Anda di halaman 1dari 14

Artikel Akhabar

HARAPAN IKS, KELUHAN USAHAWAN Mohammad Noorizzuddin Nooh 11 Julai 2018 12:00 PM

SEBAGAI individu yang terlibat secara langsung dalam pembangunan usahawan dan juga sektor
koperasi negara, penulis menyambut baik kehadiran semula Kementerian Pembangunan Usahawan
ke dalam senarai kementerian di dalam Kabinet pentadbiran baharu.

Sudah sekian lama rasanya komuniti usahawan dan koperasi mendambakan perhatian dan bantuan
dari pihak kerajaan secara holistik dan berkala demi memastikan kelestarian bukan sahaja terhadap
ekonomi peribadi mereka, malahan juga terhadap kelestarian ekonomi negara secara khusus.

Industri Kecil dan Sederhana merangkumi 97 peratus dari jumlah perniagaan di Malaysia dan setakat
2017, ia telah menyumbang sejumlah 37 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara
dan dijangka mencapai 41 peratus untuk tahun akan datang.

Selain itu, 65 peratus dari pekerjaan yang ditawarkan di Malaysia adalah dari IKS. Kekuatan IKS
selalunya dilihat sebagai jaguh kampung yang kuat bertapak secara domestik namun IKS telah
menyumbang sebanyak 18 peratus daripada keseluruhan eksport negara.

Kecil-kecil cili padi, walaupun kecil namun impaknya amat signifikan kepada ekonomi negara. Di
antara tahun 2011 sehingga 2015, IKS telah berkembang pada kadar 6.7 peratus dan ia lebih besar
dari pertumbuhan ekonomi negara yang berada pada kadar purata 5.7 peratus.

Dari segi pembangunan koperasi, masih banyak lagi usaha yang perlu dipertingkatkan oleh pihak
kementerian. Walaupun Malaysia mempunyai koperasi yang besar dan sudah bertapak lebih dari 100
tahun di negara ini, masyarakat masih melihat koperasi sebagai sektor picisan yang dipenuhi dengan
golongan pencen.

Kementerian mempunyai tanggungjawab yang besar dalam mengubah persepsi masyarakat kerana
sumbangan koperasi terhadap KDNK negara adalah signifikan kerana pada 2015 sumbangan
koperasi terhadap KDNK negara ialah sejumlah RM37 bilion dan ia meningkat pada 2016 ke RM39
bilion.

Harapan dari penggerak sektor koperasi agar sektor ini dapat menyumbang RM50 bilion kepada
KDNK negara menjelang tahun 2020. Dengan hampir 14 juta koperasi dan 7 juta bilangan ahli di
seluruh negara, sektor ini adalah salah satu tunjang yang perlu digerakkan secara serius kerana di
Eropah, kebanyakan ekonominya dipacu oleh sektor koperasi berbanding dengan negara-negara di
Asia yang kebanyakan ekonominya dipacu oleh IKS.

Cabaran usahawan dan koperasi masa kini berbeza dengan cabaran 10 tahun lepas. Kini kita
dikelilingi oleh perubahan dari segi teknologi yang sering berubah seiring dengan perubahan zaman.
Ini pula ditambah dengan perkembangan melalui Revolusi Perindustrian 4.0 yang memerlukan
usahawan sentiasa fleksibel dan bersedia menongkah arus perubahan dalam permintaan dari
pasaran.

Penulis pernah mendengar bahawa terdapat lebih dari 50 agensi kerajaan yang menjaga kebajikan
para usahawan di negara ini, namun kesemuanya terletak di bawah kementerian yang berbeza.
Keadaan ini menyukarkan usahawan yang ingin mendapatkan bantuan.

Menjadi usahawan di Malaysia setakat ini mewajibkan anda menjadi seorang yang rajin dan
beriltizam. Ini adalah kerana untuk mendaftar perniagaan, seorang usahawan perlu ke kementerian A.
Kemudian mereka perlu ke kementerian B untuk mendapatkan bimbingan dan khidmat nasihat dan
akhirnya ke kementerian C untuk mendapatkan bantuan kewangan.

Adalah diharapkan dengan penubuhan Kementerian Pembangunan Usahawan, kesemua ini dapat
disatukan demi memudahkan usahawan untuk menjalankan perniagaan mereka. Jika ingin
dipisahkan secara pentadbiran, ia perlu mengikut jenis dan saiz perniagaan.

1
Sebagai contoh, kementerian A menjaga IKS dan kementerian B menjaga usahawan bersaiz mega
untuk pasaran antarabangsa. Setakat ini kelihatan pelbagai kementerian yang terlibat dalam bidang
keusahawanan mempunyai ruang lingkup dan kunci penunjuk prestasi yang sama dalam
pembangunan usahawan yang menyebabkan ianya tidak fokus dan menyukarkan usahawan.

Adalah diharapkan melalui kementerian ini, semua agensi dan badan bukan kerajaan yang terlibat
dalam bidang keusahawanan dan koperasi boleh diletakkan di bawah kawal selia yang sama agar
polisi dan dasar dapat dibuat secara lebih holistik dan terancang.

Selain itu, kementerian perlu membangunkan dasar dan polisi yang jelas agar dapat melahirkan lebih
ramai usahawan yang berjaya selain mengembangkan sektor IKS sedia ada. Kementerian juga perlu
menyediakan ruang dan peluang untuk usahawan baru terutama usahawan siswa untuk terus berjaya.

Sebelum ini, tanggungjawab membudayakan keusahawanan di peringkat pendidikan tinggi terletak di


atas bahu Kementerian Pendidikan Tinggi dan apabila usahawan siswa ini telah tamat pengajian,
tiada ekosistem yang disediakan oleh kerajaan untuk menyambut kehadiran usahawan siswa ini ke
dunia perniagaan yang sebenar.

Kementerian Pembangunan Usahawan juga perlu mewujudkan jaringan antara usahawan baharu
dan lama bagi membantu merancakkan aktiviti keusahawanan di Malaysia melalui sistem
permentoran. Kementerian juga perlu mengadakan saluran melalui sesi percambahan idea
perniagaan dan kemungkinan besar boleh mewujudkan bank idea perniagaan dengan mengambil
kira partisipasi dari golongan belia. Selain itu, kementerian perlu memastikan agar semua usahawan
baharu mempunyai pengetahuan yang cukup berkaitan pengurusan kewangan, operasi, pemasaran
dan sumber manusia.

Adakah di Malaysia kita kekurangan pakar untuk mewujudkan usahawan? Adakah modul yang
mereka bawa dari negara Barat sesuai diadaptasi di negara ini? Kerajaan perlu mengangkat dan
mengiktiraf kepakaran tempatan dalam pembangunan usahawan.

Selain itu, peranan Maktab Koperasi Malaysia yang telah diwujudkan lebih daripada 60 tahun yang
lalu perlu diperkasakan dengan mengangkatnya menjadi sebuah institusi pendidikan koperasi yang
setaraf dengan institusi pendidikan awam lain.

