Anda di halaman 1dari 9

Drama menjadi sebahagian daripada inti pendidikan masa kini.

Menurut
Adenan Ayob (2012) dalam buku Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu, seni drama
merupakan salah satu kaedah pembelajaran yang boleh diaplikasikan dalam konteks
pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam bilik darjah. Hal ini kerana, aktivti
drama dilaksanakan untuk menggalakkan interaksi dan kemahiran berkomunikasi
yang berkesan dalam kalangan murid (Farizah Nazir, 2015). Dengan adanya drama,
murid bukan sahaja berminat dalam mempelajari sesuatu tetapi juga dapat
meningkatkan pemahaman murid mengenai sesuatu perkara kerana mereka sendiri
yang memainkan watak-watak dalam lakonan tersebut. Umumnya, drama menjadi
satu medium yang selari dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)
untuk melahirkan individu yang seimbang dan harmonis dari aspek JERIS.

Drama berasal dari bahasa Yunani iaitu “Draomai” yang bermaksud buat, gerak
dan aksi. Drama merupakan bentuk kisahan yang menggambarkan realiti kehidupan
dan watak manusia melalui lakonan atau konflik yang dipentaskan. Walau
bagaimanapun, terdapat juga drama yang berbentuk cereka yang berasaskan rekaan
seperti drama di dunia khayalan. Lilian Honstein (2000) dalam buku Get Rich with
Drama berpendapat bahawa drama adalah sebuah karya sastera yang
dipersembahkan secara berdialog atau pentomin semasa pertunjukkan. Drama juga
menyajikan konflik dalam lakonan untuk memberi pengajaran kepada penonton. Hal
ini sesuai dengan pandangan Lufti Abas (1987) yang menyatakan bahawa drama
menambah pengalaman individu dalam mencari jalan penyelesaian dalam sesebuah
konflik sekaligus menerapkan nilai murni serta membentuk keperibadian insan.

Drama mula diperkenalkan di Greek sekitar Tahun 500 S.M. Pada mulanya,
drama dipersembahkan untuk tujuan pemujaan dewa dewi Greek terutamanya
Bacchus dan Dyionisus. Pada 534 S.M., satu pertandingan drama dimenangi oleh
Thespis dalam pertandingan drama topeng muka. Namun, drama menjadi kurang
popular pada Tahun 400 Masihi sehinggalah kemunculan Drama Medieval pada
Tahun 900 Masihi. Pada masa ini, drama ini dilakonkan untuk mengajar penganut
Kristian mengenai moral, keajaiban dan misteri. Drama ini terus diamalkan
sehinggalah kemunculan drama Renaisence yang dipelopori oleh Shakepeare. Pada
abad ke-18, Oscar Wild dan George Bernard Shaw memperkenalkan Drama
Victorian. Setelah itu, muncul pula Drama Moden yang berbentuk realisma dari aspek
tragedi, komedi dan melodrama.

1
Drama sampai ke Malaysia sekitar abad ke-13. Drama pertama yang wujud di
Malaysia ialah wayang kulit yang berasal daripada Tanah Jawa. Pada abad
ke-18, muncul pula drama Thailand iaitu Makyung. Setelah itu, drama tradisional
Melayu bercorak tempatan mula dilakonkan seperti Boria di Pulau Pinang, Randai di
Negeri Sembilan, Kuda Kepang di Johor dan Dabus di Perak. Pada 1870, muncul
Drama Bangsawan dari India dan tema mereka pula berkisar tentang cerita fantasi
dan dunia khayalan. Pada awalnya, cereka ini hanya tertumpu kepada nyanyian dan
tarian, kemudiannya berubah kepada bentuk kumpulan drama. Drama bangsawan
mengandungi 15 hingga 20 babak dan dilangsungkan pada beberapa malam.
Sehingga hari ini, drama masih lagi dilakonkan dan mendapat sambutan yang
menggalakkan dalam kalangan rakyat Malaysia.

