Anda di halaman 1dari 11

INSTITUT PENDIDIKAN GURU, KAMPUS BAHASA MELAYU

59990, LEMBAH PANTAI, KUALA LUMPUR

PROGRAM IJAZAH SARJANA MUDA PERGURUAN


(AMBILAN JUN 2018 SEMESTER 5)

SEMANTIK BAHASA MELAYU


BMMB3123

NAMA PELAJAR FAREEZ HAKEEM BIN MD ISA

ANGKA GILIRAN 2018192340068

NOMBOR KAD PENGENALAN 990208-05-5701

KUMPULAN PISMP D4

TUGASAN ANALISIS PERIBAHASA

NAMA PENSYARAH PUAN ROZEHA BINTI HARUN

TARIKH HANTAR 8 OKTOBER 2020

1
NO ISI KANDUNGAN MUKA SURAT

PENGHARGAAN 3
1.0 PENGENALAN 4
2.0 ANALISIS PERIBAHASA 4-9

2.1 ANGGUK BUKAN, GELENG YA

2.2 BAKAR TAK BERAPI

2.3 CAKAP BERLAUK-LAUK, MAKAN DENGAN SAMBAL LADA

2.4 DADA MANUSIA TIDAK DAPAT DISELAM

2.5 ELOK ARAK DI HARI PANAS

2.6 GEDANG KAYU, GEDANG DAHANNYA

2.7 ITIK DIAJAR BERENANG

2.8 JULING AIR

2.9 LAKSANA CEMPEDAK MAMBUNG, PULUR SAJA, JUAL TAK LAKU

2.10 LUKA SUDAH HILANG, PARUTNYA TINGGAL JUGA


3.0 KESIMPULAN 10
RUJUKAN 11

2
PENGHARGAAN

Salam, di sini saya ingin berterima kasih dan bersyukur kehadrat Tuhan kerana dengan izin
dan kurnia-Nya dapat juga saya menyiapkan tugasan bagi subjek Semantik Bahasa Melayu
(BMMB3123). Sepanjang saya menjalankan tugasan ini, saya telah memperolehi pelbagai
pengalaman sama ada pahit mahupun manis yang amat berharga dan bermakna dalam
hidup saya yang bakal bergelar sebagai seorang pendidik kelak. Pengalaman yang saya
perolehi sepanjang menjalankan tugasan ini mungkin hanya akan datang sekali sahaja
dalam hidup saya.

Saya ingin mengucap ribuan terima kasih kepada Pn. Rozeha binti Harun, pensyarah
bagi kursus Semantik Bahasa Melayu yang tidak mengenal erti penat lelah dalam memberi
tunjuk ajar dalam menyiapkan tugasan ini. Tidak lupa juga kepada ibu saya yang selalu
memberi sokongan moral dan nasihat sebagai pembakar semangat kepada saya dalam
menyiapkan tugasan ini. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan
yang selalu menyumbang pendapat dan idea-idea yang bernas ketika saya buntu dalam
menyiapkan tugasan ini.

Akhir kata, ucapan ini khasnya ditujukan kepada semua pihak yang telah terlibat
secara langsung ataupun tidak langsung. Setiap bantuan yang anda berikan amatlah saya
hargai kerana tanpa bantuan anda semua tugasan ini tidak akan dapat dilaksanakan
dengan sempurna.

3
1.0 PENGENALAN

Perkataan semantik berasal daripada perkataan Yunani kuno iaitu ‘sema’ yang bermaksud
isyarat dan diterbitkan menjadi ‘semainein’ yang bermaksud bererti. Perkataan ini kemudian
dingriskan menjadi semantics dan akhirnya wujudlah dalam Bahasa Melayu perkataan
‘Semantik’ (Nur Afiqah Wan Mansor & Nor Hashimah Jalaluddin, 2016). Istilah semantik
dimaksudkan sebagai penilitian makna kata dalam bahasa tertentu menurut sistem
pergolongan (Junaini Kasdan & Nor Hashimah Jalaluddin, 2015). Menurut Muhammad Zaid
Daud (2018) pula, semantik ialah satu cabang ilmu linguistik yang mengkaji makna kata
dalam sesuatu bahasa. Selain itu, semantik juga didefinisikan oleh Paul R. Kroeger (2019)
sebagai perincian makna kata yang terdapat di dalam entri bahasa dan digolongkan dalam
kelompok yang mempunyai makna berkaitan di antara satu sama lain.

