Anda di halaman 1dari 8

1.

0 PENGENALAN
Drama adalah karya sastera yang disusun untuk melukiskan hidup dan aktiviti
menggunakan pelbagai tindakan, dialog dan permainan watak. Drama penuh
dengan permainan lakonan dan watak yang mampu memukau penonton. Drama
merupakan karya yang dirancang bagi pentas teater. Oleh yang demikian, drama
sangat mementingkan kreativiti serta unsur seni supaya drama yang dilakonkan
itu dapat menarik perhatian penonton. (Endraswara 2003)
2.0 DEFINISI DRAMA
Hashim Awang dalam Mohamad (2000) mendefinisikan drama sebagai jenis
sastera yang tercipta untuk dipentaskan atau dilakonkan. Pelakon melakonkan
aksi-aksi yang ditetapkan dan melafazkan dialog yang disediakan. Hal ini
bertepatan dengan konsep drama moden yang memerlukan skrip untuk dihafal
seterusnya dilafazkan dalam lakonan.
Sharif Shaary dalam Mohammad (1994) pula menghuraikan, drama sebagai
satu daripada genre kesusasteraan yang boleh berbentuk prosa atau puisi.
Berbeza daripada novel dan cerpen, drama biasanya ditulis untuk teater, dan para
pelakon mengambil alih peranan watak-watak yang memainkan aksi yang
diarahkan dan melafazkan dialog iaitu skrip yang telah dihafal.
Jelaslah, drama merupakan satu genre kesusasteraan yang dihasilkan dalam
bentuk dialog bahasa prosa atau bahasa puisi. Drama yang menarik menyatukan
seluruh unsur seni yang ada. Kejayaan drama bukan setakat bergantung pada
aspek lakonan semata-mata, tetapi kuat bergantung kepada skrip drama itu
sendiri.
3.0 SEJARAH DRAMA DI DUNIA
Sejarah drama di dunia boleh dikatakan bermula pada zaman dunia purba iaitu
pendidikan orang Athen semasa abad ke-5 berpandukan kesusasteraan, muzik
dan lakonan fizikal. Kesusasteraan termasuklah membaca, menulis, ilmu kira-kira
dan mendeklamasikan sajak, khususnya karya Homer. (Rahmah Bujang, 1991).
Kemudian, datang pula zaman pertengahan. Semasa ini, pihak Gereja
menentang habis-habisan drama yang melebihi batas. Pengharaman telah
dikeluarkan oleh kerajaan Rom yang melarang persembahan teater bahkan
mengancam dengan mengenakan hukuman yang dahsyat kepada para paderi
kristian yang melayan pelakon. Terdapat tiga punca berlakunya bantahan ini iaitu
lakonan orang Romawi yang mempunyai unsur lucah. Kedua, budaya orang yang