S. Hamzah (2011) dalam buku Pendidikan menyatakan bahawa terdapat dua


kategori drama yang terdapat di Malaysia iaitu Drama Tradisional dan Drama Moden.
Drama Tradisional ialah drama khayalan yang umumnya menceritakan tentang
kesaktian, kehidupan istana atau kerajaan, kehidupan dewa-dewi dan kejadian yang
tidak boleh diterima akal. Drama tradisional lebih berfokus kepada unsur hiburan dan
pengajaran. Manakala, drama moden pula ialah drama yang bertujuan untuk
memberi pendidikan kepada masyarakat yang umumnya bertemakan kehidupan
manusia seharian. Walau bagaimanapun, drama moden ini lebih menjurus dalam
membentuk imaginasi dalam kalangan penonton. Bukan itu sahaja, drama moden
juga sering dikaitkan dengan cerita-cerita kreatif yang mempunyai unsur pemikiran
tentang keadaan yang akan berlaku pada masa hadapan.

Terdapat dua aliran drama yang terdapat di Malaysia iaitu aliran Realisme dan
Bukan Realisme. Aliran Realisme merupakan sebuah drama yang berkonsepkan
kebenaran dan logik akal. Realisme menyalurkan segala kritikan terhadap realiti
masyarakat dengan tujuan memberi teguran kepada masyarakat. Sebagai sebuah
alat komunikasi dalam menyampaikan pesanan, drama realisme menggunakan
dialog atau bahasa pertuturan sehari-hari agar maksud sebenar drama tersebut dapat
difahami oleh penonton. Persoalan-persoalan yang dikemukakan juga bersifat
realistik iaitu sesuatu yang berkaitan dengan masyarakat. Unsur-unsur natural dalam
drama turut diperlihatkan dalam aspek lakonan dan penghayatan watak-wataknya di
mana semua perlakuan yang dilakukan adalah munasabah. Drama realisme
2
menonjolkan aspirasi dan konflik masyarakatnya melalui plot yang mudah agar ianya
mudah ditafsir oleh penonton.

Drama Bukan Realisme pula berkonsepkan cereka yang tidak logik dan di luar
daripada kemampuan manusia. Drama Bukan Realisme tidak mempunyai struktur
plot yang khusus kerana drama ini tidak mengutamakan isi cerita sebaliknya
mengutamakan pemikiran, falsafah atau makna yang cuba disampaikan oleh
pengarang. Unsur mitos, legenda atau imej tradisi dibawakan ke dalam drama Bukan
Realisme sebagai paparan isi drama. Gaya pementasan turut menggabungkan unsur
tradisi dan moden seperti unsur-unsur nyanyian, pantun, syair, seloka, mak
yong, boria dan sebagainya. Drama Bukan Realisme kerap dipenuhi dengan lambang,
simbol dan citra tertentu yang dipaparkan menerusi watak, peristiwa atau isi drama
seperti keris dan tenggolok. Penggunaan bahasa yang digunakan juga adalah
bersifat puitis untuk melahirkan keindahan pengucapan dan variasi dalam drama.
Gaya pementasan turut mempunyai variasi tersendiri seperti rumah di atas awan dan
manusia yang mempunyai kebolehan untuk terbang.

Pernafasan merupakan salah satu komponen yang penting dalam pementasan


drama. Menurut Mana Sikana (1985) dalam buku Sasterawan Negara di Takhta
Keunggulan, penafasan yang baik membolehkan pelakon menghidupkan watak yang
dillakonkan dengan baik. Secara amnya, terdapat empat jenis pernafasan yang
sering digunakan oleh pelakon untuk memastikan lakonannya berkesan. Setiap
pernafasan tersebut mempunyai fungsi tertentu yang membantu pelakon untuk
melontarkan vokal yang jelas. Pernafasan pertama ialah pernafasan dada.
Pernafasan ini hanya sesuai sebagai aktiviti pemanasan pernafasan yang akan
mengeluarkan vokal seperti latihan humming. Pernafasan kedua ialah pernafasan
perut yang berlaku semasa menyedut udara ke dalam perut dan melepaskannya.
Penggunaan pernafasan ini adalah lebih praktikal kerana tidak menjejaskan aksi
lakonan sebaliknya suara yang dikeluarkan daripada perut akan lebih jelas dan bulat.

Pernafasan seterusnya ialah pernafasan lengkap tahap minimum. Pernafasan ini


sangat penting ketika mengeluarkan vocal tanpa banyak pergerakan. Pernafasan ini
sesuai untuk latihan menyanyi, humming dan pemanasan vokal kerana ia
menggunakan dada dan perut untuk menyimpan udara. Pernafasan yang keempat

3
ialah pernafasan diafragma. Pernafasan ini berlaku apabila diafragma mengembang
ketika menyedut udara sebelum melepaskan udara tersebut melalui rongga
mulut. Pernafasan ini lebih kerap digunakan oleh manusia dalam percakapan
seharian kerana ianya tidak mengganggu pergerakan dan daya tampungnya lebih
banyak berbanding pernafasan-pernafasan yang lain.

