Anda di halaman 1dari 5

Pengenalan. Akauntabiliti ialah sifat yang perlu ada pada setiap individu umumnya.

Menurut
Kamus Dewan Edisi Keempat, akauntabiliti dedifinisikan sebagai sifat bertanggungjawab
kepada seseorang atau terhadap sesuatu tindakan, keputusan serta bersedia memberikan
penjelasan atau justifikasi yang diperlukan. Ini bermakna akauntabiliti ini merujuk kepada
individu atau tindakan yang bakal kita laksanakan. Tanggungjawab di sini bermaksud
menjalankan tugas-tugas yang diarahkan mengikut peraturan-peraturan yang telah
ditetapkan. Jadi, dapat disimpulkan bahawa akauntabiliti bermaksud menjalankan tugas
yang diarahkan dengan baik serta dapat mencapai objektif yang telah ditetapkan oleh pihak
yang tertentu.
Kamus Pelajar Edisi Kedua pula mendefinisikan akauntabiliti sebagai sifat
bertanggungjawab terhadap seseorang atau sesuatu serta bersedia memberikan penjelasan
atau kewajaran yang diperlukan. Maksud ini hampir sama dengan definisi yang diberikan
oleh Kamus Dewan Edisi Keempat. Seterusnya, menurut Ahmad Sarji (2003), akauntabiliti
bermaksud obligasi seseorang memberi jawapan dan penjelasan mengenai tindakan dan
prestasinya. Beliau menekankan penjelasan yang perlu diberikan setelah seseorang
menjalankan tanggungjawab yang diberikan.
Oleh itu, secara umumnya, akauntabiliti bermaksud kewajipan menjalankan tugas
yang dipertanggungjawabkan mengikut undang-undang dan peraturan yang telah
ditetapkan. Selain itu, individu tersebut haruslah memastikan tugas-tugas yang dilaksanakan
mencapai objektif yang telah ditetapkan. Jadi, dalam bahasa mudahnya, akauntabiliti boleh
diaggap sebagai amanah yang telah diberikan kepada individu bagi mencapai matlamat
yang telah ditetapkan oleh pihak ketiga. Di sini, kita dapat lihat betapa pentingnya
akauntabiliti terhadap sesuatu profesion bagi memastikan objektif sesuatu bidang dapat
dicapai dengan jayanya. Tidak mengejutkan sekiranya objektif sesuatu profesion tidak dapat
dicapai sekiranya ahli dalam profesion tersebut tidak mengamalkan profesion ini dengan
baik dan jujur. Sesungguhnya kita tidak menyedari bahawa secara tidak langsung
kita semua telah memikul beberapa tanggungjawab atau amanah yang besar dalam satu
masa. Sebagai contoh, akauntabiliti boleh wujud apabila kita bergelar seorang pelajar, anak,
penganut agama, isteri mahupun seorang pekerja, pendidik khususnya. Mungkin istilah yang
digunakan terlalu tinggi sehingga kita tidak menyedari bahawa sifat itu telah wujud dalam diri
kita sejak kita mengenal dunia ini lagi. Sebagai contoh, tanggungjawab kita sebagai seorang
pelajar dapat dilihat apabila kita belajar dan menyiapkan tugasan yang diberikan oleh
pensayarah. Secara tidak langsung, kita telah menjalankan amanah yang diberikan
mengikut peraturan ynag telah ditetapkan.
Akauntabiliti Guru terhadap Masyarakat dan Negara Bagi Menjamin Keharmonian dan
Kemakmuran Masyarakat dan Negara Seperti yang Digariskan dalam Kod Etika Perguruan
Berdasarkan kepada petikan ucapan YAB Tan Sri Dato’ Muhyiddin Haji Mohd Yassin pada
sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan tahun 2013 tersebut, dapatlah dikatakan
bahawa guru merupakan seseorang yang sangat dipandang tinggi dan mulia oleh ibu bapa
dan masyarakat tambahan lagi di negara Malaysia yang mempunyai masyarakat yang
berbilang kaum dan agama. Hal ini adalah kerana tugas dan amanah yang dipikul oleh
seorang guru sangatlah berat dan sukar serta memerlukan komitmen dan motivasi yang
tinggi dalam diri guru sendiri sepertimana yang telah digariskan dalam kod etika keguruan
berdasarkan prinsip-prinsip yang berikut (Syed Ismail dan Ahmad Subki Miskon, 2013) :i.
