Anda di halaman 1dari 7

TEKS UCAPAN

YB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB


MENTERI KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH

SEMPENA

MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN KKLW


BULAN JUN 2016

DEWAN SERBAGUNA,
ARAS B1, KKLW

27 JUN 2016 (ISNIN)


WAKTU KETIBAAN : 2.30 PETANG
YB Datuk Alexander Nanta Linggi
dan
YB Datuk Ahmad Jazlan bin Yaakub
Timbalan-timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah

YBhg Dato’ Mohd Arif bin Ab Rahman


Ketua Setiausaha Kementerian

YBhg. Dato’ Dr. Ahmad Jailani bin Mohamed Yunus


dan
YBhg Dato’ Azizan bin Mohamad Sidin
Timbalan-timbalan Ketua Setiausaha Kementerian

Ketua-ketua Pengarah, Pengurus Besar, Ketua Pegawai Eksekutif, Ketua-ketua Jabatan dan
Agensi

Setiausaha-setiausaha Bahagian, Ketua-ketua Unit, Pegawai-pegawai Kanan Kementerian,


Rakan-rakan media

YB Dan YBhg. Dato’-Dato’ dan Datin-Datin, Tuan/Puan yang dihormati sekalian

1. Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah rahmat dan kurnia-Nya
kita dapat bersama-sama pada hari ini untuk mengadakan Majlis Perhimpunan Bulanan KKLW
bagi bulan Jun tahun 2016.

2. Sempena dengan bulan Ramadhan yang mulia ini yang telah pun kita jalani selama 22
hari, saya berharap semoga Allah S.W.T memberkati ibadah kita dan melimpahkan segala
kebaikan yang ada di bulan ini kepada kita semua.

3. Saya juga berharap agar kita dapat menambahkan lagi azam dan tekad kita untuk
memberikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat luar bandar lebih-lebih lagi dalam bulan
yang penuh keberkatan ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

Page 2 of 7
4. Pada bulan Ramadhan yang mulia ini sebagai rakyat Malaysia, sewajarnya kita menginsafi
dan mensyukuri nikmat keamanan dan keharmonian yang masih dikecapi dalam negara Malaysia
yang kita cintai.

5. Syukur Alhamdulillah, pada 18 Jun yang lalu telah selamat berlangsungnya Pilihanraya
Kecil Parlimen Sungai Besar dan Parlimen Kuala Kangsar yang telah mencatatkan kemenangan
bagi parti Barisan Nasional dengan majoriti yang besar yang iaitu 9191 undi di P93 Sungai Besar
manakala 6969 undi majoriti di P67 Kuala Kangsar. Dengan kemenangan dan mandat yang
diberikan ini, terbukti rakyat tetap yakin dengan pemerintahan kerajaan yang sememangnya
memperjuangkan nasib dan hak rakyat ke arah mengecapi kehidupan yang lebih sejahtera tanpa
mengira kaum, agama mahupun bangsa.

6. Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua
pihak yang telah terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam perancangan dan
pelaksanaan program-program Kementerian dan Agensi di bawah KKLW sepanjang tempoh PRK
Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang lalu. Di sebalik kesuntukan masa dan kekangan-
kekangan lain yang terpaksa dihadapi, kita telah berjaya melaksanakan program-program besar
yang sebahagiannya turut melibatkan YAB Perdana Menteri dan YAB Timbalan Perdana Menteri
yang telah sudi melapangkan masa bersama-sama dengan kita dan masyarakat setempat bagi
meraikan majlis ramah mesra pemimpin bersama rakyat.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

7. Kementerian juga tidak pernah melupakan saudara-saudara kita terutamanya warga


Kementerian yang berada dalam keadaan memerlukan lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan
ini.

Page 3 of 7
8. Pelbagai usaha kita lakukan untuk membantu meringankan beban insan yang sedang
dihimpit kesusahan. Seperti tahun-tahun lepas, Kementerian tidak ketinggalan dalam
melaksanakan tanggungjawab sosialnya dengan melaksanakan Program Bakul Semaian Kasih.

9. Melalui program ini, setiap Bahagian di Kementerian menghulurkan sumbangan dalam


bentuk barangan keperluan harian yang seterusnya akan diserahkan kepada keluarga dan
kakitangan Kementerian yang memerlukan.

10. Saya dimaklumkan bahawa seramai 30 keluarga dan kakitangan Kementerian akan menerima
sumbangan yang berupa barangan keperluan harian dan makanan dalam satu majlis yang akan
diadakan pada minggu ini. Terima kasih kepada semua yang telah bertungkus-lumus menjayakan
program ini.

