Anda di halaman 1dari 5

TANAH AIR (Menjelang Kemerdekaan) – Usman Awang

Engkau Tanah Air


pemilik perut yang berbudi
penampung hujan penyedut sinar mentari
lahirlah anakmu dari semaian petani

Engkau Ibu Murni


dengan jasa abadi
berdetik didenyut nafas kami
kerna kita satu sama dipunyai

Telah kau rasa


segala seperti kami
dalam ngeri perang dadamu dibongkar besi
di mana-mana wajahmu tak pernah mati

Tapi begitu
sejarah hidup zaman berzaman
pernah merangkul pahlawan kemerdekaan
mereka sujud dalam kaku
mohon perlindungan

Bukankah dengan
kasih dan harapan
kau tenggelamkan mereka dalam dakapan
di mana bunga ganti nisan bertaburan

Negara baru
di atas rongga jantungmu
akan tertegak bertapak dalam kebebasan
cinta antara kita wahyu dari Tuhan.
ERTI SEBUAH KEMERDEKAAN – A Samad Said

Kita sudah sampai di lereng amat indah, di bawah


pelangi, dalam ufuk yang masih mencabar;
dan kita ikhlas berjanji untuk bermaruah,
tenang dalam segala uji cabar dan debar.
Kita mencari hanya yang tulen dan jati,
sekata hidup, mengerti dan berbudi.

Kita wajar mendaki lagi kerana puncak


yang jauh. Dalam gelora dan taufan
tak tercalar tekad kita kerana kemerdekaan
mengasuh kita bersuara dalam sopan,
yakin menyanggah musuh, tulus menambah kawan,
inti tonggak dan menara kebahagian.

Kita datang bersama anak-anak yang sedia


menyanyi – sihat, teguh, bertekad dan berani.
Mengelilingi tasik, mendaki gunung, kita
mengajar mereka berjiwa besar dan berbakti.
Tanah air akan indah, megah dan bermaruah
jika kita sentiasa mensyukuri anugerah Allah;
dan bumi akan subur, makmur dan mewah
jika kita bekerja dan berikrar hidup bersama.

Tanah air memberi banyak, mesra mendakap kita;


kemerdekaan mendorong kita berdiri dan berbakti.
Dan kita sudah sampai di lereng indah, pasti
tetap mendaki juga, menyanggah musuh, menambah
kawan tanpa jenuh, khuatir, juga tanpa rawan.
Dan dalam alaf baru semangat kita wajar padu,
berjalan kita atas nama tanah air dan bangsa –
bangga kerana merdeka, megah kerana bahagia.

Anak-anak kita bakal datang tangkas dan berilmu;


dan kita, dalam sejarah, bakal syahdu dan bangga,
kerana awan yang indah, lapis pelangi lebih mesra,
wajah diri dan inti peribadi kita tunjang bagi
kehidupan dan kemerdekaan bangsa yang sentiasa
sedia belajar mengerti dan tekun hidup bersama.
SENJA HARI MERDEKA – Siti Zainon Ismail

Seluruh kota gemerlap cahaya


tak siapa sempat berdoa
bersama decip burung
kala perwira kehilangan kaki dan sebutir mata.
Tak siapa sudi membawanya ke dataran pesta
jalan sesak pemimpin segak berarak
tanyalah padang yang menyaksikan
laungan pertama, ogos basah
juga hampir kehilangan nama di peta
di mana muzium sejarah
menghimpun getar nyilu perjanjian
ucapan hilang di telan zaman
padang merdeka menjadi taman jerigi
tiang-tiang pualam tumbuh
hotel bintang lima
membakar tapak silam
sebuah keaiban peradaban
memusnahkan warisan
LIDAH BANGSA – A. Aziz Deraman

Lidah bangsaku tiba-tiba kelu


di hujung satu dekad abad ke-21
buana yang resah benua tidak tentu
akan segala yang mungkin alaf baru,
ketika kuasa-kuasa bertukar haluan
krisis ekonomi gelegak di tangan
budaya hidup yang terencat
sosial manusia yang bejat
di sisi globalisasi liberalisasi
bangsaku hilang berani.

Dari dahulu di bumi merdeka ini


bangsaku bingkas
bangun berdiri
bersatu langkah sederap serentak
yakin bangunkan nusa yang hebat
dimalui disegani dihormati orang
atas kekuatan aneka macam
taat setia rakyat menjulang
satu padu bukan kepalang
sepakat nikmat kemakmuran,
jika muncul aliran baru alur fikir
menerjah tanpa nyata batin zahir
nusa ini akan nanar
jadi pohon tidak berakar.
MERDEKA JIWA – AWANG SARIYAN

Sebermula
merdeka bermula di jiwa
merdeka daripada syirik kepada Yang Esa
merdeka daripada tahayul, khurafat dan wasangka.

merdeka daripada takluk kepada dunia


merdeka daripada perhambaan kepada manusia
merdeka daripada mendewa-dewakan penguasa

merdeka daripada tuntutan hawa


merdeka daripada sifat lagha
merdeka daripada hasad, khianat dan haloba

merdeka daripada penjajahan minda


merdeka daripada dualisme
merdeka daripada sekularisme

merdeka daripada kejahilan atma


merdeka daripada kejumudan idea
merdeka daripada ujub dan riyak

Anda mungkin juga menyukai