Niat yang betul
ii. Perlakuan yang baik
iii. Pengerak ke arah kebaikan
iv. Memperkotakan apa yang dikatakan
v. Berdisiplin dan beradap
vi. Menghargai dan bertanggungjawab hasil usaha organisasi
Menurut Mok Soon Sang (2001), pada masa kini, masyarakat perindustrian yang
maju dalam teknologi sedang mengalami perubahan sosial yang pesat. Oleh itu, sekolah
juga memainkan peranan sebagai agen memodenisasikan masyarakat dalam semua bidang
perkembangan dan kemajuan. Ini bermakna sekolah perlu mementingkan nilai
kemasyarakatan dan perkembangan kualiti murid serta membawa pembaharuan semasa. Di
Malaysia, sekolah ditubuhkan bertujuan memenuhi keperluan masyarakat dan negara.
Tanggungjawab sekolah terhadap masyarakat ialah melahirkan pelajar-pelajar mengikut
keperluan-keperluan yang telah dinyatakan dalam Matlamat Pendidikan Negara.
Justeru itu, tugas guru semakin bertambah dari semasa ke semasa dalam mendidik anak
bangsa mengikut perubahan zaman bagi melahirkan masyarakat yang maju dan berkualiti.
Guru sebagai tonggak utama sesebuah sekolah perlu sentiasa bersedia memikul sebarang
amanah yang diberikan di samping meningkatkan ilmu pengetahuan dan prestasi agar
menghasilkan generasi yang berkualiti dan mampu menyumbang kepada masyarakat dan
negara.
Seperti yang dinyatakan oleh Mok Soon Sang (2001), guru-guru yang berpengalaman dan
berdedikasi mampu menyampaikan pengajaran kepada pelajar dengan berkesan. Motivasi
guru sememangnya mampu mendorong pelajar-pelajarnya ke arah pencapaian yang tinggi.
Di bawah bimbingan guru yang baik, pelajar pastinya akan maju dalam pelajaran mereka. Ini
bermakna, guru yang berdedikasi juga merupakan agen perubahan yang penting dalam
meningkatkan prestasi pelajar-pelajarnya.
Akauntabiliti Guru terhadap Masyarakat Sejak dahulu sehinggalah kini, guru sentiasa
menjadi ikon terbaik dalam kalangan masyarakat. Guru sentiasa diberi perhatian oleh
masyarakat sekeliling tidak kiralah di kampung mahupun di bandar. Justeru itu, guru perlu
menjaga nama baik profesionnya agar terus menjadi ikon terbaik masyarakat.
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) juga telah menggariskan beberapa panduan
tatasusila dalam Tatasusila Profesion Keguruan Malaysia (2005) mengenai tanggungjawab
guru terhadap masyarakat. Antaranya adalah, guru hendaklah mengelakkan diri daripada
menyebarkan sesuatu ajaran yang boleh merosakkan kepentingan pelajar, masyarakat,
negara atau pun yang bertentangan dengan Rukun Negara. Sebagai guru, ilmu
pengetahuan yang disampaikan mestilah benar, tepat serta menepati sukatan pelajaran
yang ditetapkan oleh KPM. Segala pengetahuan tambahan yang mana tidak terkandung di
dalam sukatan yang ditetapkan mestilah bersesuaian dengan tahap sosial dan
perkembangan pelajar serta berguna kepada kehidupan seharian mereka. Manakala,
pengetahuan yang tidak benar, tidak sesuai serta menyimpang jauh daripada prinsip-prinsip
Rukun Negara terutamanya, adalah sangat dilarang kerana ianya akan membawa
keburukan kepada pelajar dan masyarakat serta negara.
Selain itu, guru perlu memupuk sikap dan nilai murni dalam diri setiap pelajar yang mana
ianya boleh membantu dan membimbing mereka untuk menjadi warganegara yang taat
setia, bertanggungjawab dan berguna serta menghormati adanya perbezaan kebudayaan,
keturunan dan agama. Hal ini sangat penting dalam mewujudkan perpaduan dalam
kalangan masyarakat berbilang kaum bertepatan dengan konsep Satu Malaysia yang
diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib B. Tun Abdul Razak. Di samping
itu, guru perlu menghormati masyarakat tempat guru berkhidmat dan memenuhi segala
tanggungjawab sebagai seorang warganegara dan sentiasa sanggup mengambil bahagian
dalam sebarang kegiatan masyarakat. Perkara ini sangat penting bagi mewujudkan
hubungan yang baik dengan masyarakat setempat serta memperlihatkan kredibiliti guru
serta pandangan positif mereka terhadap guru.
