Anda di halaman 1dari 5

IMPROVISASI DALAM PENDIDIKAN DRAMA

Menurut Kamus Dewan ( edisi keempat) improvisasi bermaksud perihal (perbuatan) melaksanakan
atau membuat sesuatu tanpa persediaan awal,secara spontan, atau dengan menggunakan
bahan-bahan yang ada sahaja. Improvisasi sering dilaksanakan dalam pendidikan. Teknik ini
digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah, khususnya pengajaran bahasa.
Melalui aktiviti improvisasi kanak-kanak dirangsang untuk berinteraksi secara spontan berdasarkan
simulasi yang diwujudkan oleh guru. Kanak-kanak juga digalakkan membina dialog sendiri serta
mencipta situasi yang difikirkan sesuai dengan rangsangan yang disediakan. Melalui improvisasi
juga, daya imaginasi dan kreativiti kanak-kanak dicerna secara maksimum.

Teknik improvisasi ialah teknik lakonan spontan yang dilakukan dengan aksi dan dialog
dibina sendiri oleh pelakon/ murid. Teknik ini memerlukan murid mencipta satu idea baru
berdasarkan idea yang sedia ada melalui kreativiti tersendiri. Improvisasi memerlukan murid
mempunyai imaginasi dan kreativiti yang tinggi. Menurut Som Hj. Nor (1994), Improvisasi membawa
maksud bertindak balas secara spontan terhadap situasi yang tidak dijangka. Improvisasi boleh
dijalankan berdasarkan situasi, gambar, watak dan petunjuk.

Tujuan utama improvisasi adalah untuk melatih murid menggunakan unsur bahasa, unsur
para linguistik (jeda, nada dan intonasi) dan bukan linguistik (mimik muka, gerak tangan, kepala dan
dll) dengan berkesan dalam sesuatu interaksi bahasa atau perbuatan. Penggunaannya dapat
mendorong dan merangsang murid untuk menghubungkan perasaannya dengan mata pelajaran
yang dipelajarinya. Murid bebas meluahkan sesuatu, membuat penemuan, memberi dan berkongsi
sesuatu. Improvisasi dapat menimbulkan keseronokan dan keberkesanan pembelajaran kepada
murid, di samping dapat menyuburkan sahsiah murid.