Peranan Maktab Koperasi Malaysia perlu diperkayakan dan penaiktarafan kakitangan di maktab
tersebut perlu dilaksanakan setanding dengan institusi pengajian awam lain di negara ini. Setakat ini,
Maktab Koperasi Malaysia, bukan sahaja menjadi rujukan koperasi domestik, namun peranannya
telah diiktiraf di peringkat antarabangsa kerana telah dipanggil menjadi pusat rujukan koperasi negara
serantau.

Akhir sekali, kerajaan perlu mengiktiraf peranan usahawan IKS dan koperasi atas sumbangan
signifikan mereka dalam ekonomi negara. Perlulah juga kita wujudkan sentimen patriotik dengan
mendahulukan barangan Malaysia dalam setiap pembelian kita. Barang kita, koperasi kita ‘Buatan
Lokal, Kualiti Global”.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia
(USIM).

Artikel Penuh:http://www.utusan.com.my/rencana/utama/harapan-iks-keluhan-usahawan-1.706774#
ixzz5Lei2pVfs © Utusan Melayu (M) Bhd

2
Kes 1
Suspek kes Adam Rayqal direman bantu siasatan 4/7/2018
Nurul Hidayah Bahaudin https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/07/354569/suspek-kes-adam-rayqal-direman-bantu-siasatan
cnews@nstp.com.my

DUA wanita direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes bayi lelaki Adam
Rayqal Mohd Sufi, lima bulan yang ditemui mati di rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda,
Batu Caves, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, pihaknya membuat
permohonan reman terhadap kedua-dua suspek itu di Mahkamah Selayang, pagi tadi.
“Mahkamah membenarkan kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga
10 Julai nanti bagi membantu siasatan kes terbabit.
“Kami masih menunggu laporan bedah siasat terhadap mangsa bagi mengenal pasti motif
pembunuhan. Belum ada senjata ditemui di lokasi kejadian sehingga kini,” katanya ketika
dihubungi.
Harian Metro, sebelum ini melaporkan Adam Rayqal didakwa hilang selepas pengasuh
dikatakan tersalah menyerah bayi itu kepada seorang lelaki yang menyamar sebagai bapanya di
rumah terbabit pada jam 6.30 petang semalam.
Bagaimanapun, siasatan polis menemui mayat bayi itu disorokkan dalam bahagian sejuk beku
peti ais dua pintu di rumah pengasuh terbabit, pada jam 11 malam selepas mendapati terdapat
keraguan pada keterangannya.
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad dalam sidang media di lokasi
kejadian awal pagi tadi dipetik, berkata bayi itu ditemui lengkap dengan pakaian dan berbalut
kain lampin serta disumbat dalam beg berwarna hijau.
Polis sudah menahan pengasuh berusia 33 tahun itu bersama rakan serumahnya berusia 36
tahun di rumah sewa mereka, semalam.
Permohonan reman terhadap kedua-dua suspek dibuat di Mahkamah Selayang, pagi ini, bagi
membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Kes 2
Polis rampas 306kg syabu bernilai RM15.3 juta 8/7/2018

GEORGETOWN: Polis menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah yang didalangi
rakyat tempatan susulan penahanan enam individu serta merampas 306 kilogram (kg) syabu bernilai
RM15.3 juta dalam empat serbuan di Pulau Pinang dan Kedah pada kelmarin.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata
bertindak hasil risikan dan intipan, sepasukan anggota JSJN Bukit Aman dibantu JSJN Pulau Pinang
dan Kedah telah melancarkan operasi pada 2 petang hingga 9 malam Jumaat lepas.
"Dalam serbuan pertama di Jelutong, di sini polis menahan dua lelaki berumur 28 dan 37 tahun,
namun tiada sebarang rampasan dadah bersama mereka sebelum menyerbu sebuah rumah lain di
Kuala Nerang, Kedah dan menangkap tiga lelaki berumur 19 hingga 30 tahun.
"Polis kemudiannya menyerbu sebuah lagi rumah juga di Kuala Nerang dan menahan seorang wanita
berumur 30 tahun iaitu isteri kepada suspek lelaki berumur 37 tahun yang ditahan di Jelutong, namun
tiada sebarang rampasan dadah daripada mereka," katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Katanya, susulan penahanan itu, polis membuat serbuan di kawasan parkir Taman Pelangi Indah,
Jelutong sebelum memeriksa sebuah kereta jenis Proton Waja yang diletakkan di situ dan merampas
306 kg syabu yang disembunyikan dalam 15 guni.
Mohmad berkata semua dadah itu dibungkus dalam 295 bungkusan teh cina dan setiap satunya
berat antara 1 kg hingga 1.5 kg.

3
Katanya, berdasarkan siasatan syabu itu dibawa masuk dari negara jiran sebelum sebahagiannya
diedar kepada rangkaian sindiket pengedaran dadah di Malaysia manakala selebihnya akan
diseludup ke negara jiran untuk pasaran di sana.
"Sindiket itu menjadikan Pulau Pinang sebagai tempat transit dadah sebelum ia diseludup keluar
berikutan negeri ini adalah lokasi strategik dan semua syabu yang dirampas itu boleh digunakan oleh
lebih 1.5 juta penagih," katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti dalang utama sindiket dan
berapa lama mereka termasuk enam yang ditahan itu telah beroperasi serta terlibat dalam kegiatan
berkenaan.
"Susulan penahanan mereka, polis merampas sejumlah pelbagai mata wang dan seutas jam tangan
Rado serta menyita sebuah kereta Proton Waja. Semuanya bernilai RM16,000," katanya.
Beliau berkata enam yang ditahan itu hanya bekerja kampung, namun difahamkan hidup mewah
berikutan mendapat upah yang mahal bagi menjalankan kegiatan penyeludupan serta pengedaran
dadah dan tiga daripadanya turut positif dadah.
"Seorang daripada enam suspek itu turut mempunyai rekod lampau dan semua mereka kini direman
bagi membantu siasatan. Kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya
1952," katanya. – BERNAMA

Kebakaran pusat tahfiz, 7 ditahan


Oleh Safeek Affendy Razali; Nor Azizah Mokhtar; Siti Azila Alias dan Fazrik Kamarudin 16/9/2017

KUALA LUMPUR: Tujuh remaja, termasuk lima suspek utama dipercayai ditahan polis bagi
membantu siasatan kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Dato Keramat, di sini,
kelmarin.

Daripada tujuh yang ditahan, lima dipercayai penduduk kawasan berhampiran Kampung Dato
Keramat yang berusia 16 hingga 18 tahun, manakala tiga lagi pelajar tahfiz berkenaan dipanggil bagi
membantu siasatan.

Sumber berkata, penahanan dibuat hasil pemeriksaan satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di
sebuah stesen minyak di Jalan Dato Keramat yang menunjukkan perbuatan suspek yang
mencurigakan.

"Dalam rakaman itu terdapat kelibat dua lelaki menaiki motosikal Yamaha Lagenda membeli minyak
petrol jam 1.30 pagi, beberapa jam sebelum kebakaran pusat tahfiz berkenaan," katanya ketika
ditemui BH, sebentar tadi.

Setakat ini, siasatan polis yang dikatakan menjurus kepada perbuatan khianat dan balas dendam
sedang dijalankan bagi mendapatkan motif sebenar kejadian.