Sebagai seorang pemimpin, guru haruslah menggalakkan kerjasama dan persefahaman di
antara guru dengan ibu bapa, institusi pendidikan dengan masyarakat serta memberi
sumbangan cergas untuk meningkatkan kehidupan moral, kebudayaan dan kecendekiawan
masyarakat. Guru perlu sentiasa bersedia membantu dan menyumbangkan tenaga apabila
ibu bapa mahupun masyarakat memerlukannya pada bila-bila masa dan dimana jua.
Sebarang masalah yang timbul haruslah dibawa berbincang dan bersama-sama mencari
penyelesaiannya. Guru sentiasa menjadi perhatian masyarakat, maka segala perlakuan
guru dilihat oleh masyarakat sekeliling. Maka, guru seharusnya berpegang kepada tingkah
laku yang sopan yang diterima oleh masyarakat dan menjalani kehidupan sehari-hari
dengan baik supaya menjadi contoh teladan kepada mereka. Guru perlu memainkan
peranan dengan meningkatkan kecekapan, ketajaman dan ketrampilan diri dalam
perlaksanaan tugas dan interaksi dengan masyarakat serta menawarkan khidmat bakti dan
kepimpinan dalam kehidupan masyarakat. Akauntabiliti Guru terhadap Negara Falsafah
Pendidikan Kebangsaan (FPK)Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke
arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk
mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan
jasmani berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan.
Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berketrampilan, berakhlak mulia,
bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sokongan
terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.
Matlamat Pendidikan Negara1. Malahirkan warganegara yang mempunyai sahsiah yang
baik, seimbang dan bersepadu dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
2. Percaya dan patuh kepada Tuhan.
3. Berilmu pengetahuan dan berfikiran kreatif dan rasional, berakhlak mulia dan
berktrampilan.
4. Berkeupayaan memberi sumbangan ke arah menambahkan kemakmuran masyarakat
dan negara.
5. Setia kepada negara dan bertanggungjawab untuk menjaga hubungan baik dan mesra
di antara insan dan memupuk perpaduan masyarakat Malaysia.
Tujuan Pendidikan Negara.
1. Membentuk peribadi warganegara yang seimbang.
2. Memberi fahaman individu tentang alam sekeliling dan tingkah laku manusia.
3. Membentuk pekerja yang positif, cekap dan bertanggungjawab.
4. Membentuk individu yang boleh menerima dasar demokrasi.
5. Membentuk individu yang berdaya usaha.
6. Membentuk bangsa Malaysia yang menjadikan Rukun Negara sebagai panduan hidup.
Guru bertanggungjawab mendokong perkara yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan serta melaksanakan tanggungjawab tersebut sesuai dengan apa yang
digariskan dalam FPK. Hal ini sangat penting bagi melahirkan warganegara Malaysia yang
berpengetahuan luas serta berkualiti dari segala aspek seperti yang terkandung dalam FPK.
Guru juga perlu sentiasa menjalankan tugas untuk menyebarkan cita dan Matlamat
Pendidikan Negara seperti yang dinyatakan berlandaskan kepada prinsip-prinsip Rukun
Negara.
Kesan Akauntabiliti Guru terhadap Masyarakat dan Negara Akauntabiliti guru terhadap
masyarakat dan negara telah dibincangkan dengan teliti. Justeru, seorang guru diharapkan
menjalankan tugas dan tanggungjawab seperti yang diamanahkan supaya segala matlamat
yang ditetapkan sama ada matlamat ibu bapa, masyarakat atau negara mahupun matlamat
guru itu sendiri, tercapai dengan baik dan sempurna. Beberapa kesan akauntabiliti guru
terhadap masyarakat dan negara telah dikenal pasti sama ada kesan positif mahupun kesan
negatif. Kesan positif terhadap masyarakat yang merangkumi ibu bapa dan komuniti
sekeliling berlaku apabila guru menjalankan akauntabilitinya dengan baik. Antaranya, kesan
terhadap guru itu sendiri. Profesion keguruan akan dipandang tinggi oleh masyarakat.
Masyarakat akan sentiasa menghormati dan menyanjung kerjaya seorang guru kerana
segala tanggungjawab yang dipikul oleh guru adalah sangat berat dan mencabar serta
murni. Selain itu, kesan terhadap hubungan guru dengan masyarakat. Hubungan guru dan
masyarakat menjadi semakin erat dan akrab. Hal ini akan memberi kelebihan kepada guru
untuk menjalankan segala aktiviti berbentuk pendidikan mahupun sosial dan sebagainya
kerana masyarakat sentiasa menyokong dan mudah memberi sumbangan ketika guru
memerlukan.
