Anda di halaman 1dari 5

TAHAP KECERDASAN EMOSI GURU KAUNSELING BAHARU

Disember 2021 telah mengubah sejarah dunia. Wabak Koronavirus telah dikesan buat kali

pertama di Wuhan, China. Virus berkenaan telah tersebar secara meluas di seluruh dunia

sehingga diiktiraf sebagai pandemik oleh World Health Organisation (WHO). Pandemik

Covid-19 ini telah mengubah normal dan gaya hidup masyarakat global. Bidang pendidikan

juga tidak terkecuali dalam menghadapi norma baharu.

Melaporkan diri sebagai guru baharu pada 11 Januari 2021, cabaran yang dihadapi

semasa pandemik ini agak tinggi. Hal ini kerana, bidang tugas yang baru diceburi ini perlu

diteroka dalam keadaan norma baharu. Teori yang dipelajari semasa zaman universiti tidak

dapat lagi digunakan secara 100 % dalam menjalankan sesi bimbingan dan kaunseling di

sekolah. Guru perlu menjadi lebih kreatif dan kritis dalam memberi perkhidmatan bimbingan

dan kaunseling.

Guru menghubungi dan memberi motivasi kepada pelajar melalui aplikasi Whatss

App tanpa pernah melihat muka, mengenal karekter mereka apatah lagi mengetahui latar

belakang keluarga pelajar. Waktu pengajaran secara bersemuka pada April 2021 juga tidak

bertahan lama apabila tanggal 6 Mei 2021 pelajar diarahkan untuk menjalani proses

Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Sebagai guru kaunseling, sudah tentunya

kita dilatih untuk menjadi guru yang mempunyai pengetahuan, kemahiran berfikir, profisiensi

dwibahasa, kemahiran kepimpinan, memiliki identiti nasional dan etika kerohanian selain

sentiasa bersedia untuk menghadapi perubahan.

Dalam melahirkan generasi berpersonaliti khususnya di zaman Covid-19 ini, guru

kaunseling merupakan penjana peribadi ke arah melahirkan generasi yang berkualiti.

Tanggungjawab yang digalas oleh guru kaunseling dalam membentuk generasi yang benar-

benar dapat menghayati ciri-ciri personaliti unggul iaitu memiliki kecerdasan intelektual (IQ)
yang tinggi, kecerdasan emosi (EQ) yang teguh dan kecerdasan rohani (SQ) yang mantap

merupakan tugas yang tidak mudah. Jika guru hanya meletakkan fokus terhadap IQ pelajar

dan kurikulum pendidikan sahaja, ianya tidak akan berjaya mencapai Falsafah Pendidikan

Kebangsaan.

Bidang kecerdasan emosi ini kurang diberi penekanan jika dibandingkan dengan

keperluan memiliki IQ yang tinggi. Sedarkah anda bahawa kecerdasan emosi merupakan

perkara yang penting untuk seseorang itu berjaya. Menyedari akan hakikat terhadap tugas dan

tanggungjawab sebagai guru kaunseling baharu di zaman pandemik ini, kecerdasan emosi

yang tinggi amat penting dalam menghadapi cabaran kerjaya. Kepentingan kecerdasan emosi

dalam kerjaya sebagai seorang kaunselor telah diperjelaskan dalam Dictionary of Occupation

Title (U.S Development of Labour, ms. 68);

“The task of a counsellor is to assist individuals to understand an overcome


social and emotional problems, and similarly social perceptiveness is listed
as teh most important skills for mental health counsellor along the
judgement and decision making social perceptiveness is defined as being
aware of self and others, reactions and understanding why they react as
ther do. Emotions certaily play significant part in why people behave the
way they do.”

Kecerdasan emosi dapat dilihat sebagai satu faktor yang menyumbang kepada

peningkatan prestasi dan kualiti kerja guru kaunseling. Implikasi tahap kecerdasan emosi

yang tinggi ke atas perkhidmatan kaunseling semasa zaman Covid-19 ini melibatkan

keupayaan kita sebagai guru bimbingan dan kaunseling untuk terus kuat dalam membantu

pelajar walaupun menghadapi banyak kekangan. Persepsi awal warga sekolah terhadap

profesionalisme guru-guru kaunseling adalah tinggi. Hal ini kerana, guru kaunseling atau
secara khususnya guru baharu dilihat sebagai personalia yang mempunyai ciri -ciri

keterampilan dan kepimpinan serba boleh untuk mengalami permasalahan yang timbul.