Peribahasa merujuk kepada suatu kiasan atau bunga bahasa dalam kata-kata yang
mampu menggambarkan sesuatu maksud yang tertentu. Menurut Za’ba (1965) peribahasa
ialah segala susunan cakap yang pendek yang telah melekat di mulut orang ramai sejak
beberapa lama oleh sebab sedap dan bijak perkataannya, luas dan benar tujuannya, dipakai
dan dijadikan sebutan orang sebagai perbandingan, teladan, pengajaran dan iktibar. Hal ini
dipengaruhi oleh landskap budaya hidup masyarakat Melayu yang mempunyai kehalusan
tutur bicara yang tinggi walaupun dalam menyampaikan teguran kepada seseorang.

2.0 ANALISIS PERIBAHASA

Tenas Affendy (2013) menyatakan peribahasa boleh hadir melalui pemerhatian dan
pengalaman hidup yang terkandung budi bahasa, falsafah, petua dan amanah, tunjuk ajar
dan nilai agama serta budaya dalam sesebuah masyarakat. Berdasarkan penyataan ini, kita
dapat melihat bahawa masyarakat Melayu pada zaman dahulu pandai mengasimilasikan
alam persekitaran dengan mengaitkan unsur-unsur yang berada di sekeliling untuk
diimplementasikan dalam kehidupan seharian sehingga dapat membentuk peribahasa
Melayu yang mampu menjelmakan pemikiran kepada sikap dan kelakuan manusia. Oleh itu,
bahagian ini akan membincangkan sepuluh peribahasa Melayu dan signifikan peribahasa
tersebut secara analisis dan proses perubahan semantik yang berlaku.

2.1 ANGGUK BUKAN, GELENG YA

Peribahasa ini membawa makna perbuatan yang dizahirkan atau dipertuturkan tidak
sama dengan kehendak. Gambaran yang diberikan oleh peribahasa ini ialah
keadaan seseorang yang yang tidak dapat memperkatakan niat atau kehendaknya
sendiri. Antara contoh penggunaannya dalam ayat ialah “Ali terlalu menurutkan kata
ketuanya walaupun tidak bersetuju hinga dia mengangguk bukan, menggeleng ya”.

4
Konotasi tersurat yang dapat dilihat dalam peribahasa tersebut adalah suatu
keadaan yang bertentangan dengan norma bahasa tubuh. Sebab, mengangguk
bermaksud bersetuju atau bahasa tubuh bagi jawapan ‘ya’, manakala menggeleng
bererti tidak setuju atau bahasa tubuh bagi ‘tidak’. Namun, peribahasa ini
menunjukkan pertentangan antara bahasa tubuh dan maksud sebenar atau niat yang
cuba disampaikan. Keadaan ini sekiranya dibuat dalam kehidupan seharian pasti
akan menimbulkan kekeliruan sekiranya menjawab ya dengan menggeleng dan
menafi bukan dengan mengangguk.

Proses berubahan makna yang berlaku adalah hasil daripada pemerhatian


orang dahulu terhadap bahasa isyarat atau tubuh yang dikaitkan dengan percakapan
bagi menjadikan peribahasa ini mempunyai sifat berlapik dan tidak terlalu terang-
terangan. Oleh itu, percakapan digantikan dengan bahasa tubuh, manakala
kehendak atau maksud sebenar digantikan dengan makna ‘bukan’ dan ‘ya’.
Menjadikan peribahasa ini bermaksud lain di mulut, lain di hati.

