Anda di halaman 1dari 4

Punca Semangat Nasionalisme Semakin Luntur

Nasionalisme memperlihat sikap mental, dan tingkah laku individu atau


masyarakat yang merujuk terhadap kesetiaan atau pengabadian terhadap bangsa
dan negara. Semangat nasionalisme perlu dipupuk dan dihayati dalam segenap
lapisan masyarakat, terutamanya golongan remaja. Keadaan ini disebabkan remaja
merupakan golongan yang mendukung nasib bangsa, hala tuju sesebuah negara.
Kita sebagai generasi era pasca modenisme, dilimpahi dengan bermacam nikmat
dan kesenangan. Kita perlu sedar segala apa yang kita nikmati sekarang ini adalah
daripada pengorbanan dan jerih perih yang ditempuhi oleh para pejuang dan rakyat
demi mencapai kemerdekaan suatu ketika dahulu. Semangat nasionalisme semakin
kurang penghayatan khususnya golongan remaja. Pelbagai sebab membawa kepada
kelunturan semangat dan penghayatan nasionalisme dalam masyarakat kini.

Kepentingan Diri Sendiri

Masyarakat kini lebih mementingkan kerjaya mereka, sibuk dengan urusan harian
mereka yang menyebabkan mereka tidak menghiraukan perkara lain. Bagi mereka
perkara yang penting dalam hidup adalah berusaha untuk menambahkan
pendapatan dan mencari kekayaan semata-mata. Hal-hal lain kurang diberi
perhatian, semangat dan penghayatan nasionalisme kian pudar dalam kalangan
masyarakat. Masyarakat kini tidak lagi menitikberatkan semangat nasionalisme.
Aktiviti seperti kempen-kempen kesedaran dan juga sambutan hari kebangsaan
tidak lagi mendapat sambutan.

Tiada Perasaan Cinta akan Negara

Masyarakat kini khususnya golongan remaja tidak disemai dengan nilai-nilai


cintakan negara dan semangat nasionalisme. Mereka kurang mendapat pendedahan
tentang perjuangan dan pengorbanan jasa-jasa golongan terdahulu yang telah
bersusah payah menuntut kemerdekaan. Masyarakat kini tidak merasai kesusahan
hidup semasa zaman penjajahan dulu. Kita seharusnya bersyukur dapat hidup
aman damai atas pengorbanan dan jasa golongan terdahulu. Semangat
nasionalisme, cinta akan negara perlu ada dalam segenap masyarakat kerana siapa
lagi yang akan mempertahan dan memperjuang nasib bangsa, negara jika bukan diri
kita sendiri, rakyat Malaysia. Walaupun kita terdiri daripada pelbagai kaum dan
etnik, semangat dan perjuangan kita tetap sama kerana kita semua adalah rakyat
Malaysia.

Terpengaruh dengan Budaya Barat

Walaupun Malaysia sudah bebas merdeka, tidak lagi dijajah oleh kuasa barat, dalam
tidak sedar mereka sebenarnya sudah mula menguasai kita. Mereka tidak lagi
menjajah dengan kuasa mahupun peperangan yang melibatkan pertumpahan darah,
sebaliknya dengan pengaruh budaya yang dibawa ke negara kita. Budaya barat
banyak mempengaruhi golongan remaja dan pemikiran mereka.

Mereka terikut-ikut dengan gaya berpakaian, pergaulan bebas, dan bermacam


aktiviti yang lain yang mendorong kepada gejala sosial yang serius. Budaya dan
semangat nasionalisme terhadap negara tidak lagi diberi perhatian kerana lebih
gemar mengikuti budaya dan pengaruh daripada barat kerana menganggap mereka
perlu berubah seiring dengan peredaran zaman. Isu ini perlu diberi lebih penekanan
kerana semakin lama dibiarkan, semakin ia melarat. Semangat nasionalisme kian
pudar dan lebih memburukkan keadaan mereka lebih mengagungkan budaya luar
daripada cinta akan budaya negara sendiri.