Pernafasan yang digunakan boleh mempengaruhi vokal yang terhasil. Menurut


Indirawati Zahid (2016) dalam buku Penghantar Fonetik, vokal ialah bunyi-bunyi
bersuara yang terhasil apabila udara dari paru-paru keluar melalui rongga mulut
secara berterusan tanpa sebarang sekatan atau sempitan yang boleh menerbitkan
bunyi-bunyi geseran. Alat artikulasi yang terlibat secara langsung dalam penghasilan
bunyi vokal ialah lidah, bibir dan lelangit lembut (Abdullah Hassan, 2007). Dalam
konteks drama, kemahiran vokal juga wujud serentak atau seiringan dengan gerakan
fizikal. Perkara ini penting untuk membolehkan pelakon dalam sesebuah drama
mengkoordinasikan pengucapan sesuai dengan pergerakan yang baik. Menurut
Zakaria Ariffin (2001) dalam buku The Opera House, vokal yang baik adalah vokal
yang boleh didengar pada jarak yang jauh. Hal ini bermakna, pelakon perlu menyebut
dengan jelas agar mesej dialog dapat disampaikan kepada penonton.

Pengucapan pula terhasil daripada vokal yang dikeluarkan melalui alat-alat


pengucapan seperti bibir. Bibir berperanan penting dalam penyebutan huruf vokal
seperti A-I-U-E-O. Misalnya, bibir membulat dan dimuncungkan ke hadapan ketika
mengucapkan huruf O. Latihan pengucapan boleh dilakukan dengan menyuarakan
gabungan huruf vokal dengan huruf konsonan seperti MA-BA-PA, MI-BI-PI,
MU-BU-PU, ME-BE-PE dan MO-BO-PO berulang-ulang dari lambat ke cepat. Selain
daripada melatih alat-alat pengucapan, pelakon juga perlu memastikan
pengucapannya kedengaran di seluruh panggung teater. Hal ini bermakna,
seseorang pelakon itu harus bercakap dengan lantang tanpa menjerit. HAl ini
bertujuan untuk memastikan agar penonton dapat mendengar serta memahami
perkataan yang disebut oleh pelakon.

Pengucapan vokal yang baik pula akan menghasilkan pelbagai variasi vokal.
Menurut Harun Mat Piah (2003) dalam buku Sastera Rakyat Malaysia, variasi vokal
pada setiap perkataan merujuk kepada dialog sesebuah pementasan. Variasi vokal

4
terhasil apabila pelakon itu dapat menggunakan tingkatan nada, lingkungan, infleksi,
kekuatan, tempo, berhenti seketika dan irama mengikut kesesuaian. Beliau juga
mendefinisikan pitch dan range sebagai tinggi atau rendah bunyi suara dan ukuran
jarak nota pitch yang paling tinggi dan rendah. Manakala, infleksi dan kekutan pula
adalah naik atau turunnya pitch suara dan emosi yang menggabungkan kualiti
percakapan dengan perlakuan. Sementara tempoh dan berhenti seketika pula
merujuk kepada kelajuan percakapan dan penangguhan suara atau keraguan
semasa bertutur. Akhir sekali, irama merupakan perubahan dalam senyap, bunyi,
kekuatan dan kelemahan dalam percakapan.

Dalam setiap drama, terdapat dua asas lakonan yang perlu dititiberatkan iaitu
pembinaan luaran watak dan pembinaan emosi dan psikologi watak. Pembinaan
luaran watak dalam drama ini merujuk kepada sifat fizikal dan rupa watak tersebut
(Zakaria Ariffin, 2001:2). Rupa merujuk kepada bentuk badan, sifat dan raut wajah
yang selari dengan watak yang ingin disampaikan. Contohnya, watak pengemis
perlulah berpakaian compang camping seolah-olah keadaanya tidak terurus. Selain
itu, perawakan juga sangat penting untuk menonjolkan cara seseorang itu beraksi,
bergerak atau berjalan di atas pentas. Contohnya, watak seorang ayah perlulah
bercakap dengan tegas dan matang. Dari segi bahasa badan pula, kerlingan mata,
kedutan kening, mengangguk atau menggeleng perlu dititikberatkan bagi membina
watak luaran pelakon. Contohnya, jika pelakon perlu mengungkap dialog gembira,
pelakon seharusnya senyum atau ketawa dan bukannya bermuram muka. Bukan itu
sahaja, solekan juga penting untuk menjadikan suasana lebih realistik. Misalnya,
lakonan puteri diraja perlulah disolek dengan cantik agar lakonan menjadi lebih nyata.

