Anda di halaman 1dari 4

Isu Pekerja Bangladesh Di Malaysia

http://www.malaysiandigest.com/bahasa-malaysia/598107-isu-pekerja-bangladesh-di-

malaysia.html

Details
Published on Thursday, 03 March 2016 08:15

Isu kebanjiran pekerja asing di negara ini menjadi masalah sejak dahulu lagi dan masih hangat
diperkatakan sehingga kini. Malaysia menjadi tumpuan pekerja asing dari Indonesia, Bangladesh,
Pakistan, Nepal, Vietnam, India, Filipina dan Myammar. Kebanyakannya terlibat dalam bidang
pekerjaan yang kotor, bahaya dan susah atau 3D (dirty, dangerous and difficult).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem, pada November 2015 mendedahkan,
pekerja asing sama ada yang berdaftar atau secara haram dianggarkan berjumlah 6.7 juta orang.
Dari jumlah tersebut, hanya 2.1 juta orang sahaja yang mempunyai permit sah dan berdaftar
dengan Jabatan Imigresen. Menurut beliau, lambakan pekerja asing gagal dibendung ekoran
permintaan tinggi tenaga kerja dalam pelbagai sektor termasuk 3D dan sikap rakyat tempatan yang
terlalu memilih pekerjaan.

Jika benar anggaran tersebut, ini bermakna jumlah pekerja asing di Malaysia telah melebihi
populasi kaum Cina yang seramai 6.64 juta orang ketika ini. Jabatan Imigresen menyasarkan
Malaysia bebas dari pendatang asing tanpa izin (PATI) menjelang tahun 2020. Dengan kebanjiran
pekerja asing ketika ini, akan tercapaikah sasaran itu?

Adakah benar rakyat Malaysia enggan bekerja dalam bidang-bidang tersebut kerana
mengharapkan kerja yang lebih senang atau hanya mahu bekerja dalam pejabat yang berhawa
dingin sahaja? Dakwaan ini tidak benar, menurut Presiden Pertubuhan Rapat Malaysia, A.
Rajaretinam. Beliau mengatakan bahawa sebab sebenar adalah kerana gaji yang ditawarkan sangat
rendah.Berdasarkan rekod, ada lebih kurang 600,000 pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura
dalam sektor 3D.

Jika rakyat Malaysia boleh bekerja dalam sektor 3D di Singapura, tiada sebab mereka tidak dapat
melakukan kerja yang sama di Malaysia melainkan ada faktor tertentu yang menyebabkan
terjadinya begitu. Masalahnya, patutkah mereka bekerja di Malaysia dengan gaji RM900 sebulan
sedangkan mereka boleh mendapat $1,000 sebulan (bersamaan RM3,015) di Singapura untuk kerja
yang sama?

Sekiranya semua ciri dan faktor lain adalah sama atau lebih kurang sama, sekiranya Syarikat A
menawarkan satu jawatan dengan gaji RM7,000 kepada anda berbanding Syarikat B yang
menawarkan RM10,000 untuk jawatan yang serupa, yang manakah akan anda pilih? Sudah tentu
ramai yang akan memilih Syarikat B.
Masalahnya, pihak majikan terlalu sibuk menjimatkan kos sehingga sanggup menggaji pekerja
asing kerana gaji minimum sebanyak RM900 tidak mencukupi bagi rakyat tempatan.

Warga asing sanggup terima gaji RM900 sebulan, duduk 30 orang dalam satu rumah dengan
makan makanan yang dibekalkan. Ini lebih baik bagi majikan-majikan yang hanya memikirkan
keuntungan semata. Mungkinkah juga majikan-majikan ini beranggapan dek desakan hidup dan
keperluan yang memaksa, warga-warga asing ini merupakan alternatif yang juga lebih mudah
dikendalikan kerana taraf pendidikan yang tidak tinggi dan dengan itu, tidak banyak kerenah?

