Anda di halaman 1dari 2

Pecat Pemimpin

Pada 4 Mac 2016, Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai pengisytiharan Deklarasi Rakyat
yang turut disertai oleh ahli-ahli politik daripada parti DAP, PKR, PAN, PAS dan beberapa
NGO lain. Deklarasi tersebut dianggap sebagai usaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri,
seperti dapat dibaca dalam pelbagai laporan berita kemudiannya. Deklarasi tersebut juga
mendapat respons yang pelbagai, sama ada menyokong atau menolak. Dalam satu respons
yang menarik jika dinilai dari perspektif pemikiran Islam, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang,
yang juga merupakan Presiden PAS, menyatakan dalam ucapannya di Parlimen, bahawa “...
memecat pemimpin tidak digalakkan oleh Islam.”1
Kenyataan ini, jika dirujuk kepada khazanah Islam, ada sumbernya. Contohnya,
pemikiran ini dinyatakan oleh Burhān al-Dīn Ibrāhīm bin Ibrāhīm al-Laqqānī
(m.1631/1041H) dalam matan Jawharah al-Tawḥīd, yang disyarahkan dengan lebih lanjut
oleh al-Bājūrī dalam Tuḥfah al-Murīd ‘alā Jawharah al-Tawḥīd. Menurut mereka, umat
Islam mesti mentaati pemerintah dan tidak mengingkari perintah arahan yang benar.
Sebaliknya, jika arahan tersebut membawa kepada kekufuran, maka boleh diputuskan baiah
perjanjian yang telah diberikan kepada pemerintah tersebut, sama ada secara terang-terangan
jika mampu, atau secara tersembunyi jika tidak mampu. Ketika itu, hanya Allah SWT sahaja
tempat berlindung bagi orang-orang Mukmin apabila dihadapkan dengan seksaan pemerintah
yang zalim lagi menyeru kepada kekufuran. Namun, adalah tidak boleh menjatuhkan
pemerintah, sama ada secara jelas atau sulit, jika dia tidak menyeru ke arah kekufuran. Selain
itu, Ahli ’l-Sunnah wa ’l-Jamā‘ah juga tidak menjatuhkan pemerintah yang hilang sifat
keadilannya kerana berlaku fasiq ketika dia sedang memerintah.2
Selain itu, Abū Ḥafṣ ‘Umar bin Muḥammad al-Nasafī (m.1142/537H) menyatakan
bahawa tidak perlu menurunkan atau menjatuhkan pemimpin disebabkan kefasiqan atau
kezalimannya.3 Dalam mensyarahkan kenyataan al-Nasafī ini, Sa‘d al-Dīn Mas‘ūd bin ‘Umar
al-Taftāzānī (m.1390/793H) berhujah bahawa kefasiqan dan kezaliman telah dilakukan oleh
pemerintah selepas zaman Khalifah al-Rasyidin tetapi para ulama salaf masih tunduk di
bawah pemerintahan mereka, dan terus mendirikan ibadah seperti solat Jumaat dan Hari Raya
dengan keizinan mereka, tanpa memikirkan keperluan untuk menentang atau memberontak
terhadap pemerintah. Tambahan pula, maksum daripada salah bukan syarat pelantikan
pemerintah, maka adalah boleh mengekalkan pemerintah yang melakukan kesalahan.4
Walau bagaimanapun, menurut Abū ‘Abd Allāh Muḥammad bin Idrīs al-Shāfi‘ī
(m.820/204H), pemerintah boleh dijatuhkan atas sebab kefasiqan dan kezalimannya, kerana
bagi al-Shāfi‘ī, orang fasiq bukan ahli wilayah iaitu orang yang layak menjadi wali, atas
sandaran bahawa orang yang tidak boleh menjaga dirinya daripada melakukan kefasiqan
maka tidak layak untuk menjaga diri orang lain. Namun, bagi Abū Ḥanīfah Nu‘mān bin
Thābit (m.772/150H), orang yang fasiq masih layak menjadi wali sehingga sah untuknya
mewalikan perkahwinan anaknya. Dalam pada itu, dalam karya-karya ulama mazhab Syafii,
dikemukakan pendapat bahawa pemerintah tidak perlu dijatuhkan demi untuk mengelak

1
Senarai Penyata Rasmi (Hansard), Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Parlimen Ketiga Belas (2016), Bil.
3, Rabu 9 Mac 2016, halaman 47, http://www.parlimen.gov.my/files/hindex/pdf/DR-09032016.pdf, dicapai
14 Mac 2016. Lihat juga “Tuan Guru Presiden PAS Bahas Titah Diraja 2016 (9 Mac 2016),” Saluran
Youtube TV PAS, https://youtu.be/v0t--1zolX4, dicapai 14 Mac 2016.
2
Burhān al-Dīn Ibrāhīm bin Muḥammad al-Bājūrī, Tuḥfah al-Murīd ‘alā Jawharah al-Tawḥīd, ed. Lajnah
Taḥqīq al-Turāth bi al-Maktabah (al-Qāhirah: al-Maktabah al-Azhariyyah li al-Turāth, 2002), 300-301.
3
Sa‘d al-Dīn Mas‘ūd bin ‘Umar al-Taftāzānī, Sharḥ al-‘Aqā’id al-Nasafiyyah (al-Qāhirah: Maktabah al-
Azhariyyah li al-Turāth, 2000), 142.
4
Al-Taftāzānī, Sharḥ al-‘Aqā’id al-Nasafiyyah, 142.

