Anda di halaman 1dari 7

KONSEP BUDI BAHASA

Budi bahasa bermaksud mempunyai budi bahasa yang baik merangkumi pekerti, akhlak,
watak, dan kelakuan yang baik, sopan, pemurah dan sebagainya yang disebut sebagai nilai-
nilai murni. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) edisi ketiga cetakan keenam
(2002:180) budi didefinisikan sebagai akal, kebijaksanaan atau sifat baik,perbuatan baik dan
kebajikan. Budi dilakukan kepada sesiapa sahaja tanpa mengira kaum, budaya, adat resam,
agama dan kepercayaan. Oleh itu, budi ditakrifkan sebagai perbuatan mulia yang didorong
oleh akal dan pertimbangan seseorang yang baik. Budi merupakan jasa dan sumbangan
yang dilakukan untuk membantu orang yang berada dalam kesusahan oleh seseorang
dengan hati yang ikhlas tanpa mengharapkan balasan daripada orang yang dibantu. Setiap
agama mengajar kita untuk berbudi. Seseorang yang melakukan budi dengan hati yang
ikhlas akan diberkati dan dilindungi oleh Tuhan.

Definisi bagi bahasa pula adalah satu sistem untuk mewakili benda, tindakan, gagasan dan
keadaan atau satu peralatan yang digunakan untuk menyampaikan konsep realiti mereka
kepada orang lain. Menurut Algeo (2005), bahasa merupakan satu sistem tanda vokal
konvensional dengan cara komunikasi manusia. Definisi ini mempunyai beberapa istilah
yang penting, setiap istilah diperiksa secara terperinci. Istilah-istilah tersebut adalah sistem,
tanda-tanda, vokal, konvensional, manusia, dan komunikasi. Fungsi bahasa ialah alat
perhubungan bagi sesebuah masyarakat untuk berinteraksi dan berkomunikasi secara luas,
jelas dan tanpa sempadan.

Budi bahasa boleh diperlihat dalam dua bentuk iaitu tingkah laku atau perbuatan dan
pertuturan dan bahasa. Tingkah laku atau perbuatan ialah perkara yang boleh
menyenangkan hati orang, tidak menyinggung perasaan orang lain, menjaga kepentingan
orang lain, berhemah tinggi serta bersopan-santun. Tingkah laku yang berbudi bahasa
seharusnya diamalkan dalam kehidupan harian sebagai contoh, memberi tempat duduk
kepada wanita mengandung serta orang tua apabila di dalam kenderaan awam seperti bas.
Pertuturan atau bahasa dikira sebagai budi, jasa dan bakti sekiranya ditutur secara baik, dan
mengandungi nasihat yang baik, tunjuk ajar serta simpati kepada masyarakat. Bertutur
hendaklah dengan bersopan santun, menjaga perasaan orang lain, serta tidak menyinggung
perasaan orang lain sebagai contoh, meminta maaf apabila melakukan kesalahan dan
bersopan santun serta lemah lembut apabila bertutur dengan orang lain.

Konsep budi bahasa bagi masyarakat cina ialah kesopanan dan kesantunan seseorang
dalam melakukan sesuatu perkara terutamanya berkaitan dengan bahasa dalam pertuturan
dan percakapan supaya tidak menyakiti hati orang lain.
Budi bahasa dalam konteks masyarakat india pula ialah pertuturan yang sopan santun
terhadap orang yang lebih tua daripada kita dan juga yang lebih muda daripada kita. Hal ini
demikian kerana orang lain dapat mencontohi perlakuan orang yang berbudi bahasa dan
mematuhi amalan tersebut.

Menurut islam pula, budi ialah adab, sopan santun yang menggambarkan seseorang yang
berakhlak dan beriman. Dalam islam, akhlak mulia sangat dipentingkan dalam menjalani
kehidupan di dunia ini. Berakhlak mulia dipupuk sejak seseorang itu masih kecil sehinggalah
dewasa.

Seseorang yang berbudi bahasa sudah semestinya mempunyai akhlak yang mulia dan
sentiasa menunjukkan teladan yang baik untuk dicontohi orang lain. Seseorang yang
berbudi bahasa mempunyai ciri-ciri seperti bertimbang rasa, contohnya bertindak atau
melakukan sesuatu perkara dengan mengambil kira perasaan orang lain. Selain
itu,seseorang yang berbudi bahasa mestilah mempunyai sikap toleransi,contohnya
menerima dan menghormati pendapat,fikiran dan kepercayaan orang lain. Seterusnya
bertolak ansur, contohnya tidak terlalu berkira apabila berbuat baik kepada orang lain dan
mudah memaafkan kesalahan orang lain. Akhir sekali,tidak mementingkan diri sendiri
sebagai contoh selalu tolong-menolong antara satu sama lain dan memberi bantuan
kepada orang yang memerlukan.