Kurang Menghayati Perjuangan Tokoh-Tokoh Tempatan

Generasi kini kurang menghayati semangat nasionalisme kerana mereka tidak


merasai kepayahan hidup dan pengorbanan para pejuang dahulu demi mencapai
kemerdekaan. Masyarakat tidak mengenang jasa tokoh-tokoh terdahulu. Malaysia
kita yang aman dan makmur ini hasil daripada segala usaha mereka demi menuntut
kemerdekaan. Tokoh-tokoh tempatan kurang dikenali di kalangan masyarakat
walaupun telah banyak berjasa kepada negara. Pihak kerajaan, dan media massa
seharusnya memberi pendedahan atas jasa tokoh-tokoh tempatan agar mereka tidak
dilupakan oleh generasi akan datang.

Leka Dengan Lambakan Hiburan

Di era serba moden dan canggih ini, kita disajikan dengan lambakan hiburan yang
menyeronokkan. Berhibur tidak menjadi suatu kesalahan jika kita tahu menjaga
batas-batas dalam berhibur. Akan tetapi hiburan yang melalaikan banyak
mempengaruhi masyarakat khususnya golongan remaja terbabit dengan pelbagai
aktiviti sosial yang tidak sihat sehingga akhirnya meruntuhkan akhlak diri.
Semangat nasionalisme semakin luntur dalam diri mereka. Generasi muda
sewajarnya lebih banyak membaca dan mencari maklumat berkaitan sejarah negara.

Pihak berwajib, kerajaan, dan juga swasta seharusnya berkerjasama antara satu
sama lain untuk menganjurkan program-program berunsurkan nasionalisme.
Contohnya, seperti kuiz kenegaraan, syarahan atau syair kemerdekaan dan
sebagainya. Usaha-usaha seperti ini sedikit sebanyak dapat membantu
menggalakkan minat generasi muda agar lebih menghayati dan memahami
semangat nasionalisme. Sebagai pendukung masa depan negara, generasi muda
yang terdiri daripada golongan remaja seharusnya menanam semangat
nasionalisme dalam diri dan lebih memahami erti agar dapat mendukung dan
menjulang nama bangsa dan negara di persada dunia.

Nasionalisme Berasaskan Kaum

Malaysia umum mengetahui terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa. Secara
kasarnya Malaysia terdiri daripada kaum Melayu, Cina, dan India. Kepelbagaian
kaum seharusnya bukan menjadi faktor dalam mencapai kesepakatan dan
perpaduan. Semangat nasionalisme ini haruslah berasaskan kepada semangat setia
dan cinta akan negara.

Kaum, bangsa mahupun agama seharusnya bukan menjadi penghalang kerana kita
semua adalah rakyat Malaysia. Kita seharusnya berbangga kerana walaupun dalam
kepelbagaian bangsa dan agama, kita masih hidup dalam keadaan aman dan damai.
Dengan memahami dan menghayati semangat nasionalisme, hubungan sesama
kaum akan lebih erat, dapat mennyatupadukan semua kaum dan mengutuhkan
perpaduan.

Pengaruh Media Cetak / Media Massa / Internet

Medium yang menyampaikan maklumat, berita dan sebagainya, seperti media


cetak, media massa, dan juga internet seharusnya dikawal dan ditapis. Hal ini
kerana masyarakat mudah terpengaruh dengan apa yang mereka baca bahkan
melalui media cetak, media massa mahupun blog-blog ataupun halaman-halaman di
internet. Zaman teknologi yang berkembang pesat ini, banyak medium di internet
yang telah disalahgunakan oleh individu tidak bertanggungjawab bagi
memburukkan martabat negara, dan memecahbelahkan kaum. Mereka membuat
fitnah dengan sewenang-wenangnya, kerana mereka tahu tiada siapa akan dapat
mengambil tindakan yang tegas terhadap mereka. Pihak kerajaan seharusnya
memperkasakan undang-undang dan mengawal hal ini supaya pihak yang tidak
bertanggungjawab ini dikenakan tindakan yang setimpal atas perbuatan mereka.
Media massa dan media cetak juga seharusnya menyalurkan saluran maklumat
yang telus kerana sebagai rakyat, kita berhak mendapatkan informasi yang benar.
Media cetak dan media massa juga seharusnya menyisipkan ruangan informasi
berkenaan sejarah negara kita, bukan hanya setakat memberi liputan berkenaan hal
dan isu semasa sahaja. Pembacaan secara tidak langsung ini sekaligus dapat
menyemarakkan dan membangkit semangat nasionalisme dalam segenap
masyarakat di Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai