Anda di halaman 1dari 5

APLIKASI SENI DALAM PENDIDIKAN

1.0 PENDAHULUAN

Seni dalam pendidikan terdiri daripada mata pelajaran Pendidikan Seni Visual,Seni Muzik dan Seni
Pergerakan. Mengikut Kamus Dewan Edisi baru, seni didefinisikan sebagai karya ( sajak, lukisan,
muzik dan lain-lain ) yang diciptakan dengan bakat, kebolehan mencipta sesuatu yang indah. Secara
tidak langsung mengakui bahawa untuk menghasilkan sesuatu produk seni, bakat, kebolehan dan
penghayatan serta pemahaman yang jitu amat penting. Kebolehan adalah sesuatu yang mampu
dipelajari dan dibentuk manakala bakat pula adalah sesuatu yang berdiri dengan sendiri hasil
daripada kurniaan Ilahi. Kedua-dua ini saling berkait rapat di dalam menghasilkan sesuatu produk
seni yang mempunyai nilai estetika yang tinggi. Dipandang daripada sudut agama, Imam Muslim
melalui penulisan kitabnya, Kitab Al- Iman, menjelaskan tentang kesenangan estetik dan konsep
keindahan sebagai pertemuan antara seseorang yang mempunyai pengetahuan terhadap mesej atau
objek yang ditemui. Dalam erti kata lain, Muslim menjelaskan seni itu sebagai suatu bentuk ilmu (
pengetahuan ) di mana seseorang yang mempunyai ilmu ataupun pengetahuan seni tersebut akan
mencipta serta melahirkan manifestasi pemikiran dan perasaannya terhadap sesuatu objek yang
dihayatinya melalui karya-karya seni, ataupun setidak-tidaknya akan menghargai keindahan objek
serta karya tersebut, sekiranya tidak mampu menghasilkan karya seni. Ini adalah kerana seni itu
sendiri mempunyai pertalian erat di antara penggiat dan khalayak seni itu sendiri. Menurut Herbert
Read ( buku, The Meaning of Arts ) pula seni adalah penghasilan rupa bentuk yang menimbulkan
keceriaan, keseronokan dan kesenangan estetik ( Art is Expression ). Kesenangan estetik di sini
adalah merujuk kepada konsep kesenangan yang terhasil kesan oleh penghayatan terhadap
keindahan seni visual. Kepuasan, kenikmatan, kesukaan dan kegembiraan juga termasuk di dalam
kesenangan ini. Selain itu, seni dalam pendidikan juga memainkan peranan yang penting ke arah
perkembangan kanak-kanak melalui peningkatan daya persepsi, estetika dan kreativitinya.
Matlamatnya ialah untuk melahirkan individu yang berbudaya dengan mengamalkan pertimbangan
kesenian, berjiwa kreatif, inovatif, inventif dan mempunyai jati diri yang tinggi. Penggabungan tiga
jenis seni yang terdiri daripada seni visual, seni muzik dan seni pergerakan akan membantu
pembentukan insan yang lebih bersifat holistik dan menyeluruh.

2.0 APLIKASI SENI DALAM PENDIDIKAN Seni merupakan sesuatu yang subjektif untuk
digambarkan. Seni itu indah dan halus. Seni dalam pendidikan merupakan sesuatu yang baru dan
ianya menggabungkan tiga elemen penting. Elemen-elemen tersebut ialah seni visual, seni
pergerakan dan juga seni muzik. Dalam seni visual ianya lebih melibatkan lukisan, manakala seni
pergerakan melibatkan penggunaan ruang dalam sesuatu aktiviti dan seni muzik pula lebih kepada
interpretasi seseorang terhadap muzik yang didengari. Warna merupakan elemen yang penting
dalam kehidupan. Tanpa warna kehidupan akan menjadi tidak bermakna. Semestinya, kehidupan
akan menjadi bosan dan tidak menarik. Warna juga turut digunakan dalam seni dalam pendidikan
iaitu dalam komponen Pendidikan Seni Visual. Warna memainkan peranan yang penting dalam
menggambarkan sesebuah kebudayaan, emosi. dan maksud dalam karya seni visual. Irama
merupakan elemen yang terdapat dalam seni muzik. Irama dapat dinyatakan sebagai rentak yang
berlaku secara berulang. Sesuatu irama itu boleh dinikmati sewaktu kita mendengar muzik. Irama
yang menarik dalam sesuatu muzik akan mempengaruhi seseorang untuk mendengar muzik tersebut
berulang kali. Dalam kehidupan kita seharian, kita semestinya akan menemui pelbagai irama.
