Anda di halaman 1dari 27

IMPROVISASI SEBAGAI ASAS PENGHASILAN

DRAMA KANAK-KANAK
Faziah bt Sulaiman
Jabatan Pengembangan Kebudayaan Melayu
Institut Bahasa Melayu Malaysia
Kuala Lumpur.

Pendahuluan

Dua tahun selepas mengajar di Institut Bahasa (kini IBMM), penulis telah

diarahkan oleh Pengetua untuk membimbing pelajar menghasilkan sebuah skrip drama

dan mementaskannya untuk tujuan pertandingan drama pentas antara maktab perguruan.

Penulis agak panik, kerana belum pernah menghasilkan sebarang skrip, apatah lagi untuk

tujuan pertandingan. Tugas ini agak berat bagi penulis. Setelah berbincang dengan suami

dan mendapatkan sedikit petua daripadanya yang telah berpengalaman menulis skrip,

penulis cuba merangka beberapa cerita yang boleh dijadikan asas drama tersebut, tetapi

buntu. Akhirnya, penulis diberikan satu petikan akhbar dan dicadangkan membuat

improvisasi daripada berita tersebut.

Petikan berita itu ialah tentang keengganan penggali kubur di sebuah pekan di

Johor menggali kubur untuk seorang wanita yang baru meninggal dunia. Ini kerana

tuntutan mereka untuk kenaikan gaji tidak diterima oleh Majlis Bandaran. Suami penulis

Kertas kerja ini dibentangkan dalam Seminar Sastera Kanak-kanak dan Remaja anjuran
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 26-27 April 2001.

1
menyarankan supaya penulis cuba mencari penyelesaian masalah tersebut. Beberapa idea

diberikan untuk dibincang bersama pelajar. Di antaranya, apakah yang mungkin terjadi

sekiranya ketika itu berlaku wabak penyakit ? Bayangkan jika ramai orang mati akibat

wabak tersebut, sedangkan mayat mereka tidak dapat dikebumikan dengan segera?

Apakah mungkin jalan penyelesaiannya?

Dalam pertemuan dengan pelajar keesokannya, penulis cuba berbincang

kemungkinan idea yang ditimbulkan itu. Penulis mengendalikan bengkel yang dimulakan

dengan aktiviti main peranan. Penulis telah meminta beberapa orang pelajar melakonkan

kemungkinan-kemungkinan yang berlaku daripada idea tersebut. Melalui bengkel

tersebut, kami mewujudkan watak protagonis dan antagonis serta watak-watak

sampingan yang membantu perkembangan plotnya. Bebrapa orang pelajar diberikan

tanggungjawab menyediakan justifikasi watak tertentu dan setelah itu mereka diminta

menjawab soalan-soalan melalui aktiviti Kerusi Panas. Aktiviti improvisasi dilakukan

secara berperingkat dan setiap senario kami susuli dengan perbincangan . Perbincangan

tersebut ditumpukan juga kepada logik sebab akibat dan kesan dialog terhadap

perkembangan plot drama. Setiap senario dikaji secara teliti supaya ada kesinambungan

dan menimbul impak. Tiga orang pencatat dilantik untuk menulis dialog-dialog yang

dituturkan oleh pelakon secara spontan.

Akhirnya drama ini lengkap ditulis dan dilakonkan semula berdasarkan skrip

tersebut. Sinopsis drama tersebut ialah seperti berikut;

Bidin, Mansur, Pak Rahman dan Murad merupakan sebahagian daripada pekerja

penggali kubur yang makan gaji dengan Majlis Kotaraya. Mereka dan semua ahli

persatuan, melancarkan mogok disamping berkawal dan mengepung kawasan perkuburan

2
Majlis Kotaraya itu kerana tidak puas hati dengan majikan yang tidak melayani tuntutan

mereka untuk kenaikan gaji. Tiada siapa yang dibenarkan masuk ke kawasan tersebut.

Ketika itu masalah meruncing apabila ramai penduduk kotaraya meninggal dunia

akibat wabak penyakit yang menyerang secara tiba-tiba. Berlaku pertengkaran di antara

wakil pegawai Majlis dengan Murad yang mengetuai mogok itu. Pak Rahman yang

merupakan ahli tertua serta alim orangnya menasihati anak-anak muda itu supaya mereka

menghentikan mogok tersebut dan lebih mengutamakan amal jariah. Namum, mereka

tetap berdegil. Murad naik angin dan mengugut akan bertindak kasar terhadap ahli yang

ingin berpaling tadah.

Pada malam itu, mereka berkawal secara bergilir-gilir. Semasa terlena, Murad dan

Bidin bermimpi mereka didatangi oleh beberapa mayat keluarga sendiri yang telah

meninggal akibat wabak tersebut dan memohon untuk dikebumikan segera. Bidin yang

bodoh-bodoh alang itu dilarikan oleh beberapa mayat yang bangun daripada kubur dan

memasukkannya ke dalam liang lahat yang telah disediakan di kawasan perkuburan itu.

