Anda di halaman 1dari 2

Kemajuan Teknologi Mendatangkan Kebaikan kepada Manusia

Selamat pagi dan salam sejahtera saya ucapkan kepada barisan hakim yang bijaksana,
guru-guru dan rakan sekalian. Tajuk pidato pada pagi yang berbahagia ini ialah ‘Kemajuan
Teknologi Mendatangkan Kebaikan kepada Manusia’.

Perkembangan teknologi merujuk perubahan dalam penghasilan alat-alat yang


memudahkan kehidupan manusia. Kelahiran produk seperti komputer, televisyen dan
telefon bimbit menjadi bukti perkembangan teknologi itu. Teknologi boleh didefinisikan
sebagai penggunaan sistem komputer dan telekomunikasi untuk menyimpan, mengambil,
melihat dan menghantar maklumat tanpa batasan waktu dan tempat. Sesungguhnya,
kemajuan dalam bidang ini memang mendatangkan banyak kebaikan kepada manusia.

Faedah yang paling ketara terhasil menerusi teknologi adalah dapat memudahkan
urusan manusia di pejabat. Pengenalan sistem online memudahkan jabatan kerajaan dan
swasta berkomunikasi sesama masyarakat. Sebagai contoh, urusan-urusan kerajaan
seperti urusan pembayaran bil, urusan perbankan dan permohonan pekerjaan melalui
sistem secara atas talian. Akibatnya, penggunaan teknologi ini menjimatkan penggunaan
kertas kerana urusan surat-menyurat diganti dengan komunikasi menerusi sistem online
tersebut.

Selain itu, teknologi turut memudahkan komunikasi atau perhubungan sesama


manusia. Penggunaan internet menjadikan kita boleh berhubung dengan sesiapa sahaja di
dunia ini menerusi satu sentuhan jari sahaja. Contohnya, kelahiran aplikasi media sosial
seperti Facebook, Whatsapp, Instagram dan Telegram telah membuka ruang kepada
masyarakat untuk berkomunikasi. Situasi ini boleh merapatkan hubungan sesama ahli
keluarga, sahabat dan kenalan kerana kosnya begitu murah. Kejauhan tidak lagi menjadi
penghalang untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara satu sama lain.

Di samping itu, kemajuan teknologi turut menyumbang kepada sektor pendidikan.


Penggunaan komputer menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah lebih
menarik serta efisien. Misalnya, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengeluarkan
panduan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara atas talian dengan
menggunakan Google Classroom supaya pelajar tidak ketinggalan dalam
pendidikan. Lantaran itu, para murid akan mudah memahami sesuatu topik yang diajar
oleh guru mereka.

Kesimpulannya, teknologi membawa banyak kesan positif terhadap manusia.


Setiap pihak seharusnya bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk melakukan anjakan
paradigma dalam memanfaatkan teknologi. Dengan ini, kita dapat menjadikan Malaysia
duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju. Inilah masanya untuk
berubah. Sekian, terima kasih.
Faedah Belajar secara Berkumpulan

Selamat pagi dan salam sejahtera saya ucapkan kepada barisan hakim yang bijaksana,
guru-guru dan rakan sekalian. Tajuk pidato pada pagi yang berbahagia ini ialah ‘Faedah
Belajar secara Berkumpulan’.

Terdapat banyak cara yang boleh kita lakukan untuk mencapai kecemerlangan
dalam peperiksaan. Kita boleh memilih kaedah dan teknik belajar yang paling berkesan
dan mudah seperti belajar secara berkumpulan. Belajar secara berkumpulan bermaksud
belajar dalam kumpulan yang terdiri daripada dua hingga lima orang. Kita boleh belajar
secara berkumpulan di dalam dan luar kelas. Tidak boleh dinafikan bahawa belajar
secara berkumpulan dapat mendatangkan banyak kelebihan kepada kita.

Antaranya, kita dapat berkongsi ilmu sesama mereka melalui kaedah belajar
secara berkumpulan. Kita berpeluang untuk bertukar-tukar pendapat dan pandangan
tentang kaedah menjawab soalan, bertukar nota pelajaran dan lain-lain. Contohnya, kita
boleh berkongsi ilmu tentang sesuatu mata pelajaran dan bekerjasama menyiapkan
tugasan yang diberikan oleh guru. Melalui perbincangan secara berkumpulan, murid-
murid dapat mengukuhkan kemahiran dan seterusnya mencapai keputusan yang
cemerlang dalam peperiksaan yang diduduki kelak.

Bak kata pepatah, muafakat membawa berkat, belajar secara berkumpulan dapat
memupuk semangat kerjasama dalam diri murid. Para murid dapat menyiapkan sesuatu
tugasan dengan cepat dan berkesan melalui semangat kerjasama yang diamalkan.
Sebagai contoh, seseorang murid dapat menghasilkan karangan yang lebih baik dengan
adanya idea yang lebih relevan daripada rakan-rakannya. Maka, belajar secara
berkumpulan bukan sahaja dapat memupuk semangat bersatu padu, malah dapat
mengeratkan hubungan sesama kita dan meningkatkan prestasi kita dalam akademik.

Seterusnya, belajar secara kumpulan memberikan suasana belajar yang


menyeronokkan. Seseorang murid akan dapat belajar atau mengulang kaji dengan
perasaan yang ceria tanpa tekanan daripada guru-guru. Hal ini demikian kerana rakan-
rakan merupakan orang yang paling dekat dengan murid selain ahli keluarga. Misalnya,
seseorang yang pemalu tidak berani bertanya kepada guru apabila dia menghadapi
masalah dalam pelajaran. Sebaliknya dia akan bertanya dan mengeluarkan buah
fikirannya di depan rakan-rakan. Justeru, belajar secara berkumpulan bukan sahaja
dapat memberikan suasana belajar yang menyeronokkan malahan membuka peluang
kepada pelajar untuk memajukan diri dalam pelajaran dengan acuan sendiri.

Kesimpulannya, belajar secara berkumpulan merupakan langkah yang bijak kepada


murid untuk mencapai kecemerlangan. Sebagai bakal pemimpin negara, kita seharusnya
melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan memanfaatkan kaedah belajar secara
berkumpulan untuk menjadi seorang yang cemerlang dan seterusnya memberikan
sumbangan bermakna kepada negara pada suatu masa nanti.

Anda mungkin juga menyukai