Anda di halaman 1dari 2

Tema 13

Pada zaman pascakemerdekaan ini, industri kecil dan sederhana (IKS) di Malaysia merupakan antara
industri yang menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara. Menurut Perbadanan IKS Malaysia,
IKS bagi sektor pembuatan ditakrifkan sebagai firma yang mempunyai jualan tahunan tidak melebihi
RM50 juta atau bilangan pekerja sepenuh masa tidak melebihi 200 orang. Manakala bagi sektor
perkhidmatan dan sektor lain, IKS ditakrifkan sebagai firma yang mempunyai jualan tahunan tidak
melebihi RM20 juta atau bilangan pekerja sepenuh masa tidak melebihi 75 orang. Kepentingan dan
sumbangan IKS kepada kemajuan negara adalah mustahak maka, pelbagai langkah harus dirangka dalam
menambah baik industri ini.

Langkah pertama dalam memajukan IKS adalah dengan menawarkan pembiayaan, geran, pinjaman dan
insentif kepada pengusaha-pengusaha pada kadar yang menarik dan mampu. Dewasa ini, pelbagai
inisiatif telah ditawarkan oleh ramai pihak seperti kerajaan, kerajaan negeri dan juga institusi kewangan.
Pihak ini seharusnya mendekati pengusaha-pengusaha IKS dalam memperkenalkan skim mereka dan
memastikan mereka faham dengan tawaran dan pulangan yang boleh mereka peroleh. Bagi pengusaha
yang baru pula, mereka sebaiknya membandingkan segala skim, geran atau insentif dan memohon pakej
yang berbaloi serta mampu bagi mereka untuk membayar semula apa yang dijanjikan. Persis peribahasa,
hendak seribu daya tak hendak seribu dalih yang bermaksud sekiranya kita ingin melaksanakan sesuatu,
kita hendaklah melakukan segala yang diperlukan untuk berjaya mencapai apa yang dikehendaki.

Selain itu, IKS perlu mengalihkan teknologi pembuatan daripada tradisional kepada moden. Penggunaan
mesin yang berteknologi boleh meningkatkan hasil keluaran dan menjamin kualiti yang baik, dimana ia
amat mempengaruhi pemasaran untuk pembekalan yang berterusan. Sebagai contoh pembuatan
keropok yang menggunakan pembungkusan vakum lebih mendapat kepercayaan pembeli sekaligus
memudahkan penghantaran atau pun eksport kerana ia seiring dengan produk multinasional yang lain.
Penambahan infrastruktur dalam perusahaan adalah berisiko namun ia adalah langkah untuk bersaing
dan keuntungan boleh dicapai dalam jangka masa yang panjang. Maka, perkongsian perunding pakar
dan khidmat nasihat dalam IKS adalah penting bagi menambah input dalam perusahaan yang
dilaksanakan.

Di samping itu, IKS seharusnya mendekati universiti atau institusi pengajian tinggi dalam penyelidikan
dan pembangunan yang berkaitan dengan produk mereka. Hal ini kerana pada pengamatan saya, tiada
simbiosis berlaku antara sektor perindustrian dan sektor pendidikan. Perkara ini yang mewujudkan
situasi dimana graduan kurang mendapat peluang pekerjaan kerana keperluan industri berbeza dengan
kebolehan graduan. Apa yang boleh kita lakukan adalah dengan mengenal pasti masalah yang dihadapi
atau inovasi yang boleh dilakukan dalam IKS dijadikan topik bagi projek ilmiah mahasiswa dan
mahasiswi. Mekanisme ini dapat membantu mahasiswa dan mahasiswi untuk mempraktikkan teori yang
mereka pelajari bersama idea baharu sekaligus membantu memajukan produk yang dihasilkan oleh IKS
seterusnya mampu menjadi produk yang berdaya saing diperingkat antarabangsa.

Langkah lain yang boleh dilakukan dalam memajukan industri kecil dan sederhana ini adalah dengan
memperkasakan jenama produk. Jenama merupakan antara sudut penting yang perlu dilihat oleh
pengusaha bagi memastikan sasaran penjualan mereka berkembang dan diterima ramai. Daripada nama
produk, pembungkusan, cara pemasaran hinggalah kepada kualiti produk, pengusaha dengan usaha
sama pihak berkaitan seharusnya mempelajari formula terbaik bagi menghasilkan produk bertaraf
antarabangsa. Penjenamaan adalah penting kerana bukan sahaja meninggalkan kesan pada pengguna
tetapi ia membolehkan pelanggan mengetahui apa yang diharapkan dari syarikat IKS. Ini adalah cara
membezakan pengusaha IKS daripada pesaing lain dan membuktikan produk IKS adalah pilihan yang
lebih baik.

Kesimpulannya pelbagai inisiatif boleh dirancang dalam memajukan industri kecil dan sederhana di
Malaysia. Pembangunan IKS harus diberikan keutamaan kerana industri ini merupakan sektor yang
menyokong dan meningkatkan taraf perindustrian di Malaysia. IKS juga secara langsung menambah
kemajuan masyarakat setempat dengan peluang pekerjaan yang diberikan. Maka, setiap pihak
terutamanya pengusaha-pengusaha IKS perlu berani dalam melakukan anjakan paradigma untuk
membawa produk IKS mereka menjadi produk multinasional dan mampu berdaya saing di peringkat
global. Persis kata peribahasa Melayu, sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain. Usaha kecil
yang dilaksanakan secara konsisten hari ini akan menjadi titik tolak kejayaan pada masa hadapan.

Anda mungkin juga menyukai