Bidin menjerit sekuat hati, menyebabkan semua orang yang berada di situ terjaga. Bidin

mendapati dirinya berada di luar pagar kawasan kubur dan Murad terjaga sambil

terpinga-pinga. Tiba-tiba dia merasa seram dan ketakutan. Semua jadi bingung…

Alhamdullilah, skrip dan drama yang dipentaskan telah berjaya menggondol

hadiah pertama dalam pertandingan tersebut. Namun, di sebalik kejayaan itu, apa yang

lebih penting ialah pengalaman penulis dan pelajar-pelajar menghasilkannya.

3
Konsep Improvisasi

Improvisasi merupakan suatu teknik lakonan yang telah diamalkan oleh pelakon

atau pemain teater Melayu sejak dahulu lagi. Teater tradisional seperti Mak Yong, Jikey

dan teater transisi, bangsawan merupakan satu bentuk teater yang menggunakan teknik

improvisasi sepenuhnya. Tidak ada skrip lengkap yang ditulis dan dihafal sebelum

pementasan dijalankan. Pelakon hanya diminta memahami jalan cerita sesebuah

bangsawan serta menghayati watak yang diberikan oleh sutradaranya. Ketika pementasan

berlaku, pelakon akan melafazkan dialog yang dibina sendiri secara spontan,

bersesuaian dengan situasi yang dilakonkan.

Improvisasi sering diaplikasikan dalam pendidikan. Teknik ini digunakan dalam

pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, khususnya pengajaran bahasa. Melalui

aktiviti improvisasi kanak-kanak dirangsang untuk berinteraksi secara spontan

berdasarkan simulasi yang diwujudkan oleh guru. Kanak-kanak juga digalakkan

membina dialog sendiri serta mencipta situasi yang difikirkan sesuai dengan rangsangan

yang disediakan. Melalui improvisasi juga, daya imaginasi dan kreativiti kanak-kanak

dicerna secara maksimum.

Terdapat banyak pandangan tentang konsep improvisasi. Brain Way (1967:183)

menjelaskan bahawa improvisasi merupakan aktiviti drama tanpa skrip. Beliau

menjelaskan;

“In essence, improvisation is quite simply a play without a script,


because there is no need for a script, an improvised play does not
depend on any form of skill or ability at reading, nor on learning
and remembering lines, and is thus an activity that all children of
every age group and every scale of ability are able to both enjoy and
master.”

4
Bagi Way, dalam konteks pendidikan, drama boleh dibangunkan melalui aktiviti

improvisasi berdasarkan pelbagai sumber tertentu sama ada idea asli oleh pelajar dan

guru ataupun sumber lain seperti isi kandungan kurikulum mata pelajaran yang diajarkan

di sekolah.

Ruth Beall Heinig (1993; 184) pula menghuraikan improvisasi sebagai aktiviti

drama yang dihasilkan secara spontan melalui sesuatu situasi yang dirancang,

sebagaimana yang dijelaskan;

“This means that it is created spontenously, as the students respond to


the dramatic situations they involved. Improvisation is one way to
achieve a more natural delivery of dialogue than the recitation
of memorized script. “

Improvisasi dapat melatih kanak-kanak bertutur dengan lebih natural dan bersahaja.

Melalui improvisasi juga, kanak-kanak digalakkan menghubungkaitkan pengalaman

sedia ada mereka di luar bilik darjah untuk diadaptasikan dalam situasi yang disediakan

oleh guru di dalam bilik darjah. Ini akan menjadikan pembelajaran lebih bermakna. Di

antara aktiviti drama yang boleh dilaksanakan ialah pantomim dan permainan teater.

Pensyarah di Jabatan Pendidikan Australia Selatan pula menghuraikan

improvisasi sebagai aktiviti drama yang terhasil melalui proses yang tidak formal, yang

dilakukan secara berkumpulan. Aktiviti ini biasanya dilaksanakan berdasarkan sesuatu

idea, tema atau rangka plot . Latihan begini dapat membina sensitiviti dan imaginasi

kanak-kanak yang tinggi. Mereka boleh dibimbing untuk memahami tentang isu semasa

atau isu sosial, perwatakan, skrip dan pandangan orang lain secara terbuka. Kanak-kanak

juga digalakkan mencari penyelesaian masalah serta membuat sesuatu keputusan

5
terhadap sesuatu konflik. Melalui aktiviti sedemikian, akan dapat melatih kanak-kanak

ke arah menghasilkan satu pementasan yang lengkap.

