Anda di halaman 1dari 7

Visi dan misi baru KPM adalah seperti berikut:-

VISI
"Pendidikan Berkualiti Insan Terdidik Negara
Sejahtera"

MISI
"Melestarikan Sistem Pendidikan Yang Berkualiti
Untuk Membangunkan Potensi Individu Bagi
Memenuhi Aspirasi Negara"
Rukun Negara

Bahawasanya Negara Kita Malaysia mendukung cita-cita hendak:

1. mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya;


2. memelihara satu cara hidup demokratik;
3. mencipta satu masyarakat adil di mana kemakmuran Negara akan dapat dinikmati
bersama secara adil dan saksama;
4. menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan
berbagai corak; dan
5. membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi
moden.

Maka Kami, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk
mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip berikut:

Kepercayaan Kepada Tuhan


Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
Keluhuran Perlembagaan
Kedaulatan Undang-undang
Kesopanan dan Kesusilaan
Bilakah Rukun Negara mula digunapakai\

Prinsip Rukun Negara telah diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan AgongSeri Paduka Baginda Tuanku
Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin pada 31 Ogos 1970, iaitu sempena
ulang tahun ke-13 kemerdekaan Malaysia.

Kenapa Rukun Negara dibentuk

Selepas Malaysia Merdeka dan negara mula dibangunkan, sedikit demi sedikit terdapat jurang
antara kemewahan bandar dan kemiskinan desa, kemewahan orang bukan Melayu dengan
kesempitan hidup orang Melayu yang menyebabkan rasa tidak puashati di antara rakyat. Ini
menyebabkan beberapa kekacauan serta perbalahan yang melibatkan kaum berlainan berlaku di
beberapa kawasan di Tanah Melayu. Apabila berlakunya peristiwa berdarah 13 Mei 1969, kerajaan
melihat perlunya satu formula untuk mengatasi masalah ini.

Di antara Objektif Rukun Negara adalah untuk mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan
seluruh masyarakat, mencipta satu masyarakat yang adil supaya kemakmuran negara dapat
dinikmati bersama secara adil dan saksama.

Majlis Perundangan Negara yang dipengerusikan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak bin Hussein
(merangkap Pengarah MAGERAN) telah ditubuhkan di bawah Undang-undang Darurat yang
diwartakan pada 29 Januari 1970, hasil daripada mesyuarat MAGERAN yang mentadbir negara
ketika itu. Ianya di anggotai oleh Pengerusi, tiga orang menteri (Allahyarham Tun Dr. Ismail bin
Dato' Abdul Rahman, mendiang Tun Tan Siew Sin dan mendiang Tun V.T Sambanthan ), wakil-
wakil kerajaan negeri dan wakil-wakil daripada parti politik.
Majlis Perundingan Negara bertanggungjawab menjadi pemikir dalam merangka perpaduan
negara dan mencari satu cara yang mampu untuk mengatasi garis pemisah antara kaum. Dengan
itu, maka lahirnya satu ideologi kebangsaan yang baru iaitu Rukun Negara yang digubal sebagai
falsafah negara dan pendekatan baru ke arah mewujudkan sebuah negara bangsa yang stabil.
Selain itu, Majlis Perundangan Negara juga mula menggunakan 
tema untuk menyambut kemerdekaan pada setiap tahun sebagai langkah mengekalkan
semangat cintakan negara dan memupuk keharmonian kaum.

Penjelasan Maksud 5 Prinsip Rukun Negara

a) Kepercayaan kepada Tuhan

Bangsa dan Negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan. Melalui
kepercayaan beragama inilah akan menjadikan bangsa dan negara ini sebagai satu bangsa dan
negara yang berdaulat.

Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama rasmi Persekutuan,


tetapi agama dan kepercayaan-kepercayaan lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram di
mana-mana bahagian di dalam Persekutuan dan tindakan membeza-bezakan terhadap
seseorang warganegara atas alasan agama adalah dilarang sama sekali.

