Anda di halaman 1dari 16

Isi Kandungan

Penghargaan.............................................................................................................................................2
1.0 Pengenalan.........................................................................................................................................3
2.0 Sejarah perkembangan drama di dunia..........................................................................................3
2.1 Zaman yunani.................................................................................................................................4
2.2 Zaman Romawi..............................................................................................................................4
2.3 Zaman Pertengahan......................................................................................................................5
2.4 Zaman timur....................................................................................................................................6
2.5 Zaman moden.................................................................................................................................6
3.0 Aliran drama di dunia.........................................................................................................................7
4.0 Jenis drama di dunia..........................................................................................................................8
5.0 Sejarah perkembangan drama kanak-kanak di Malaysia.............................................................9
5.1 Era 1950-an..................................................................................................................................10
5.2 Era 1960-an..................................................................................................................................10
5.3 Era 1970-an..................................................................................................................................11
5.4 Era 1980-an..................................................................................................................................12
5.5 Era 1990-an sehingga kini..........................................................................................................12
6.0 Kesimpulan.......................................................................................................................................14
7.0 Rujukan..............................................................................................................................................15

1
Penghargaan

Salam sejahtera, pertama sekali saya ingin merufukkan kesyukuran kehadrat Ilahi kerana
dengan izin dan kurnia-Nya dapat juga saya menyiapkan tugasan bagi subjek Drama Dalam
Pendidikan (BMMB3083). Sepanjang saya menjalankan tugasan ini, saya telah memperolehi
pelbagai pengalaman sama ada pahit mahupun manis yang amat berharga dan bermakna
dalam hidup saya yang bakal bergelar sebagai seorang pendidik kelak. Pengalaman yang saya
perolehi sepanjang menjalankan tugasan ini mungkin hanya akan datang sekali sahaja dalam
hidup saya.

Saya ingin mengucap ribuan terima kasih kepada Dr Wan Norlidza Binti Wan Mohd Zain
pensyarah bagi kursus Drama Dalam Pendidikan yang tidak mengenal erti penat lelah dalam
memberi tunjuk ajar dalam menyiapkan tugasan ini. Tidak lupa juga kepada ibu bapa yang
berada di kampung yang selalu memberi sokongan moral dan nasihat sebagai pembakar
semangat kepada kami dalam menyiapkan tugasan ini. Saya juga ingin mengucapkan terima
kasih kepada rakan-rakan yang selalu menyumbang pendapat dan idea-idea yang bernas
ketika saya buntu dalam menyiapkan tugasan ini.

Akhirulkalam, ucapan ini ditujukan khas kepada semua pihak yang telah terlibat secara
langsung ataupun tidak langsung. Segala bantuan yang anda hulurkan amatlah saya hargai
kerana tanpa bantuan anda semua tugasan ini tidak akan dapat dilaksanakan dengan
sempurna.

2
1.0 Pengenalan
Kamus Dewan Edisi Keempat (2016) telah mendefinisikan drama sebagai sebuah karya yang
dipersembahkan oleh pelakon di pentas, radio, atau televisyen. Drama merupakan sebuah seni
mengenai sandiwara seperti cara menyusun skrip, latar, hiasan tempat dan sebagainya. Oleh
itu, drama secara khususnya adalah karya sastera yang disusun untuk melukiskan hidup dan
aktiviti menggunakan pelbagai tindakan, dialog dan permainan watak. Drama penuh dengan
permainan lakonan dan watak yang mampu memukau penonton. Drama merupakan karya yang
dirancang bagi pentas teater. Menurut Mana Sikana (2006), drama juga merupakan sejenis
karya seni yang menggunakan gerak, bahasa, pentas, kostum, bunyi, dan cahaya. Dengan
perkataan lain, drama merupakan sebuah lakonan yang dilakukan oleh pelakunya yang
tertentu.