David A. Male (1973: 30) pula menjelaskan bahawa selain berkait rapat dengan

latihan verbal, improvisasi juga melibatkan aktiviti pergerakan sebagaimana huraiannya;

“ Improvisation has both physical and vocal aspects which should


not be thought of apart, but for convenience are discussed separately.
Improvisation is response in physical and verbal terms, initiated by desire
to achive an action, express some thought or ideas or indicate a mood”.

“…improvisation may be tought of as expression in term of invention,


exploration and experimentation. In all three cases there is free
unfettered approach which is restlessly inquisitive, never content
with the first solution, but constantly devising deeper and
more searching possibilities.”

Berdasarkan pendapat-pendapat di atas, dapatlah dirumuskan bahawa improvisasi

merupakan satu aktiviti drama yang dihasilkan secara spontan, yang menggalakkan daya

imaginasi, kreativiti dan inovasi seseorang berdasarkan sesuatu rangsangan yang

disediakan oleh pembimbing (guru atau fasilitator yang mengendalikan aktiviti ).

Improvisasi juga merupakan satu teknik drama yang menggalakkan kanak-kanak

meluahkan perasaan secara terkawal dan mewujudkan pemikiran yang bercapah terhadap

kemungkinan-kemungkinan yang boleh berlaku dalam realiti kehidupan mereka.

Improvisasi dan Kreativiti

Satu daripada ciri utama improvisasi ialah kreativiti . Melalui improvisasi kanak-

kanak akan dilatih dengan kemahiran berfikir kreatif melalui pelbagai rangsangan yang

diwujudkan. Dalam hal ini, Heinig (1993) menyarankan beberapa aktiviti. Di antaranya

ialah;

6
i. Improvisasi berdasarkan gambar atau buku cerita bergambar

ii. Improvisasi berdasarkan props (peralatan/objek)

iii. Improvisasi berdasarkan dialog

iv. Improvisasi berdasarkan watak/tokoh dan perwatakan

v. Improvisasi berdasarkan bunyi atau lagu

vi. Improvisasi berdasarkan situasi seperti wawancara, perbahasan/debat dan

bercerita.

Peter Moore (1988) pula menyarankan enam bentuk aktiviti improvisasi untuk kanak-

kanak mengikut peringkat umur, seperti berikut;

i. Permainan bebas (Free Play)

- sesuai untuk kanak-kanak pra sekolah. Guru menyediakan

beberapa peralatan atau objek serta menyediakan

situasi/persekitaran yang tertentu dan kanak-kanak digalakkan

bermain secara bebas (dengan pemantauan guru) sambil mencipta

senario atau cerita mereka sendiri berdasarkan peralatan tersebut.

Seterusnya permainan diperingkatkan dengan objek yang lebih

bermakna dan berwatak seperti anak patung/boneka dan kostum

yang menyarankan perwatakan tertentu.

7
ii. Improvisasi spontan (Spontaneous Improvisation)

- guru menyediakan beberapa rangsangan tertentu dan kanak-kanak

memberikan respon secara spontan (yang mereka fikirkan sesuai

dengan situasi yang diberikan). Improvisasi ini boleh

menggalakkan kanak-kanak untuk ;

a. menyelesaikan masalah

b. membuat keputusan

c. mendengar / mengamati pendapat orang lain

d. melakukan tugas secara kolaboratif

e. berfikir secara kreatif dan imaginatif

f. melahirkan idea dan membina idea baru berdasarkan idea

orang lain

- improvisasi spontan tidak untuk tujuan membuat persembahan,

tetapi yang lebih utama ialah menggalakkan perkongsian idea, melibatkan

luahan perasaan, interaksi di antara watak serta prosedur terhadap resolusi

sesuatu situasi yang dihadapi.

iii. Improvisasi Verbal (Verbal Improvisation))

- kanak-kanak digalakkan mencipta monolog (Soliloquies) dan

dialog berdasarkan petikan dialog dalam sesebuah cerita. Mereka boleh

menyambung dialog tersebut untuk menggambarkan situasi yang

difikirkan sesuai (seperti memujuk, merayu, mengarah, memohon sesuatu

dan seumpamanya) dengan ekspresi dan gaya pengucapan yang sesuai.