1
tidak menganut apa-apa agama mempunyai unsur mimetik dan dramatik dan akhir
sekali, berlaku konflik fahaman antara dunia dan alam roh serta tradisi
penentangan Plato terhadap teater.
Tetapi sejak abad ke-9, perkara ini perlahan-lahan berubah. Menerusi karya
Aristotle pada zaman itu, masyarakat umum mulai faham dan memberikan
persetujuan terhadap lakonan selagi ia bersifat rekreasi, dan menjadi satu
permainan dan hiburan jika memberikan ketenangan setelah bekerja keras.
Setelah itu, drama semakin berkembang hingga memasuki zaman
pembaharuan. Pada zaman ini, tamadun manusia dibongkar semula melalui
penemuan buku-buku klasik. Menurut Rahmah Bujang (1991), pengaruh dramatik
yang paling besar adalah Akademi Romawi tentang Pomponius Laetus. Dari sini,
pengaruh dramatik menular kepada kanak-kanak. Vittorion de Feltra merupakan
sebuah sekolah yang paling masyhur pada zaman itu kerana telah
memperkenalkan kurikulum yang paling berkemungkinan dramatik.
Seterusnya, drama telah memasuki zaman romantis. Pada akhir abad ke-18
hampir keseluruhan pemikiran Eropah beralih kepada aliran Romantisme. “Alam
Semula jadi” merupakan konsep asas aliran ini iaitu apa yang semula jadi adalah
sangat bernilai dan sebaliknya adalah tidak bernilai. Konsep romantik yang utama
ialah keduaan proses kehidupan. Manusia tertakluk di bawah dua kuasa yang
masing-masing menariknya ke sana dan ke sini. Gothe dalam Rahmah Bujang
(1991) melihatnya sebagai suatu kematian dan kehidupan semula. Manusia
mestilah kehilangan sebahagian dari dirinya sebelum mengasimilasikan yang
baru. Apa yang Gothe ingin sampaikan ialah, situasi dramatik ini seperti hidup itu
sendiri yang melibatkan kematian dan kelahiran semula sebelum drama itu
mampu memberikan makna.
4.0 SEJARAH DRAMA DI MALAYSIA
Perkembangan drama Melayu moden mempunyai kesinambungan dengan
sejarah pertumbuhan drama Melayu tradisional. Beberapa ciri drama tradisional
itu ternyata digunakan dalam menghasilkan drama Melayu moden. Sejarah drama
di Malaysia boleh dipecahkan kepada tiga bahagian iaitu sebelum perang dunia
kedua, zaman pemerintah jepun dan tahun-tahun menjelang kemerdekaan.
4.1 SEBELUM PERANG DUNIA KEDUA
Menurut Mana Sikana (1988), kewujudan drama di dunia ini ada kaitannya
dengan agama. Sebagai contoh, di Mesir Tua ada upacara agama berbentuk

2
nyanyian dan tarian, manakala di Malaysia pula ada aktiviti yang sama bentuk
dan isinya seperti main pantai, puja pantai, main puteri dan lain-lain yang
mempunyai unsur-unsur animisme. Daripada upacara-upacara keagamaan
inilah terbentuk drama tradisional.
Drama tradisional Melayu yang pertama ialah wayang kulit, wayang kulit
telah wujud sejak abad ke-13 dan ke-14 yang mana ia dikatakan berasal dari
Jawa dan berkembang pada zaman kesultanan dan berkembang pada zaman
Kesultanan Melayu Melaka (Mana Sikana 1988). Namun, setelah masuk abad
ke-19 Masihi, drama Melayu mempunyai ciri yang menunjukkan
kesempurnaannya sebagai sifat sebuah drama dan tidak bercorak lagi. Hal ini
kerana drama-drama ini telah tersebar ke seluruh negara. Drama ini dikenali
sebagai bangsawan yang mana ianya bukanlah asli Melayu.
Pada tahun 1930-an, drama-drama Shakespeare telah mula menular ke
dalam drama Melayu. Kumpulan-kumpulan bangsawan telah mengambil isi
dasar cerita-cerita tersebut, peristiwa, watak dan dialognya dan diolah dengan
suasana setempat untuk dipersembahkan dalam bentuk komedi. Daripada
adaptasi inilah bermulanya istilah ‘opera’ dan akhirnya istilah ini lebih kerap
digunakan berbanding istilah ‘drama’. Antara drama masyhur yang dipentaskan
pada tahun 1930 ialah drama Anak Setia oleh Shaharom Husain dan drama
Nasib Si Buta pada tahun 1932 (Mana Sikana, 1988)
4.2 ZAMAN PEMERINTAHAN JEPUN
Dikatakan zaman pemerintahan Jepun merupakan zaman penderitaan
kerana pada zaman itu makanan dan pakaian sangat terhad serta kesihatan
juga tidak terkawal. Sesiapa yang hendak melawan Jepun akan ditangkap
dan dipancung. Walaubagaimanapun drama di Malaysia tidak terkubur
begitu sahaja. Masih ada beberapa penulis yang masih meneruskan
penulisannya dalam genre drama. Shaharom Husain pada zaman itu
sempat mementaskan dramanya yang bertajuk ‘Lawyer Dahlan’ yang
bertempat di Gunung Pulai, Johor dihadapan masyarakat setempat serta
beberapa orang pegawai Jepun.
Beberapa kenyataan dapat diambil dalam perkembangan drama
semasa zaman pemerintahan Jepun. Pertama, ada skrip yang ditulis
sebelum kedatangan Jepun, kemudian dipentaskan pada zaman Jepun. Hal
ini dapat dilihat pada drama ‘Lawyer Dahlan’. Penulisnya, Shaharom Husain