Hakikatnya, untuk menghadapi situasi yang baru ini sangat mendebarkan dan tidak

dinafikan menghadapi begitu banyak kekangan. Bertitik tolak daripada itu, kita perlu

sentiasa berfikiran lebih ke hadapan dalam menyelesaikan tugasan secara efisien sesuai

dengan definisi kecerdasan emosi iaitu kecerdasan sosial yang bertanggungjawab dalam

mengawal pemikiran dan tindakan individu. Sebelum guru kaunseling ini menangani emosi

orang lain, emosi kendiri seharusnya dititikberatkan terlebih dahulu. Dengan itu, sesi

bimbingan dan kaunseling dapat berjalan dengan baik dan pelajar mendapat lebih banyak

input yang membantu mereka.

Sebagai guru baharu, kita perlu memastikan kecerdasan emosi berada dalam keadaan

yang baik. Dengan erti kata lain, kebolehan diri kita untuk mengelola perasaan atau emosi

perlu dipertingkatkan. Kita perlu melihat bagaimana kita sebagai guru kaunseling

memotivasikan diri sendiri dan orang lain. Kita perlu memastikan diri kita sentiasa positif

untuk memastikan para pelajar juga berada dalam keadaan yang baik.

Cabaran utama yang dihadapi bagaimana kita menyusun waktu bimbingan dengan

pelajar, pelajar yang tidak mahu memberi maklum balas dan kekangan-kekangan yang wujud

sepanjang proses bimbingan dilakukan. Selain itu, kita perlu sentiasa bersedia dengan

suasana baharu iaitu bekerja dari rumah dan bagaimana kita kekal fokus dengan tugasan yang

perlu dijalankan. Musim Perintah Kawalan Pergerakan menyebabkan pengasuh tidak

menerima anak kita untuk dihantar kepada mereka. Di waktu ini, cabaran sebenar wujud.

Namun begitu, jika kita telah memastikan kecerdasan emosi kita dalam keadaan yang baik

selain mengatur gerak kerja dengan lebih tersusun, nescaya semuanya dapat berjalan dengan

baik.
Bercerita mengenai kecerdasan emosi, rujukan telah dilakukan terhadap Model

Kecerdasan Emosi Bar-On dalam memastikan kecerdasan emosi dalam keadaan yang baik.

Berdasarkan model beliau, terdapat lima domain iaitu intrapersonal, interpersonal,

pengurusan tekanan, penyesuaian dan mood umum. Kemahiran interpersonal merupakan satu

kemahiran mengawal perasaan dalam diri seseorang iaitu dapat membawa diri dalam

pelbagai suasana, tidak panik mahupun menggelabah semasa mengalami krisis. Domain

kedua merupakan interpersonal iaitu kemampuan untuk bergaul dan berinteraksi dengan

orang lain. Domain pengurusan tekanan pula merupakan kemampuan untuk bertahan dalam

menghadapi tekanan dan mengendalikan diri atau dorongan serta kemampuan untuk

bertenang dan memberi tumpuan terhadap apa sahaja yang sedang berlaku. Penyesuaian

merupakan keadaan individu yang boleh berubah sewaktu menghadapi sebarang masalah

yang mendatang. Mood umum pula ialah sentiasa berfikiran positif dalam apa jua perkara dan

tidak terlalu emosi dan sensitif.

Jika dirujuk kepada kelima-lima domain kecerdasan emosi di atas, tidak mustahil

seorang guru kaunseling itu dapat menjalankan sesi bimbingan dan kaunseling dengan baik

walaupun dalam keadaan pandemik. Hal ini kerana, kecerdasan emosi itu merupakan

persilangan antara kecekapan sosial, kemahiran dan pemudah cara yang menentukan

bagaimana seseorang individu itu menggambarkan dirinya, memahami individu lain dan

berhubung dengan mereka selain bertahan dengan tuntutan harian, cabaran malahan tekanan.

Hal ini membuktikan bahawa tahap kejayaan antara dua orang individu yang

mempunyai persamaan tingkat kecerdasan pemikiran (IQ) dapat dibezakan melalui

kecerdasan emosi mereka. Justeru, saya ingin mengajak para guru kaunseling khususnya guru

baharu untuk mengukur tahap kecerdasan emosi masing-masing selain meningkatkannya agar

tugasan harian kita dapat berjalan dengan baik walaupun mengharungi keadaan yang genting

ini. Motivasikan diri kita dan pelajar yang memerlukan bantuan kita.
NUR AZIRA BINTI ZAIDI
GURU BIMBINGAN DAN KAUNSELING
SMK TENGKU AMPUAN RAHIMAH

Anda mungkin juga menyukai