Akltiviti ini boleh dilaksanakan secara individu (monolog/soliloquies),

8
berpasangan atau berkumpulan. Selain itu, aktiviti Kerusi Panas juga

boleh dilaksanakan untuk menggalakkan kanak-kanak berinteraksi.

iv. Main Peranan (Role Play)

- main peranan ialah aktiviti di mana kanak-kanak berpura-pura

menjadi seseorang yang lain. Kanak-kanak diberikan peranan

tertentu dan diminta memikirkan bagaimana dia beraksi dan

memberikan respon terhadap sesuatu situasi . Untuk memastikan

mereka dapat menghayati watak yang diberikan kanak-kanak perlu

dilatih melakukan justifikasi terhadap watak dengan

mengemukakan beberapa soalan seperti;

a. nama penuh watak

b. umur

c. latar belakang keluarga

d. pekerjaan

e. sikap dan tingkah laku

f. hobi atau minat

g. keadaan kesihatan

h. dan pelbagai kemungkinan tentang peribadi watak yang

dilakonkan

- untuk itu, mereka juga boleh digalakkan untuk;

a. menulis diskripsi watak

b. melukis potrait

9
c. membuat kad pengenalan , buku bank, tanda nama dan

seumpamanya

d. membuat kostum dan memilih prop yang sesuai untuk

kegunaan watak

- Guru boleh memilih peranan berdasarkan watak daripada orang

persekitaran kanak-kanak, cerita rakyat, cerita yang pernah dibaca

di kelas, drama atau filem yang pernah ditonton, serta berdasarkan

gambar.

v. Improvisasi Terlatih (Rehearsed Improvisation)

- berbeza dengan improvisasi yang lain, improvisasi terlatih ini

bertujuan untuk menggalakkan kanak-kanak membuat

persembahan. Kanak-kanak diberikan tajuk, tema atau situasi

tertentu untuk dibincangkan dan menghasilkan sesuatu

persembahan. Guru memberikan tempoh masa tertentu untuk

perbincangan kumpulan. Setelah berbincang, mereka diarahkan

untuk mementaskan hasil perbincangan tersebut.

vi. Improvisasi Selari (Parallel Improvisation)

- Improvisasi berdasarkan situasi sebenar atau yang telah benar-

benar diketahui untuk meneroka isu-isu baru. Sebagai contoh

mereka menggunakan pengalaman membuat persiapan untuk

bercuti (seperti menyediakan pakaian dan sebagainya) dan

menselarikan pengalaman tersebut untuk persiapan sekumpulan

saintis yang hendak mengadakan ekspedisi.

10
- Pengalaman dan pengetahuan daripada mata pelajaran lain juga

boleh digunakan untuk menghasilkan aktiviti impovisasi ini.

Sebagai contoh, setelah kanak-kanak mempelajari sejarah

penjajahan Tanah Melayu oleh Inggeris dan mempelajari tentang

bintang dalam mata pelajaran Sains, mereka boleh menggunakan

kedua-dua pengalaman tersebut untuk membuat improvisasi

tentang penerokaan angkasa lepas, atau penerokaan di dasar laut

atau di kawasan Artik.

- Guru juga boleh menggunakan situasi yang diambil daripada karya

sastera seperti sastera rakyat dan penglipur lara untuk diselarikan

dengan isu baru. Sebagai contoh, mengambil kisah Azad Dengan

Gergasi. Kanak-kanak boleh menggerakkan minda dengan

meneroka imaginasi dan kreativiti mereka memikirkan andaian

jika mereka bertemu gergasi seperti dalam cerita tersebut. Guru

boleh mengemukakan soalan seperti; apakah tindakan yang akan

mereka lakukan? Atau mungkin juga mereka boleh menggunakan

pengalaman mimpi ngeri bertemu sesuatu makhluk seperti dalam

cerita tersebut.

Improvisasi dan penghasilan drama kanak-kanak

Walaupun kebanyakan aktiviti improvisasi yang dibincangkan menjurus kepada

aktiviti di bilik darjah atau berbentuk praktis, namun teknik ini boleh diadaptasikan

11
sebagai teknik berfikir kreatif dalam menghasilkan kepelbagaian idea bagi tujuan

penghasilan skrip drama kanak-kanak atau remaja.

Berdasarkan pengalaman penulis membimbing bengkel teater dalam pendidikan

dan penghasilan skrip drama melalui improvisasi, berikut diperturunkan beberapa contoh

dan cadangan aplikasi improvisasi dalam penghasilan skrip drama kanak-kanak;

i. Improvisasi berdasarkan objek

a. Objek : anak patung

Soalan : apakah nama anak patung ini?

Di manakah asalnya? Di kilang mana dia dibuat?

Apakah yang dikatakannya jika dia boleh bercakap?

Situasi : Anak patung ini diletakkan di rak dalam sebuah pasaraya.

Di rak itu kelihatan pelbagai jenis anak patung lain. Pada suatu malam anak-

anak patung itu semuanya bergerak dan bernyawa. Apakah agaknya yang

mungkin terjadi pada malam itu?

b. Objek : Batu, cermin mata hitam, beg tangan, bunga

Soalan : Apakah keistimewaan barang-barang ini?

Siapakah yang membawa barang-barang itu ke sini?

Pernahkah kita terfikir, mungkin barang-barang ini bukan

Seperti batu, cermin mata hitam , beg tangan dan bunga

yang biasa?