Berdasarkan takrifan yang diberikan oleh Ismail Mohd Noh (2007) dalam
Bimbingan dan Kaunseling, emosi merujuk kepada ungkapan perasaan seperti sedih,
marah, benci, bingung, gugup dan sebagainya. Penguasaan emosi amat penting
untuk menhidupkan watak pelakon kerana emosi mampu mempengaruhi pergerakan
tubuh, ekspresi wajah dan pengucapan dialog. Terdapat tiga cara dalam melahirkan
dan membina emosi watak dalam diri pelakon iaitu melalui peniruan, pernafasan dan
ekspresi muka. Dalam kaedah peniruan, para pelakon perlu mendalami terlebih
dahulu watak yang ingin dilakukan. Contohnya, pelakon meniru watak Puteri Gunung
Ledang. Dalam kaedah pernafasan pula, pelakon perlu menggunakan pernafasan
diafragma agar tidak mengganggu pergerakan mereka. Kaedah ketiga adalah

5
dengan melatih ekspresi muka agar pelakon mampu menyampaikan mesej secara
non-verbal. Sebagai contoh, pelakon berkerut muka untuk menunjukkan emosi keliru.

Anatomi badan manusia merupakan sumber yang menjadikan sesebuah drama


itu hidup. Anatomi badan yang pertama ialah rambut di mana ciri-ciri rambut
seseorang itu seperti panjang, pendek, hitam, perang, lurus dan kerinting. Misalnya,
“Fatimah mencuci muka lalu menyisir rambut ikalnya ke belakang”. Anatomi
seterusnya ialah ciri-ciri atau gerak-geri mata sama ada menjeling, terbeliak atau
kuyu. Sebagai contoh, “Fatimah merenung Halim dengan mata yang dibanjiri air suci”.
Seterusnya ialah tangan iaitu ciri-ciri atau apa yang dilakukan dengan tangan pelakon.
Contohnya, “Halim mencapai dua botol minuman ringan di dapur dengan kedua belah
tangan sasahnya.” Seterusnya ialah hati, jiwa dan dada yang menggambarkan emosi
dan perasaan. Misalnya, “Fatimah memendam semua perasaanya di dalam hati.”
Seterusnya ialah kaki yang merujuk kepada ppergerakan kaki pelakon. Sebagai
contoh, “Halim menendang Ahmad dengan sekuat hati.” Akhir sekali adalah tubuh
iaitu penerangan secara menyeluruh yang menggambarkan watak seperti kurus,
gemuk, tinggi dan rendah. Sebgai contoh, “tubuh sasah Azman menghempap pintu
yang terkunci demi menyelamatkan Zaliah.”

Dengan adanya antomi badan, maka pergerakan tubuh dapat dilakukan. Fungsi
olah tubuh dalam pementasan teater kreatif adalah untuk melakukan gerak yang
akan ditampilkan pada pementasan teater agar dapat menghasilkan hiburan yang
menarik. Sebagai contoh, Ikmal terlanggar dinding rumah akibat terlalu leka dengan
telefon bimbit. Keadaan ini menimbulkan emosi lucu dalam kalangan penonton.
Selain itu, olah tubh juga berfungsi dalam penyampaian mesej. Contohnya, Zara
memberi sedekah kepada pengemis tua. Olah ini dapat menyampaikan mesej
bahawa Zara merupakan seorang insan yang berhati mulia. Selain itu, olah tubuh
juga berfungsi untuk memperindah gerak tari dalam seni tari agar penonton dapat
menikmatinya. Hal ini kerana, penggunaan olah tubuh yang baik dapat menghasilkan
gerak tari yang baik sehingga menjadikan drama tersebut lebih menarik.