Jawatankuasa penggubal Rukun Negara menyedari akan pentingnya agama dan kepercayaan
kepada Tuhan dalam kehidupan manusia. Ketiadaan agama boleh meruntuhkan keperibadian
seseorang dan juga sesuatu bangsa dan negara. Menyedari betapa pentingnya keteguhan
pegangan anggota masyarakat terhadap ajaran agama masing-masing, prinsip ini telah dipilih
sebagai prinsip pertama dalam Rukun Negara.
b) Kesetiaan Kepada Raja dan Negara

Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan dengan Seri
Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Selaras dengan kedudukan Yang
di-Pertuan Agong sebagai Raja mengikut Perlembagaan, sistem beraja juga diamalkan di setiap
negeri, dan Yang Di-Pertua Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja. Seri Paduka Baginda,
Raja-Raja dan Yang Di-Pertua Negeri adalah merupakan lambang perpaduan rakyat.

Kesetiaan kepada Raja dan Negara bermaksud, bahawa setiap warganegara hendaklah
menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan
Agong. Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja yang
memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di-
Pertuan Ago

c) Keluhuran Perlembagaan

Prinsip ini menekan perlunya rakyat menerima, mematuhi dan mempertahankankeluhuran atau
kemuliaan Perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara adalah sumber perundangan yang
tertinggi. Fungsinya untuk memberi perlindungan kepada setiap rakyat negara ini akan hak dan
keistimewaan mereka sebagai warganegara. Setiap warga negara Malaysia dikehendaki
menghormati, menghargai, serta memahami maksud dan kandungan serta latar belakang sejarah
pembentukan Perlembagaan Negara.

Perlembagaan Negara telah digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan semua pihak di
negara ini. Dengan demikian ia merupakan satu kontrak sosial rakyat yang tidak boleh
dipersoalkan dan diganggu gugat oleh mana-mana individu atau mana-mana pihak. Perlembagaan
Malaysia menentukan pola politik dan kedudukan sosio-ekonomi rakyat di negara ini. Ia adalah
sumber rujukan bagi segala hal yang berkaitan denga sistem pemerintahan, perundangan,
kedudukan dan hak sosio-ekonomi rakyat.
d) Kedaulatan Undang-Undang

Keadilan diasaskan atas kedaulatan undang-undang di mana setiap rakyat sama tarafnya di sisi
undang-undang negara. Kebebasan asasi terjamin bagi semua warganegara Malaysia. Undang-
undang negara berasaskan kepada Perlembagaan. Oleh itu kedaulatannya perlu diterima dan
dipertahankan. Tanpa undang-undang, hidup bermasyarakat dan bernegara tidak aman dan stabil.
Oleh itu undang-undang negara dijamin pula oleh institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa.
Setiap negara memerlukan undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat
yang aman, stabil dan makmur. Kewujudan undang-undang akan menjamin kehidupan anggota
masyarakat dapa bergerak dengan licin dan teratur tanpa sebarang kekacauan, di mana semua
anggota masyarakat akan merasas selamat. Hak-hak semua rakyat boleh diamalkan dengan bebas
asalkan tidak melanggar undang-undang serta perkara-perkara sebagaimana yang dijamin oleh
Perlembagaan Negara. Hak-hak dari kebebasan yang ijamin oleh Perlembagaan itu tidaklah
termasuk hak menggulingkan kerajaan sama ada dengan kekerasan atau dengan cara-cara yang
tidak menurut Perlembagaan.

Kesopanan dan Kesusilaan


Prinsip ke lima ini menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku seseorang rakyat. Tujuannya ialah
untuk membentuk warga negara yang bersopan santun dan bersusila selaras dengan kempen Budi Bahasa
dan Nilai Murni yang dijalankan sekarang. Sifat individu yang bersopan santun dan bersusila adalah paling
bermakna dan amat penting dalam konteks perhubungan antara satu sama lain dalam masyarakat pelbagai
kaum di negara ini.

Sikap bersopan santun dan bersusila patut diamalkan bagi membentuk seseorang individu dan masyarakat
yang berdisiplin serta bermoral tinggi yang akan membantu mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni.
Tatasusila ini membenci dan mengutuk tingkah laku atau perbuatan yang angkuh atau menyinggung perasaan
seseorang atau sesuatu golongan. Tingkah laku sopan juga mengandungi suatu darjah kesusilaan yang tinggi
dalam kedua-dua kehidupan persendirian dan kehidupan bernegara. Prinsip ini menjadi panduan supaya
perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan keperibadian bangsa dan nilai-nilai
murni.

Anda mungkin juga menyukai