BH difahamkan, pagi tadi beberapa pengakuan dibuat oleh suspek terbabit semasa mereka ditahan
di lokap Balai Polis Jinjang.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 pagi Khamis lalu, 23 pelajar termasuk dua guru pusat tahfiz
berkenaan terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga banglo berkenaan yang menempatkan
asrama pelajar.

Sebahagian mangsa ditemui rentung manakala beberapa lagi lemas akibat terhidu asap. Semua
mangsa berusia antara enam hingga 16 tahun.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh tidak menafikan berhubung
tangkapan itu namun enggan mengulas lanjut.

RINGKASAN HUKUMAN MATI MANDATORI: SATU ANALISIS MENURUT PENGAMALAN UNDANG-


UNDANG DI MALAYSIA DAN SYARIAH OLEH AZMAN BIN MOHD NOOR
*Penulisan ini merupakan ringkasan daripada Jurnal Undang-undang dan Masyarakat yang bertajuk: Hukuman
Mati Mandatori: Satu Analisis Menurut Pengamalan Undang-undang di Malaysia dan Syariah oleh Azman bin
Mohd Noor

4
Pendahuluan
Dalam kebelakangan ini, isu hukuman mati mandatori telah mendapat reaksi berbeza daripada masyarakat
antarabangsa. Ada yang menyokongnya, malah tidak ketinggalan juga yang mengecamnya. Antaranya ialah isu
hukuman mati mandatori yang dikenakan oleh kerajaan Indonesia terhadap pesalah pengedar dadah
warganegara asing seperti Australia yang tidak meletakkan hukuman mati terhadap mana-mana peruntukan
undang-undang mereka. Jurnal ini membicarakan peruntukan hukuman mati mandatori di Malaysia ke atas
kesalahan-kesalahan tertentu, kedudukan hukuman mandatori dan peruntukannya menurut perspektif syariah.

Hukuman Mati Mandatori di Malaysia


Hukuman paling berat yang diperuntukkan di Malaysia atas sesuatu jenayah ialah hukuman mati. Jenayah yang
boleh melibatkan hukuman mati di Malaysia adalah berasaskan peruntukan seperti berikut:
1- Kanun Keseksaan: Seksyen 121, 121A, 132, 194, 302, 305, 364, 396
2- Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960: Seksyen 57(1)
3- Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Akta 37: Seksyen 3, 3A, 7(1)
4- Akta Dadah Merbahaya 1952: Seksyen 39B

Hukuman mati dikenakan kepada jenayah yang dianggap sebagai suatu kesalahan yang amat besar dan berat.
Dadah dianggap musuh utama negara kerana mudharatnya, maka pengenar dadah boleh dijkenakan hukuman
mati. Senjata api pernah dikaitkan dengan kegiatan subversif yang mengancam keselamatan negara, maka
parlimen Malaysia telah menggubal undang-undang menyekat kegiatan sedemikian dan mengenakan hukuman
mati ke atas kesalahan di bawah undang-undang tersebut.

Di Malaysia, terdapat hukuman mati yang bersifat mandatori, antaranya hukuman bagi pesalah mengedar dadah.
Perkataan mandatori adalah satu istilah undang-undang yang membawa maksud termesti suruhan, mengikat
hukuman dan wajib dituruti tanpa pilihan. Ia juga mambawa maksud memberi arahan dan suruhan dengan kuasa.
Ia adalah suatu keputusan yang ditetapkan dengan muktamad, apabila kedapatan dalam peruntukan undang-
undang, mestilah diikuti tanpa pilihan dan tidak sah penghukuman kecuali dengan mematu peruntukan tersebut.

Definisi hukuman mandatori yang paling sesuai ialah hukuman yang telah diperuntukkan oleh undang-undang
yang mesti dijatuhkan oleh mahkamah apabila tertuduh telah disabitkan dengan kesalahan yang termaktub
dalam akta-akta tertentu tanpa pilihan atau gantian kepada hukuman lain. Hakim mestilah memberi hukuman
dengan patuh kepada peruntukan yang telah ditetapkan dan pelaksanaan hukuman adalah satu kemestian.
Mandatori di sini adalah mengikut istilah bahasa seperti yang telah dinyatakan, bukan dengan perincian dan
konsep undang-undang.

Terdapat dua bentuk hukuman mandatori; iaitu melibatkah hukuman mati dan tidak melibatkan hukuman mati.
Jika melibatkan hukuman mati, maka mahkamah perlu menjatuhkan hukuman mati mandatori tanpa sebarang
pilihan atau gantian lain. Sebagai contoh hukuman mati madatori seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952,
Akta Keselamatan Dalam Negeri seksyen 57(1) dan kesalahan membunuh seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam hukuman mati mandatori seksyen 36B Akta Dadah Merbahaya 1952 ke atas pengedar dadah, Mahkamah
Tinggi tidak boleh menjatuhkan hukuman yang lebih ringan daripada itu. Hukuman tersebut mandatori tanpa
mengambil kira faktor meringankan atau memberatkan hukuman atau mempertimbang latar belakang tertuduh
seperti mengedar kerana terlalu miskin atau sebab-sebab lain.

Walau bahaimanapun, apabila sesuatu hukuman mati mandatori tidak dapat disabitkan atau dibuktikan oleh
sebab-sebab teknilal atau keterangan yang tidak kuat seperti dalam kesalahan mengedar dadah, maka hakim
akan membebaskannya daripada hukuman mandatori. Akan tetapi pendakwa raya mungkin akan mengenakan
tuduhan lain di bawah seksyen-seksyen lain yang terdapat di dalam akta yang sama. Kemungkinan tertuduh
akan dikenakan kesalahan pemilikan dadah yang hukumannya lebih ringan daripada hukuman mati setelah
dibicarakan di Mahkamah Sesyen.

Walaupun seseorang telah didapati bersalah dan dikenakan hukuman mati mandatori, pesalah boleh membuat
rayuan ke atas sabitan atau hukuman yang dikenakan. Pengampunan boleh diberi oleh Yang Di Pertuan Agong
atau Sultan atau Yang Di Pertua Negeri sesebuah negeri dengan nasihat Lembaga Pengampunan.

Manakala dalam hukuman mandatori yang tidak melibatkan hukuman mati, wujud kelonggaran dengan adanya
pilihan atau gantian lain. Walaubagaimanapun ia tetap mandatori dalam peruntukan yang telah ditetapkan khas
padanya. Sebagai contoh dalam hukuman penjara yang ditetapkan dalam kesalahan tertentu seperti dalam
peruntukan seksyen 376 Kanun Keseksaan bagi kesalahan merogol, undang-undang telah menetapkan
hukuman mandatori penjara sekurang-kurangnya lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun. Maka terpulang
kepada hakim untuk memutuskan hukuman penjara di antara tempoh tersebut, namun ia adalah mandatori
dalam ruang lingkup tempoh masa yang diperuntukkan.