3
telah menulis drama ini sebelum kedatangan Jepun dan dipentaskan
setelah kedatangan Jepun iaitu pada tahun 1942.
Kedua, ada juga drama ditulis dan dipentaskan pada zaman Jepun. Hal
ini telah dilakukan oleh Syed Alwi al-Hady. Pada mulanya beliau menulis
dan mementaskan Tariq bin Ziad: Pahlawan Islam. Setelah dram ini
mendapat sambutan, beliau menulis dan mementaskan lagi drama Hang
Tuah Pahlawan Melayu.
Akhir sekali ialah, menurut beberapa orang pemerhati seperti Abdul
Rahman al-Ahmady, sememangnya ada drama dihasilkan pada zaman
Jepun itu. Maksudnya, terdapat skrip drama ditulis dan dipentaskan, namun
skrip itu tidak disimpan untuk diterbitkan. Kegiatan berdrama sememangnya
ada, cuma tidak begitu hebat. Pihak Jepun tidaklah anti-drama, namun
drama yang dipentaskan itu bukannya anti-Jepun.
4.3 TAHUN-TAHUN MENJELANG KEMERDEKAAN
Pada awal tahun 1946, drama Lawyer Dahlan telah dipentaskan sekali lagi
di Pesta Kebudayaan di padang Sekolah Melayu Batu Putih, Batu Pahat
sempena Kelahiran Pergerakan Melayu Semenanjung Johor pimpinan
Dato’ Onn bin Ja’afar.
Menjelang zaman pra 50-an, drama Malaysia mula menunjukkan ciri-ciri
yang berunsurkan sejarah dan lebih matang. Keseluruhannya drama
sejarah bertujuan untuk menghidupkan keagungan , kebesaran sesebuah
kerajaan dengan penentangan terhadap anasir lain yang ingin
menceroboh. Ketika ini, gerakan nasionalisme sedang memuncak untuk
mendapatkan kemerdekaan.
Pada tahun 1950-an dunia sastera Melayu digerakkan oleh ASAS ’50.
Namun begitu, ASAS ’50 lebih menumpukan kepada bentuk puisi dan
cerpen. Hanya Jymy Asmara yang menghasilkan drama-drama pendek.
ASAS ’50 tidak menjadikan genre drama sebagai landasan perjuangannya.
Walaubagaimanapun Shaharom Husain masih menghasilkan karya-karya
dramanya seperti Tun Fatimah (1952), Keris Laksamana Bentan (1954).
(Mana Sikana, 1988).
Tahun-tahun 1950-an merupakan dekad pertama kebangkitan drama
Melayu secara cukup sedar. Za’ba adalah di antara tokoh intelek Melayu
yang mengambil berat terhadap perkembangan drama ini. Sejak tahun

