Anda di halaman 1dari 6

1.

0 PENGENALAN
Kesusasteraan adalah hasil seni yang menggunakan bahasa sebagai perantaraannya,
yang lebih menjurus untuk memasukkan isi penghasilan kreatif dan imaginatif baik
bersifat tulisan mahupun lisan. Ini dengan sendirinya menempatkan puisi, drama,
cereka dan segala jenis karya-karya imaginatif yang lain. Manakala, teori kritikan
kesusasteraan merupakan salah satu genre dalam kesusasteraan. Hubungan karya
kesusasteraan dengan teori kritikan kesusasteraan saling berhubung-kait. Teori kritikan
kesusasteraan berfungsi mengenal-pasti ciri-ciri karya yang bermutu. Kritikan sastera
merupakan suatu perkara penting dalam usaha untuk mengembangkan dan
menghasilkan sebuah penulisan yang bermutu tinggi. Perkataan kritik pada dasarnya
diambil daripada perkataan Yunani Kuno iaitu krites yang bermaksud hakim (Maimunah
Mohd Tahir, 2007). Menurut Umar Junus. (2008) pula, kritikan sastera adalah suatu
proses mempertimbang dan menilai semula karya sastera secara jujur dan sistematik.
Justeru, penekanan dan maksud kritikan sastera dapat dirumuskan sebagai satu usaha
membuat penilaian terhadap sesebuah karya. Penulisan ini akan membincangkan
berkaitan teori sastera tempatan iaitu teori Takmilah dengan penulisan cerpen yang
bertajuk ‘Kata YB’ karangan Nassury Ibrahim dalam buku berjudul Naratif Jurnalis
terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) pada tahun 2013.

2.0 LATAR BELAKANG TEORI


Teori Takmilah merupakan perkembangan baru dalam dunia kritikan sastera tempatan.
Ia menjadi pendekatan alternatif tengah-tengah keghairahan teori sastera dari Barat
yang menguasai dunia sastera tempatan hari ini, berasaskan nilai-nilai estetika daripada
al-Quran dan al-hadis. Teori Takmilah diperkenalkan oleh Dr. Shafie Abu Bakar, mantan
pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Ia dianggap teori kritikan karya
sastera Islam. Hal ini kerana Teori Takmilah berpaksikan tauhid dalam segala aspek
keilmuan Islam dan berusaha melahirkan insan syumul yang bersifat uluhiyah dan
rubudiyah. Istilah Takmilah bertalian dengan sifat “Kamal” Allah yang bererti sempurna.
Takmilah menyempurnakan sesuatu yang dengannya akan menjadi sempurna.
Maksudnya, melalui Teori Takmilah sesuatu yang dianggap sempurna oleh manusia
(sebenarnya belum sempurna di sisi agama) akan menjadi lebih sempurna.
Kesempurnaan itu dilihat dari segi akidah, tauhid, akhlak dan ilmu. Kesemuanya hadir
dalam kesatuan. Hubungan Takmilah itu berkait pula dengan sifat-sifat Jamal, Qahhar
dan Jalal Allah.
Teori Takmilah menekankan tiga komponen penting iaitu pengarang, karya dan
khalayak. Semuanya harus bermula daripada kesedaran tauhid pengarang yang

1
menuangkan kesedaran itu ke dalam karya untuk membangkitkan kesedaran tauhid
pembaca. Ketiga-tiganya memperlihatkan sifat sempurna lagi menyempurnakan, yang
menjadi sifat Allah dan lambang kesempurnaan-Nya. Karya yang indah mesti
berpaksikan kebenaran, kebaikan dan keadilan. Ianya tercerna dalam hubungan sikap
dan perlakuan manusia terhadap Allah, sikap dan perlakuan manusia sesama makhluk
Allah, serta sikap dan perlakuan manusia dengan alam persekitarannya.
Keindahan dan kesempurnaan karya sastera meliputi keindahan isi dan bentuk. Jika
isi baik tetapi disampaikan dalam bentuk yang tidak sesuai, atau bentuk baik tetapi isi
tidak sesuai, maka karya itu dianggap tidak indah dan tidak sempurna. Isi dan bentuk
karya mesti sama-sama indah, sebagaimana maksud ‘susastra’ itu sendiri, danianya
berpandukan anjaran al-Quran. Walaupun aspek struktur karya sama, namun Teori
Takmilah melihat aspek strukturnya mesti tidak bertentangan dengan isi, bertepatan
dengan genre, bahasanya tepat,isinya mudah difahami dan tidak bertentangan dengan
ajaran agama.
Teori Takmilah terdapat 7 prinsip iaitu prinsip ketuhanan yang bersifat Kamal, prinsip
kerasulan sebagai insan Kamil, prinsip Islam yang bersifat Akmal, prinsip Ilmu dengan
sastera yang bersifat Takamul, prinsip sastera sendiri yang berciri estetik dan bersifat
Takmilah, prinsip pada pengkarya yang seharusnya mengistikmalkan diri dan prinsip
khalayak bertujuan memupuk mereka ke arah insan Kamil.