1
fitnah perbalahan dan peperangan yang mungkin berlaku apabila dijatuhkan pemerintah
sedangkan dia masih mempunyai kuasa dan pengaruh politik.5
Pembentangan ringkas di atas menunjukkan bahawa ada sumber dalam khazanah
pemikiran ulama Ahli ’l-Sunnah wa ’l-Jamā‘ah yang berpegang bahawa menjatuhkan
pemimpin adalah sesuatu yang tidak digalakkan dalam Islam. Jika diteliti dan dibincangkan
dengan lebih mendalam, boleh dikatakan bahawa faktor utama idea ini diberi perhatian
adalah untuk mengelak kemungkinan kekacauan yang lebih besar, berbanding persepsi
terhadap kezaliman dan pecah amanah yang sedang dilakukan oleh pemerintah sedia ada.
Andaian ini bukan suatu khayalan semata-mata kerana sejarah sepanjang zaman menjadi
buktinya. Antaranya, fitnah yang berlanjutan di Syria boleh dikaitkan dengan usaha
menjatuhkan pemimpin yang zalim tanpa perancangan dan pelaksanaan yang sempurna oleh
golongan penentang. Begitu pun, tidak dapat dinafikan pernah juga berlaku revolusi yang
berjaya dari sudut kekacauan yang timbul tidak berlanjutan dalam tempoh masa yang lama,
seperti yang pernah berlaku di Indonesia, tetapi masih perlu disedari bahawa revolusi tersebut
mengakibatkan pertumpahan darah yang besar.
Kembali kepada Deklarasi Rakyat, perlu diiktiraf bahawa teks deklarasi tersebut
menyatakan usaha menjatuhkan pemerintah negara secara aman. Apabila diperhatikan, teks
tersebut menyatakan bahawa pihak yang terlibat,
“... bersetuju dan menyokong a) Penyingkiran Dato’ Sri Najib Tun Razak sebagai
Perdana Menteri Malaysia menerusi saluran yang aman dan mengikut undang-undang
yang dibenarkan, b) Penyingkiran semua mereka yang bersekongkol dengannya, c)
Pemansuhan semua undang-undang dan perjanjian baru yang jelas melanggar hak
asasi yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan dan melemahkan polisi
terpilih, dan d) Pemulihan integriti institusi yang telah dilemahkan, seperti polis,
SPRM, Bank Negara dan PAC.”6
Demikian kenyataan deklarasi tersebut secara tektual, yang kelihatannya turut
menyarankan pendekatan yang sejahtera dalam menjatuhkan pemerintah.
Walau bagaimanapun, perihal kontekstual bagi deklarasi tersebut perlu turut diberikan
perhatian. Antara yang mungkin serius untuk dinilai adalah penglibatan DAP yang dikenali
sebagai sekular dan anti-Islam dalam kelompok yang mendukung deklarasi tersebut.
Walaupun dari perspektif politik demokrasi yang sekular, usaha dan kerjasama dengan DAP
ini boleh sahaja diterima, tetapi jika hendak diambil perspektif pemikiran Islam, bersama-
sama dengan DAP yang sekular mutlak mungkin boleh mengakibatkan kesan buruk kepada
perjuangan Islam di Malaysia, kerana DAP akan menolak pengamalan Islam yang sempurna
sekiranya pemerintahan yang baru dapat dibentuk.
Dari satu sudut lain pula, kritikan terhadap pemerintahan yang sedia ada bukan suatu
yang boleh dipandang ringan kerana datang daripada bekas-bekas Perdana Menteri, Timbalan
Perdana Menteri dan Menteri Besar. Tambahan lagi, persepsi zalim dan penyelewengan
dalam kalangan pihak yang menjadi pemerintah sekarang adalah begitu luas dan dipersetujui
umum. Dengan kata lain, biarpun sikap waspada perlu ditunjukkan terhadap golongan yang
menentang, tetapi sokongan membuta tuli terhadap pemerintah sedia ada juga perlu
dielakkan.
Oleh itu, perbincangan yang lebih mendalam diperlukan sebelum dibentuk satu sikap
yang Islamik terhadap pertembungan politik yang ada di Malaysia pada ketika ini.

5
Al-Taftāzānī, Sharḥ al-‘Aqā’id al-Nasafiyyah, 142.
6
“Teks penuh Deklarasi Rakyat bagi singkir Najib,” Malaysiakini, https://www.malaysiakini.com/news/332737,
4 Mac 2016, dicapai 14 Mac 2016.

Anda mungkin juga menyukai