2.2 BAKAR TAK BERAPI

Peribahasa ini bermaksud bercinta secara tidak dengan sebenarnya atau diam-diam.
Keadaan yang digambarkan dalam peribahasa boleh menjadi dua iaitu keadaan
yang negatif dan keadaan yang positif. Keadaan yang negatif adalah apabila
peribahasa ini dimaksudkan dengan masalah percintaan, manakala keadaan positif
yang digambarkan adalah apabila sesebuah percintaan dirahsiakan daripada
pengetahuan umum. Misalnya, ayat “Amira sering kali berduka cita kerana dia tahu
cinta Ali padanya hanya bakar tak berapi,” membawa konotasi negatif, manakala
ayat “Rupa-rupanya pasangan itu bakar tidak berapi kerana tiada siapa yang tahu
hubungan mereka selama ini sudah terjalin,” pula membawa konotasi positif.

Secara tersuratnya, kebanyakan bahan bakar yang dibakar sempurna akan


menghasilkan nyalaan api, namun dalam situasi peribahasa ini menceritakan
keadaan bakar yang tidak menghasilkan nyalaan api iaitu sama ada keadaan
membara atau melebur sahaja (Schmidt-Rohr, 2015). Keadaan ini berlaku apabila
proses nyalaan api yang memerlukan bahan bakar, haba dan oksigen adalah tidak
sempurna.

Proses perubahan makna yang berlaku sehingga terciptanya peribahasa ini


adalah apabila masyarakat Melayu apabila sering mengaitkan percintaan dengan
sifat api seperti ‘cinta yang membara’, ‘cintanya semakin marak’ dan sebagainya. Hal
ini demikian kerana, proses pembakaran mempunyai syarat bahawa bahan bakar,

5
haba dan oksigen mestilah mencukupi yang diselarikan dengan sifat cinta yang
mempunyai syarat bahawa kedua-dua pihak mestilah saling menyayangi.

2.3 CAKAP BERLAUK-LAUK, MAKAN DENGAN SAMBAL LADA

Peribahasa ini membawa maksud perbuatan yang bercakap besar seperti orang
kaya tetapi sebenarnya miskin. Situasi yang digunakan dalam peribahasa ini adalah
apabila seseorang yang berlagak seperti jamuan makannya berlauk-lauk tetapi
hakikatnya hanya ada sambal lada sahaja. Contohnya, “Pak Kaduk apabila bercakap
besar, orang kampung hanya akan mengiakan sahaja kerana tahu bahawa dia hanya
cakap berlauk-lauk, makan dengan sambal lada.”

Peribahasa yang menyifatkan lagak berkata besar ini ada juga contoh lainnya
seperti ‘cakap melangit dapur tak berasap’ dan ‘cakap berdegar-degar, tahi
tersangkut di gelegar’. Budaya Melayu sejak dahulunya telah banyak melarang
perbuatan atau pertuturan yang menunjuk-nunjuk atau membangga diri (Junaini
Kasdan & Nor Hashimah Jalaluddin, 2015). Sebab itu, peribahasa-peribahasa yang
menyindir sifat cakap besar ini mempunyai banyak versi dan pelbagai bentuk.

Proses perubahan makna yang berlaku adalah daripada sindiran terhadap


individu yang suka bercakap besar seperti orang kaya yang juadahnya mewah tetapi
sebenarnya hanya berlaukkan sambal lada sahaja yang disifatkan sebagai
penambah rasa sahaja. Pembuatan sambal lada juga hanya memerlukan resepi
yang mudah dan murah, malah bahan-bahannya hanya boleh didapati di sekitar
kawasan rumah pada zaman dahulu. Oleh itu, terhasillah peribahasa menyindir
orang bercakap besar yang berunsurkan telatah manusia.