2.0 Sejarah perkembangan drama di dunia


Sejarah perkembangan drama di dunia mempunyai ketidakpastian dan ketiadaan sumber dan
kenyataan yang sahih dan tepat mengenainya. Hal ini jelas terbukti apabila sejarah sendiri tidak
dapat memastikan, manakah bangsa atau negara yang terlebih dahulu memiliki tradisi drama.
Ahli-ahli sejarah ternyata tidak pernah sepakat untuk membulatkan keputusan mengenai premis
ini, sehingga pengkajian yang terakhir berhubung dengan sejarah drama terawal,
menyifatkannya sebagai sebuah misteri yang belum dapat dipecahkan (Abdul Rahman Napiah,
1987). Sejarah perkembangan drama juga telah mengalami banyak perubahan dari semasa ke
semasa, sesuai dengan masyarakat yang menghidupkannya (Mana Sikana, 2006).

3
Berdasarkan hasil bacaan dari pelbagai sumber, satu susur galur perkembangan drama
di dunia dapat saya perincikan mengikut zaman termasuklah zaman Yunani, zaman Romawi,

Zaman Zaman Zaman Zaman


Zaman Yunani
Romawi Pertengahan Timur Moden

zaman pertengahan, zaman timur dan zaman moden.

Rajah 1: Garis masa perkembangan drama di dunia

2.1 Zaman yunani


Seni drama mulai berkembang melalui pemujaan tuhan orang-orang Yunani pada ketika itu
yang bernama Dionysos. Dalam usaha untuk memberi penghormatan kepada tuhan ini, mereka
telah mengadakan tarian dan lakonan untuk memuja dan memuji Dionysos. Dari perayaan
inilah lahirnya bentuk seni drama yang terawal di dunia yang dipanggil lakun trajidi. Seni drama
ini timbul dari lakonan-lakonan mengenai kejatuhan dewa-dewa seterusnya kepada kejatuhan
raja-raja dan golongan bangsawan. Ia merupakan lakonan yang lebih mementingkan suasana
sedih dengan nada yang bersungguh-sungguh, dan oleh kerana itulah trajidi hanya
menggambarkan golongan atasan (Rahmah Bujang, 1975). Dalam zaman Yunani juga terdapat
sebuah bentuk drama lain yang dipanggil lakun komidi (sebalik dari trajidi). Ia membentangkan
kejadian-kejadian lucu yang khususnya berkisar di sekitar golongan rakyat jelata dalam
gambaran hidup seharian.

4
Tamadun Yunani juga telah memperkenalkan pentas kepada alam seni drama, terutama
apabila pertunjukan-pertunjukan drama mula mendapat sambutan di negeri tersebut. Pentas
terbesar yang telah didirikan untuk tujuan lakonan dikenali sebagai ‘Panggung Dionysos’. Pada
peringkat ini, persembahan masih lagi bersifat keagamaan dan pertunjukan-pertunjukan drama
hanya diadakan di hari-hari perayaan tuhan Dionysos sahaja. Rahmah Bujang (1975) juga
berkata, seni drama pada zaman tersebut juga dipelihara mutunya daripada peniruan atau
kejatuhan nilai seninya melalui pertandingan-pertandingan yang diadakan untuk memilih hasil
yang bermutu. Pertandingan-pertandingan ini merupakan peristiwa-peristiwa tahunan dan
sambutannya menyamai kebesaran perayaan negara.
Antara nama yang terkemuka dalam sejarah seni drama Yunani pada masa itu
termasuklah Aristotle, Sophocles, dan Plato. Secara kesimpulannya, drama-drama pada zaman
Yunani ini bukan sahaja masyhur dan disanjung pada ketika itu, malahan turut dilakonkan
semula dan difilemkan serta menjadi bahan tiruan dramatis zaman moden.