Pendekatan Improvisasi
a. Bersedia menghadapi ketidaksempurnaan
Guru perlu bersedia menghadapi ketidaksempurnaan bila mana murid melakonkan sesuatu aksi
yang tidak lengkap, tidak tersusun dari a-z dan terhenti berlakon. Jika keadaan ini berlaku, maka
guru perlu bijak menyusun semula aksi dan dialog murid. Apa yang penting ialah bagaimana murid
dapat menggabungkan idea dengan arahan atau rangsangan yang diberikan oleh guru secara
spontan.
b. Tidak perlu pentas yang sempurna
Improvisasi tidak memerlukan dilaksanakan dengan pentas yang sempurna atau keperluan teater
yang konvensional kerana kita bukan meminta murid mementaskan sesebuah teater, tetapi sekadar
mewujudkan idea.
c. Menyediakan saranan
Guru selaku pembimbing perlu menyediakan saranan atau rangsangan untuk menjana idea murid
dalam improvisasi.
d. Tidak perlu penonton
Murid tidak perlu disedarkan tentang kehadiran penonton yang formal. Langkah ini demi membentuk
keyakinan murid. Ini kerana, murid yang belum biasa beraksi di hadapan kelas, mereka akan mudah
gelabah jika aksi atau lakonan mereka dipertontonkan. Setelah murid benar-benar berasa yakin,
barulah dimulai dengan perbincangan atau pasca nilai. Komen atau teguran yang positif perlu
diberikan. Guru juga boleh meminta murid lain di dalam kelas memberi komen berdasarkan aksi
spontan rakan mereka.
e. Aktiviti berkumpulan
Guru hendaklah menggalakkan murid-murid bekerja secara kumpulan dengan natural. Ahli
kumpulan sebaiknya ditukar ganti supaya pergaulan sosial murid lebih luas.
f. Bijak melayani permintaan
Guru perlu bijak dan bersedia melayani permintaan kumpulan murid tanpa mematahkan minat
mereka untuk beraksi secara spontan.
Peranan Improvisasi
a. Meningkatkan daya imaginasi
Daya imaginasi murid dapat ditingkatkan kerana teknik ini dapat mencerna atau mencapah daya
pemikiran murid ke tahap yang optimum. Improvisasi ini juga dapat menggalakkan kemahiran berfikir
murid dengan lebih kreatif dan kritis. meningkatkan daya kreativiti mereka dan merangsang otak
mereka untuk lebih berfikir
b. Merangsang kemahiran berbahasa
Guru dapat menggalakkan murid untuk berkomunikasi dengan berkesan di samping dapat
membantu murid meningkatkan penguasaan perbendaharaan kata dalam kalangan murid. Teknik
improvisasi terbukti dapat merangsang kemahiran berbahasa murid kerana teknik ini menuntut
murid berdialog secara spontan.
Dengan ini, murid perlu menguasai kemahiran berbahasa terlebih dahulu sebelum berupaya
menuturkan dialog mereka. Murid berupaya menggunakan bahasa secara pragmatik iaitu bahasa
yang bermakna mengikut konteks. Murid juga boleh menggunakan bahasa secara spontan dengan
lebih bermakna bersesuaian dengan situasi. Aktiviti seperti ini, walaupun berjalan seperti dalam
keadaan yang tidak formal , pasti dapat membantu menambahkan kemahiran berbahasa murid.
c. Mewujudkan suasana menyeronokkan.
Aktiviti improvisasi terbukti dapat mewujudkan sesi pengajaran dan pembelajaran yang
menyeronokkan dan bersahaja kerana melibatkan watak-watak dalam kalangan murid. Murid
berupaya mengasah bakat terpendam mereka dengan berkolaborasi sesama ahli kumpulan dalam
suasana yang ceria dan terkawal.
Berlakon merupakan satu aktiviti yang amat digemari oleh pelajar kerana ia dijalankan dalam
bentuk bermain dan bersuka ria. Mereka diberi peranan untuk berkata-kata secara bebas,
melahirkan pandangan dan pendapat , bergaya dan beraksi sesama sendiri, berhibur dengan telatah
dan gaya rakan-rakan sebaya, melibatkan diri , bekerja bersama-sama dan sebagainya.
d. Pembelajaran kolaboratif
Pengaplikasian teknik improvisasi boleh membentuk pembelajaran murid secara kolaboratif kerana
selalunya watak yang diberikan perlu dilakonkan bersama ahli dalam kumpulan masing-masing.
Apabila murid membiasakan diri dengan cara bekerjasama, saling bergantung antara satu sama lain
untuk memperoleh ilmu, mereka akan berkembang untuk menjadi murid kolaboratif.
e. Pengurusan masa
Pengurusan masa yang cekap dapat diterapkan melalui aktiviti improvisasi. Murid diberikan masa
yang tertentu untuk mereka menunjukkan aksi secara spontan. Mereka perlu cekap bertindak
menyusun strategi berdasarkan watak atau situasi yang diberikan dalam jangka masa yang telah
ditetapkan guru.
f. Meningkatkan keyakinan diri
Improvisasi memerlukan murid beraksi di hadapan murid-murid lain. Ini secara tidak langsung dapat
meningkatkan keyakinan murid semasa melakonkan watak masing-masing. Ia juga dapat memberi
satu suntikan motivasi untuk mereka terus beraksi dan ini akan membentuk pembinaan sahsiah
yang positif ketika berhadapan dengan khalayak penonton.

Aktiviti Improvisasi
a. Improvisasi berdasarkan situasi
Satu situasi diberikan kepada murid secara individu, pasangan atau kumpulan. Murid diminta
melakonkan situasi yang diberi secara spontan. Teknik ini boleh dijalankan untuk semua peringkat
umur atau aras kebolehan walaupun situasi yang sama.
contoh 1 : Situasi di sebuah kedai mainan kanak-kanak . Suatu malam semua mainan
(patung orang, arnab, beruang dan lain-lain) bercakap sesama mereka.
Arahan: berbual sesama sendiri supaya pelajar lain dapat meneka siapakah anda?
contoh 2 : seorang murid baru pindah ke sekolah anda dan ditempatkan di kelas anda. Pada
waktu rehat, semua pelajar ke kantin dan tempat permainan. Bagaimana anda semua melayaninya?
b. Improvisasi berdasarkan gambar
Gambar diberikan atau dipamerkan kepada murid-murid dengan meminta murid menyediakan skrip
secara spontan. Murid dibenarkan berbincang di dalam kumpulan atau secara individu.
c. Improvisasi berdasarkan petikan cerita
Petikan cerita atau insiden tertentu dalam cerita yakni aksi kaku di mana murid dikehendaki
melakonkan aksi berdasarkan plot. Matlamat menggunakan petikan adalah untuk menguji
kefahaman murid dengan penghayatan isi kandungannya.
d. Improvisasi berdasarkan objek
Teknik menggunakan objek tertentu bagi merangsang pelajar bertutur dan melakukan sesuatu.
Contoh objek yang boleh digunakan adalah seperti anak patung, surat khabar dan kostum.

e. Improvisasi berdasarkan tokoh/watak


Watak cerita binatang boleh digunakan seperti watak Sang Kancil atau tokoh seperti Hang Tuah.
f. Improvisasi berdasarkan bunyi
Bunyi-bunyi seperti lagu instrumental untuk menjana bayangan minda, lagu dengan lirik boleh
diadaptasi melalui teknik ini.