Hukuman mandatori adalah berasaskan konsep bahawa setiap pesalah atau penjenayah mestilah dihukum
dengan hukuman tertentu apabila disabitkan. Hukuman pula bermatlamatkan pembalasan yang setimpal dengan
kesalahan. Pembalasan yang tegas dan keras dapat mencegah perlakuan jenayah. Ini berlaku apabila

5
penjenayah dan orang ramai mengetahui hukuman khusus akan diekanakan sekiranya mereka didapati bersalah
dengan kesalahan jenayah tertentu.

Polisi hukuman di Malaysia adalah berteraskan pencegahan. Penyabitan sesuatu hukuman mati untuk kesalahan
yang telah dinyatakan menunjukkan bahawa hukuman yang berat itu dimaksudkan untuk mengurangkan jenayah.
Namun umumnya, hukuman mandatori lebih bermatlamatkan penghukuman daripada pemulihan.

Kes cerai Ziana Zain, Armin belum selesai 16/5/2018

SHAH ALAM 15 Mei – Kemelut rumah tangga Ziana Zain belum ada jalan penyelesaian apabila
suaminya, Armin Zaharin Ahmad Zambri berkeras enggan menceraikan penyanyi yang popular
dengan lagu Madah Berhelah itu secara baik, selagi belum bertemu dengan kesemua empat anaknya.

Sehubungan itu, Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah di sini, Mohd. Nizar Mohtar meme-
rintahkan keputusan perceraian pasangan tersebut hanya akan ditetapkan pada 28 Jun ini kerana
perlu mendengar keputusan laporan jawatankuasa pendamai terlebih dahulu.

“Berdasarkan perkara tersebut, kamu (Armin Zaharin) tidak setuju kerana enggan melafazkan talak
cerai (kepada Ziana) tanpa syarat.

“Sehubungan itu, sebuah Jawatankuasa Pendamai ditubuhkan selaras mengikut Seksyen 47(5)
Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 yang dipengerusikan oleh Pejabat Agama
Daerah Petaling,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Nizar turut memerintahkan adik Ziana yang juga seorang penyanyi, Anuar Zain atau nama
sebenarnya Shahrul Anuar Zain mewakili kakaknya sementara Azizi Mohd. Yaakob mewakili Armin
Zaharin dalam jawatankuasa tersebut.

“Permohonan hak penjagaan anak perlu dikemukakan di Mahkamah Tinggi Syariah kerana
merupakan bidang kuasa mereka,” jelasnya lagi.

Kedua-dua mereka tidak diwakili peguam.

Dalam prosiding selama 10 minit yang bermula pada pukul 11.30 pagi itu, Armin Zaharin, 53,
menjelaskan dia boleh melafazkan talak namun meminta persetujuan bersama kerana belum
berjumpa dengan keempat-empat anaknya sejak 2 Mac lagi.

Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zin, 50, bagaimanapun menegaskan, beliau mendapat
arahan polis serta peguam bahawa keempat-empat anaknya itu adalah saksi dan tidak boleh
berjumpa dengan Armin.

“Saya hanya mengikut kata polis walaupun belum memfailkan lagi hak penjagaan anak-anak. Justeru,
selepas mahkamah boleh (jumpa anak),” katanya.

Pada 3 April lalu, Ziana menfailkan tuntutan penceraian di Mahkamah Rendah Syariah dan
difahamkan fail tuntutan penceraian itu berkaitan penderaan mental dialaminya, nafkah dan kes dera
anak mereka.

Sementara itu, Ziana ketika ditemui di luar mahkamah melahirkan rasa syukur dan akan meneruskan
kes penceraian itu.

“Saya bukan zalim sehingga melarang Armin berjumpa anak-anak namun kita harus mengikut
undang-undang yang telah ditetapkan sebelum ini.

“Perkara ini memang telah dijangka (memanjangkan kes permohonan cerai menggunakan anak)
sebab ini merupakan perangai Armin namun saya rasa lebih tenang, redha dan bersedia,” katanya.

6
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/kes-cerai-ziana-zain-armin-belum-selesai-
1.673572#ixzz5MPpt65Yn
© Utusan Melayu (M) Bhd

Dipenjara miliki senjata api


Aizat Sharif
mohd.aizat@mediaprima.com.my

Kangar: Seorang mekanik dikenakan hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas
dua pertuduhan memiliki peluru hidup dan senjara tiruan di sebuah rumah di Mata Ayer, Padang Besar dua
tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pihak
pendakwaan terhadap hukuman penjara 14 bulan dan denda RM3,000 yang terhadap Mohd Nor Amizi Salleh, 39.

Beliau membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa Majistret terdahulu tidak terkhilaf dalam membuat
sabitan salah.
Oleh itu beliau mengekalkan sabitan itu namun meminda tempoh penjara.
Pada 27 Ogos tahun lalu, Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Nor Amizi selepas
berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Bagaimanapun pihak pendakwaan tidak berpuas hati dengan hukuman itu dan merayu di Mahkamah Tinggi.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif manakala tertuduh diwakili Mohd Asrul
Affendi Abdul Halim dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Bagi tuduhan pertama, Mohd Nor Amizi didakwa menyimpan 11 butir peluru hidup dan pertuduhan kedua pula,
dia didakwa memiliki dua senjata tiruan kira-kira jam 12.10 tengah malam, 17 Oktober 2014 di rumahnya di Lot
2279, Jalan Mata Ayer, Kampung Pokok Sena, Mata Ayer, Perlis.
Bagi tuduhan pertama memiliki sub-mesingan, dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960, manakala
bagi pertuduhan kedua pula, dia dituduh mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960.
Sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 dan
bagi tuduhan kedua pula, dia boleh dihukum penjara tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi
RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2016 @ 2:37 PM

KERJAYA PALING BERBAHAYA?


MUKHRIZ MAT RUS 19 September 2015 12:23 AM
MISTERI kehilangan seorang Timbalan Pendakwa Raya kanan baru-baru ini, terjawab dengan penemuan
mayatnya kelmarin. Persoalan sama ada ‘pembunuhannya’ berkaitan tugas atau sebaliknya akan dirungkai
selepas pihak polis menyelesaikan siasatan. Namun media sudah melaporkan perkaitan angkara jenayah itu
dengan tanggungjawab mangsa sebagai Timbalan Pendakwa Raya.

Setiap kerjaya terdedah kepada risiko masing-masing termasuklah profesion yang berhadapan dengan
penjenayah saban hari ini.

Setiap Timbalan Pendakwa Raya pasti ada cerita tersendiri yang telah dihadapi ketika berkhidmat. Penulis
sendiri pernah menerima ugutan berupa contengan di dinding rumah ketika bertugas di Pulau Pinang dulu.
Namun sukar untuk menentukan suspek memandangkan terdapat puluhan kes jenayah di bawah kendalian dan
kebanyakan tertuduh dilepaskan dengan jaminan mahkamah sebagaimana dibenarkan oleh undang-undang.

Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Peguam Negara berkuasa budi bicara untuk
memulakan, menjalankan dan menamatkan suatu prosiding kesalahan jenayah di mahkamah-mahkamah
seluruh negara, kecuali mahkamah Syariah.

Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah pula memerikan Peguam Negara adalah Pendakwa Raya Malaysia.
Peruntukan yang sama juga menjelaskan Pendakwa Raya memiliki kuasa melantik Timbalan Pendakwa Raya
(TPR) sebagai ‘alter ego’ dalam menjalankan tugas dan fungsinya. Lazimnya, beberapa TPR ditempatkan di
setiap negeri dan jabatan kerajaan seluruh pelosok negara. Lantas perihal ini menjadikan Pendakwa Raya
adalah satu jawatan kehormat negara yang memiliki paling ramai timbalan di Malaysia.

7
Tidak seperti para hakim, majistret dan peguam, kerjaya sebagai TPR paling kurang diketahui fungsinya dalam
lapangan perundangan tanah air. Lazimnya TPR hanya dilihat menjalankan tugas mendakwa tertuduh yang
disyaki melakukan perbuatan jenayah di mahkamah. Namun hakikatnya, peranan seorang TPR bermula lebih
awal dari itu, bahkan peringkat sebelumnya adalah cukup kritikal.

Bila mana pihak penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) melengkapkan sesuatu kes, fail siasatan dan taklimat dipersembahkan kepada TPR. TPR
perlu mengkaji dengan teliti dan terperinci segenap hasil siasatan. TPR perlu menyemak dan merumuskan sama
ada keterangan yang ada sudah memadai untuk dibuktikan di mahkamah bagi memastikan suspek disabitkan
dan dihukum.

Maka, adalah menjadi budi bicara TPR berdasarkan keterangan yang tersedia untuk mendakwa suspek di
mahkamah atau melepaskan tanpa sebarang tindakan undang-undang. TPR juga boleh mengarahkan agar
siasatan lanjut dilaksanakan bagi mengumpul keterangan yang sempurna.

Dalam keadaan tertentu, TPR juga terlibat untuk memantau siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak penguat
kuasa. Misalnya, keizinan TPR diperlukan bagi mendapatkan butiran akaun bank seseorang individu, atau
sebelum merakam perbualan telefon secara sembunyi sebagaimana yang diperuntukkan bawah Akta SPRM.
Dalam situasi begini, TPR akan bertindak secara mandiri dalam mengimbangkan antara keperluan siasatan oleh
penguat kuasa dan hak-hak peribadi individu terpelihara.

Sebagaimana terjemahan harfiah, Deputy Public Prosecutor iaitu timbalan pendakwa awam, beban TPR bukan
sahaja untuk mempertahankan hak mangsa jenayah, tetapi masyarakat awam secara keseluruhan. Bahkan
menjadi tanggungjawab TPR untuk menghormati hak-hak tertuduh. Sebagai contoh, TPR wajib mengemukakan
fakta-fakta yang memihak kepada tertuduh sekiranya ada sebelum perbicaraan bermula sebagaimana
dikehendaki Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

Persoalannya kini sejauh mana keselamatan seorang TPR itu sendiri dilindungi. TPR bukanlah seperti pegawai
penguat kuasa beruniform yang sememangnya dilatih dan dibekalkan senjata dalam berhadapan dengan
sebarang ancaman berbahaya. Sedangkan, TPR amat terdedah kepada risiko seperti ancaman, ugutan dan
paling dikhuatiri ugutan secara fizikal.

Sebagai contoh pada 2011, seorang TPR wanita diacu pistol ketika berhenti di lampu isyarat di Kuala
Terengganu. Barangkali situasi begini boleh dianggap terpencil mengambil kira jumlah kekerapan kecil atau tidak
dilaporkan. Namun risiko tersebut tetap ada dan boleh mengundang tragedi jika tidak diurus secara waspada.

Latihan secara berkala tentang aspek keselamatan diri dalam mengelak dan menghadapi ancaman wajib
diberikan kepada setiap TPR. Pihak PDRM juga sewajarnya mengambil maklum tentang lokasi kediaman TPR,
terutamanya di kawasan pedalaman atau kota raya yang sesak. Tidak seperti perkhidmatan awam dahulu,
kuarters kerajaan tidak lagi mampu menampung semua penjawat awam yang ada. Penulis dahulu pernah
terpaksa menghuni di sebuah flat awam dan acap kali terserempak dengan beberapa tertuduh jenayah dalam lif.
Dalam situasi begini, aspek keselamatan perlu digandakan.

Pada hemat penulis, langkah Jabatan Peguam Negara mewajibkan para TPR mewujudkan akaun Twitter
masing-masing, berserta gambar yang jelas dan kemudiannya melaporkan kes kendalian masing-masing secara
terbuka turut membawa risiko sampingan. Adalah difahami bahawa langkah proaktif itu bermanfaat untuk
menyampaikan maklumat kepada masyarakat awam tentang gerak kerja TPR, tapi alangkah lebih baik jika
pelaporan melalui Twitter itu hanya dilaksanakan atas nama jabatan atau unit sahaja.

Contohnya, akaun Twitter atas nama ‘Unit Pendakwaan Selangor’ untuk semua TPR Selangor menguar-uarkan
kes-kes kendalian mereka. Penulis percaya pihak Jabatan Peguam Negara ada mekanisme lain secara dalaman
untuk memantau dan menyelia aktiviti setiap TPR tanpa menggunakan media sosial itu.

Adalah dikhuatiri kini, seorang tertuduh atau bekas banduan atau siapa sahaja yang berniat curang dengan
mudah mendapatkan maklumat diri dan lokasi TPR yang berkait kesnya di mahkamah. Benar, hal ini bersifat
andaian, tapi kita tidak boleh memandang rendah akan kemampuan dan nilai kewarasan seseorang yang telah
dirasuk dengan dendam kesumat.

Dalam satu kajian yang dijalankan di Belanda oleh Dr. E.J. van der Torre Dr. M. Gieling Drs. M.Y. Bruinsma pada
2013 terhadap 1,730 responden di pejabat Pendakwa Raya, terdapat beberapa motif utama berlakunya
ancaman terhadap para pendakwa.

8
“The motives for threatening or intimidating employees of the public prosecutor’s office can be sorted into four
main categories: (1) influencing an on-going investigation, (2) influencing a trial by disconcerting an employee, (3)
trying to reverse an unfavourable verdict, and, (4) revenge... ”.

Para pengkaji merumuskan bahawa pendedahan kepada ancaman dan intimidasi boleh mengurangkan
kepuasan hati pegawai pendakwa terhadap kerjaya mereka. Barangkali pihak Jabatan Peguam Negara boleh
membuat kajian sejauh mana perihal ini mempengaruhi budaya kerja TPR di Malaysia.

Pastinya negara ini tidak mahu kehilangan barisan TPR yang berpengalaman dan cekap lantaran pengabaian
terhadap perkara ini. Harus juga difikirkan, para TPR ini berkelayakan profesional yang memilih untuk berkhidmat
kepada negara sedang tawaran bidang swasta di luar sana adalah lebih lumayan.