4
1930-40 lagi Za’ba menggesa penglibat teater supaya menulis skrip. Pada
tahun 1951, Za’ba masih belum berpuas hati dengan mutu drama Melayu
dengan mengatakan tidak ada sebuah pun drama Melayu yang baik dan
tinggi Mutunya.
Ringkasnya, zaman ini merupakan zaman kegemilangan sandiwara.
Kita telah melihat bagaimana gigihnya beberapa orang penulis
menghasilkan karya yang bermutu. Antara karyawan masyhur pada zaman
ini ialah Shaharom Husain, Kalam Hamidy, Kala Dewata, Usman Awang
dan lain-lain. Manakala hasil karya yang terpenting dalam zaman ini ialah
Si Bongkok Tanjung Puteri karya Shaharom Husain. Megat Trawis juga
merupakan drama yang disebut-sebut pada zaman ini dan drama ini juga
yang memulakan drama bercetak di Malaysia. Manakala drama Malam
Kemerdekaan karya Usman Awang telah mengungkap dilema
kemerdekaan pada saat menjelangnya tarikh bersejarah 1957.
5.0 KATEGORI DRAMA
5.1 DRAMA TRADISIONAL
Sebagaimana yang telah saya nyatakan dalam bahagian Sejarah Drama di
Malaysia, Drama tradisional telah wujud sejak abad ke-13 dan ke-14
dengan adanya wayang kulit yang dikatakan berasal dari jawa. Kemudian,
pada abad ke-18 telah dimasukkan lagi sebuah drama yang berasal dari
Negeri Thai iaitu Makyung. Makyung boleh dikatakan sebagai drama
kerana mempunyai cerita, tarian, dan lakonan.
Drama tradisional Melayu Lebih cenderung bercorak setempat.
Contohnya, di Pulau Pinang, adanya drama boria. Walaupun tumpuannya
lebih kepada tarian, namun dalamnya ada terselit lakonan yang mempunya
cerita dan bermotifkan masyarakat.
Sememangnya pada zaman tradisional ini, masyarakat Melayu masing-
masing dengan hukum kebudayaannya memperkembangkan bentuk-
bentuk drama, yang sesuai dengan kepercayaannya.
5.2 DRAMA MODEN
Munculnya drama Moden ini adalah disebabkan pementasan drama
“Bukan Lalang Ditiup Angin” pada tahun 1970 yang dikarya oleh Noordin
Hassan. Beliau telah meninggalkan aliran realisme dan tukarkan kepada

5
konsep teater kontemporari yang cenderung bermain dengan lambang-
lambang.
Selain itu, drama moden juga merupakan lanjutan daripada proses
perkembangan konsep dan aliran yang berkembang dari barat (Zakaria
Ariffin, 1984). Drama ini juga disebut sebagai absurdisme. Menurut Zakaria
Ariffin (1984) drama absurd ini sudah berkembang di Barat pada awal tahun
50-an dan nama-nama seperti Samuel Backett, Eugene Ionesco, Arthur
Adamov dan Harold Pinter disebut sebagai dramatis-dramatis terawal yang
menghasilkan karya-karya absurd.
Tambahan lagi, pada tahun 1973, Dinsman telah mementaskan
dramanya yang berjudul “Jebat”, Dinsman dikatakan dramatis yang terawal
mencari perubahan-perubahan sedemikian selepas Noordin Hassan.
Kemudian, Dinsman membuat kemunculan pada tahun 1975 dengan
dramanya “Bukan Bunuh Diri”. Pementasan ini dianggap sebagai satu
percubaan yang lebih berani, baik dari aspek teknik persembahannya
mahupun persoalan-persoalan yang diutarakan. Antara karya-karya lain
yang membawa perubahan kepada drama moden ialah “Vakum” (1978)
oleh Anuar Nor Arai, “Apa-apa”, “Bunuh” dan “Azimat” (1976) oleh Mana
Sikana.
6.0 ALIRAN DRAMA
6.1 ALIRAN REALISME
Menurut Zakaria Ariffin (1984), realisme bermaksud berhampiran kepada
kenyataan atau kehampiran kepada hal-hal yang nyata terutamanya dalam
hubungannya dengan penulisan sesebuah karya sastera atau pementasan
sesebuah drama pentas. Ia bermaksud kepercayaan bahawa sesuatu itu
dapat dilihat dan disentuh. Contohnya, sebuah kerusi, bermakna kerusi itu
betul-betul wujud di situ dan boleh disentuh.
Dalam konteks drama, konsep realisme seseorang penulis lebih
menekankan kepada gambaran kehidupan sebagaimana yang dapat dilihat
betul-betul berlaku, bukannya gambaran kehidupan yang bakal atau
mungkin berlaku
Dari sudut struktur drama realisme Malaysia menggunakan teori
Aristotle iaitu adanya protasis, apitasis dan katastasis. Manakala dari sudut
plotnya masih berpegang kepada pola lima tahap iaitu eksposisi, krisis,