Dalam mempelajari selok belok seni drama, olah tubuh menjadi fokus utama
yang perlu dilatih sebelum melakukan persembahan. Terdapat pelbagai latihan asas
yang boleh dilakukan bagi memastikan otot kekal lentur dan luwes semasa

6
memainkan watak di atas pentas. Pertama, jatuhkan kepala ke depan, ke belakang,
ke kiri dan ke kanan dalam keadaan lemas seperti orang mengantuk. Selain itu,
putarkan kepala perlahan-lahan dan rasakan lekukan-lekukan di leher. Seterusnya,
putar bahu ke hadapan dan ke belakang berkali kali. Putarkan bahu kiri dan kanan
satu persatu terlebih dahulu kemudian barulah bahu kiri dan kanan diputar serentak.
Seterusnya, rentangkan tangan kemudian putarkan pergelangan tangan, batas siku
dan keseluruhan tangan. Putarkan tangan kiri dan kanan satu persatu kemudian
barulah putarkan kedua-duanya secara serentak. Selain itu, ambil posisi berdiri yang
sempurna, lalu angkat kaki kanan dan berdiri menggunakan kaki kiri untuk
meningkatkan daya keseimbangan. Kemudian putar pergelangan kaki kanan, lutut
kanan dan seluruh kaki kanan. Latihan ini diteruskan dengan berdiri menggunakan
kaki sebelah kanan dan memutarkan kaki sebelah kiri. Aktivtii pemanasan yang boleh
dilakukan sebelum melaksanakan olah tubuh ini adalah dengan bejoging dan
membuat lompatan beberapa kali.

Latihan fizikal dalam drama juga melibatkan peniruan pergerakan. Terdapat tiga
peniruan yang boleh dilakukan iaitu tiru gaya haiwan, manusia dan alam. Peniruan
haiwan lebih kepada aksi haiwan seperti cara katak melompat dan cara harimau
berjalan. Peniruan manusia pula lebih kepada main peranan di mana seseorang itu
akan meniru perlakuan manusia yang selalu dilihat. Contohnya, pelakon melakonkan
watak ibu tiri yang jahat seperti menampar anak tirinya, Manakala, peniruan alam
pula lebih kepada pergerakan tumbuh-tumbuhan seperti tumbuh tumbuhan mekar
akau tumbuhan yang ditiup angin. Contohnya, pelakon tambahan menggunakan
kostum pokok dan menggoyangkan tubuh ke kiri dan ke kanan berselang seli seolah-
olah pokok tersebut ditiup angin.

Pergerakan kreatif dalam drama pula merangkumi beberapa elemen yang


memerlukan pergerakan luaran tubuh seperti pergerakan kepala, bahu, kaki dan
tangan (Gladys Andrew Fleming, 1976). Elemen pertama ialah elemen ruang yang
merangkumi ruang diri dan ruang am. Ruang am dalam pergerakan kreatif merujuk
kepada ruang pentas untuk melakukan pergerakan pada pelbagai aras dan arah. Aras
dalam pergerakan kreatif merangkumi aras rendah, sederhana dan tinggi. Manakala
arah pula merujuk kepada arah pergerakan sama ada ke hadapan, ke belakang, ke
sisi, ke bawah atau ke atas. Proses pergerakan kreatif yang menggunakan elemen
ruang dapat melatih imaginasi dan kreativiti kanak-kanak terhadap penggunaan ruang

7
secara maksimum untuk memenuhi ruangan pentas. Elemen kedua ialah masa.
Elemen masa dalam pergerakan kreatif marangkumi tempo, rentak, pola beritma,
aksen dan jangka masa. Elemen seterusnya ialah daya yang merangkumi pergerakan
perkusif, pergerakan pendular, pergerakan staccato, pergerakan bergetar, pergerak
meruntuh dan pergerakan kawal-lambat.

Unsur yang paling penting dalam drama ialah improvisasi. Menurut Som Hj. Nor
(2000) dalam buku Kemahiran Berfikir secara Kreatif dan Kritis, improvisasi
membawa maksud bertindak secara langsung. Pendapat beliau menjelaskan bahawa
improvisasi merupakan cara pengungkapan yang dilakukan secara spontan atau
tanpa dirancang terlebih dahulu. Drama yang bersifat improvisasi hanya
menggunakan nota rangka yang menyatakan kronologi cerita secara ringkas.
Penggunaan teknik improvisasi dalam drama memerlukan kemampuan berpikir
dengan cepat dalam mencipta watak, dialog dan suasana penceritaan tanpa
menggunakan teks. Hal ini bermakna, pelakon perlu bijak dalam mengatur strategi
lakonan untuk memastikan lakonan tersebut adalah berkesan dan boleh difahami dan
dinikmati oleh penonton.