2.2 Zaman Romawi


Zaman Romawi bermula setelah berlakunya kejatuhan tamadun Yunani. Selain daripada
meniru bentuk-bentuk kebudayaan dari tamadun Yunani, orang-orang Romawi juga meniru seni
dramanya, baik dari segi corak trajidi mahupun komidi.
Jika zaman Yunani terkenal sebagai zaman permulaan bagi penggunaan pentas, maka
zaman Romawi adalah zaman perkembangannya (Rahmah Bujang, 1989). Orang-orang
Romawi sangat menggemari perhiasan dan peralatan yang berlebih-lebihan, lalu menimbulkan
zaman yang baru dalam pementasan drama. Pentas-pentas yang akan digunakan untuk
lakonan dihiasi dengan peralatan-peralatan yang cantik buatannya. Bangunan-bangunan
pentas dibuat dengan teliti, dihiasi dengan ukiran-ukiran yang cantik padanya. Tetapi mutu
drama sebaliknya telah jatuh kerana berakhirnya unsur-unsur dan pengertian keagamaan yang
sering dikaitkan dalam pertunjukan seperti pada zaman Yunani. Dalam zaman Romawi juga,
bangunan-bangunan pentas untuk tujuan drama telah bertukar kepada pertunjukan-pertunjukan
peperangan dan pertandingan kekuatan antara manusia hamba dengan binatang buas, yang
bersifat tidek berperi kemanusiaan dan ngeri untuk ditonton. Dengan itu, kedudukan
pertunjukan seni drama pada zaman Romawi telah jatuh nombor dua sebagai hiburan pada
zaman tersebut, jika dibandingkan dengan pertandingan-pertandingan kekuatan, menurut
Rahmah Bujang (1975).
Walaupun begitu, terdapat juga beberapa tokoh seni drama sebagai artis terkemuka dan
mendapat sanjungan di bidang drama pada zaman Romawi iaitu Q. Roscius Gallus Naevius

5
dan Titus Marcius Plautus yang terkenal dengan kehandalan lakonan dan kehebatan hasil
karya seni drama yang dicipta oleh mereka pada zaman tersebut.

2.3 Zaman Pertengahan


Dari seni drama Yunani dan Romawi, sejarah drama di dunia khususnya di Barat telah beralih
kepada negeri-negeri Eropah. Menjelang zaman ‘Rennaissance’ di Eropah, zaman tersebut
telah membawa perubahan pemikiran manusia daripada fikiran-fikiran yang condong kepada
keagamaan, kepada pemikiran-pemikiran yang ternyata bersifat lebih revolusioner. Fahaman
baru yang diterapkan dalam pemikiran manusia pada ketika itu telah menggantikan fahaman
serta asas hidup yang lama.
Aliran pada zaman ini lebih menitikberatkan penilaian dari segi keindahan estetikanya
berbanding sifat-sifat keagamaan. Bentuk-bentuk trajidi dan komidi yang terdapat pada zaman-
zaman seblumnya telah ditukar dalam tujuan membawa pengertian baru dari dasar lamanya.
Pertunjukan-pertunjukan drama pada zaman ini tidak lagi terhad kepada perayaan agama
sahaja, malahan ianya sudah berubah menjadi satu bentuk hiburan dan merupakan salah satu
usaha perdagangan yang menguntungkan (Rahmah Bujang, 1989). Aliran-aliran dalam corak
penulisan drama juga mulai timbul, seperti aliran realism, romantisma dan simbolisma berikutan
perkembangan pemikiran manusia pada zaman tersebut.
Negeri-negeri di Eropah pada zaman tersebut telah menghasilkan karya-karya drama
yang diolah mengikut keadaan tempatan dalam zaman-zaman kegiatan drama di negara
masing-masing. Zaman pertengahan iaitu zaman Barat di Eropah ini juga menandakan
bermulanya aliran realism dalam sejarah perkembangan drama di dunia. Kesimpulannya,
kegiatan seni drama pada masa ini sudah berkembang dan meluas dengan baik dari segi
penciptaan mahupun dari segi pengkajian dan penganalisaannya (Rahmah Bujang, 1975).

2.4 Zaman timur


Perkembangan drama di Timur juga selari dengan perkembangan drama di Barat. Namun
begitu, kesan daripada kemunduran negara Timur jika dibandingkan dengan negara Barat telah
mengakibatkan berlakunya kekurangan dokumentasi berkaitan sejarah dan kegiatan drama
yang terdapat di sana. Tambahan pula, sesetengah negara di Timur seperti Timur Tengah
sebagai contohnya, telah mengharamkan pertunjukan tarian dan seni drama yang bertentangan
dengan agama Islam yang dianuti oleh mereka. Kekurangan bahan tulisan juga menjadi sebab

6
kepincangan maklumat dalam pendokumentasian drama yang dihasilkan pada zaman tersebut
(Rahmah Bujang, 1975).
Namun begitu, apa yang boleh kita tekankan di sini ialah zaman Timur juga sama
seperti zaman Barat iaitu di Yunani, iaitu mementingkan drama sebagai fungsi keagamaan.
Tetapi, kemungkinan itu masih tidak dapat dipastikan oleh kerana kekurangan bahan tulisan
untuk melengkapkan dokumentasi yang boleh dijadikan sebagai panduan untuk melengkapkan
maklumat ini.