Sebagai contoh bunyi tapak kaki, bunyi degupan jantung, bunyi titisan air di singki dan sebagainya.
Semua ini merupakan irama yang wujud di sekeliling kita tanpa kita sedari dan kebanyakan ianya
berlaku setiap masa.. Dalam pendidikan seni, irama digambarkan sebagai sesuatu susunan corak
yang berulang dan susunan sekata yang mewujudkan pergerakan. Kanak-kanak akan mula
memahami sesuatu kemahiran yang berbentuk irama sewaktu mereka melakukan aktiviti seperti
melompat, bergerak ke kiri dan ke kanan, menari, melukis corak dan sebagainya. Sebenarnya irama
dapat merangsang minda kanak-kanak untuk memberikan tumpuan apa yang sedang dilakukan.
Tanpa kehadiran muzik, sudah semestinya sesuatu aktiviti itu menjadi hambar dan murid akan
merasa cepat bosan. Selain itu, kehadiran Irama dalam aktiviti yang dilakukan secara tidak langsung
menarik minat kanak-kanak untuk menyertai sesuatu aktiviti dengan lebih seronok dan
bersemangat. Kanak-kanak akan merasa lebih seronok melakukan aktiviti seperti melompat sambil
mengikut irama muzik. Irama yang diaplikasikan dalam pengajaran akan menjadikan pelajar banyak
melakukan pergerakan dan secara tidak langsung, elemen yang ketiga dipenuhi. Elemen-elemen seni
dalam pengajaran ini menjadi satu hubung kait yang kukuh dalam menjadikan pengajaran lebih
efektif dan kreatif. Kanak-kanak akan menjadi lebih terdorong untuk memahami sesuatu perkara
secara seronok. Kesimpulannya, guru perlu mengambil langkah dalam memanipulasikan elemen seni
dalam pengajaran supaya pengajaran mereka akan menjadi lebih berkesan. Menurut Kenneth
M.Lansing ( 1973 ) dalam bukunya Art, Artist dan Art Education menyatakan bahawa aktiviti
pendidikan seni yang wujud boleh berfungsi sebagai satu cabang komunikasi. Kebolehan guru dalam
menyampaikan pengajaran dan menggunakan kaedah yang betul akan dapat memenuhi keperluan.
Selain itu, guru perlulah memahami dan menghayati kurikulum dan menguasai Sukatan Pelajaran
Pendidikan Seni Visual. Kemahiran guru dalam mengolah sukatan pelajaran dengan menumpukan
kepada perkembangan pengetahuan dan peningkatan kemahiran tertentu dengan menggunakan
pelbagai pendekatan dan teknik yang sesuai. Seni Dalam Pendidikan sebenarnya memberi peluang
kepada kanak-kanak untuk meneroka alam sekeliling mereka, yakni apa yang mereka lihat, sentuh,
bergerak dan berfikir dalam setiap aktiviti pembelajaran yang mereka lakukan. Melalui cara ini,
secara tidak langsung, ia mengajar murid untuk menguruskan sumber imaginasi, kreativiti,
pemikiran, serta emosi dengan lebih efektif dan proaktif.

3.0 Aktiviti Seni Dalam Pendidikan dapat meningkatkan perkembangan jasmani, Emosi, rohani,
intelek, sosial dan estetika kanak-kanak.