3.0 LATAR BELAKANG KARYA


Cerpen Kata YB karya Nassury Ibrahim merupakan satu cerpen yang mengisahkan
bagaimana sikap sebenar wakil rakyat atau Yang Berhormat (YB) yang ditulis secara
kiasan. Cerpen ini juga menceritakan tentang wakil rakyat yang hanya wujud apabila
kempen pilhan raya sahaja dan apabila mendapat undi ramai dan menang pilihan raya,
terus melupakan rakyat yang mengangkatnya. Bahkan, cerpen ini juga menggambarkan
sikap YB yang sentiasa menghantar wakil untu ke majlis yang diundang. Tidak cukup
dengan itu, ada juga kalangan YB yang langsung tidak kelihatan kelibatnya dan tidak
mendapat khabar oleh rakyat setempat. Cerpen ini juga menyatakan bahawa wujud
sesetengah wakil rakyat yang tidak membelanjakan wang peruntukan kawasan
perwakilannya untuk rakyat dan tujuan pembangunan sekitar. Penulis dengan rasa
rendah hati juga kecewa dengan sikap YB yang lebih sibuk menguruskan perniagaan
daripada menjaga kebajikan masyarakat. Penulis juga menyifatkan sikapYB yang tidak
menjalankan tugas sebagai orang yang tidak bertanggungjawab kerana mereka telah
diberikan pelbagai elaun untuk berkhidmat kepada rakyat, tetapi dibuat seperti tiada
bayaran atas perkhidmatan yang diberikan. Akhir sekali, penulis sangat berharap agar
YB tidak hanya cakap lebih daripada bekerja da berbaktilah kepada rakyat.

2
4.0 KRITIKAN TEKS
Berdasarkan pembacaan dan pengamatan saya, terdapat beberapa contoh petikan
yang boleh dianalisis menggunakan kritikan takmilah dengan tiga jenis teori yang
dikemukakan oleh Dr. Shafie Abu Bakar.

4.1 Prinsip Kerasulan Sebagai Insan Kamil


Menurut Dr. Shafie Abu Bakar, teori takmilah mempunyai kaitan dengan sifat
Rasulullah sebagai insan Kamil yang bermaksud manusia sempurna dalam
falsafah pemikiran Islam. Sifat ini menggabungkan tiga konsep ideal keinsanan
iaitu insan Kamil, insan Khalifah dan insan Rabbani (Dewan sastera, 1996). Ciri
kepimpinan Rasulullah yang adil, amanah dan bijaksana mencerminkan nilai
Kamil yang terdapat pada seorang manusia yang sempurna. Dalam cerpen
“Kata YB”, nilai dan prinsip ini terkandung seperti contoh di bawah.

Sebenarnya, sijil tidak penting, yang penting kebijaksanaan. Bijaksana


berfikir, bijaksana bertindak. Kaya budi fikir, kaya budi rasa. Pandai
patah hujah lawan, Tarik perhatian. Tidak baik berbohong. Atau, guna
kuasa misteri. Di luar dewan ada sejuta mata sedia menghukum.
Mengejek dan menghina YB.

(2013: 132)

Berdasarkan potongan cerpen di atas, penulis menggambarkan ciri-ciri yang


sepatutnya ada dalam diri setiap pemimpin terutama YB. Ciri-ciri ini terdapat
pada peribadi Rasulullah sewaktu menjadi pemimpin Madinah sehingga digelar
dengan pelbagai gelaran seperti al-Amin, al-Mustafa dan Habibullah (Ahmad
Kadri Junoh & Khairunnezam Mohd Nor, 2012). Penulis menyampaikan bahawa,
seorang YB tidak semestinya perlu pencapaian akademik yang tinggi, tetapi
cukup sekadar mempunyai nilai khalifah seperti Rasulullah agar dihormati
masyarakat.

4.2 Prinsip Ilmu Dengan Sastera Yang Bersifat Takamul


Konsep takmilah juga boleh dilihat dalam hubungan sastera dengan ilmu yang
mempunyai pertalian dengan peribadi yang penting terutama akal dan hati.
Dalam Islam, akal merupakan alat yang paling utama bagi menguasai dan
mencapai nilai keilmuan (Zawawi Ismail & Azhar Zailani, 2011). Karya sastera
dalam Islam bukan sahaja bertujuan untuk memberikan hiburan atau sindiran

3
kepada para pembaca tetapi, turut memberikan ilmu pengetahuan dan
pengajaran yang dapat dijadikan panduan kehidupan. Prinsip ini dapat dikaitkan
dengan cerpen “Kata YB” apabila penulis mengaitkan ilmu Islam berkaitan nilai
kepimpinan seperti petikan di bawah.

Amanah ini sangat besar. Datang bukan daripada seorang dua.


Beratus-ratus. Malah beribu-ribu rakyat. Sebab itu kerajaan beri elaun
kepada YB. Banyak. Lebih daripada gaji ketua pengarah. Macam-
macam elaun ada. Macam-macam kemudahan ada. Semua untuk
rakyat. Bukan untuk YB goyang kaki.