2.5 Zaman moden


Perkembangan drama dalam sejarah dunia pada abad ke 19 merupakan proses perkembangan
drama yang baharu atau lebih dikenali sebagai drama pada zaman moden. Ini adalah kerana
perpindahan masyarakat akibat Revolusi Industri yang turut menyebabkan perubahan pada
seni drama. Pada akhir abad ke 19 di Jerman, terdapat beberapa orang penulis drama pada
ketika itu yang mula menunjukkan perubahan dari segi penambahbaikan berbanding zaman-
zaman sebelumnya (Hashim Awang, 1984). Pada ketika itu, drama mula menunjukkan
perubahan dan pembaharuan melalui pementasan teater kecil. Drama moden juga
diperkenalkan pada zaman tersebut. Drama moden merupakan proses lanjutan dan kejayaan
yang dimulai pada zaman Yunani lagi. Selepas itu, banyak lagi kejayaan dan perkembangan
tentang sejarah drama moden di dunia sehingga kini.

3.0 Aliran drama di dunia


Aliran drama terbahagi kepada dua iaitu realisme dan bukan realisme. Menurut Hashim Awang
(1984), realisme bermaksud berhampiran kepada kenyataan atau kehampiran kepada hal-hal
yang nyata terutamanya dalam hubungannya dengan penulisan sesebuah karya sastera atau
pementasan sesebuah drama pentas. Ia juga merujuk kepada kepercayaan bahawa sesuatu itu
dapat dilihat dan disentuh. Contohnya, sebuah meja, bermakna meja itu betul-betul wujud di
situ dan boleh disentuh.
Dalam konteks drama, konsep realisme seseorang penulis adalah lebih menekankan
kepada gambaran kehidupan sebagaimana yang dapat dilihat betul-betul berlaku, bukannya
gambaran kehidupan yang bakal atau mungkin berlaku. Hal ini boleh dinyatakan sebagai realiti

7
yang ditunjukkan dalam sesebuah drama lebih mencerminkan gambaran nyata mengenai
kehidupan yang dialami oleh masyarakat setempat.
Dari sudut struktur pula, drama realisme Malaysia menggunakan teori Aristotle iaitu
adanya protasis, apitasis dan katastasis. Manakala dari sudut plotnya, ianya masih berpegang
kepada pola lima tahap iaitu eksposisi, krisis, klimaks, antiklimaks dan penyelesaian. Drama
realisme Melayu lebih dihasratkan kepada penyampaian cerita, sehingga yang dipentingkan
ialah cerita dan bagaimana hendak menyudah atau menyelesaikan cerita. Antara drama yang
membawa aliran realisme ialah “Manusia Hina” karya Kala Dewata dan “Malam Kemerdekaan”
yang dipentaskan pada tahun 1960, bersesuaian dengan masyarakat pada zaman itu.
Drama aliran bukan realisme amat berbeza dengan aliran realisme. Hal ini kerana
drama ini mendokong sifat yang tidak logik dan tidak masuk akal. Drama tradisional tergolong
dalam drama aliran bukan realisme. Hal ini kerana drama ini mempunyai gaya penceritaan yang
dipengaruhi kepercayaan dan budaya. Oleh itu, jelaslah di sini bahawa terdapat unsur bukan
aliran realisme apabila penulis menyatakan lembu mengeluarkan buih yang dalamnya terdapat
seorang manusia. Jika mengikut logik akal, mana mungkin seekor lembu dapat mengeluarkan
seorang manusia. Inilah yang dinamakan unsur aliran bukan realisme dalam drama.