3.1 Seni Visual

Sememangnya tidak dapat disangkal lagi bahawa seni visual amat penting dalam perkembangan
kanak-kanak seperti perkembangan dari segi jasmani, emosi, rohani ,intelek, nilai estetika dan sosial
kanak- kanak . Pendidikan Seni Visual memainkan peranan yang besar sekali dalam menjayakan
matlamat Falsafah Pendidikan Negara tersebut. Dalam Pendidikan Seni Visual, perkembangan
kognitif ini sebenarnya mempunyai hubungan dengan kemampuan seseorang murid itu berfikir
termasuk kemampuan memahami, menghafal, mengaplikasi dan menganalisis. Menurut Taksonomi
Bloom (Sax 1980), kemampuan kognitif adalah kemampuan berfikir secara hierarki yang terdiri dari
pengetahuan, pemahaman, aplikasi, analisis, sintesis dan evaluasi. Penghasilan lukisan oleh murid-
murid di sekolah rendah mempunyai interpretasi yang berbeza dengan yang dihasilkan oleh orang
dewasa. Bagi mereka, hasil seni yang dihasilkan lebih berupa kepada hasil luahan dan expresif. Di
sekolah rendah, hasil seni yang dihasilkan oleh kanak- kanak dapat digunakan untuk melihat
bagaimana caranya mereka berfikir dan menyelami perasaan mereka selain melihat dan menguji
keupayaan perkembangan kognitif mereka. Jika kita lihat contoh aktiviti dalam membentuk dan
membuat binaan iaitu aktiviti membina kad ucapan, jelas menunjukkan bahawa murid- murid dapat
mengaplikasikan apa yang telah difahami dalam menghasilkan kad ucapan dengan mewarna kad
tersebut. Murid mampu berfikir tentang proses kerja seterusnya sehinggalah terhasilnya sebuah kad
ucapan yang indah dan kreatif berdasarkan kemampuan kognitif mereka sendiri. Ini menunjukkan
bahawa, aktiviti- aktiviti seni yang tersusun dan terancang dapat melahirkan murid yang mempunyai
keupayaan menyelesaikan masalah. Selain daripada itu, mereka juga akan mampu untuk membuat
penilaian dan bijak membuat keputusan. Perkembangan kognitif dalam proses kerja murid dalam
menghasilkan karya seni adalah selaras dengan matlamat membentuk generasi Malaysia yang
imaginatif, inovatif dan inventif. Dengan penghasilan karya- karya seni, murid dapat menghargai
keindahan alam sekitar, rasa kesyukuran kepada Tuhan di atas seni yang dihasilkan dan
meningkatkan keindahan seni yang dapat menyumbang kepada pembangunan diri seperti yang
dinyatakan dalam objektif kurikulum pendidikan seni visual sekolah rendah yang ketiga iaitu
meningkatkan pengetahuan, daya kreativiti, inovasi, disiplin serta kemahiran dalam bidang seni
visual yang dapat diamalkan dalam kehidupan dan kerjaya. Dalam mata pelajaran pendidikan seni
visual, kanak- kanak diajar untuk mengawal dan melatih jasmani mereka dalam menghasilkan karya
seni. Ini kita dapat lihat dalam aktiviti seni dalam bidang yang diajar seperti aktiviti melukis,
menganyam, membentuk dan membuat binaan, membuat corak dan pelbagai lagi. Aktiviti- aktiviti
seni dalam ke empat- empat bidang banyak menggunakan kemahiran jasmani dalam penghasilan
seni. Kita ambil contoh aktiviti membina kad ucapan. Melukis pada kad dengan teknik tulisan yang
pelbagai dan dilukis berbunga adalah menunjukkan perkembangan Psikomotor yang positif.
Menurut Ibrahim Hassan (2001) Pendidikan Seni Visual sekolah rendah memupuk pertumbuhan
kemahiran dalam pergerakan atau gerak balas yang boleh terbentuk melalui aktiviti pengajaran dan
pembelajaran, meningkatkan meningkatkan kualiti koordinasi antara mata, tangan, otot dan mental.
