Anda di halaman 1dari 3

CARA-CARA MANDI JENAZAH

4 – Cara Mandi Jenazah

Menurut satu riwayat, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Mandikanlah dia* (beberapa kali) asalkan ganjil bilangan: tiga atau lima atau
tujuh, dan mulakanlah dengan bahagian kanan badannya dan anggota-anggota
wudhu”.

(Ummu Athiah) berkata: “Sesudah itu kami pun jalinkan rambutnya: tiga tocang,
lalu kami hulurkan ke sebelah belakangnya”.

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Perkara yang penting dalam memandikan mayat ialah wajib membersihkan tubuh
badan mayat dan celah-celahnya itu daripada najis dan kekotoran dengan
meratakan air seluruh anggota badan mayat itu. Maka apabila cara ini telah yakin
kebersihannya, bolehlah dikapan, disembahyang dan seterusnya dikebumikan.

Cara terbaik yang telah sepakat oleh Ibnu Hajar dan al-Ramli di mana telah
menjadi amalan masyarakat nusantara ini dengan panggilan mandi air sembilan
cara iaitu:

4.1 Dibersihkan najis mayat (meruang) dan membersihkan segala kekotoran atau
getah, cat, plaster dan sebagainya yang terlekat pada badan atau kuku mayat.
Hendaklah mengosongkan perut terlebih dahulu – kalau ada benda-benda kotor
yang boleh keluar, supaya tidak lagi keluar sesudah ia dimandi dan dikafankan.
Caranya: Dudukkan mayat (di atas papan mandi) dalam keadaan condong sedikit
ke belakang, dan menahan belakangnya dengan lutut kanan sambil memegang
belikatnya dengan tangan kanan (dengan meletak ibu jari di tengah-tengah
tengkuknya supaya kepalanya tegak), dan urut perutnya perlahan-lahan dengan
tangan kiri. Siram air banyak-banyak untuk membersihkan benda-benda yang
keluar.

4.2 Setelah dikosongkan perut dan dbersihkan benda yang keluar, hendaklah
ditelentangkan semula mayat itu di atas papan mandi dan dicebokkan oleh orang
yang memandikannya dengan membersihkan kemaluan dan celah-celahnya
(menggunakan sarung tangan).

4.3 Dengan sarung tangan bersih, tukang mandi hendaklah membersihkan gigi
mayat, lubang hidunganya, lubang telinga dan celah-celah kukunya. Kemudian
diwudhu’kan dengan sempurna (meliputi yang fardhu dan sunat). Setelah itu baru
dimandikan – dari bahagian kepala hingga ke hujung kaki – meliputi seluruh
tubuhnya.

4.4 Mandi dengan air sabun:

i. Basuh seluruh kepala, muka dan lehernya 3 kali.

ii. Basuh sebelah kanan (lambung kanan) meliputi bahu, ketiak, tangan kanan,
dada, rusuk, perut, kemaluan, celah-celah kelangkang dan paha kanan hingga ke
hujung kaki kanan 3 kali.

iii. Basuh sebelah kiri (lambung kiri) hingga ke hujung kaki kiri 3 kali.

iv. Kemudian diiringkan rusuk kanan ke atas dan basuh lambung kanannya
bahagian belakang meliputi bahu, belakang badan, rusuk, punggung, peha kanan
dan terus ke hujung kaki kanannya 3 kali.

v. Mengiringkan rusuk kiri ke atas dan basuh lambung kiri belakang hingga ke
kaki kiri 3 kali .

Mandi dengan air sabun seperti di atas tadi memadai satu kali sahaja.

4.5 Mandi dengan air bersih (mutlak) – Mandi dengan air bersih ini dilakukan
seperti cara mandi dengan sabun, tujuannya untuk membersihkan segala air sabun
tadi.

4.6 Setelah bersih, diwudhukan dengan niat, ” Sahaja aku wudhukan mayat ini
kerana Allah”.

Lafaz niat bagi lelaki: “Nawaitul wudhu ‘an hazal maiti lillahi ta’ala”

Lafaz niat bagi perempuan: “Nawaitul wudhu’ ‘an hazihil maitati lillahi ta’ala”

4.7 Mandi air bercampur kapur barus – Air bersih dicampur sedikit air kapur barus
yang sekira-kiranya tidak mengubah hukum air mutlak, kemudian dijirus sunat
diniatkan: ” Sahaja aku mandi mayat ini kerana Allah Taala”.

Lafaz niat bagi lelaki: “Nawaitul ghusl ‘an hazal maiti lillahi ta’ala”
Lafaz niat bagi perempuan: “Nawaitul ghusl ‘an hazihil maitati lillahi ta’ala”

Proses mandi ini sama juga seperti mandi dengan air sabun dan air bersih yang
lalu. Kemudian ulang 2 kali dengan menambah kapur barus lebih tua sedikit
supaya baunya lebih keras. Semasa menjirus, sunat membaca: “Ghufranak rabbana
rahman wailakal masir”.

4.8 Jadi hasilnya jumlah mandi mayat kesemuanya lima kali iaitu:

1.Satu kali mandi dengan air sabun.


2.Satu kali mandi dengan air bersih.
3.Tiga kali mandi dengan air kapur barus.
4.9 Mayat lelaki yang panjang janggutnya, sunat disisir ia dengan sikat jarang. Jika
bulu janggut atau rambut kepalanya gugur semasa mandi, hendaklah dipungut
untuk dimasukkan ke dalam kapan semasa mayat dikafankan.

Mayat perempuan pula hendaklah dihuraikan rambutnya supaya air membasahi


keseluruhannya. Rambut yang gugur hendaklah dipungut untuk dimasukkan ke
dalam kafan. Menurut riwayat di atas, dijalinkan rambutnya menjadi tiga tocang,
lalu dihulurkan ke sebelah belakangnya.

4.10 Perbuatan membasuh mayat dengan air bercampur sabun (atau serbuk daun
bidara) kemudian membilasnya, tidak dikira. Itu hanya seperti membersihkan
badannya.

Yang diambil kira ialah mandi yang akhir, iaitu memandikan mayat dengan air
yang dicampurkan sedikit kapur barus.

Anda mungkin juga menyukai