Barang-barang ini mungkin sesuatu yang ajaib atau luar

biasa sifatnya.

12
Situasi : Guru atau pembimbing bercerita sambil memegang batu:

Batu ini saya jumpa ketika saya sedang berjalan di pantai

Port Dickson pada bulan lepas. Pada mulanya saya tidak

melihat sesuatu yang menarik pada batu ini. Tetapi apabila

saya berpaling sekali lagi ke arah batu ini, saya lihat ada

satu cahaya yang memancar keluar dari tengah batu ini.

Saya jadi tertarik untuk menyimpannya. Saya pun bawa

batu ini pulang ke rumah dan meletakkannya di bawah katil

saya. Pada malam itu, saya bermimpi batu itu berkata-kata

kepada saya. Katanya, “Terima kasih kerana

menyelamatkan saya. Sebagai balasannya, rebuslah saya.

Apabila air rendaman saya menggelegak, anda akan

melihat buih-buihnya bertukar menjadi ketul-ketul emas.

Anda akan jadi kaya raya. ..

Aktiviti : Secara berkumpulan , kanak-kanak diberikan satu objek

untuk dibincangkan. Kumpulan 1 : cermin mata hitam,

kumpulan 2: beg tangan, kumpulan 3 : bunga

Hasil Perbincangan: Kumpulan 1 : Putra - wira penyelamat orang-orang yang

dianiaya. Apabila Putra memakai cermin mata hitam itu dia

akan jadi kuat dan dapat mengalahkan orang jahat dan

menghapuskan jenayah.

13
Kumpulan 2 : Beng tangan ajaib. Beg tangan itu diberikan

oleh seorang nenek tua yang diselamatkan oleh seorang

budak perempuan yang baik bernama Tina. Tina suka

menolong orang yang susah. Beg itu sentiasa dipenuhi

dengan duit. Tetapi duit itu hanya boleh digunakan untuk

menolong orang yang susah sahaja.

Kumpulan 3 : Bunga penawar segala penyakit. Bunga itu

dijumpai oleh Pak Amin dan anaknya Abu ketika mereka

membersihkan kebun yang baru dibeli. Bunga itu boleh

mengubat segala penyakit ganjil, tetapi mesti ikhlas dan

tidak boleh mengambil wang daripada pesakit.

ii. Improvisasi berdasarkan watak/tokoh

a. Hang Nadim : budak kecil yang sangat pintar dan berani

Situasi : Bagaimana kalau ditakdirkan Hang Nadim yang dicampakkan ke

laut oleh orang-orang istana yang dengki dengannya, tidak mati seperti dalam

cerita Singapura dilanggar todak.

Soalan : Apakah yang mungkin terjadi di dalam laut ketika itu?

Bagaimanakah kepintaran Hang Nadim menyelamatkan diri?

Apakah yang dilakukan oleh Hang Nadim selepas itu?

b. Sang Kancil dalam zaman siber.

Situasi : Sang Kancil masih menjadi binatang yang paling pintar di hutan.

Soalan : Bagaimanakah Sang Kancil menghadapi cabaran di zaman siber?

14
Apakah Sang Kancil juga memiliki komputer dan pandai

mengendalikannya? Bagaimana pula melalui komputer itu Sang

Kancil dapat menyelamatkan dan menyelesaikan masalah binatang

di hutan?

Apakah muslihat Sang Kancil untuk menyelamatkan hutan yang

telah ditebang dengan rakus?

iii. Improvisasi berdasarkan Situasi dan idea

a. Situasi : Pada tahun 2030, dunia didapati semakin tercemar.

Lapisan ozon semakin menipis. Cuaca menjadi semakin panas dan

akibatnya semua binatang peliharaan telah menjadi ganas. Kanak-kanak

telah bersedih, kerana tidak ada lagi binatang peliharaan seperti kucing,

arnab, anjing dan ikan yang boleh dipelihara dan dijadikan binatang

kesayangan mereka. Semua binatang itu telah dikurung di zoo. Sebagai

seorang pereka barang mainan, anda diminta mencipta sebuah robot untuk

menggantikan binatang kesayangan kanak-kanak itu.

Soalan : Apakah nama robot binatang kesayangan itu?

Apakah kesistimewaan robot itu?

Bagaimanakah robot itu boleh menghiburkan kanak-kanak?

Adakah robot tersebut selamat digunakan?

b. Idea asal : Dongeng kejadian pelangi yang berasal daripada naga sakti

atau ular danu yang turun ke tasik untuk minum air dengan

batil emasnya.

15
Soalan : Bagaimanakah rupa naga itu?

Di manakah dia tinggal?

Bolehkan naga itu ditewaskan?

Bolehkan kita mengambil batil emasnya?