Kerohanian dan emosi yang baik sangat penting dalam diri seseorang individu. Kerohanian
merupakan sesuatu yang berkaitan dengan sikap dan nilai dalam diri . Dalam Pendidikan Seni Visual,
aspek afektif ini mencakupi perasaan, minat, sikap, emosi dan nilai. Dalam penghasilan karya, murid
di sekolah rendah tidak kira peringkat umur akan mempunyai perasaan terhadap sesuatu yang ingin
dihasilkan. Minat akan menjadi fokus utama jenis karya yang bakal dihasilkan. Manakala emosi pula
banyak mempengaruhi semasa proses kerja karya tersebut dan nilai yang dapat ditunjukkan adalah
nilai menghargai warisan, sahsiah yang baik dan rasa kesyukuran. Ini jelas menunjukkan bahawa
kerohanian ini menekankan kepada kepentingan emosi dan perasaan. Justeru itu,
seseorang murid yang mempunyai nilai kerohanian dan kestabilan emosi yang tinggi dalam
Pendidikan Seni Visual akan dapat dilihat menerusi berbagai tingkah laku. Antaranya adalah seperti,
pemerhatian murid tersebut terhadap mata pelajaran Pendidikan Seni Visual, disiplinnya dalam
menyediakan bahan seni yang diperlukan, mempunyai motivasi yang tinggi terhadap mata pelajaran
seni dan penghargaan terhadap alam sekitar dan kesyukuran ditunjukkan dalam karya yang
dihasilkan. Fokus utama murid-murid dalam aktiviti- aktiviti seni adalah meluahkan perasaan dalam
karya dan memiliki motivasi yang sangat tinggi sehingga tumpuan diberikan seratus peratus
terhadap karya yang ingin dihasilkan. Ini mempunyai perkaitan dengan matlamat Pendidikan Seni
Visual iaitu menghargai keindahan seni dan objektif kurikulum Pendidikan Seni Visual menunjukkan
penghargaan terhadap keindahan dan menjadikan bidang seni visual sebagai prospek kerjaya.
Dalam Pendidikan Seni Visual, nilai estetika pula merujuk kepada proses yang berterusan dalam
menghasilkan sesuatu yang baru dan asli. Murid- murid sekolah rendah mempunyai nilai imaginatif
yang tinggi tidak kiralah murid tersebut di tahap satu mahupun di tahap dua. Masing- masing akan
mempunyai kreativiti yang berbeza dalam meluahkan penghasilan seni. Ini bermakna dalam
pendidikan seni visual, murid- murid mampu berfikir dengan kreatif dan kritis dalam
memperkembangkan hasil seni mereka. Dalam Pendidikan Seni Visual, murid- murid di sekolah
dapat melibatkan diri dengan pelbagai proses kerja seni yang banyak melibatkan aktiviti kreatif dan
proses mengembangkan idea dalam diri mereka. Projek seperti membuat kad ucapan dari bidang
membentuk dan membuat binaan dalam mata pelajaran pendidikan seni visual ini telah membantu
murid ini mengembangkan domain kreativitinya. Aktiviti menghasilkan kad ucapan seperti ini di
dalam Pendidikan Seni Visual mengutamakan proses dan hasilan akhir. Oleh yang demikian, proses
kerja ini menyuburkan budaya pemikiran kritikal murid di dalam menyelesaikan sesuatu
permasalahan. Selain itu, aktiviti pendidikan seni visual ini menggalakkan eksplorasi dan
eksperimentasi agar murid mempunyai pengalaman luas dalam bidang penghasilan karya.