PENULIS ialah bekas Timbalan Pendakwa Raya dan kini mengkaji tentang undang-undang jenayah keganasan
dan terrorisme.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/kerjaya-paling-berbahaya-1.137673#ixzz5MPsn0wnh


© Utusan Melayu (M) Bhd

Ilustrasi perbicaraan di dalam


mahkamah

Gambar kedudukan di dalam


mahkamah

Memansuhkan Hukuman Mati Mandatori Perlu Renungan Mendalam Diterbitkan: Rabu, 6 Januari 2016 5:35
PM Oleh: AHMAD ABD HAMID mstar@thestar.com.my

Baca lebih lanjut di http://www.mstar.com.my/lain-lain/rencana/2016/01/06/mansuh-hukuman-mati/#491EQQuOugD8qZc4.99


ADAKAH hukuman mati mandatori di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 sudah tidak relevan? Apakah
kesannya jika ia dimansuhkan?
Isu ini menarik diperkatakan berikutan hasrat kerajaan mahu memansuhkan hukuman mati mandatori di bawah Seksyen 39B
itu. Menurut Menteri di Jabatan Perdana Meneri, Nancy Shukri, rang undang-undang memansuhkan hukuman tersebut
dijangka dibentangkan pada persidangan Parlimen Mac ini.
Pindaan ini tidak memansuhkan hukuman mati tetapi hukuman mati itu bukan lagi mandatori.

Menurut beliau, pindaan ini bertujuan memberi lebih kuasa budi bicara kepada mahkamah menentukan hukuman
kepada pesalah tanpa tertakluk kepada hukuman mati mandatori. Mahkamah boleh menjatuhkan hukuman mati
atau penjara dan sebatan. Ketika ini mahkamah tiada pilihan.

Nancy juga membayangkan, pemansuhan hukuman mati mandatori bagi kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta

9
Dadah Berbahaya ini kemudiannya bakal diperluaskan bagi hukuman mati mandatori melibatkan kesalahan-
kesalahan jenayah berat lain.

Antara alasan diberikan oleh Nancy bagi memansuhkan hukuman mati mandatori dalam kes dadah ialah
hukuman itu tidak dapat membantu mengekang kegiatan mengedar dadah. Ini dibuktikan dengan angka
tahanan yang makin meningkat tiap tahun. Tetapi adakah alasan ini cukup kuat?

Ini kerana tiada akta atau hukuman tertentu yang mampu mengekang perlakuan jenayah secara sepenuhnya,
termasuk dalam kes dadah. Bagaimanapun, hukuman mati mandatori dilihat sebagai faktor pencegahan yang
menakutkan yang mampu mengekang jenayah ini.

Namun begitu, tetap ada yang berani mengambil risiko melakukan jenayah tersebut walaupun mengetahui tali
gantung menanti mereka jika tertangkap.

Akta Dadah Berbahaya bertujuan mengekang dan membanteras pengedaran dadah yang menjadi ancaman
kepada negara dan rakyat, khususnya golongan muda. Dadah adalah musuh utama negara. Seksyen 39B akta
ini yang memperuntukkan hukuman mati mandatori adalah gambaran jelas tiada kompromi dengan mereka yang
mengedar dadah. Lalu wajarkah hukuman mati ke atas pesalah ini dimansuh?
Memang benar, jumlah tahanan di bawah Akta Dadah Berbahaya meningkat. Pada tahun 2012 sejumlah 116,74
suspek ditahan. Pada tahun 2013, jumlahnya meningkat kepada 129,250 orang. Namun seperti yang ditegaskan,
apa pun undang-undang yang dikuatkuasakan, tidak mungkin ia mampu mengekang jenayah ini 100 peratus.

Mungkin dari satu sudut, peningkatan jumlah tahanan ini mengecewakan dan sekaligus memberi indikasi yang
hukuman mati mandatori juga tidak menakutkan pesalah. Namun dari sudut positif, ia juga menggambarkan
kejayaan pihak berkuasa mengekang gejala pengedaran dadah dengan lebih ramai masuk ke dalam perangkap.

Bukan sahaja rakyat tempatan, malah ramai pengedar dadah rakyat asing masuk ke dalam perangkap pihak
berkuasa. Pastinya kita tidak mahu negara kita dijadikan tempat mengedar dadah atau transit pengedaran dadah.
Tanpa hukuman mati mandatori, baik rakyat tempatan atau rakyat asing akan lebih berani menjalankan aktiviti
haram mereka.

Jika jumlah tahanan hendak diambil kira, ia menunjukkan dengan adanya hukuman mati mandatori pun, jumlah
yang ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya meningkat. Apakah kemungkinan yang akan berlaku jika
hukuman mati mandatori dimansuhkan?

Kita bimbang, angka tahanan mungkin melonjak lebih tinggi kerana kini rasa takut di kalangan pengedar sudah
luput. Jika tertangkap dan didakwa pun tidak semestinya mereka ke tali gantung.

Dapatkah ini membantu mengekang dan membanteras pengedaran dadah seperti yang diingini?

Dalam skop yang lebih luas, jika pemansuhan hukuman mati mandatori ni diperluaskan kepada kesalahan
jenayah berat lain selain dadah, ia akan melibatkan dua kategori kesalahan, iaitu:
i). Kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Kesiksanaan (Membunuh dengan niat);
ii). Kesalahan di bawah Seksyen 3 dan 3A Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Seperti juga dengan kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, kesalahan bagi dua kategori
tersebut membawa khukuman mati mandatori di tali gantung jika sabit kesalahan. Hakim terikat dengan
peruntukan ini.

Selain itu, terdapat satu lagi kesalahan yang boleh membawa hukuman mati iaitu di bawah Seksyen 3(1) Akta
Culik 1961. Bagaimanapun hukuman mati dalam kes ini bukan mandatori. Hakim boleh menggunakan budi
bicara sama ada menjatuhkan hukuman mati atau penjara dan sebatan.

Ertinya, jika pemansuhan hukuman mati mandatori diperluaskan bagi merangkumi Seksyen 302 Kanun
Keseksaan dan Seksyen3 dan 3A Akta Senjata Api, hakim boleh menggunakan budi bicara menjatuhkan
hukuman yang sama seperti dalam Seksyen 3(1) Akta Culik.

Hukuman mati mandatori kerana membunuh dengan niat merupakan hukuman balas kepada mereka yang telah
mengambil nyawa orang lain. Hukuman mati mandatori bagi kesalahan menggunakan senjata api secara haram
pula demi kepentingan negara dan keselamatan serta ketenteraman awam.

10
Sekalipun wujud hukuman yang menggerunkan ini, pembunuhan, pengedaran dadah dan penggunaan senjata
api secara haram tetap berlaku juga. Namun tidak seharusnya ini dianggap sebagai kegagalan hukuman mati
mandatori untuk mengekang gejala tersebut, lantas menjadikannya alasan hukuman itu dimansuhkan.

Sekurang-kurangnya, negara sudah mempunyai undang-undang dan hukuman yang sangat berat sebagai usaha
pencegahan. Benar, hukuman mati masih kekal tetapi adakah hukuman mati mandatori wajar dimansuhkan?

> AHMAD ABD HAMID PERNAH BERTUGAS SEBAGAI WARTAWAN DAN PENGARANG KANAN AKHBAR TEMPATAN.
BELIAU ADALAH LULUSAN KEWARTAWANAN DARI UITM DAN UNIVERSITI BOSTON, AMERIKA SYARIKAT.