Kesemua aktiviti yang dicadangkan di atas boleh dijadikan sebagai satu

kaedah merangsang minda bagi menjana idea. Dalam hal ini, Alex Osborn (1963)

telah menyarankan tujuh cara mengembangkan idea supaya objek atau idea asal

menjadi satu objek atau idea baru yang lebih kreatif. Sebagai contoh kita boleh

menukar bentuk gajah kepada bentuk baru seperti berikut;

i. Diubahkan

Contoh dalam penghasilan karya: Mengubah senario dalam

cerita.

16
Dalam cerita Batu Belah Batu Bertangkup, Melor dan Pekan telah

mengejar ibunya hingga ke gua Batu Belah. Andaikan Melor dan

Pekan dapat masuk ke dalam gua tersebut:

Adakah mereka berjaya bertemu dengan ibu mereka?

Apakah yang mereka temui di dalam gua itu?

Jika mereka bertemu dengan ibu mereka adakah ibu mereka akan

memaafkan kesalahan mereka?

Bagaimanakah mereka dapat keluar dan menyelamatkan ibu

mereka?

ii. Dikecilkan

Contoh dalam karya : “Honey! I Shrunk The Kids”

“Rama-Rama” (Syed Ali Syed Hassan)

(Ati yang kematian ibu dan ayahnya terpaksa tinggal dengan mak cik dan

pak ciknya. Dia tidak seronok kerana sering dimarahi oleh mereka. Ketika

berada di taman, Ati melihat rama-rama yang cantik dan bebas terbang ke

sana ke mari. Dia berangan-angan untuk menjadi rama-rama. Tiba-tiba

angan-angannya menjadi kenyataan – dia bertukar jadi rama-rama. Tetapi

17
akhirnya dia insaf, kerana kehidupan rama-rama sering terancam. Manusia

selalu mengejar dan menangkap mereka. Tubuh mereka yang kecil itu

tidak dapat melawan kekuatan manusia yang bertubuh besar).

iii. Dibesarkan

Contoh dalam karya : “The Land Of The Giant”

Situasi : Anda tersesat di hutan ketika berkhemah. Tiba-tiba anda

tiba di sebuah kawasan yang didiami oleh sekumpulan binatang gergasi.

Soalan: Apakah yang mungkin anda hadapi di tempat itu?

Bagaimanakah anda hendak melepaskan diri daripada ancaman binatang

gergasi di situ?

Mungkinkah anda akan dapat berkawan dengan mereka?

iv. Digantikan

18
Contoh dalam karya: “Siti Di Alam Fantasi” (Aminah Raphor)

Menggantikan watak yang sedia ada dengan watak

baru.

v. Diatur semula

Contoh dalam karya “Sang Kancil Putar Alam Syah” (Zainal Abdul

Latiff)

Cerita yang telah sedia ada disusun semula mengikut kesesuaian.

vi Diterbalikkan

Contoh : Bagaimana kalau Pak Pandir tidak bodoh tetapi cerdik?

19
Bagaimana kalau Mat Jenin tidak jatuh daripada pokok

kelapa tetapi berjaya turun dengan selamat dan telah

berjaya mencapai angan-anagannya? Apakah yang

mungkin terjadi?

Bagaimana kalau Pak Kaduk telah insaf dan tidak jadi

bersabung ayam . Dia juga tidak lagi berjudi? Apakah

kesudahannya?

vii. Digabungkan

Rajah dipetik daripada Modul


Latihan Guru Bestari
BPG , KPM (1997)

Contoh : Menggabungkan beberapa peristiwa atau cerita menjadi

satu.

Kisah asal usul kejadian bagaimana kerengga pinggangnya

sangat ramping, bagaimana kejadian buah gajus biji di luar

dan peristiwa bagaimana khinzir hidungnya kembang dan

ekornya pendek serta bergulung.

Elemen-Elemen Penting Dalam Skrip Drama Kanak-Kanak

20
Berbanding dengan karya prosa yang lain, drama bukan hanya dihasilkan untuk

tujuan dibaca. Drama akan lebih bermakna apabila ia dipentaskan . Oleh itu, selain idea

atau tema, seseorang penulis perlu juga mengambil kira beberapa elemen lain yang

penting dalam menghasilkan sesebuah skrip drama kanak-kanak. Di antaranya ialah;

i. Watak dan perwatakan – biasanya dalam drama kanak-kanak watak dan

perwatakannya lebih hebat dan rencam (larger than life). Watak-watak

juga boleh merupakan watak imaginatif, tetapi dapat memberikan kesan

positif terhadap kanak-kanak. Penulis boleh membentuk pelbagai

perwatakan yang mewarnai drama seperti mewujudkan watak lucu, watak

yang menimbulkan konflik (antagonis), watak yang memberi nasihat dan

tunjuk anjar, watak yang boleh memberikan motivasi dan juga watak yang

dapat menyelamatkan keadaan. Watak juga tidak semestinya terdiri

daripada manusia, tetapi boleh jadi binatang atau objek-objek tertentu.