KEPENTINGAN BUDI BAHASA DALAM MASYARAKAT MALAYSIA

Dalam mengharungi era ledakan sains dan teknologi,budaya berbudi bahasa dalam
kalangan masyarakat semakin lenyap dalam sanubari dewasa dan remaja. Berita tentang
remaja bertindak liar di luar batas-batas kehidupan dengan terlibat dalam aktiviti-aktiviti
jenayah seperti gengsterisme, vandalisme dan pornografi sering terpapar di dada akhbar
dan kaca televisyen. Hal ini jelas menunjukkan betapa kroniknya masalah kelunturan
amalan berbudi bahasa dalam kalangan masyarakat. Sememangnya, tidak dapat dinafikan
bahawa kelunturan amalan mulia ini adalah disebabkan oleh pengaruh budaya kuning
dari negara-negara barat seperti Amerika Syarikat, Belanda dan United Kingdom yang
terkenal dengan sikap keterbukaan. Malaysia merupakan sebuah negara yang demokratik
dan mengamalkan dasar buka pintu bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara.
Justeru, masyarakat kita tidak dapat lari dari pengaruh dunia luar dan pengaruh budaya
kuning dengan mudahnya dapat bersarang di kotak fikiran masyarakat. Budaya berbudi
bahasa perlulah dijadikan sebagai amalan dalam kehidupan seharian kita kerana seribu
satu manfaat boleh diperolehi. Salah satu kepentingan amalan ini adalah dapat mewujudkan
perpaduan antara masyarakat berbilang kaum di negara kita. Masyarakat yang berbudi
bahasa akan saling menghormati tidak kira apa jua warna kulit, taraf dan umur individu
tersebut. Apabila wujud sikap saling menghormati, masyarakat akan dapat hidup dalam
suasana yang harmoni dan gembira walaupun hidup dengan masyarakat yang berbeza budaya,
adat dan kepercayaan. Dalam pada itu, perselisihan faham antara kaum atau rusuhan kaum
seperti peristiwa 13 Mei 1969 dapat dielakkan. Ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-
51 iaitu pada tahun 2008 yang bertemakan “Perpaduan Teras Kejayaan” jelas menunjukkan
pentingnya perpaduan kaum dalam negara kita yang terdiri daripada pelbagai bangsa.
Pepatah ada mengatakan bersatu teguh, bercerai roboh. Justeru, apabila masyarakat
bersatu, negara dapat berkembang dengan maju dan anasir-anasir luar tidak dapat
menggugat kestabilan negara dengan mudah. Meninjau dari skop yang lebih luas, amalan
berbudi bahasa dapat melahirkan masyarakat yang lebih bertamadun. Menurut konteks
sejarah, masyarakat yang bertamadun merupakan masyarakat yang memiliki tahap
tatasusila yang tinggi dan kebudayaan yang luhur selain pencapaian lahiriah.Oleh itu,
masyarakat pada masa tersebut dapat membina empayar dan kerajaan yang kuat dan hebat
seperti tamadun Mesopotamia, tamadun Mesir Purba, tamadun Indus dan tamadun Hwang
Ho walaupun pada masa itu teknologi masih belum berkembang dengan
sepenuhnya.Namun begitu, senario hari ini yang menyaksikan masyarakat yang biadap dan
kasar sikapnya seperti mengeluarkan kata-kata kesat amatlah memilukan hati bagai duri
dalam daging. Hal ini seolah-olah masyarakat kita masih hidup dalam zaman jahiliah yang
mana akhlak dan nilai hidupmasyarakat pada masa tersebut adalah sangat rendah. Perkara
seumpama itu tidak sepatutnya wujud dalam masyarakat kita lagi memandangkan negara
kita telah lima dekad mencapai kemerdekaan. Untuk mendapatkan kemerdekaan bukanlah
suatu perkara yang mudah tetapi untuk mempertahankan dan mengekalkan kemerdekaan
merupakan perkara yang lebih sukar untuk dilakukan. Justeru, negara amat memerlukan
masyarakat yang berfikiran matang dan bijak untuk mengelakkan penjajahan semula oleh
kuasa-kuasa asing. Daripada kaca mata yang lain, industri pelancongan juga
turut meningkat. Masyarakat yang berbudi bahasa akan mempamerkan nilai-nilai yang
positif seperti memberi layanan yang sopan dan bersikap lemah lembut terhada ppelancong
asing. Hal ini penting agar dapat meninggalkan imej yang positif terhadap negara kita
dalam diri pelancong. Pelancong juga akan mempunyai percutian yang menyeronokkan
kerana beranggapan bahawa kedatangan mereka adalah dialu-alukan dan dihargai
oleh masyarakat tempatan. Dalam pada itu, pekerja-pekerja dalam Jabatan Kastam dan
Imigresen, pemandu pelancong dan pemandu pengangkutan awam perlulah memainkan
perananyang lebih penting dengan sentiasa melemparkan senyuman dan bertutur dengan
nada yang lembut ketika berurusan dengan pelancong asing. Negara Jepun seharusnya
dijadikan teladan kerana masyarakatnya sememangnya kaya dengan budi bahasa.
Contohnya, ucapan “irasshaimase” yang bermaksud selamat datang dalam bahasa Jepun
pasti akan menusuk ke gegendang telinga tidak kira apa-apa kedai yang dikunjungi. Amalan
berterima kasih juga merupakan sesuatu yang biasa dalam masyarakat Jepun.
Justeru,budaya murni ini perlulah diserapkan dalam jiwa dan raga setiap individu
terutamanya golongan yang berurusan dengan pelancong asing agar mereka dapat
menikmati percutian yang menyeronokkan di negara kita. Di samping itu, pemimpin yang
berdedikasi juga dapat dilahirkan. Pemimpin yang baik akan dapat mentadbir negara dengan
lancar kerana mendapat sokongan padu daripada rakyat. Dalam pada itu, golongan remaja
merupakan aset yang sangat bernilai kepada negara kerana mereka adalah generasi
pelapis yang bakal menerajui tampuk kepimpinan negara. Oleh itu,budi bahasa perlulah
dijadikan panduan kepada kehidupan mereka supaya mereka dapat menjauhkan diri
daripada kancah gejala sosial serta dapat membezakan yang mana baik dan yang mana buruk.
Pemimpin yang berbudi bahasa juga dapat meningkatkan imej negara kerana pemimpin dari
negara lain akan kagum dan menghormati negara kita. Ironinya, hubungan diplomatik bagi
menjamin kemajuan dan keselamatan negara dapat dijalinkan dengan mudah. Dengan itu,
negara kita akan dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain.
Selain itu, negara kita akan terkenal di persada dunia kerana sifat budi bahasa kita dan ini
akan menjadi kebanggaan masyarakat kita. Individu yang berbudi bahasa juga akan
memperolehi pelbagai kelebihan, antaranya mudah didampingi oleh orang lain. Hal ini
kerana individu yang berbudi bahasa sentiasa lemah lembut dan bersopan santun dalam
pertuturan dan perlakuan. Mereka juga tidak akan mengeluarkan kata-kata yang kesat
atau kata-kata yang menyakitkan hati. Justeru, mereka tidak menyinggung perasaan orang
lain. Sebaliknya, mereka akan dihormati dan disenangi oleh orang lain. Hal ini akan turut
menjaga nama baik dan maruah individu tersebut dan keluargannya kerana sifat-sifatnya
yang mulia itu.