6
klimaks, antiklimaks dan penyelesaian. Drama realisme Melayu lebih
dihasratkan kepada penyampaian cerita, sehingga yang dipentingkan ialah
cerita dan bagaimana hendak menyudah atau menyelesaikan cerita.
Mustapha Kamil Yassin telah menegaskan konsep aliran realisme
melalui dramanya Atap Genting Atap Rembia (1963). Dalam eseinya
(“Beberapa Persoalan Drama dari Segi Penulisan”, Dewan Masyarakat,
Oktober 1963), Mustapha dengan tegas menolak drama-drama
bangsawan serta sandiwara yang pada waktu itu sudah meninggalkan
alam fantasi dan mula membawa tema dan plot yang masuk akal, tetapi
masih belum pembaharuan ke arah konsep moden dalam perkembangan
drama Melayu waktu itu. Menurut Mustapha dalam eseinya dalam Zakaria
Ariffin (1984), sandiwara, “belum mengemukakan lakonan sebagai satu
kesenian. Senikatanya masih terpulang kepada para peserta yang
melahirkan ucapan mengikut kehendak peristiwa. Perabot dan alat-alanya
masih ditarik, digulung atau dilepaskan. Sandiwara tidak lepas dari menjadi
alat penghibur semata dan bukan sebagai seni yang berkesan.”
Tambahan lagi, Hassan Ahmad juga bersetuju dengan Mustapha Kamil
tentang drama aliran realisme. Hal ini boleh dilihat dalam eseinya “Sepintas
Lalu Mengenai Drama” (Dewan Bahasa, Jun 1960). Menurutnya,
“pengarang drama zaman sekarang, zaman serba baharu dan maju, mesti
menitikberatkan soal tema dan bahan-bahan cerita yang sesuao dengan
masyarakat penontonnya. Antara drama yang membawa aliran realisme
ialah “Manusia Hina” karya Kala Dewata dan “Malam Kemerdekaan” yang
dipentaskan pada tahun 1960, bersesuaian dengan masyarakat pada
zaman itu.
6.2 ALIRAN BUKAN REALISME
Drama aliran bukan realisme amat berbeza dengan aliran realisme. Hal ini
kerana drama ini mendokong sifat yang tidak logik dan tidak masuk akal.
Drama tradisional tergolong dalam drama aliran bukan realisme. Hal ini
kerana drama ini mempunyai gaya penceritaan yang dipengaruhi
kepercayaan dan budaya.
Sebagai contoh dalam drama “Cetera yang Kedua” dalam buku Sejarah
Melayu (1975), “Maka dengan takdir Allah Taala lembu kenaikan baginda
(Nila Pahlawan, Kerisyna Pandita dan Nila Utama). Itu pun muntahkan

7
buih, maka keluarlah daripada buih itu seorang manusia laki-laki dinamai
Bat dan destarnya terlalu besar. Jelas di sini bahawa terdapat unsur bukan
aliran realisme apabila penulis menyatakan lembu mengeluarkan buih yang
dalamnya terdapat seorang manusia. Jika mengikut logik akal, mana
mungkin seekor lembu dapat mengeluarkan seorang manusia. Inilah yang
dinamakan unsur aliran bukan realisme dalam drama.
7.0 RUMUSAN
Secara keseluruhannya, drama di dunia telah bermula dari abad ke-5 lagi dan
telah menular ke Malaysia dengan kedatangan wayang kulit yang berasal dari
jawa. Drama merupakan salah satu saluran untuk manusia mengeluarkan
pendapat, idea dan buah fikiran selain tujuan berhibur. Drama mempunyai dua
aliran berbeza iaitu aliran realisme dan bukan realisme. Secara ringkasnya, drama
aliran realisme ini mempunyai penceritaan yang logik dan dapat diterima oleh
masyarakat. Manakala drama aliran bukan realisme ini telah bermula sejak zaman
tradisional lagi dengan ada unsur-unsur mitos dalam penceritaan. Hal ini adalah
disebabkan percampuran antara adat, budaya, agama dan kepercayaan
masyarakat setempat.

Anda mungkin juga menyukai