Salah satu masalah yang timbul akibat kebanjiran pekerja asing ialah mereka mewujudkan koloni
mereka sendiri di satu-satu tempat. Jika dahulu mereka hanya bekerja di bidang separuh mahir
seperti pembinaan, perladangan dan pembuatan, kini ada yang menjadi tauke perniagaan sendiri
seperti kedai makan dan kedai runcit. Ada juga yang menjadi pemandu teksi atau berniaga
barangan di kawasan Bukit Bintang dan Chow Kit.

Rakyat tempatan terpaksa bersaing dan berkongsi subsidi serta kemudahan seperti perubatan dan
pengangkutan awam dengan pekerja asing. Prasarana yang disediakan kerajaan kebanyakannya
dinikmati oleh mereka yang bukan warganegara juga.

Memang tidak dapat dinafikan, pekerja asing telah menyumbang kepada perkembangan ekonomi
negara, terutama dalam sektor yang mengalami masalah kekurangan pekerja seperti pembinaan
dan perladangan. Namun demikian, kemasukan buruh asing memberi impak terhadap
pengangguran warga tempatan di Malaysia. Kadar pengangguran yang tinggi bermakna
berlakunya pembaziran sumber manusia.

Belia Malaysia bukan tidak mampu melakukan kerja-kerja yang dilakukan oleh buruh asing ini
tetapi persoalannya mampukah mereka melakukan kerja-kerja seperti cuci longkang, potong
rumput, bina bangunan di bawah matahari terik, serta kerja ladang, dengan bayaran gaji minima?
Pokoknya, bayaran harus setimpal. Jika mereka diberikan gaji minima RM1,500 sebulan dan
beberapa insentif lain, pasti ramai yang sanggup. Tidak perlu berhijrah untuk bekerja di negara
asing. Negara pun untung, tidak banyak duit yang mengalir keluar.

Semasa penulis berada di New Zealand sekitar tahun 2007-2011, penulis berkesempatan untuk
berkenalan dengan rakyat Malaysia yang berhijrah ke New Zealand dan sudah bekerja di sana
selama beberapa tahun. Walaupun ada yang mendapat pekerjaan yang profesional, ramai juga yang
melakukan kerja-kerja yang memerlukan tenaga serta keupayaan fizikal seperti menjadi tukang
cuci, tukang sembelih, dan pemunggah barang di stor. Pekerjaan sebagai pemunggah barang di
gudang “The Warehouse” di Christchurch, sebagai contoh, diberikan bayaran NZD12.00 sejam,
ketika itu. Kerjanya hanya memunggah barang di dalam kontena dari jam 6.30 pagi hingga 5
petang. Kerja ini juga dikategorikan sebagai kerja berat kerana menggunakan kekuatan fizikal dan
setiap hari perlu mengangkat beratus-ratus kotak seberat 5-40 kg.

Pekerjaan memetik buah, misalnya, bukanlah semudah yang disangka. Pekerjaan ini juga
memerlukan fizikal yang kuat. Bayaran memetik buah biasanya mengikut jumlah kotak. Satu
kotak anggur, sebagai contoh, adalah sekitar 10kg dan di Australia bayaran adalah AUD2.00
sekotak. Jika sehari boleh memetik hasil sehingga 30 kotak, maka 10kg didarab dengan 30 kotak
sudah mencecah 300kg. Jika sudah biasa dan mempunyai fizikal yang kuat, mungkin boleh
mencapai 50 kotak atau lebih dalam sehari. Kerja sebegini tidak ramai warga tempatan ingin
lakukan sebagaimana kita lihat kerja-kerja berat di Malaysia banyak dilakukan oleh pekerja asing.

Sebagaimana pekerja asing yang sanggup melupakan keselesaan tempat tinggal untuk mencari
rezeki di Malaysia, rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara seperti New Zealand, Australia
mahupun Singapura, juga tinggal di kabin atau asrama pekerja yang kecil dan sempit, dengan
kemudahan tandas dan ruang makan yang dikongsi. Makan di restoran adalah sangat mahal maka
memasak sendiri lebih menjimatkan walaupun sekadar nasi dan telur goreng atau ikan masin.

