Anda di halaman 1dari 2

Tanggungjawab Sosial Korporat atau Corporate Social Responsibility (CSR) semakin hari semakin

menjadi harapan pihak kerajaan dan juga masyarakat supaya badan-badan korporat akan memainkan
peranan dalam pembangunan kesejahteraan hidup masyarakat. Ini adalah kerana badan-badan korporat
sebagai sebahagian daripada sektor swasta telah memperolehi mandat dan kuasa mereka dari
masyarakat di bawah prinsip ‘kontrak sosial.’ Secara umumnya, tanggungjawab sosial korporat
membawa maksud sebarang komitmen atau pernyertaan oleh sesebuah syarikat korporat mengikut
pertimbangan peniagaan dan sumbangan dari sumber korporat dalam komuniti atau masyarakat yang
bertujuan ke arah meningkatkan kesejahteraan masyarakat di sekitar perniagaan atau perusahaan.
Antara tanggungjawab sosial yang perlu dijalankan termasuklah menitikberatkan kesihatan masyarakat,
keselamatan, pendidikan, pekerjaan, alam sekitar, dan pembangunan ekonomi dan masyarakat.

Dalam melaksanakan tanggungjawab sosial, ada sesetengah badan korporat yang turut
bertanggungjawab di dalam memelihara persekitaran yang sihat. Mereka komited untuk menghasilkan
produk terbaik yang berkualiti tinggi serta penuh khasiat demi kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.
Selain itu mereka juga komited dalam menyokong dan menggalakkan tanggungjawab sosial dalam diri
setiap individu selain meningkatkan penjagaan alam sekitar, penjagaan pemakanan yang terbaik dan
amalan cara hidup yang sihat. Komitmen yang sebegini menjadikan badan korporat tersebut sebagai
badan korporat yang mengimpikan persekitaran terbaik yang berpanjangan demi penjanaan kehidupan
yang sihat untuk komuniti serta perkembangan menyeluruh kanak-kanak. Pelaksanaan CSR oleh
organisasi korporat memberikan kesan dan impak sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada
organisasi itu sendiri. Sebagai contoh, respons yang positif daripada pengguna terhadap usaha CSR oleh
organisasi menghasilkan peningkatan dalam jualan barang dan perkhidmatan. Inisiatif CSR ini juga boleh
membuka pasaran baru terutamanya di negara-negara membangun. Syarikat-syarikat yang berjaya
mencari jalan untuk menangani rakyat termiskin di dunia telah membantu dalam mengurangkan
kemiskinan di samping meningkatkan ekonomi negara-negara tersebut

Peranan sains sosial melalui tanggungjawab sosial korporat merangkumi penerapan nilai-nilai
murni dan memberikan impak positif kepada komuniti dan syarikat yang terlibat. Program program CSR
yang dilaksanakan oleh badan korporat bersifat menyeluruh dalam aspek-aspek alam sekitar, tempat
kerja, komuniti, pasaran dan pendidikan serta telah memberi keuntungan kepada setiap pihak.
Perlaksanaan CSR ini dapat melahirkan pekerja yang lebih beretika, mewujudkan syarikat yang lebih
bertimbang rasa terhadap keperluan masyarakat serta kerjasama diantara pelbagai kaum bangsa dan
agama disamping dapat mengurangkan pencemaran dan kerosakan alam sekitar. Dengan adanya
program ini juga, nasib golongan miskin akan lebih terbela melalui pelbagai bentuk bantuan yang
diberikan oleh institusi korporat sama ada berbentuk bantuan kewangan dan material ataupun bantuan
bukan material seperti kem-kem motivasi kepada pelajar dan sebagainya. Melalui bantuan-bantuan
tersebut, secara tidak langsung kemiskinan dalam negara dapat dikurangkan dan ekonomi negara akan
dapat dibangunkan. Lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan yang secara tidak langsung
dapat membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara. Dengan itu, masyarakat akan dapat
menikmati kehidupan yang lebih baik di masa akan datang.

Anda mungkin juga menyukai