2.4 DADA MANUSIA TIDAK DAPAT DISELAM

Peribahasa ini bererti pengetahuan seseorang tidak dapat diketahui. Peribahasa ini
juga berkait rapat dengan peribahasa yang menerima pengaruh bahasa Arab iaitu
‘ilmu itu di dada bukan di buku’. Justeru, perlambangan yang dimaksudkan dalam
peribahasa ini ialah ilmu yang berada di dada manusia tidak boleh dinilai atau
diketahui. Misal penggunaan peribahasa ini dalam ayat adalah seperti “Janganlah
kita saling menganggap buruk kerana dada manusia tidak dapat diselam.”

Secara tersiratnya, dada itu mewakili hati manusia yang berada di dalamnya
dan agama Islam juga mengajar bahawa ilmu diamnya di dalam hati manusia (Nur
Afiqah Wan Mansor & Nor Hashimah Jalaluddin, 2016). Manakala, diselam pula
secara literalnya membawa erti mencari atau menduga secara fizikal (Kamus Dewan

6
Edisi Keempat, 2013). Oleh itu, konotasi peribahasa ini menyifatkan bahawa kita
tidak akan dapat menduga ilmu pengetahuan seseorang secara penilaian maujud.

Proses perubahan makna daripada kata literal menjadi sebuah peribahasa


yang berlaku adalah apabila masyarakat Melayu menerima pengaruh ajaran agama
Islam daripada pedagang Arab, makna bagi dada manusia menjadi sebuah
perlambangan kepada tempat diamnya ilmu pengetahuan dan sifat ini tidak boleh
semudah-mudahnya untuk diduga kedalaman darjatnya. Menjadikan peribahasa ini
sebagai suatu pengajaran bahawa ilmu pengetahuan manusia tidak boleh dinilai
begitu sahaja.

2.5 ELOK ARAK DI HARI PANAS

Maksud peribahasa ini ialah orang yang bersuka cita kerana mencapai tujuan atau
kejayaan. Gambaran yang diberikan oleh peribahasa ini adalah situasi perayaan
yang disambut tanpa mengira keadaannya kerana terlalu bersuka cita. Contoh
penggunaannya dalam ayat ialah “Sungguh gembira para pelumba itu kerana
pasukannya menang hingga elok arak di hari panas.”

Latar belakang peribahasa ini ialah serapan budaya barat yang datang ke
Tanah Melayu dengan tabiat meraikan sesuatu pencapaian dengan meminum arak.
Misalnya, dahulu pertandingan lumba kuda sering dijalankan pada siang hari dan
disertai oleh para penjajah dan sesama mereka saling berjudi dan apabila pelumba
yang ditaruhkan menang, mereka akan menyambut kejayaan tersebut dengan
meminum arak. Sedangkan, lazimnya arak diminum pada waktu malam dan
mempunyai kesan yang boleh menyebabkan badan menjadi panas.

Seterusnya, perubahan makna berlaku apabila budaya ini dijadikan sebuah


peribahasa yang membawa ironi minuman arak yang biasanya diminum untuk
memanaskan badan atau pada waktu malam tetapi diminum pada waktu siang.
Sekali gus menggambarkan keadaan bersuka citanya seseorang yang berjaya
mencapai sesuatu tanpa menghiraukan panasnya hari.

2.6 GEDANG KAYU, GEDANG DAHANNYA

Makna peribahasa ini adalah banyak pendapatan, banyaklah perbelanjaannya.


Unsur alam yang dibawakan oleh peribahasa ini ialah sifat pokok yang semakin
besar saiznya, semakin besarlah bahagian anggotanya. Antara pcontoh
penggunaannya ialah “Kasihanlah anak Pak Samad itu, sudah-sudahlah kamu
meminta duit daripada dia, memanglah dia sudah bergaji, tapi gedang kayu, gedang
dahannya.”