Jika rakyat Malaysia sanggup berhijrah demi mencari rezeki untuk keluarga di kampung, mereka
ini juga mampu melakukan pekerjaan yang sama di tanah air sendiri asalkan mendapat bayaran
yang setimpal. Tetapi, sanggupkah mereka bersesak-sesak seramai 20-30 orang dalam sebuah
rumah seperti pekerja asing dari Bangladesh?

Bagaimanapun, mungkin majikan tidak harus dipersalahkan seratus peratus. Sebagaimana yang
dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri kepada Bernama pada 4 November 2015, berdasarkan
profil pekerja, kesetiaan pekerja Bangladesh lebih baik dari pekerja-pekerja lain dan mereka lebih
amanah, misalnya dalam menjaga kaunter dan stesen minyak.

Penulis mempunyai seorang sahabat, seorang ahli perniagaan yang menjalankan perniagaan
membekalkan pengawal keselamatan sejak 10 tahun yang lepas. Pada peringkat awal perniagaan,
beliau menggaji 100% pekerja tempatan. Beliau sering menghadapi masalah disiplin di kalangan
pekerja serta cuti sakit yang kerap, atau tidak hadir kerja tanpa sebab.

Kadang-kadang, mereka yang sepatutnya bertugas pada hari perayaan, tiba-tiba “jatuh sakit” pada
malam hari raya dan tidak datang kerja. Beliau sebagai pemilik perniagaan terpaksa menggantikan
tempat pekerja tadi. Apabila diselidik, rupa-rupanya kakitangan tersebut rindu hendak pulang ke
kampung halaman setelah mendengar takbir raya yang mendayu-dayu.

Sekarang, beliau mempunyai 140 pengawal keselamatan dan kebanyakannya berbangsa Nepal.
Tiada lagi masalah cuti sakit atau tidak hadir kerja tanpa sebab dan beliau boleh tidur malam
dengan tenang tanpa mendapat panggilan dari pelanggan yang mengadu perihal pengawal
keselamatan yang tidak bertugas. Pengawal keselamatan Nepal juga sangat berdisiplin, patuh
arahan dan sentiasa bersedia untuk bekerja lebih masa tanpa banyak soal.

Ketika artikel ini ditulis, kerajaan Malaysia telah mengumumkan penangguhan pengambilan
pekerja asing, termasuk dari Bangladesh. Penangguhan ini bagi memberi ruang pihak kerajaan
mengkaji pelbagai perkara, sehinggalah terdapatnya keperluan untuk mendapatkan pekerja asing.

Kita dapat lihat beberapa perkara pokok di sini. Pertama, adakah warga Malaysia sanggup bekerja
dalam sektor 3D, menerima upah yang rendah dan bekerja tanpa banyak hal sebagaimana pekerja
asing? Kedua, bolehkah gaji minimum dinaikkan, sekurang-kurangnya untuk warga tempatan?
Jika tidak, masalah ini akan tetap berterusan tanpa penyelesaian.
Dengan longgokan pekerja-pekerja asing di Malaysia yang membuatkan kita merasa seolah-olah
berada di “tempat mereka”, perlu ada inisiatif khusus dan fokus untuk menangani isu ini. Ini belum
lagi mengambil kira golongan yang menyalahgunakan pas pelajar atau pelawat dan membuat
masalah pula di negara kita. Dengan mengambil kira pandangan semua pihak, Kementerian
Sumber Manusia perlu bekerjasama dengan pihak-pihak terbabit dalam mencari jalan penyelesaian.
Semoga semuanya dipermudahkan. Rakyat Malaysia Boleh!

Johari Yap
Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Cawangan Kelantan

Anda mungkin juga menyukai