8
4.0 Jenis drama di dunia

Tragedi
Musikal
dan Komedi
opera

Jenis Tragiko
Satir
drama medi

Melodra
Parodi
ma

Farce

Rajah 2: Jenis drama di dunia


Terdapat lapan jenis drama di dunia. Jenis drama yang pertama ialah tragedi. Tragedi ialah
drama yang berakhir duka. Biasanya, drama jenis ini akan diakhiri dengan maut yang akan
menjemput watak utama. Tragedi mengisahkan pergelutan manusia dalam usaha untuk
melawan takdirnya (N Riantiarno, 2003). Jenis drama yang seterusnya ialah komedi yang
berkisarkan tentang kisah penuh tawa gembira dan berakhir dengan sukacita. Drama jenis
tragikomedi pula merupakan drama yang menggabungkan tragedi dan juga komedi. Drama ini
mengetengahkan unsur kegembiraan dan kelucuan pada peringkat awal, dan kemudiannya
berakhir dengan kisah tragis. Terdapat dua kemungkinan pengakhiran bagi drama jenis
tragikomedi, iaitu pengakhiran yang gembira ataupun pengakhiran yang sedih (Wiyanto, 2002).
Drama seterusnya ialah drama melodrama yang amat menekankan kisah yang
membolehkan penonton mengalirkan air mata. Farce pula merupakan drama yang
mengutamakan gerak yang disajikan berlebihan dan tidak wajar, tetapi itulah gaya yang dipilih.
Drama jenis parodi pula berunsurkan bahan kelucuan melalui makna yang akan diputarbelit
dalam drama jenis tersebut. Satir pula merupakan jenis drama yang menggunakan istilah ‘satir’
yang berasal daripada bahasa Yunani yang bermaksud ejekan tentang tokoh atau keadaan

9
yang dibawa dengan penuh kepahitan (Riantiarno, 2003). Muzikal dan opera pula merupakan
drama yang dihasilkan dengan iringan muzik dan turut dinyanyikan. Kebanyakan dialog diubah
menjadi bentuk nyanyian.

5.0 Sejarah perkembangan drama kanak-kanak di Malaysia


Di Malaysia, drama kanak-kanak dipercayai telah wujud pada awal abad ke-20 selepas drama-
drama di Barat berkembang meluas, drama-drama tersebut telah disadur, diterjemahkan oleh
PKM (Persatuan Kanak-Kanak Malaysia) malahan turut dipentaskan serta disiarkan di kaca
televisyen serta di corong-corong radio. Drama kanak-kanak masih mendapat perhatian
walaupun telah dihasilkan dengan pelbagai tema, motif, dan gaya mengikut perkembangan
zaman dan tahun. Bermula pada tahun 1960-an, 1970-an, 1980-an dan sehingga kini, drama
kanak-kanak di Malaysia terus berkembang sesuai dengan peredaran masa. Oleh itu, saya
akan perincikan sejarah perkembangan drama kanak-kanak mengikut era.

Era 1950-an

Era 1960-an

Era 1970-an

Era 1980-an

Era 1990-an
sehingga kini

Rajah 2: Susur Galur Sejarah Perkembangan Drama Kanak-Kanak

10
5.1 Era 1950-an
Pada abad ke-20, drama kanak-kanak di Malaysia mula berkembang dan terus bernafas
walaupun penerbitan drama kanak-kanak pada masa tersebut adalah hasil daripada terjemahan
drama kanak-kanak dari Barat oleh penterjemah tempatan. Mereka membukukan hasil
terjemahan tersebut lalu dipasarkan dalam kalangan masyarakat terutamanya untuk menjadi
bahan bacaan kanak-kanak pada zaman tersebut. Contohnya, pada tahun 1957, karya klasik
Inggeris yang popular bertajuk “Macbeth” oleh Shakespeare telah diterjemahkan oleh Hussien
Ahmad iaitu seorang penterjemah tempatan ke dalam bahasa Melayu lalu diterbitkan oleh
sebuah syarikat penerbitan iaitu Syarikat Saudara Sinaran Berhad.

5.2 Era 1960-an


Pada zaman ini, drama kanak-kanak telah berkembang dengan mantap sekali dengan
adanya pergerakan dan usaha keras dari penggiat drama kanak-kanak pada zaman 1950-an.
Hal ini demikian kerana, para penulis tempatan telah mula menceburi bidang penulisan drama
kanak-kanak dan bergiat menghasilkan drama bermula dari zaman tersebut. Keadaan ini
adalah berbeza pada tahun sebelumnya kerana penghasilan sesebuah drama kanak-kanak
hanya diambil daripada drama negara lain seperti England, Russia, Indonesia, Singapura dan
lain-lain. Tambahan pula, pada ketika ini terdapatnya kesedaran daripada pihak Dewan Bahasa
dan Pustaka (DBP) untuk bekerjasama dengan penggiat drama kanak-kanak khususnya dalam
mempertingkatkan lagi taraf drama kanak-kanak di Malaysia. Pada era ini, pihak DBP telah
mengambil inisiatif untuk menaiktarafkan lagi mutu drama kanak-kanak di Malaysia dengan
menjadikan buku-buku drama kanak-kanak sebagai keperluan di sekolah-sekolah rendah
kerana drama-drama sedemikian dapat membantu perkembangan pendidikan kanak-kanak.

