis ekonomi semakin meningkat di peringkat antarabangsa, dengan ekonomi
Malaysia memanfaatkan peluang ekonomi global untuk menjadi ekonomi yang
pelbagai. Masa lampau dan masa depan kita akan terus dikaitkan dengan keupayaan
kita bertahan di peringkat antarabangsa. Kita sedar bahawa kita perlu meningkatkan
lagi standard domestik bagi memastikan daya saing negara dan kita sudahpun
memulakan perjalanan ini secara bijak dan praktikal. Hari ini, kita boleh
menganggap diri kita sebagai antara kisah kejayaan separuh kedua abad ke-20.
Kejayaan Malaysia merupakan kisah yang berkesinambungan, sama ada secara
sedikit atau banyak, tetapi sentiasa dibentuk pada asas yang sama. Cabaran di
Malaysia sentiasa menjadi penggalak untuk menyimpang daripada kelaziman, bukan
kerana mahu menjadi berbeza tetapi sebagai maklum balas kepada perubahan yang
penting. Keupayaan untuk menerima pakai perubahan dalam andaian asas (basic
assumptions), pendekatan kepada pembangunan dan rangka kerja institusi adalah
penting dalam memastikan kejayaan seterusnya. Jika tidak, pendekataan yang
menghasilkan kejayaan ini akan mengekang pertumbuhan masa depan.
Terdapat tanggapan bahawa kenegaraan pada masa depan akan berubah dengan
ketara berbanding dengan apa yang sudah kita lazimi. Malah, kita mula melihat
bagaimana kuasa teknologi dan kekuasaan pasaran sebagai institusi telah mengubah
konsep kedaulatan negara dalam dunia global. Kebebasan mobiliti pengetahuan,
mobiliti modal yang hampir bebas dan mobiliti buruh telah merubah pergerakan
yang mengawal ekonomi. Ia menjadikan masa depan lebih tidak menentu dan
justeru, lebih mencabar.
Kita tidak dapat meramalkan dengan tepat perubahan yang bakal berlaku pada masa
depan tetapi kita sedar bahawa kita perlu bersedia untuk menerima dan
mengendalikan perubahan berkenaan. Tanpa keupayaan itu, kita mungkin gagal
membentuk masa depan yang lebih baik. Di sini, saya menggariskan tiga elemen
yang kita perlukan.
Mesti ada pembentukan identiti rakyat Malaysia. Walaupun kita berbeza, kita perlu
mempunyai memori bersama yang dikongsi untuk kita bawa ke masa hadapan. Ini
adalah cabaran terbesar kita. Sejarah telah menunjukkan bagaimana pantasnya
negara berpecah-belah hanya kerana masalah ini.
Kegagalan untuk menangani isu ini jelas ketara selepas 12 tahun merdeka. Oleh itu,
kita menyediakan satu rangka kerja dasar yang menangani punca kegagalan yang
tragis itu. Ia memberikan kestabilan politik yang membolehkan kita melaksanakan
pembangunan ekonomi. Dalam aspek ini, kita sudah banyak mencapai kejayaan.
Bagaimanapun, kita masih mempunyai cara dalam mencapai matlamat mewujudkan
identiti negara dalam aspek yang sebenarnya. Kita perlu membangunkan prisma
bersama mengenai siapa sebenarnya Malaysia. Kita mesti berusaha mencari jalan
untuk memastikan secara keseluruhannya kita adalah lebih besar daripada
perbezaan kita. Ekonomi pasaran, jika tidak dijaga, boleh berlaku kejam tanpa
kewujudan institusi pelengkap yang mewakili nilai-nilai bersama. Ia juga
mentakrifkan "peraturan permainan" dan dengan itu, ia mentakrifkan mekanisme
insentif yang menentukan cara kita berkelakuan.
Kemakmuran ekonomi yang berterusan sebenarnya merupakan hasil daripada
peraturan yang betul dalam permainan ini, dan ia sudahpun terpahat dalam institusi
ini. Negara-negara yang mempunyai asas serupa mempunyai laluan pembangunan
berbeza kerana infrastruktur institusi mereka berlainan. Kita amat beruntung kerana
mewarisi satu set institusi yang berfungsi ketika merdeka, iaitu kemewahan yang
tidak dinikmati oleh banyak negara yang dijajah. Bagaimanapun, kita telah
mengubah suai sesetengah daripadanya dan mewujudkan yang baru semasa kita
berkembang sebagai sebuah negara.
Mereka yang hidup ketika negara mencapai kemerdekaan tidak mungkin akan ada
lagi pada 2057 . Tanggungjawab kita ialah untuk menghasilkan pemindahan
tanggungjawab antara generasi, iaitu perancangan penggantian. Tanggungjawab bagi
masa depan Malaysia kini milik anda.

Anda mungkin juga menyukai