Konklusinya, budaya berbudi bahasa perlulah digarapkan oleh ibubapa dalam diri anak-
anak sejak daripada kecil lagi bagai melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan ini,
hasrat negara untuk melahirkan masyarkat yang berbudi bahasa menjelang tahun 2020
akan dapat direalisasikan.

Kesimpulannya, sifat-sifat luhur dan amalan berbudi bahasa yang dahulunya menjadi
kebanggaan masyarakat timur tetapi kian terhakis ini wajarlah dipulihkan dan dihidupkan
semula. Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah menyatakan
yang negara kita akan mudah dikalahkan jika kita mempunyai infrastruktur kelas pertama
tetapi mental kelas ketiga. Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa pembangunan nilai dan
budaya yang betul amat mustahak untuk negara mencapai cita-citanya yakni untuk
mencapai taraf negara maju yang duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi
dengan negar-negara gergasi lain di dunia. Dalam pada itu, semua pihak haruslah
bekerjasama bagai aur dengan tebing dan mengelakkan sikap bagai enau dalam belukar
melepaskan pucuk masing-masing. Dalam menanam amalan berbudi bahasa dalam diri setiap individu.
Kempen budi bahasa dan nilai-nilai murni perlulah diimplementasikan dari semasa ke
semasa untuk meningkatkan kesedaran rakyat. Kita mengharapkan agar menjelang tahun
2020, tabiat buruk seperti gengsterisme, dan bercakap kesat sudah lupus dari memori setiap
rakyat Malaysia supaya negara akan lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

AMALAN DAN PERLAKUAN KESANTUNAN DALAM MASYARAKAT MALAYSIA

Kesantunan dalam masyarakat Malaysia seperti yang dapat kita lihat pada masa kini kian
luntur kerana kurangnya penekanan terhadap kesantunan kepada masyarakat. Teks
sebelum ini yang telah membincangkan kepentingan budi bahasa dalam masyarakat
Malaysia memperlihatkan bahawa sesetengah individu dalam kalangan dewasa dan remaja
kini semakin luntur dengan budi bahasa disebabkan mudah terpengaruh dengan budaya
barat. Namun, masih terdapat bukti yang menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia masih
mempunyai nilai estetika dan budi bahasa yang tinggi contohnya:

1. Mencium tangan orang yang lebih tua apabila bersalam sebagai tanda hormat.

- Perbuatan mencium tangan apabila bersalam dengan orang yang lebih tua sudah menjadi
kebiasaan masyarakat Melayu sebagai tanda hormat kepada mereka. Perbuatan ini sudah
diajar sejak kecil oleh ibubapa,datuk dan nenek,guru atau masyarakat sekeliling. Perbuatan
ini sudah diamalkan sejak dahulu lagi. Dalam konteks islam, hukum mencium tangan
apabila bersalam adalah harus tetapi menjadi haram apabila bersalam dengan bukan
mahram. Islam mengharuskan mencium tangan orang yang lebih tua atau lebih alim dari kita
supaya dapat mendidik jiwa kita kearah kebaikan. Namun, haram mencium tangan kerana
pangkat, dan jangan jadikan mencium tangan itu sebagai adat.

2. Melayan tetamu dengan menjamu makanan dan berbual.

- Dalam masyarakat Malaysia, perbuatan ini sangat diutamakan tidak kira bangsa mana
sekalipun kerana tetamu adalah orang yang mengunjungi atau menziarahi kita sama ada
dijemput atau tidak dijemput. Kita hendaklah sentiasa berlapang dada atas kedatangan
mereka. Adab dalam melayan tetamu tidak hanya khusus dengan menjamu makanan dan
berbual malah terdapat banyak lagi adab melayan tetamu seperti menunjukkan muka yang
manis dan sentiasa senyum, menyambut tetamu dimuka pintu, menjemput tetamu makan,
makan bersama-sama tetamu dan menjaga tutur kata dalam perbualan. Elakkan melakukan
sesuatu yang menjatuhkan maruah tetamu seperti melunjurkan kaki ke arahnya atau
menyindir tetamu dalam perbualan.
3. Menundukkan badan apabila lalu di hadapan orang yang lebih tua.
- Perbuatan menundukkan badan apabila lalu di hadapan orang tua adalah sebagai tanda
hormat kepada mereka. Perbuatan ini adalah sebagai adab menghormati orang yang lebih
tua. Hal ini telah diterapkan dan diajarkan sejak sekian lama. Perbuatan ini masih diamalkan
oleh masyarakat Malaysia terutamanya dalam masyarakat Melayu kerana dalam
masyarakat Melayu perbuatan ini sangat dititikberatkan kerana masyarakat Melayu
sememangnya kaya dengan adab. Perbuatan tidak menundukkan badan apabila lalu di
hadapan orang tua dilihat sebagai perbuatan kurang ajar dan tidak menghormati mereka.
4. Tidak menyampuk ketika orang tua berbual/bercakap.
- Perbuatan menyampuk apabila orang tua berbual dianggap kurang ajar dan tidak
menghormati mereka. Kita sendiri juga tidak suka apabila kita sedang berbual dan secara
tiba-tiba ada orang lain yang menyampuk. Oleh itu, dengan secara automatiknya kita akan
mengajar anak-anak kita supaya tidak menyampuk apabila orang tua berbual. Pada
pendapat saya, jika kita tidak mempunyai maklumat betul mengenai sesuatu perbualan,
lebih baik kita diam dan mendengar.
5. Menggunakan kata sapaan yang sopan.
- Kata sapaan yang sopan adalah seperti tuan-tuan,hadirin sekalian, dan sebagainya. Kata-
kata sapaan seperti ini seringkali kita dengar di majis-majlis rasmi mahupun tidak rasmi. Hal
ini menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia masih berbudi bahasa. Kita telah dilatih
untuk menggunakan kata sapaan yang sopan dalam apa jua keadaan sekalipun namun
masih terdapat sesetengah individu yang enggan menggunakan kata sapaan yang sopan
mungkin kerana mereka kurang mendapat didikan tentang budi bahasa
6. Menggunakan kata ganti nama diri.
- Kata ganti nama diri yang sopan wajib digunakan apabila berbual atau berhadapan
dengan orang yang lebih tua. Kata ganti nama diri seperti saya,awak,kamu, dan lain-lain.
Kata ganti nama diri seperti aku tidak sesuai digunakan apabila berbual dengan orang yang
lebih tua. Pelajar-pelajar di sekolah telah diajar untuk menggunakan kata ganti nama diri
yang sopan ketika membahasakan diri apabila berbual. Hal ini harus dipupuk di dala setiap
individu supaya perasaan saling hormat-menghormati tidak pupus.

Anda mungkin juga menyukai