Bukan itu sahaja, malah pada zaman ini , DPB juga telah melancarkan program iaitu
peraduan menulis drama kanak-kanak yang bersifat terbuka kepada semua pihak. Peraduan
menulis ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu cerita lakonan untuk kanak-kanak sekolah
rendah dan cerita lakonan untuk belia peringkat sekolah menengah. Begitu juga dengan
syarikat penerbitan lain khususnya Syarikat Saudara Sinar akan turut serta menganjurkan
peraduan tersebut lalu diterbitkan dan menjadi bahan bacaan untuk dipasarkan atau buku-buku
tersebut dijadikan bahan-bacaan keperluan di sekolah. Contohnya, drama bertajuk “Mari
Berlakon I” dan “Mari Berlakon II” merupakan hasil daripada peraduan penulisan drama yang
telah dianjurkan oleh pihak DBP. Penulisan drama yang telah memenangi peraduan tersebut

11
telah dibukukan dan diterbitkan pada 1967 seterusnya menjadi bahan bacaan yang penting
khususnya dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia.

Pada era ini, terdapat juga drama kanak-kanak yang berbentuk antologi iaitu
pengumpulan pelbagai jenis drama lalu dibukukan dalam satu buku. Buku drama sebegini
mengandungi pelbagai jenis cerita. Sebagai contoh, terdapat pelbagai cerita yang berunsurkan
kemanusiaan, kekeluargaan, hiburan dan lain-lain telah dikompilasikan ke dalam satu buku
koleksi cerita pendek (cerpen). Tema yang diutarakan kepada para pembaca telah
dipelbagaikan oleh kerana adanya pelbagai tema cerpen yang telah dikompilasikan. Contoh
drama kanak-kanak berbentuk antologi adalah drama “Panggong Kanak-Kanak” dalam siri
pertama adalah disesuaikan sebagai bacaan kanak-kanak berumur sepuluh tahun manakala siri
kedua dan ketiga adalah untuk kanak-kanak darjah lima dan enam. Oleh itu, jelaslah di sini
bahawa drama kanak-kanak pada era ini sudahpun berkembang dengan begitu mantap
sehingga mampu dikumpulkan lalu dijadikan antologi yang wajib digunakan di sekolah
khususnya dalam matapelajaran Bahasa Malaysia Sekolah Rendah.

5.3 Era 1970-an


Pada era ini, Malaysia mula mengorak langkah dengan lebih ke hadapan seiring dengan
perkembangan seni drama kanak-kanak di negara luar negara. Malaysia telah mempamerkan
wajah baharu dalam bidang drama yang berbentuk muzikal bagi drama kanak-kanak. Drama
seperti ini mempunyai kelainan kerana unsur-unsur yang terdapat dalam drama berbentuk
demikian bersifat longgar berbanding drama pada tahun-tahun sebelumnya. Peristiwa-peristiwa
yang terdapat dalam drama muzikal telah diselang-selikan dengan nyanyian lagu rancak dan
bertemakan drama tersebut, yang dapat menjadi hiburan buat penonton khususnya kanak-
kanak. Keadaan ini secara tidak langsung dapat menjelaskan bahawa drama sebelum tahun
1970-an kurang menonjol dan kurang menarik perhatian penonton khususnya penonton dalam
kalangan kanak-kanak. Contoh yang dapat saya perincikan di sini ialah drama muzikal yang
bertajuk “Lagu Tiga Kupang” yang telah wujud pada 1970-an dan dicipta oleh Abdul Aziz Abas.
Berdasarkan drama ini, adalah jelas terdapat unsur-unsur drama yang mengalami
pembaharuan dan perubahan berbanding pada tahun-tahun sebelumnya. Tujuan drama kanak-
kanak pada era ini juga telah diselaraskan supaya menjadi lebih kepada bersifat menghiburkan
para pembaca khususnya golongan kanak-kanak kerana setiap perjalanan plot akan diselitkan
dengan unsur hiburan seperti unsur tarian, nyanyian lagu dan iringan muzik.

