Anda di halaman 1dari 2

Ulasan Artikel 6

Transformasi pekerjaan sektor 3D atasi kebergantungan buruh asing


Oleh Dr Nurhidayah Abdullah - Ogos 19, 2022 @ 12:00pm bhrencana@bh.com.my
(https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2022/08/990267/transformasi-pekerjaan-
sektor-3d-atasi-kebergantungan-buruh-asing)

Sejak pandemik COVID-19 melanda, kemasukan pekerja asing ke Malaysia disekat untuk
mengurangkan risiko penularannya. Keadaan ini sedikit sebanyak menimbulkan masalah
kebantutan pembangunan ekonomi kepada sektor tertentu, terutama pembinaan, pekilangan,
pembangunan dan pembuatan. Namun, tidak dinafikan Malaysia amat bergantung kepada tenaga
buruh asing sejak tahun 1970-an sehingga hari ini dan pengambilannya dilakukan menerusi
memorandum persefahaman (MoU) dan dasar tertentu.
Sumber pekerja asing sebelum ini datang dari 15 negara sumber antaranya Indonesia,
Bangladesh, Nepal, Thailand dan Vietnam. Kebanyakan mereka tenaga kerja separa mahir atau
tidak mahir. Hampir kebanyakan pekerja asing yang diambil ini pula diperlukan dalam sektor 3D,
iaitu kotor (dirty), bahaya (danger) dan sukar (difficulty).

Rakyat tempatan tak beminat


Pekerja asing ini diambil untuk bekerja di sektor 3D disebabkan rakyat tempatan tidak
berminat di sektor berkenaan kerana gaji rendah dan dianggap 'tidak standard'. Selain itu, pekerja
tempatan mempunyai pilihan pekerjaan lain lebih anjal dari segi masa, tidak mengeluarkan keringat
contohnya di sektor e-hailing atau perniagaan dalam talian. Taraf pendidikan anak tempatan juga
berada pada tahap agak selesa. Dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau diploma, ruang
pekerjaan boleh dikatakan sentiasa ada untuk mereka.
Bagi bidang perniagaan atas talian, peluang perniagaan ini tidak memerlukan taraf pendidikan
tinggi. Bekerja di restoran makanan segera juga menawarkan gaji dan elaun menarik kepada
mereka yang hanya memerlukan sekurang-kurangnya SPM. Terdapat ura-ura untuk membenarkan
golongan pelarian untuk bekerja dalam sektor 3D ini untuk memenuhi permintaan yang semakin
mendesak. Namun, tujuan pelarian masuk ke negara ini adalah untuk mencari perlindungan, bukan
untuk mencari pekerjaan. Mereka dilihat tidak bersedia dari segi mental dan fizikal untuk
menyumbang tenaga ke sektor tenaga buruh. Pada masa sama, ia akan mewujudkan persaingan di
antara pekerja asing dan tempatan. Oleh yang demikian, penjenamaan semula pekerjaan sektor 3D
ini mungkin antara jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja dalam sektor
ini. Contohnya di Jepun, pembantu di rumah dilabelkan sebagai 'pengurus rumah tangga'. Pekerja
asing akan diberikan kursus bahasa Jepun terlebih dahulu dan diberikan pendedahan awal
mengenai kehidupan masyarakat di sana sebagai persediaan mental dan fizikal.
Selain itu, penjenamaan boleh dibuat dari segi kod pakaian dan penampilan, contohnya
pakaian seragam untuk setiap bidang. Di Australia, pekerja buruh pembuatan memakai pakaian
khas dengan kasut dan topi keselamatan sehingga menimbulkan rasa bangga terhadap pekerjaan
terbabit. Sementara itu, pendidikan negara juga tidak mendedahkan secara langsung mengenai
pekerjaan sektor 3D ini. Keadaan ini seolah-olah membayangkan pekerjaan sektor ini bukan untuk
pekerja tempatan, sebaliknya untuk pekerja asing. Oleh itu, pendedahan awal mengenai pekerjaan
sektor 3D mungkin perlu diberikan perhatian sewajarnya untuk mendedahkan anak muda
mengenai sektor ini.

Syor naikkan kadar gaji


Selain itu, pekerjaan sektor ini harus perkemas dan dinaik taraf berbekalkan teknologi dan
inovasi terkini bertujuan mengurangkan beban kerja serta menarik minat rakyat tempatan. Bagi
mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing pada fasa peralihan ke endemik, beberapa
langkah juga boleh dipertimbangkan seperti menaikkan kadar gaji bagi menggalak rakyat tempatan
sedia bekerja dalam sektor 3D. Faktor terpenting yang perlu dititik beratkan juga adalah

1
memastikan majikan tidak mengambil kesempatan untuk memanipulasi pekerja asing akibat
kelemahan penguatkuasaan.
Kesimpulannya, tidak dinafikan Malaysia masih memerlukan pekerja asing, namun sudah tiba
masanya transformasi dilakukan untuk memastikan keseimbangan peluang kerja di antara pekerja
tempatan dan pekerja asing demi menjaga kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara. Semua
pihak perlu memikul tanggungjawab dan memainkan peranan dengan lebih baik untuk memastikan
tenaga kerja sedia ada dikawal selia dengan lebih berkesan.

Penulis adalah Pensyarah di Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya (UM)


Penulisan Ulasan
1. Sila baca artikel yang dilampirkan dan tulisan satu ulasan yang panjangnya antara 80 hingga 150
patah kata.
2. Ayat permulaan ulasan adalah seperti berikut:

Artikel yang dirujuk bertajuk “…………………………”. Berdasarkan artikel tersebut, ……….

3. Isi kandungan ulasan berkisar kepada isi penting pada artikel serta berkait dengan fokus
soalan esei (Definisi/Jenis/Ciri-ciri/Rasional/Faktor/Potensi/Halangan/Kesan/Peranan/Langkah)

4. Sila tulis ulasan yang lengkap pada ruangan yang disediakan.


Nama: Kelas: Tarikh:
Ulasan Artikel 7

(______________ patah kata)

Anda mungkin juga menyukai