Anda di halaman 1dari 3

MUHAMMAD ALIF BIN KHAIRUDDIN (MT 2)

1.0 Refleksi Pengajaran Mikro Lompat Tinggi


Dalam kursus olahraga dengan kod kursus MPU3071, pelbagai acara telah
dipelajari oleh guru-guru pelatih semester 4 seperti lompat tinggi, lontar peluru,
lempar cakera, rejam lembing, lompat jauh, lari 100m, lari 4×100m dan lari
berpagar. Kesemua acara ini diajar dari sudut teori dan praktikal yang dikendalikan
oleh pensyarah pembimbing iaitu Encik Barchan Singh A/L Harbant Singh bagi
semua guru pelatih daripada Kumpulan Matematik 2. Namun, dalam kursus ini,
semua guru pelatih perlu melaksanakan penulisan dan pelaksanaan Rancangan
Pengajaran Harian (RPH) dalam kumpulan yang telah ditetapkan. Setiap
kumpulan perlu memilih satu acara sukan olahraga yang telah dipelajari. Oleh itu,
kumpulan kami telah mendapat acara lompat tinggi bagi penulisan dan
pelaksanaan RPH. Kami diminta untuk menyediakan RPH yang memperuntukkan
30 minit bagi keempat-keempat fasa seperti fasa persediaan, fasa perkembangan,
fasa pengukuhan dan fasa penutup. Fasa persediaan dalam RPH ini dimulakan
dengan fasa pemanasan badan, fasa ansur maju bagi fasa perkembangan, fasa
pertandingan kecil untuk fasa pengukuhan serta fasa penyejukan badan untuk fasa
penutup. Oleh yang demikian, kami merupakan kumpulan pertama yang
melaksanakan RPH bagi kursus ini yang bertempat di padang Institut Pendidikan
Guru Kampus Pulau Pinang.
Sepanjang pengendalian pengajaran mikro ini, kami mendapati terdapat
kekuatan, kelemahan, ancaman dan peluang untuk penambahbaikan bagi
mencapai hasil pembelajaran yang telah ditetapkan. Antara kekuatan yang dikenal
pasti sepanjang pengendalian pengajaran mikro termasuklah suara pengendali
yang lantang, jelas dan mudah difahami. Hal ini amat penting kepada guru dari
skop komunikasi supaya maklumat dan arahan yang diberi oleh guru difahami oleh
semua murid. Selain itu, semua peralatan yang digunakan adalah mencukupi dan
selamat digunakan. Hal ini perlu diberi perhatian oleh pengendali bagi memastikan
keselamatan murid terjamin dan bebas daripada sebarang kecederaan sepanjang
pengendalian pengajaran mikro berlangsung. Tambahan pula, semua murid
memberi kerjsama yang baik sepanjang pengajaran mikro ini berlangsung.
Penglibatan murid yang aktif telah membantu pengendali untuk menguruskan
pengajaran yang telah ditetapkan dalam RPH dengan lancar dan baik. Buktinya,
murid-murid bergiat aktif mencuba acara lompat tinggi menggunakan teknik-teknik
yang telah diajar kepada mereka. Melalui percubaan ini, pengendali dapat menilai
sejauh mana kefahaman dan pemerhatian murid terhadap pengajaran yang telah
diberikan serta pengendali dapat mengambil tindakan susulan sama ada aktiviti
pengukuhan atau aktiviti pemulihan berdasarkan penilaian tersebut. Kemudian,
MUHAMMAD ALIF BIN KHAIRUDDIN (MT 2)

pengendali juga menerapkan unsur nilai murni dalam pengajaran tersebut. Hal ini
dapat dilihat apabila pengendali meminta semua murid memberi sokongan kepada
rakan sekelas mereka untuk membuat lompatan yang terbaik supaya mereka
bersemangat untuk memberikan yang terbaik dalam acara lompat tinggi. Hal ini
secara tidak langsung dapat meningkatkan nilai kemanusiaan dalam kalangan
murid-murid.
Namun begitu, terdapat kelemahan dalam mengendalikan pengajaran mikro
termasuklah pengendali mempunyai tahap keyakinan diri yang rendah semasa
mengendali pengajaran mikro. Hal ini kerana pengendali memberi arahan kepada
murid-murid dalam keadaan teragak-agak. Kesannya, murid-murid meragui
maklumat yang disampaikan oleh pengendali walaupun pada dasarnya maklumat
yang disampaikan itu benar dan jitu. Selain itu, pengendali juga kurang memberi
maklum balas kepada murid-murid. Hal ini menyebabkan murid-murid kurang
bersemangat untuk meneruskan percubaan lompatan pada fasa selanjutnya.
Maklum balas yang diberikan seperti pujian dapat membangkitkan semangat dan
keinginan murid-murid untuk terus mencuba sehingga mencapai objektif yang
ingin dicapai. Di samping itu, pengendali kurang membuat pembetulan secara
langsung semasa pengajaran mikro berlangsung. Hal ini menyebabkan murid-
murid tidak mengetahui kesalahan-kesalahan yang perlu mereka perbaiki sebaik
sahaja mereka melakukan lompat tinggi. Akhir sekali, jarak larian dengan
permukaan yang jauh menyebabkan masa yang digunakan untuk membuat
lompatan menjadi panjang dan lama. Hal ini menyebabkan pengurusan masa bagi
setiap fasa tidak dapat diikuti.
Oleh yang demikian, terdapat beberapa langkah untuk penambahbaikan
terhadap kelemahan-kelemahan yang dihadapi sepanjang pengajaran mikro
termasuklah pengendali perlu memiliki keyakinan diri semasa menyampaikan
arahan kepada murid-murid dari sudut intonasi suara yang digunakan. Intonasi
suara yang sesuai dapat meyakinkan murid-murid untuk menerima maklumat yang
disampaikan itu dengan baik. Kemudian, pengendali perlu sentiasa memberi
maklum balas terhadap tindakan yang dilakukan oleh murid-murid supaya mereka
dapat mengukur tahap pencapaian mereka dalam acara lompat tinggi. Pengendali
juga hendaklah membaiki kesilapan murid secara langsung supaya mereka dapat
mempelajari teknik dan kaedah yang betul dalam acara lompat tinggi. Akhir sekali,
pengendali boleh mendekatkan jarak larian dengan permukaan supaya semua
murid dapat memperoleh pengalaman dalam melakukan lompat tinggi. Hal ini
secara tidak langsung dapat menjimatkan masa semasa melakukan lompatan.
MUHAMMAD ALIF BIN KHAIRUDDIN (MT 2)

Kesimpulannya, pengajaran mikro ini banyak mengajar saya erti kesabaran


dan mengendalikan murid-murid semasa sesi pengajaran berlaku. Sebagai
seorang guru, kita perlu menitikberatkan kebolehan murid-murid sebelum
membina sebuah RPH agar strategi yang digunakan itu bersesuaian dengan
kebolehan murid. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pensyarah
pembimbing saya kerana telah membantu dan membimbing saya untuk menjadi
seorang guru yang berjiwa pendidik selaras kehendak semasa.

Anda mungkin juga menyukai