(2013: 133)

Potongan cerpen di atas menunjukkan penulis berkongsi nilai amanah yang


sepatutnya diamalkan oleh YB terutama yang beragama Islam kerana hal ini
melibatkan saham dunia dan akhirat. Penulis juga berkongsi bahawa segala
amanah yang diperoleh datang daripada ramai orang yang memberikan undi
dan kepercayaan kepadanya. Nilai amanah tersebut menjadi kesempurnaan
pada seorang pemimpin yang telus. Bahkan, YB juga dibayar dengan perlbagai
elaun untuk membantu rakyat. Penulis menyatakan secara tersirat bahawa
sekiranya elaun yang diberikan tidak dibelanja kepada yang sepatutnya maka,
tidak ada keberkatan pada wang yang diperoleh.

4.3 Prinsip Sastera Sendiri Yang Bersifat Estetik dan Bersifat Takmilah
Menurut Shafie Abu Bakar (2000), prinsip ini dilihat dari aspek keindahan
lahiriah dan keindahan maknawi. Aspek keindahan lahiriah ini adalah
berkisarkan kepada teknik, bentuk, struktur, gaya bahasa yang boleh dilihat
secara tersurat. Manakala aspek keindahan maknawi pula merujuk kepada
mesej, pemikiran, sudut pandangan, dan falsafah yang tersirat dalam sebuah
karya. Oleh yang demikian, prinsip ini lebih melihatkan kepada proses
penciptaan dan pembinaan karya sastera secara kreatif, indah dan sempurna
dari segi luaran mahupun dalaman hasil karya. Dalam cerpen ini, pelbagai ciri
estetik yang digunakan contohnya seperti di bawah.

Pendek kata, YB jangan jadi ayam jantan, kokok berderai-derai,


tetapi ekor bergelumang tahi. Malu, YB, malu. Jangan kerja cari

4
salah orang, sedangkan salah sendiri bertimbun-timbun. Jangan
jadi macam ini, YB Jangan.
(2013: 136)

Petikan di atas menyatatakan secara tersirat makna bagi ayat pertama


dengan memberi perumpaan kepada YB agar tidak menjadi seperti ayam jantan
yang sentiasa berkokok atau maksudnya bercakap lebih tetapi kerjanya tiada
hasil dan mengecewakan. Bahkan, penulis juga bijak mengaitkan istilah ekor
bergelumang tahi dengan membawa makna tersirat bahawa kerja jahat yang
dilakukan YB disembunyikan disebalik kata-kata helah yang memperdaya.

5.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, kritikan sastera merupakan suatu usaha ke arah mempertimbang


semula suatu karya yang dihasilkan untuk menjadikan penulisan yang dihasilkan
mempunyai perkembangan nilai. Teori takmilah yang telah diperkenalkan pada tahun
1992 oleh Dr. Shafie Abu Bakar merupakan salah satu teori sastera tempatan yang
masih releven digunakan hingga hari ini. Kritikan yang berunsur sastera Islam adalah
satu pendekatan berbeza yang diketengahkan oleh beliau selari dengan sejarah sastera
di tanah Melayu yang antaranya dipengaruhi oleh agama Islam. Melalui teori yang
sama, tujuh teori telah diperkenalkan bagi memudahkan kritikan secara khusus dapat
dilaksanakan secara berkesan. Bahkan, kritikan melalui teori takmilah dalam penulisan
ini mendapati bahawa banyak prinsip yang digunakan untuk memastikan mutu
penulisan yang baik dapat dihasilkan. Ilmu berkaitan kritikan sastera tidak boleh terhenti
kepada golongan sasterawan kelas atasan semata-mata, tetapi juga perlu diteruskan
oleh penutur jati bahasa Melayu agar sastera Melayu dapat dikembangkan selari
dengan peredaran zaman dan pemikiran.

5
RUJUKAN

Ahmad Kadri Junoh & Khairunnezam Mohd Nor. (2012). Kerangka lntegriti Kepimpinan
Islam: Pengajaran daripada Model Kepimpinan Rasulullah SAW.

Dewan Bahasa dan Pustaka. (2005). Teori dan kritikan sastera Melayu serantau. Dewan

Bahasa dan Pustaka.

Umar Junus. (2008). Perkembangan puisi Melayu moden. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Maimunah Mohd Tahir (2007). Kritikan sastera Melayu: Antara cerita dengan ilmu. Penerbit
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Shafie Abu Bakar. (2000). Teori Takmilah. In Seminar Teori Sastera Islam: Kaedah dan
Penerapannya, Putrajaya: Hoetel Renaissance Palm Garden (pp. 26-28).

Zawawi Ismail & Azhar Zailani. (2011). Novel the missung piece-analisis dari perspektif teori
takmilah (Doctoral dissertation, Universiti Pendidikan Sultan Idris).

Anda mungkin juga menyukai