Di samping itu, guru yang menjalankan akauntabilitinya akan melahirkan masyarakat yang
mempunyai kesedaran tentang pentingnya ilmu pengetahuan dan kemajuan dalam
kehidupan agar menjamin masa depan yang cemerlang. Masyarakat juga yakin dengan
kredibiliti seorang guru bagi mendidik anak bangsa mereka menjadi generasi yang berkualiti
dan berfungsi bagi menyumbang sesuatu kepada masyarakat dan negara. Negara sangat
bertuah mempunyai guru yang sangat berdedikasi terhadap kerjayanya tanpa mengira
balasan dan ganjaran. Guru seperti ini mampu melahirkan generasi yang cemerlang dan
berdaya saing serta sentiasa berusaha memajukan negara. Walau bagaimanapun, kesan
negatif akan berlaku sekiranya seorang guru mengabaikan akauntibilitinya terhadap ibu
bapa, masyarakat dan negara. Antara kesan-kesannya adalah guru tidak akan dihormati
dan dipandang rendah oleh masyarakat. Selain itu, ibu bapa pelajar tidak yakin untuk
menyerahkan anak mereka di bawah jagaan guru kerana dikhuatiri anak mereka akan
diabaikan dan sebagainya. Di samping itu, ibu bapa juga tidak akan mempercayai guru
dalam apa jua aspek sama ada didikan dan pelajaran mahupun sikap dan amanah yang
diberikan kepada guru.
Kesan seterusnya adalah terhadap masyarakat. Hubungan yang erat dan mesra
tidak dapat dijalin antara guru dengan masyarakat akibat guru tidak melibatkan diri dalam
aktiviti kemasyarakatan sehingga guru tersebut tidak dikenali. Hal ini menyebabkan guru
sukar mendapat sokongan dan kerjasama daripada komuniti sekeliling dalam aktiviti di luar
sekolah. Selain itu, masyarakat akan menjadi mundur daripada segala aspek terutama
aspek intelek, rohani, jasmani, dan emosi kerana guru tidak mampu menjana pemikiran
dalam usaha mengubah taraf hidup sesebuah masyarakat. Maka, pelbagai masalah akan
timbul seperti masalah sosial, ekonomi dan sebagainya kesan daripada ketidakberhasilan
guru memupuk nilai murni dan nilai perpaduan dalam diri pelajar.
Negara turut terkesan dengan pengabaian akauntabiliti oleh guru. Falsafah Pendidikan
Kebangsaan yang selama ini menjadi panduan pendidikan negara tidak tercapai akibat
sikap guru yang tidak berpegang teguh dengan akauntabilitinya sebagai seorang guru.
Semua perkara yang digariskan dalam Matlamat Pendidikan Negara juga tidak akan
tercapai dan seterusnya mengakibatkan negara kekurangan generasi yang mampu memacu
negara ke arah kecemerlangan di persada dunia. Namun, lebih teruk lagi, prinsip Rukun
Negara juga tidak akan dicapai oleh setiap warganegara kerana generasi yang dilahirkan
oleh guru tersebut tidak mempunyai jati diri serta tiada semangat cintakan tanah air.
Penutup
Guru mampu memahami tanggungjawabnya yang sebenar apabila guru itu sendiri
memahami prinsip akauntabiliti. Penghayatan akauntabiliti haruslah dilakukan dengan
sepenuh hati kerana dapat meningkatkan tahap profesionalisme keguruan.
Ini kerana penghayatan tersebut membolehkan semua guru dapat menjalankan
tanggungjawab dan tugas-tugasnya dengan penuh komited dan dedikasi. Akauntabiliti atau
tanggungjawab seorang guru merangkumi akuntabilitinya terhadap diri sendiri. profesion
keguruan, pelajar, sekolah, ibu bapa, masyarakat dan negara. Akauntabiliti dalam diri
seseorang guru dapat ditingkatkan sekiranya seseorang guru itu sentiasa muhasabah diri
serta benar-benar menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang pendidik dengan
berkesan. Peningkatan dalam bidang tersebut melambangkan tingginya kualiti seseorang
guru yang juga akan meningkatkan taraf profesionalisme keguruan. Oleh yang demikian,
akauntabiliti perlulah dihayati oleh setiap individu bergelar guru. Sekiranya seseorang guru
itu mengabaikan akauntabiliti terhadap tugas dan tanggungjawabnya, maka ia tidak mampu
melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik dan akan gagal melahirkan modal insan
seperti yang di cita-citakan negara

Anda mungkin juga menyukai