Melalui aktiviti improvisasi, pelbagai kemungkinan boleh dilakukan ke

atas watak-watak yang diwujudkan ini.

ii. Pengajaran dan pemikiran – cerita seharusnya dapat memberikan

pengajaran dan meningkatkan pemikiran kanak-kanak. Tema boleh

diangkat daripada isu semasa, isi kandungan pelajaran (seperti kejadian

pelangi mengikut sains) dan mengubah sikap atau pandangan negatif

kepada positif. Penulis harus sedar tentang nilai-nilai murni yang harus

diterapkan kepada kanak-kanak dan sebaiknya disampaikan secara

bersahaja. Sebagai contoh, penulis boleh memulakan improvisasi tentang

kejadian pelangi mengikut cerita dongeng dan kemudian memasukkan

21
unsure pengembaraan watak utama mendapatkan batil emas ular danu.

Dalam hal ini penulis boleh menyelitkan nilai menghormati hak orang

lain, jangan mengambil barang yang bukan milik kita dan untuk menjadi

kaya mestilah berusaha gigih dan jujur. Selepas itu, penulis boleh

mengakhiri cerita dengan menjelaskan tentang kejadian pelangi dari

perspektif saintifik.

iii. Struktur – penulis harus bijak menyusun struktur dramatiknya, supaya

dramanya tidak menbosankan penonton. Beberapa perkara yang perlu

difikirkan ketika menyusun plot ialah :

a. cara terbaik memperkenalkan sesuatu watak

b. cuba elakkan memberi terlalu banyak informasi dalam masa yang

singkat dan terlalu awal

c. mungkin bagi watak-watak tertentu dimunculkan di bahagian akhir

cerita supaya dapat menukar arah cerita (mewujudkan suspen)

d. Mewujudkan kejutan dengan membuat perubahan yang mendadak

(daripada situasi gembira bertukar menjadi bahaya)

e. Fikirkan aspek pertukaran kostum atau tempoh keluar masuk

watak-watak daripada satu senario kepada senario berikutnya

f. Jika ingin melibatkan penonton mengambil bahagian, sediakan

ruang untuk mereka bersedia memberikan kerjasama

iv. Aksi – penulis harus memikirkan keseimbangan aksi dan dialog di pentas.

Kanak-kanak akan lebih gembira menyaksikan aksi pelakon-pelakonnya

daripada terlalu banyak disogokkan dengan dialog. Penulis harus juga

22
memikirkan tentang pergerakan fizikal di pentas. Adakah gerak-gerak

kreatif boleh diaplikasikan? Bagaimana dengan gerakan akrobatik?

Apakah kemungkinan teknik yang boleh menimbulkan kekaguman yang

boleh dicadangkan? Bolehkan pergerakan di pentas mengekalkan tumpuan

penonton?

v. Bahasa – boleh dipelbagai. Penulis boleh menggunakan bahasa kolokial,

bahasa berirama, bahasa dialek dan “jargon” yang sesuai dengan watak,

tetapi sebaiknya elakkan perkataan yang negatif atau kurang sopan.

vi. Lagu – tentukan adakah drama tersebut perlukan lagu? Di manakah

bahagian yang sesuai untuk diselitkan dengan lagu? Ada lagu sesuai untuk

memperkenalkan watak, ada lagu sesuai untuk menggantikan dialog

tertentu dan ada lagu yang lebih sesuai untuk membangunkan aksi.

Elakkan lagu yang terlalu sentimental dan romantik serta meleret.

vii. Kekaguman teater – Fikirkan tentang aspek spektekal dalam drama yang

dihasilkan. Adakah drama tersebut memungkinkan set dan kostum yang

menimbulkan kekaguman kepada penonton? Adakah unsur kejutan untuk

mengubah mod cerita disediakan dalam skrip?

viii. Semakan terakhir – semak semula keseluruhan skrip untuk memastikan

jalan ceritanya mudah difahami dan logik. Adakah peleraiannya dapat

diterima dan memuaskan hati penonton?

23
Penutup

Teknik improvisasi telah terbukti membantu penulis dalam menjana idea

untuk menghasilkan sesebuah drama . Improvisasi juga dapat mencerna daya imaginasi

dan kreativiti yang tinggi untuk mewujudkan pelbagai kemungkinan. . Melalui

Improvisasi penulis digalakkan berfikir dengan pemikiran lateral serta lebih inovatif. Ini

amat membantu seseorang penulis memulakan penulisan karyanya . Bagi kanak-kanak

pula, setelah dibiasakan dengan pelbagai aktiviti improvisasi di bilik darjah atau bengkel-

bengkel drama, pasti minda mereka akan lebih terangsang untuk menghasilkan karya

yang asli dan berkualiti. Oleh itu, teknik ini memungkinkan kita melatih penulis muda

yang bakal menghasilkan lebih banyak skrip drama kanak-kanak yang kini amat sedikit

jumlahnya di Malaysia. Insya-allah.