11
Harga rumah sukar turun walau tanpa Sst Asmawati Che Hasan 18/8/18
MEMPUNYAI rumah sendiri adalah impian bagi setiap orang. Namun, tidak semua mampu untuk memilikinya.
Kenaikan harga rumah saban tahun membimbangkan rakyat. Mengikut laman sesawang EdgeProp.my, antara
tahun 2011 hingga 2017, peningkatan harga rumah menunjukkan sebanyak 7.78 peratus melebihi peningkatan
isi rumah iaitu -0.75 peratus. Hal ini menjadi faktor utama kegagalan rakyat untuk memiliki rumah terutama bagi
golongan M40 dan B40.

Berdasarkan kepada Penyiasatan Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2014, M40 merujuk kepada
isi rumah berpendapatan purata bulanan di antara RM3,860.00 hingga RM8,319.00 manakala kumpulan B40
mempunyai pendapatan purata bulanan di bawah RM3,860.00. Kumpulan isi rumah B40 juga merangkumi isi
rumah miskin yang berpendapatan bulanan kurang daripada pendapatan garis kemiskinan (PGK) iaitu RM950.00
sebulan.

Sehingga suku pertama 2018, harga purata rumah yang ditunjukkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan
Harta adalah RM280,000 berbanding pada 2017 iaitu RM303,000. Walaupun ia menunjukkan angka lebih rendah
berbanding 2017, tidak mustahil harga rumah ini akan terus meningkat hingga ke hujung 2018 sekali pun
kerajaan mengisytiharkan tiada cukai dikenakan ke atas beberapa bahan binaan utama yang digunakan.

Perlu diketahui harga rumah tidak hanya bergantung kepada bahan binaan semata-mata. Bahkan hampir 70
peratus kos yang terlibat adalah nilai tanah dan fi yang perlu di bayar oleh pemaju dan juga kontraktor kepada
badan-badan berkaitan. Meskipun, Bank Negara Malaysia memberi gambaran harga rumah yang mampu dimiliki
rakyat hanyalah RM282,000, ia adalah mustahil untuk disasarkan oleh pemaju dan kontraktor kerana nilaian
tanah yang melonjak di beberapa kawasan antaranya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan juga
Johor.

Inisiatif kerajaan baharu dalam pengecualian cukai bahan binaan adalah satu tindakan positif tetapi tidak cukup
kuat untuk menurunkan harga hartanah di Malaysia. Oleh itu, beberapa perkara mungkin dapat dilakukan
sebagai langkah tambahan membantu rakyat memiliki rumah pertama mereka.

Antara yang terpenting dalam menentukan harga rumah adalah nilai pasaran tanah tersebut. Semakin
membangun kawasan, menjadikan ia lebih banyak permintaan seterusnya meningkatkan harga pasaran.
Pemantauan yang telus dan ketat haruslah diambil agar nilai ini tidak dinaikkan sewenang-wenangnya tanpa had
sehinggakan penduduk atau rakyat setempat terbeban.

Contohnya, pembelian rumah oleh warga asing yang dibenarkan melalui Program Malaysia Rumah Keduaku
yang diwujudkan sejak 2002. Program ini membolehkan warga asing membeli rumah dengan syarat-syarat
tertentu seperti nilai rumah melebihi RM1 juta dan bukan lot bumiputera. Sehingga 2017, sebanyak 35,381
permohonan diluluskan yang kebanyakan dari China, Jepun, Bangladesh, United Kingdom dan beberapa negara
lain. Suasana Malaysia yang aman dan bebas daripada bencana alam semestinya menjadi tarikan kuat kepada
warga asing untuk menetap di sini. Ditambah pula dengan nilai mata wang kita yang rendah menjadikan harga
RM1 juta itu sesuatu yang tidak membebankan bagi mereka. Ia boleh menjadi faktor pendorong kepada pemaju
untuk menyasarkan tanah yang ada kepada warga asing untuk mendapatkan keuntungan yang lebih tinggi.

Selain itu, kesukaran memiliki rumah bagi golongan M40 dan B40 juga adalah dalam menyediakan pendahuluan
perumahan sebanyak 10 peratus daripada harga rumah ditetapkan. Pendapatan rendah dengan komitmen tinggi
berserta faktor umur yang semakin meningkat akan menyukarkan dalam permohonan pinjaman perumahan. Kita
harus sedar yang mereka mempunyai wang yang disimpan melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
yang boleh dikeluarkan untuk membantu mereka. Akan tetapi, pengeluaran wang KWSP hanya boleh dilakukan
dengan mengemukakan surat perjanjian jual beli yang memerlukan individu menyediakan deposit terlebih dahulu.
Dengan kekangan-kekangan ini, adalah mustahil bagi kumpulan ini untuk memiliki rumah.

Melihat kepada arus kepesatan pembangunan dengan kemasukan pelabur-pelabur asing di Malaysia, sepertinya
penurunan harga rumah sukar untuk dilakukan. Walaupun begitu, tinjauan dan pantauan oleh pihak berkaitan
adalah amat diperlukan bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan di atas cukai yang dikenakan.
PENULIS ialah Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor

Kes 1MDB uji Amla Salleh Buang 27/9/18


AMLA adalah akronim atau singkatan nama undang-undang utama negara ini yang diluluskan Parlimen untuk
membanteras jenayah pengubahan wang haram iaitu Anti-Money Laundering Act 2001 (Akta 613), yang mula
berkuatkuasa pada 15 Januari 2002. Akta ini kemudian dipinda pada Mac 2007 untuk membolehkan kerajaan
membanteras pembiayaan keganasan. Tajuk asal akta ini dipinda kepada Anti-Money Laundering and Anti-
Terrorism Act Financing (AMLATFA), atau dalam bahasa Malaysia, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram
dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

12
Sebelum AMLA wujud apabila pihak berkuasa menjalankan siasatan mengenai satu jenayah kolar putih, undang-
undang yang dipakai adalah seperti Kanun Keseksaan, Akta Syarikat 1965, Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan
Harta) 1988 dan Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Kini, dengan adanya AMLA 2001 dan Akta SPRM 2009 (yang menggantikan Akta Pencegahan Rasuah 1997),
tugas pihak berkuasa membanteras jenayah pengubahan wang haram boleh dijalankan dengan lebih berkesan.

Kesalahan pengubahan wang (money laundering) diperincikan dalam seksyen 4 AMLA sebagai perbuatan
seorang itu yang melibatkan diri secara langsung atau tidak langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil
daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan. Juga, memperoleh, menerima, memiliki, menyembunyikan,
memindahkan, mengubah, menukar, membawa, melupuskan atau menggunakan hasil daripada aktiviti haram
atau peralatan kesalahan.

Selain itu, mengalihkan dari atau membawa masuk ke dalam Malaysia, hasil daripada aktiviti haram atau
peralatan kesalahan. Atau merahsiakan, menyembunyikan atau menghalang pemastian sifat sebenar, sumber,
lokasi, pergerakan, pelupusan, hakmilik, hak berkenaan dengan atau pemilikan hasil daripada aktiviti haram atau
peralatan kesalahan.