7
Peribahasa ini mempunyai makna yang sama dengan peribahasa ‘besar
periuk nasi, besarlah keraknya’ yang memberi perlambangan bahawa semakin
banyak pendapatan, semakin banyaklah perbelanjaan yang perlu dilangsaikan.
Secara realitinya, semakin banyak pendapatan, semakin banyaklah cukai yang perlu
dibayar dan semakin banyaklah kehendak. Proses perubahan makna yang berlaku
adalah apabila kolerasi analogi antara unsur alam semakin besar kayu, semakin
besarlah dahannya, dengan situasi semakin banyak pendapatan, semakin banyaklah
kos perbelanjaan.

2.7 ITIK DIAJAR BERENANG

Peribahasa ini bermaksud melalukan pekerjaan yang sia-sia. Ironi yang dipaparkan
dalam peribahasa ini ialah pertentangan antara itik yang semula jadinya memang
pandai berenang dengan perbuatan yang sia-sia untuk mengajarnya lagi cara
berenang. Contoh penggunaannya dalam ayat adalah seperti berikut: “Pak Kaduk
sering ditertawakan ramai apabila setiap pekerjaan yang dibuatnya ibarat itik diajar
berenang.”

Peribahasa bermaksud melakukan pekerjaan sia-sia ini mempunyai banyak


contoh yang lain seperti ‘mencurah air ke daun keladi’, ‘bagai kambing menanduk
bukit’ dan ‘laksana layang-layang melawan angin’. Contoh-contoh ini menunjukkan
betapa masyarakat Melayu tidak menyukai dan menegah perbuatan atau pekerjaan
yang sia-sia kerana pada akhirnya merugikan diri sendiri dari segi masa dan tenaga.

Perubahan makna yang berlaku adalah apabila orang tua-tua memerhatikan


bahawa itik secara semula jadinya memang akan pandai berenang kerana anatomi
fizikalnya yang terbina untuk terapung dan boleh bergerak bebas di atas air. Justeru,
sifat itik ini tidak lagi memerlukan ajaran cara berenang dan pekerjaan yang
mengajar itik berenang adalah suatu tindakan yang sia-sia.

2.8 JULING AIR

Maksud peribahasa ini ialah juling sedikit. Peribahasa ini digunakan untuk memberi
atau menggambarkan sifat mata hitam seseorang yang tidak berkedudukan tepat di
tengah-tengah mata. Juling air ini juga tidak disifatkan sebagai suatu celaan atau
hinaan. Sebagai contoh “Wajahnya sentiasa berseri-seri dan manis walaupun juling
air.”

Sifat air biasanya dapat memantulkan cahaya dan menghasilkan pantulan


seakan-akan cermin. Namun, air tidak mempunyai sifat pejal yang statik dan tidak
bergerak menjadikan pantulan cahaya yang dihasilkan tidak sekata dan berlaku

8
serakan pantulan cahaya sehingga bayangan yang dipancarkan senget-senget dan
tidak tepat. Begitu jugalah apabila menggunakan air sebagi cermin untuk melihat
pantulan muka, mata akan menjadi juling kerana serakan cahaya berlaku. Lantas
menjadi proses kepada perubahan makna kepada peribahasa ini.

2.9 LAKSANA CEMPEDAK MAMBUNG, PULUR SAJA, JUAL TAK LAKU

Peribahasa ini membawa makna gadis gemuk yang tidak disukai. Gelaran yang agak
kasar terhadap gadis gemuk ini dikenakan dengan perlambangan bagi menjadikan
sindirannya berlapik dan tidak terlalu terang-terangan. Antara contoh
penggunaannya dalam ayat adalah seperti “Siti sering kali dimarahi ibunya kerana
makan banyak kerana gusar menjadi laksana cempedak mambung, pulur saja, jual
tak laku.