12
Tambahan pula, fizikal drama ini juga menunjukkan peningkatan dengan adanya
paparan bahan untuk pementasan seperti alatan-alatan pentas, pakaian, tarian, lampu dan
paparan watak-watak dan peranan. Di samping itu, watak-watak yang terdapat dalam drama
yang dihasilkan pada zaman ini ialah watak-watak yang luar biasa dan penuh dengan kelucuan.
Contohnya, watak binatang seperti kucing dan raja tikus yang boleh berkomunikasi dengan
manusia. Oleh yang demikian, penambahbaikan kualiti drama kanak-kanak di Malaysia pada
zaman ini iaitu penghasilan drama yang berbentuk muzikal ini amat sesuai dibaca atau
dilakonkan oleh watak kanak-kanak kerana dapat menghiburkan hati pembaca atau penonton
secara amnya dan juga kanak-kanak tersebut secara khususnya.

5.4 Era 1980-an


Perkembangan drama kanak-kanak pada tahun 1980-an yang lebih bersifat ‘complete’ iaitu
sempurna kerana pada masa ini, drama kanak-kanak di Malaysia lebih menekankan kepada
isu-isu dan permasalahan semasa yang dihadapi oleh manusia. Oleh yang demikian, drama
pada masa ini sangat menekankan perkara-perkara yang melibatkan permasalahan yang
dihadapi oleh masyarakat sekeliling. Hal ini dapat dibuktikan melalui drama-drama yang
terdapat dalam antologi “Lagu Anak Perawan”. Drama-drama yang terdapat dalam antologi ini
merupakan drama yang dikumpulkan bersama-sama puisi moden, tradisional dan diterbitkan
pada tahun 1980-an. Penerbitan antologi ini adalah untuk memenuhi keperluan pembacaan
pelajar-pelajar sekolah menengah yang berusia sekitar umur tiga belas tahun hingga lima belas
tahun. Antara drama kanak-kanak lain yang menekankan isu-isu dan permasalahan kehidupan
manusia ialah “Kasih Tidak Terbeli” (Rahim Syam, 1980: 56). Dalam drama ini terdapat
gambaran yang menyentuh emosi kerana peristiwa dalam drama tersebut telah menimbulkan
persoalan yang berkaitan dengan kemiskinan, peperangan, keganasan walaupun temanya
membawa unsur kasih sayang. Oleh itu, jelaslah di sini bahawa pada era 1980-an, drama
kanak-kanak di Malaysia sangat menekankan isu-isu semasa dan permasalahan yang berlaku
dalam kalangan masyarakat setempat pada ketika itu.

5.5 Era 1990-an sehingga kini


Pada tahun 1990-an hingga kini, drama kanak-kanak telah berkembang dengan begitu pesat.
Hal ini kerana, terdapat beberapa bentuk drama yang berwajah baru muncul seiringan dengan
zaman negara Malaysia mencapai arus pemodenan. Selari dengan arus pemodenan, drama
kanak-kanak pada era 1990-an sehingga kini telah melahirkan drama kanak-kanak yang
berbentuk tradisional dan moden. Kelahiran kedua-dua bentuk drama kanak-kanak ini dapat
menggambarkan bahawa drama kanak-kanak juga mempunyai pelbagai bentuk, bukan hanya

13
terdapat pada drama bagi golongan dewasa. Oleh yang demikian juga, kewujudan drama
berbentuk tradisional dan moden adalah untuk memudahkan kanak-kanak dalam usaha
mengenali sesebuah drama tersebut lebih-lebih lagi terdapat ilustrasi yang menarik perhatian
kanak-kanak untuk membacanya.