Jenis-Jenis Improvisasi
Peter Moore ( 1998 ) menyarankan enam jenis aktiviti improvisasi untuk kanak-kanak mengikut
peringkat umur. Aktiviti tersebut adalah seperti yang berikut:
a. permainan Bebas ( Free Play )
Permainan bebas sesuai untuk kanak-kanak prasekolah dan tahap 1. Guru sediakan peralatan atau
objek, sediakan situasi/ persekitaran yang tertentu dan galakkan kanak-kanak bermain secara bebas
dengan dipantau oleh guru.
Guru bolehlah menciptakan senario atau cerita berdasarkan peralatan tersebut. Peringkatkan
permainan dengan objek yang lebih bermakna dan berwatak seperti anak patung/ boneka, dan
kostum yang dapat menyarankan perwatakan tertentu.
b. Improvisasi Spontan ( Spontaneous Improvisation )
Guru sediakan bahan rangsangan tertentu untuk kanak-kanak memberikan tindak balas secara
spontan berdasarkan kesesuaian dengan situasi yang diberikan. Murid-murid dibantu dan
digalakkan untuk menyelesaikan masalah, membuat keputusan, mendengar serta mengamati
pendapat orang lain.
Guru juga harus membantu dan menggalakkan kanak-kanak melakukan tugas secara
kolaboratif, berfikir secara kreatif dan imaginatif serta melahirkan idea, dan membina idea baru
berdasarkan idea orang lain.
Namun begitu perlu diingatkan bahawa improvisasi spontan bukan bertujuan untuk membuat
persembahan. Perkara utama ialah menggalakkan perkongsian idea, melibatkan luahan perasaan,
interaksi antara watak serta prosedur terhadap resolusi sesuatu situasi yang dihadapi.
c. Improvisasi Verbal ( Verbal Improvisation )
Kanak-kanak digalakkan untuk mencipta monolog ( soliloquise ) dan dialog berdasarkan petikan
dialog dalam sesebuah cerita. Murid juga boleh menyambungkan dialog tersebut untuk
menggambarkan situasi yang difikirkan sesuai seperti memujuk, merayu, mengarahkan, memohon
sesuatu, dan seumpamanya dengan ekspresi dan gaya pengucapan yang sesuai. Aktiviti ini dapat
dilaksanakan secara individu ( monolog / soliloquise ), berpasangan atau berkumpulan.
d. Main Peranan ( Role Play )
Dalam aktiviti ini, murid hendaklah berpura-pura menjadi seseorang yang lain dan berlainan dengan
dirinya. Mereka diberikan peranan tertentu dan meminta kanak-kanak memikirkan cara (dia) untuk
beraksi dan memberikan respons terhadap sesuatu situasi.
Untuk menghayati watak yang diberikan, murid perlu dilatih untuk melakukan justifikasi
terhadap watak dengan mengemukakan beberapa soalan seperti nama penuh watak, umur ,latar
belakang keluarga, pekerjaan, sikap dan tingkah laku, hobi atau minat, keadaan kesihatan, dan
pelbagai kemungkinan tentang peribadi watak yang di lakonkan. Di samping itu murid perlu
digalakkan untuk, menulis deskripsi watak, melukis potret, dan membuat kostum dan memilih
props yang sesuai untuk kegunaan watak.
Guru boleh memilih peranan berdasarkan watak daripada orang persekitaran murid, cerita
rakyat, cerita yang pernah dibaca di dalam kelas, drama atau filem yang pernah ditonton serta
berdasarkan gambar
e. Improvisasi Terlatih ( Rehearsed Improvisation )
Improvisasi ini berbeza dengan yang lain kerana improvisasi ini menggalakkan kanak-kanak
membuat persembahan. Kanak-kanak diberi tajuk, tema, atau situasi tertentu untuk dibincangkan
dan menghasilkan sesuatu persembahan.
Murid diberikan tempoh masa untuk perbincangan kumpulan dan selepas berbincang mereka
diminta mementaskan hasil perbincangan tersebut.
f. Improvisasi Selari ( Parallel Improvisation )
Improvisasi berdasarkan situasi sebenar atau yang telah benar-benar diketahui untuk
meneroka isu-isu baru. Contohnya menggunakan pengalaman membuat persiapan untuk bercuti
seperti menyediakan pakaian dan sebagainya dan menggunakan pengalaman tersebut untuk
persiapan sekumpulan saintis yang hendak mengadakan ekspedisi.

Anda mungkin juga menyukai