Bibliografi

1. Arnold.P.J., 1988, Education, Movement and The Curriculum,


London: The Falmer Press

24
2. Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia,
(1997) Modul Latihan Guru Bestari (edaran bercetak)
3. Brian Way, 1967, Development Through Drama, New Jersey:
Humanities Press.
4. Bolton . G.M. 1979, Towords A Theory of Drama in Education,
London: Longman
5. Cassin.J. Drama and The Advanced ESL Learner : An
Intergraaated Approach to Communication Skills dalam Australian
Review of Aplied Linguistic Series 5, No. 3 1986
6. Courtney.R. (terjemahan oleh Rahmah Bujang) 1991 Lakon. Drama
dan Pemikiran Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
7. David Hornbrook, 1991, Education in Drama, Philadelphia: The
Falmer Press
8. Edmiston. B., Enciso.P. aand King.L.M. Empowering Reaaders and
Writers Through Drama : Narrative Theatre dalam Jurnal
Language Arts. Vol.64.No.2. February 1987
9. Ellam.W.L.,1942, Start With a Story: Literature and Learning in
Your Classroom, Canada: Pembroke Publishers Limited
10. Exiner, Johana and Fbyllis Llyod, 1974. Creaative Movement
Boston : Plays Incs.
11. Evans.C. and Smith.L., 1993, Acting & Theatre London: Usborne.
12. Fenwick.G.,1990, Teaching Children’s Literature in The Primary
School, London : David Fulton Publishers.
13. Golboerg M. 1974, Children’s Theatre , New Jersey: Prientice-Hall.
14. Griffiths, Jenney, 1991, An Early Start to Drama, Great Britain:
Simons and Schuster Education.
15. Heinig.R.B.. 1993, Creative Drama for Classroom Teacher,
London : Prince-Hall International.
16. Holden.S., 1985, Drama in Language Teaching, London: Methuen
17. Male A. David, 1973, Approches To Drama, London : George Allen
and Unwin Ltd.

25
18. Maley and Duff.A., 1988, Drama Techniques in Language
Learning, Great Britain : Cambridge University
19. Mccaslin.N., 1981, Children And Drama, New York : Longman
20. Mccaslin.N.ed, 1990, Creaative Drama in the Classroom, New
York : Longman
21. Mccaslin.N. 1978, Theatre for Young Audiences, London :
Longman
22. Pusat Perkembangan Kurikulum, Buku Penerangan Kurikulum
Bersepadu Sekolah Rendah, Kuala Lumpur: Kementerian
Pendidikan Malaysia.
23. Slade.P.1971, Child Drama, London: University of London Press.
Ltd.
24. Siks.G.B.1983, Drama With Children, New York: Harper & Row
Publishers
25. Sowden.C.,1988, Developing Language Through Drama,
Australia: Nelson
26. Wessels, Charlyn, 1987, Drama, Hong Kong:Oxford University
Press Ltd.
27. Wood. David and Grant, Jenet, 1997, Theatre for Children, London:
Faber and Faber.

Skrip Drama Kanak-Kanak Yang Dirujuk

1. Adlin Aman Ramli, Taman Baginda, manuskrip.


2. Ahmad Hadzri Mat Talib , Jiran Baru , Dewan Bahasa dan
Pustaka.

26
3. Aminah Raphor, Siti Di alam Fantasi, buku program dan
menonton pementasan.
4. Faridah Abdullah, Sri Ayu, Dewan Bahasa dan Pustaka.
5. Faziah bt Sulaiman, Pemburu Pelangi, menuskrip.
6. Johan Jaaffar, Arah Ke Mana, Dewan Bahasa dan Pustaka.
7. Herani Ismail Suki, Sang Kura-Kura dengan Serulingnya,
Dewan Bahasa dan Pustaka.
8. Mohamad Izhar Hj. Abdullah, Azad dengan Gergasi,
Dewan Bahasa dan Pustaka.
9. Noriah Abd. Rahman, Denda Manis, Dewan Bahasa dan
Pustaka.
10. Samsiah Hj. Mohamad, Dewi Bunga, Dewan Bahasa dan
Pustaka
11. Syed Ali Syed Hassan, Rama-Rama, Dewan Bahasa dan
Pustaka
12. Zefri Husien, Bawang Putih Bawang Merah, buku program
dan menonton pementasan
13. Zainal Abdul Latiff, Sang Kancil Putar Alam Syah, Dewan
Bahasa dan Pustaka

27

Anda mungkin juga menyukai