Hukuman bagi kesalahan pengubahan wang adalah penjara tidak melebihi lima tahun, denda tidak kurang
daripada lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram atau lima ribu ringgit (yang mana lebih tinggi) atau kedua-
duanya sekali.
Di bawah AMLA sekarang, sesiapa sahaja yang melakukan satu kesalahan berat atau kesalahan berat asing
adalah melakukan aktiviti haram. Siapa sahaja yang melakukan aktiviti haram sama ada dalam negara atau di
luar negara, boleh disiasat di bawah AMLA.
Kelebihan AMLA, berbanding undang-undang lain boleh dilihat dalam 4(4) yang menyatakan seorang itu boleh
disabitkan dengan kesalahan pengubahan wang haram di bawah seksyen 4(1) AMLA tidak kira sama ada dia
telah disabitkan dengan satu kesalahan berat di bawah mana-mana akta yang disebutkan dalam Jadual Kedua
AMLA itu atau pun satu pendakwaan telah dijalankan terhadapnya di bawah akta tersebut.
Di sebalik `kelebihan’ AMLA seperti yang disebut di atas, namun apabila dibandingkan hukuman yang boleh
dikenakan oleh mahkamah setelah seorang tertuduh itu disabitkan, hukuman di bawah Akta SPRM 2009 adalah
lebih berat lagi. Hukuman penjara maksimum di bawah AMLA adalah lima tahun manakala di bawah Akta SPRM
2009 hukuman penjara maksimum adalah 20 tahun.
Saya kira ramai rakyat negara ini kini sudah meneliti kandungan buku tulisan Tom Wright dan Bradley Hope
berjudul Billion Dollar Whale. Buku ini menceritakan perihal Jho Low (yang kini diburu pihak berkuasa kita)
menjalankan `aktiviti haramnya’ melibatkan dana 1MDB.
Sama ada pendedahan Wright dan Hope dalam buku ini akan disusuli pada suatu hari nanti dengan
pengemukaan bukti yang menyokong oleh pasukan pendakwa dalam kes-kes akan datang bagi mensabitkan
individu tertentu yang dikatakan melakukan kesalahan pengubahan wang haram, kita tunggulah sahaja.
Sementara itu, selaras dengan kehendak rule of law, kita perlu menganggap seorang itu tidak bersalah
sehinggalah kesalahannya dibuktikan melampaui keraguan yang munasabah di mahkamah dalam satu prosiding
terbuka.
Pada 19 September lalu, SPRM telah melakukan tangkapan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak. Pada keesokannya beliau menghadapi 25 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berkaitan
kemasukan wang RM2.6 bilion ke akaun peribadinya - iaitu empat pertuduhan di bawah seksyen 23 (1) Akta
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, dan 21 pertuduhan di bawah seksyen 4 (1) (a) AMLA. Beliau
mengaku tidak bersalah.

Ketika bercakap dengan wakil media di ruang legar kompleks mahkamah Jalan Duta, Najib berkata, segala
pertuduhan yang dihadapkan ke atasnya ini memberinya peluang untuk membersihkan namanya. “Saya bukan
pencuri,” tegasnya. Mahkamah menetapkan 16 November ini untuk sebutan semula kes. Perjalanan kes ini
dijangka mengambil masa yang panjang.

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor
Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.
Memahami kesan 
negatif ‘lesen terbang’ M. Jasni Majed 18/9/18
APABILA kerajaan meminta dan memberi tempoh agar ‘lesen terbang’ diserahkan kepada pihak berwajib, ini
menunjukkan betapa seriusnya masalah lesen terbang di negara ini membabitkan warga tempatan dan warga
asing.

Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), terdapat 14,000 lesen terbang dan pemiliknya diminta
menyerahkan lesen tersebut sebelum dikenakan tindakan. JPJ berjanji tidak akan mengenakan sebarang
tindakan jika lesen tersebut diserahkan dalam tempoh yang ditetapkan.
Lesen terbang ini dipercayai wujud hasil daripada pemalsuan maklumat menerusi Prosedur Penukaran Lesen
Memandu Luar Negara yang dijalankan oleh satu sindiket untuk memudahkan orang ramai yang inginkan lesen
memandu dengan cara mudah.

13
Dengan adanya kemudahan lesen terbang bermakna seseorang pemilik kenderaan tidak perlu melalui proses-
proses biasa yang dilalui oleh pengguna jalan raya lain untuk mendapatkan lesen memandu. Asal ada duit,
dapatlah lesen.

Kesan negatifnya, pemilik lesen terbang mudah melakukan pelbagai kesalahan memandangkan mereka tidak
memahami dengan jelas peraturan jalan raya.

Mereka juga tidak risau akan penggantungan lesen kerana lesen boleh dibeli dengan mudah. Selain itu, mereka
juga membahayakan pengguna jalan raya lain kerana risiko mereka melakukan kesalahan di jalan raya sangat
tinggi berbanding pengguna jalan raya yang memiliki lesen sah.

Oleh itu, kerjasama pengguna jalan raya yang memiliki lesen terbang amat diperlukan untuk tampil menyerahkan
lesen tersebut kepada pihak berwajib. Ini adalah tanggungjawab individu demi negara dan keselamatan diri serta
pihak-pihak lain.

Apabila mereka tampil dan mengaku kesalahan yang dilakukan, pelbagai elemen berkaitan lesen terbang boleh
dinilai untuk mengenal pasti punca sebenar kegiatan ini selain daripada tujuan utama sindiket yang mahu
mengaut keuntungan dengan cara mudah. Difahamkan sindiket ini menawarkan RM2,000 hingga RM3,000 bagi
setiap lesen.

Lesen terbang bukanlah isu baharu. Selain pemalsuan maklumat menerusi Prosedur Penukaran Lesen
Memandu Luar Negara, terdapat juga sindiket yang menawarkan lesen memandu tempatan yang tidak sah iaitu
tidak perlu menjalani ujian memandu JPJ.

Pada tahun lepas, satu sindiket ditumpaskan kerana menawarkan lesen memandu ekspres serendah RM500
kepada individu yang menghendaki lesen dengan cara mudah. Sindiket tersebut dengan beraninya mempromosi
menerusi khidmat Facebook kepada orang ramai.

Usaha untuk mengekang gejala lesen terbang bukanlah mudah sekiranya tiada kerjasama dan kesedaran orang
ramai. Semua pihak mestilah memahami bahaya lesen terbang kerana jika berlaku apa-apa kecelakaan di jalan
raya, padahnya terpaksa ditanggung termasuk tindakan undang-undang.

Paling penting, lesen terbang menyumbang kepada ketirisan ekonomi negara sebaliknya menguntungkan pihak
yang tidak bertanggungjawab yang mencari keuntungan dengan cara menyalahi undang-undang. Pendapatan
institut-institut yang mengendalikan kursus pemanduan juga akan terjejas ekoran kewujudan lesen terbang.

Menyokong sindiket lesen terbang boleh menyebabkan sindiket ini terus berleluasa. Oleh itu, orang ramai
dinasihati agar berwaspada dengan sindiket ini dan tidak membantu meluaskannya. Paling utama, orang ramai
mesti mengikut prosedur yang ditetapkan dalam apa hal sekalipun, apatah lagi dalam soal-soal yang melibatkan
keselamatan diri dan pihak lain

14

Anda mungkin juga menyukai