Pendidikan Seni Visual ini berupaya mengembangkan naluri ingin tahu secara eksplorasi menerusi
deria. Pemikiran kreatif dan kritis akan terus dijana melalui ekspresi diri mereka. Semua yang telah
dibincangkan di atas dalam domain kreativiti adalah sejajar dengan matlamat Pendidikan Seni Visual
dalam melahirkan generasi Malaysia yang imaginatif, kritis, kreatif, inovatif dan inventif. Melalui
karya seni mereka, murid dapat berimaginasi, berfikir secara kreatif dan kritis, berdaya inovatif
dalam menghasilkan karya yang bermutu dan inventif. Dalam pendidikan seni visual, murid diberi
peluang berinteraksi dan meningkatkan keupayaan bersosial. Interaksi dan keupayaan bersosial ini
dapat meningkatkan keyakinan diri murid-murid. Aktiviti pendidikan seni visual seperti ini
memberikan peluang kepada murid untuk saling hormat- menghormati dan menjadi landasan untuk
memupuk perasaan bertoleransi. Dalam domain sosial pendidikan seni visual, semangat
bekerjasama di dalam aktiviti berkumpulan dapat dibentuk. Perkembangan sosial murid- murid
secara positif dapat dibentuk dengan perkongsian ilmu melalui gerak kerja berkumpulan dan
apresiasi seni. Murid- murid bukan sahaja berkongsi idea malah dapat menambah baik penghasilan
seni mereka. Hubungan sosial yang dibentuk di antara rakan sebaya semasa proses kerja seni yang
dijalankan secara tidak langsung dapat menyemai nilai menghormati, kerjasama dan saling bantu-
membantu. Perkembangan sosial yang berlaku adalah selaras dengan matlamat dan objektif
pendidikan visual melahirkan social yang seimbang dan harmonis yang mempunyai nilai social yang
tinggi sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara. Rumusan Konklusinya, seni dalam pendidikan
banyak meninggalkan kesan terhadap pendidikan dan mempunyai cabaran dalam
merealisasikannya. Walaupun begitu, seni dalam pendidikan jelas menunjukkan ciri-ciri pendekatan
yang efektif yang mampu meningkatkan keberkesanan prestasi murid-murid di dalam bilik darjah.
Sehubungan dengan itu, guru perlu menjayakan seni dalam pendidikan dengan mengaplikasikannya
dalam setiap kali pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, perkembangan pendidikan di Malaysia
yang semakin pesat ini adalah hasil daripada minat ibu bapa yang tinggi terhadap perkembangan
pendidikan dan persekolahan anak-anak mereka baik di peringkat prasekolah, pendidikan rendah,
menengah dan juga di institusi pengajian tinggi. Kesedaran tersebut adalah implikasi daripada
kesedaran mengenai kepentingan pendidikan bagi memajukan diri dalam menghadapi cabaran
kehidupan yang semakin sengit. Oleh itu, peranan daripada pihak pendidik, ibu bapa, dan pelajar itu
sendiri amatlah penting bagi menghadapi liku kehidupan. Dalam erti kata yang lain, penggunaan seni
dalam pendidikan mungkin mampu mengurangkan kerisauan pihak tertentu terhadap pendidikan
negara Malaysia. Akhir sekali, pihak perancang pendidikan perlu melihat isu-isu dan cabaran yang
berbangkit secara menyeluruh dan komprehensif. Menyelesaikan masalah secara runcitan dan
memberi tumpuan kepada aspek tertentu dan mengurangkan tumpuan kepada aspek lain yang akan
menghalang pelaksanaan pendidikan kita seperti pengaplikasian seni dalam pendidikan terutama
bagi memenuhi aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan itu sendiri. Sehubungan itu, semua pihak
perlulah terbuka dalam menerima seni dalam pendidikan melalui pembelajaran hari ini. Dalam erti
kata yang lain, pendidik perlu bersatu padu dalam menggembleng tenaga serta berusaha mengambil
inisiatif dan langkah drastik bagi memenuhi keperluan pendidikan sejagat selaras kehendak negara
dalam memacu wawasan 2020.

Anda mungkin juga menyukai