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

11. Meneruskan tradisi tahun-tahun terdahulu, pada hari ini kita juga akan turut mengadakan
pengagihan bubur lambuk yang telah dimasak secara bergotong-royong oleh warga Kementerian
dan Agensi. Pada tahun ini, sebanyak lima belas (15) periuk bubur lambuk telah disediakan iaitu 5
daripadanya adalah sumbangan daripada Kelab Sukan dan Kebajikan KKLW manakala 10 periuk
yang selebihnya merupakan setiap satunya daripada 10 agensi di bawah Kementerian. Selesai
majlis ini nanti, bungkusan bubur lambuk akan diagihkan bukan sahaja kepada warga kerja
Kementerian, malahan warga Putrajaya yang melalui jalan utama berhadapan bangunan
Kementerian akan turut berpeluang berkongsi rezeki pada bulan Ramadhan yang mulia ini.

Page 4 of 7
12. Program gotong-royong seperti ini bukan sahaja dapat mengeratkan silaturrahim sesama
warga Kementerian , bahkan dapat menyemai sikap tolong-menolong dan bekerjasama sebagai
satu pasukan. Nilai-nilai murni ini seterusnya dapat kita praktikkan dalam urusan tugas seharian.

13. Bulan Ramadhan bukanlah alasan untuk kita mengambil mudah terhadap amanah dan
tugasan harian, malah kita juga seharusnya membuktikan bahawa pada bulan mulia ini
perkhidmatan yang diberikan untuk rakyat lebih cekap dan kualitinya dipertingkatkan.

14. Saya ingin memaklumkan bahawa di bawah Rolling Plan 1 (RP 1) Rancangan Malaysia ke-11
bagi tahun 2016, Kementerian telah diluluskan peruntukan pembangunan sebanyak
RM5,451,257,300. Namun begitu, peruntukan tersebut telah diubahsuai kepada
RM4,585,457,300 oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Langkah pengubahsuaian tersebut adalah disebabkan oleh ketidaktentuan ekonomi global dan
kejatuhan harga minyak yang telah memberi kesan kepada hasil negara. Bagi tahun 2016,
sebanyak 592 projek telah diluluskan iaitu melibatkan 525 projek baru dan 67 projek sambung.
Projek-projek tersebut kini sedang giat dijalankan.

15. Secara keseluruhannya, untuk Rolling Plan 2 (RP2) pula, terdapat sebanyak 730 projek
telah dipohon dengan jumlah permohonan sebanyak RM9,561,340,256. Buat masa ini,
permohonan tersebut sedang dimuktamadkan bersama dengan EPU, JPM. Justeru, sama-
samalah kita berdoa agar setiap urusan dipermudahkan agar hasrat Kementerian untuk
mempertingkatkan pembangunan kemudahan infrastruktur asas di luar bandar serta tahap
kemajuan sosio-ekonomi masyarakat luar bandar akan dapat direalisasikan menjelang tahun
2020.

Page 5 of 7
16. Saya menyeru kepada pegawai dan kakitangan Kementerian dan Agensi yang diketuai
oleh Dato’ KSU agar dapat berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan tugas dan
tanggungjawab yang telah diberi.

17. Adalah menjadi harapan saya bahawa prestasi baik ini akan terus memacu imej KKLW ke
peringkat yang lebih tinggi selaku penggerak utama pembangunan luar bandar. Di kesempatan
ini, saya juga ingin mengalu-alukan seramai empat puluh tujuh (47) orang pegawai baru yang
telah melapor diri dari bulan Mac hingga bulan Jun 2016. Semoga kehadiran tuan-tuan dan puan-
puan akan dapat membantu menggerakkan jentera Kementerian sekaligus memberikan
perkhidmatan yang terbaik untuk masyarakat. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi
penghargaan dan ucapan terima kasih kepada empat (4) orang warga Kementerian yang telah
bersara wajib sehingga bulan Mei yang lalu. Sesungguhnya, jasa dan bakti tuan-tuan dan puan-
puan akan tetap dikenang.

18. Bersempena perayaan Aidilfitri yang bakal kunjung tiba tidak lama lagi, saya ingin
berpesan kepada seluruh warga KKLW agar sentiasa menjaga kesihatan dan keselamatan
khususnya di jalan raya dan saya mendoakan saudara-saudari pulang ke pangkuan keluarga
dengan selamat untuk berhari raya dalam suasana penuh gembira dan bahagia.

19. Semasa kita berkunjung ke rumah saudara mara di kampung nanti, ambil kesempatan
untuk menyebar luas dasar-dasar Kerajaan dan kejayaan program-program Kementerian dan
Agensi yang telah dilaksanakan. Saya percaya, komunikasi bersemuka masih lagi merupakan
medium terbaik untuk mewujudkan persepsi positif masyarakat terhadap impak kejayaan dasar-
dasar Kerajaan.
20. Akhir kata di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh warga Kementerian dan dalam masa yang sama
peringatan kepada kita semua supaya berhati-hati ketika memandu untuk pulang ke kampung

Page 6 of 7
halaman masing-masing.

Sekian.

Wabillahi Taufik Walhidayah


Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Page 7 of 7

Anda mungkin juga menyukai