Peter Moore (2006) dan buku Tundra menyatakan enam jenis aktiviti improvisasi
yang sesuai dilaksanakan untuk kanak-kanak. Improvisasi pertama ialah permainan
bebas. Misalnya, guru memberi situasi dan menyediakan peralatan seperti patung
kemudian memberi kebebasan kepada murid untuk melakonkan cerita tersebut
menggunakan watak patung. Seterusnya ialah improvisasi spontan. Sebagai contoh,
guru menyediakan bahan rangsangan seperti gambar bersiri dan meminta murid
memberi respon berdasarkan situasi dalam gambar. Improvisasi verbal pula boleh
dilakukan dengan meminta murid untuk mencipta monolog dan dialog berdasarkan
petikan cerita yang diberikan oleh guru. Bukan itu sahaja, improvisasi main peranan
pula boleh dilakukan dengan meminta murid melakonkan watak orang lain seperti
watak rakan karibnya. Improvisasi yang berikutnya ialah improvisasi terlatih dengan
menggalakkan murid untuk membuat persembahan. Sebagai contoh, guru memberi
tajuk, tema atau situasi dan meminta murid untuk berbincang dalam kumpulan
selama sepuluh minit sebelum mempersembahkan lakonan mereka di hadapan kelas.
Improvisasi yang terakhir pula ialah improvisasi selari yang melibatkan situasi
sebenar yang pernah berlaku. Contohnya, guru meminta murid melakonkan situasi
membuat persiapan sebelum mengikuti perkhemahan Unit Beruniform di sekolah.

8
Teknik improvisasi ini boleh diaplikasikan dalam pementasan pendidikan Bahasa
Melayu. Pengaplikasian ini boleh dilakukan secara individu atau berkumpulan.
Pengaplikasian individu boleh dilakukan melalui teknik improvisasi bebas. Hal ini
kerana, improvisasi ini akan memberi peluang kepada murid tersebut untuk
melontarkan ideanya yang tersendiri tanpa ada halangan atau campur tangan
daripada orang lain. Misalnya, guru memberi dua boneka kepada seorang murid.
Guru perlu memberi situasi di mana seorang kanak-kanak dimarahi oleh ibunya
kerana tidak menyiapkan kerja sekolah. Dengan cara ini, idea murid akan bercambah
dengan sendiri dan murid akan membuat cerita secara bebas menggunakan ayatnya
sendiri sekaligus meningkatkan keyakinan murid untuk menyuarakan idea sendiri.

Pengaplikasian dalam kumpulan pula boleh dilihat melalui lakonan secara


spontan. Pengaplikasian ini bukan sahaja dapat meningkatkan kreativiti mereka
secara berkumpulan tetapi juga dapat menanam nilai kerjasama dalam diri murid.
Misalnya, guru memberi situasi memancing di sungai dan ternampak pencemaran
berlaku di sungai tersebut. Dengan cara ini, murid akan berbincang dalam kumpulan
untuk membuat pembahagian watak dan dialog yang akan dituturkan oleh setiap
murid. Keadaan ini bukan sahaja dapat membantu percambahan pemikiran mereka
tentang pencemaran tetapi juga dapat meningkatkan kolaborasi murid.

Secara keseluruhannya, drama sememangnya banyak membantu dalam aspek


pendidikan. Nor Hashimah Jalaluddin (2007) dalam buku Panduan Pendidikan
Prasekolah menyatakan bahawa penghasilan sebuah drama kanak-kanak
merupakan satu usaha yang amat bermakna kepada para murid. Peranan drama
dalam pendidikan bukan sekadar melatih kefasihan berkomunikasi, berfikir dan
berketrampilan, tetapi juga dapat meningkatkan potensi diri dalampelbagai aspek.
Persembahan seni drama yang menggabungkan seni lakon, seni muzik, seni tari,
seni pertukangan, seni bina, seni berbahasa dan seni yang lain merupakan bukti
bahawa drama mampu mencungkil pelbagai kemahiran serta bakat yang terpendam
dalam diri murid. Perkara tersebut selaras dengan kepelbagaian kecerdasan yang
telah dimasukkan sebagai kemahiran bernilai tambah dalam pendidikan yang
ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Anda mungkin juga menyukai