Drama kanak-kanak yang berbentuk tradisional adalah merupakan drama yang


mengandungi cerita-cerita rakyat dan sentiasa didengari oleh kanak-kanak. Hal ini kerana,
cerita-cerita tersebut sering kali diceritakan oleh nenek moyang mahupun ibu-bapa kepada
cucu-cucu dan anak-anak mereka. Namun begitu, cerita-cerita seperti ini pada masa dahulu
adalah disampaikan oleh tukang-tukang cerita kepada masyarakat melalui lisan. Walau
bagaimanapun, cerita ini telah dibentuk menjadi sebuah drama dan mempunyai ciri-ciri
tersendiri sehingga ada dalam kalangan cerita-cerita rakyat tersebut dimasukkan ke dalam buku
teks dan diajarkan di sekolah. Drama kanak-kanak yang dihasilkan ini sebenarnya ingin
menyampaikan teladan kepada kanak-kanak secara simbolik dengan menggunakan watak-
watak binatang yang mereka kenali.

Perkara ini adalah berbeza dengan drama kanak-kanak berbentuk moden yang lebih
kepada hiburan semata-mata. Namun begitu, tidaklah dikatakan drama tersebut seratus peratus
berbentuk hiburan malah terdapat juga unsur-unsur teladan. Drama kanak-kanak yang
berbentuk moden merupakan drama yang mengandungi unsur-unsur moden. Unsur-unsur
moden tersebut mengakibatkan kanak-kanak akan berfikir dengan lebih jauh dan berimaginasi.
Pada tahun 1994 dan 1998, perkembangan drama kanak-kanak menjadi lebih menarik
perhatian kanak-kanak pada ketika ini kerana pada tahun tersebut drama kanak-kanak lebih
bercorak kreatif, selari dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan
warga yang seimbang dan bersifat holistik dalam pelbagai bidang. Hal ini disebabkan oleh
wujudnya gambar ilustrasi yang berwarna-warni dalam sesebuah drama kanak-kanak yang
dihasilkan. Bukan itu sahaja, drama kanak-kanak pada era ini adalah berbentuk sketsa lakonan
dan teater yang bersifat inovatif. Drama sebegini telah menarik minat kanak-kanak untuk terus
membaca dan berhibur seterusnya membawa kanak-kanak berimaginasi ke dalam peristiwa
yang digambarkan. Sebagai contoh, drama kanak-kanak seperti Upin & Ipin, Boboiboy dan
banyak lagi merupakan antara contoh terbaik dalam menarik minat kanak-kanak untuk
menonton di samping terselitnya pelbagai jenis pengajaran dan teladan untuk diamalkan.

14
6.0 Kesimpulan
Sejarah perkembangan drama di dunia telah berkembang dengan pesat mengikut zaman-
zaman yang tertentu. Namun, tiada fakta yang khusus dan sahih yang dapat membuktikan
tentang sejarah perkembangan drama di dunia. Selain itu, sejarah perkembangan drama
kanak-kanak juga dapat kita lihat telah mengalami perubahan dari satu tempoh ke satu tempoh
yang lain. Perubahan yang ditonjolkan dalam sesebuah drama itu telah memberi satu tanda
kepada dunia kesusasteraan bahawa drama kanak-kanak akan terus berkembang menjadi
sebuah genre yang penting dan setaraf dengan genre lain. Oleh itu, kita mestilah menghargai
setiap drama yang telah dihasilkan supaya drama-drama ini mampu untuk terus berkembang
dan mendapat tempat di hati masyarakat.

15
7.0 Rujukan

Abdul Rahman Napiah. (1987). Drama Moden Malaysia : Perkembangan dan Perubahan. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hashim Awang. (1984). Kesusasteraan Melayu dalam Kritikan dan Sejarah. Petaling Jaya:
Fajar Bakti.

Kamus Dewan Edisi Keempat. (2016). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mana Sikana. (2006). Drama Melayu Tradisional, Moden dan Pascamoden. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Othman Puteh & Abdul Ahmad. (1984). Sekitar Sastera Kanak-kanak dan Remaja. Kuala

Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rahmah Bujang. (1975). Sejarah Perkembangan Drama Bangsawan di Tanah Melayu dan
Singapura. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rahmah Bujang. (1989). Seni Persembahan Bangsawan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Riantiarno, Nano. (2003). Menyentuh Teater: Tanya Jawab Seputar Teater Kita. Jakarta: MU:3
Books.

Wiyanto, Asul. (2002). Terampil Bermain Drama. Jakarta: Grasindo

16

Anda mungkin juga menyukai