Seccara literalnya, cempedak mambung bermaksud buah cempedak yang


tidak mempunyai isi. Kemudian, pulur pula membawa erti sifat buah yang cantik
ranum dan besar dari luarannya. Maka, apabila kedua-dua sifat ini disatukan pada
cempedak, menjadikannya sebagai buah yang hanya besar dan cantik sahaja namun
tidak mempunyai isi. Oleh itu, buah ini sekiranya dijual tidak akan laku kerana tidak
boleh dinikmati ekoran ketiadaan isi.

Proses perubahan makna ini berlaku apabila masyarakat Melayu enggan


menggelarkan gelaran yang buruk secara terang-terangan kerana dianggap sebagai
antara pantang larang yang boleh terkena pada diri sendiri. Maka, perlambangan
dikenakan bagi menjadikan gelaran tersebut tidak terlalu terang dan berbunyi kasar.

2.10 LUKA SUDAH HILANG, PARUTNYA TINGGAL JUGA

Peribahasa ini bererti orang yang berselisih faham, meskipun sudah berdamai tetapi
kenang-kenangannya masih teringat juga. Analogi yang diberikan dalam peribahasa
ini adalah gambaran konrit kepada situasi abstrak. Kerana pergaduhan dan
perbalahan adalah bersifat abstrak, manakal luka pula bersifat konkrit. Contoh
peribahasa ini di dalam ayat adalah seperti “Perhubungan yang berentakan tidak
akan boleh kembali seperti sedia kala kerana luka sudah hilang, parutnya tinggal
jua.”

Secara perbandingannya, luka ialah analogi kepada perselisihan faham atau


bergaduh iaitu retakan dalam perhubungan, manakala parut pula ialah analogi
kepada telah kembali berdamainya permusuhan, iaitu sifat sembuh kepada luka yang
akan menghasilkan parut. Simbolik ini menceritakan bahawa sesebuah perhubungan

9
yang telah kembali berdamai tidak akan sama seperti sedia kala kerana pengalaman
dan kenangan bersama sepanjang bermusuh tidak akan hilang, sama seperti parut.

3.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, peribahasa merupakan salah satu bidang kajian bahasa yang perlu dikaji
dan hal ini memerlukan kemampuan berfikir yang kreatif dan kritis untuk menterjemah
makna-makna peribahasa tersebut. Peribahasa juga merupakan warisan budaya Melayu
yang perlu dikekalkan kerana nilai, pengajaran, pedoman dan peraturan hidup yang
berharga yang terdapat di dalam setiap peribahasa ini adalah aset yang penting buat
bahasa Melayu.

10
RUJUKAN

Muhammad Zaid Daud. (2018). Pengaplikasian kerangka semantik inkuisitif melalui slanga.

Faridah Nazir & Faiziah Shamsudin (2014). Semantik dan Peristilahan Bahasa Melayu.
Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Junaini Kasdan & Nor Hashimah Jalaluddin (2015). Unsur alam dan akal budi Melayu:
Analisis semantik inkuisitif. In Seminar Meja Bulat: Simpulan Bahasa dan Kognitif
Penutur (pp. 1-20).

Kamus Dewan Edisi Keempat (2013). Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kroeger, P. R. (2019). Analyzing meaning: An introduction to semantics and pragmatics.


Second corrected and slightly revised edition. Language Science Press.

Nik Hassan Basri Hj. Nik Ab. Kadir. (2003). Teori bahasa: Implikasinya terhadap pengajaran
Tatabahasa. Tanjung Malim: Penerbit Pendidikan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Nik Safiah Karim. et. al. (2015). Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka

Nur Afiqah Wan Mansor & Nor Hashimah Jalaluddin (2016). Makna implisit bahasa kiasan
Melayu: Mempertalikan komunikasi, kognisi dan semantik. Jurnal Komunikasi:
Malaysian Journal of Communication, 32(1).

Schmidt-Rohr, K. (2015). Why Combustions Are Always Exothermic, Yielding About 418 kJ
per Mole of O2. Journal of Chemical Education, 92(12), 2094–2099.

11

Anda mungkin juga menyukai