Anda di halaman 1dari 1

`Cakaran harimau' tip dicintai suami

KUALA LUMPUR 18 April - Urutan `cakaran harimau' yang disusuli dengan `urutan labah-labah' boleh diamalkan oleh golongan wanita agar mereka sentiasa dicintai dan menjadi `bidadari' kepada suami masing-masing. Penceramah agama, Siti Nor Bahyah Mahmood berkata, mengurut suami ada caranya iaitu bermula pada bahagian belakang badan dengan memicit bahagian tengkuk dan bahu hingga ke lengan. ``Lepas itu buat `cakaran harimau' pada belakang badan suami. Ini semua jika dilakukan akan membangkitkan rasa kasih dan sayang yang mendalam antara pasangan terbabit,'' katanya. Urutan berkenaan bagaimanapun perlu disusuli dengan `urutan labah-labah' secara perlahan-lahan dari bawah ke atas supaya suami rasa `aman dan tenteram.' Dua jenis urutan tersebut merupakan antara 12 tip yang diberikan oleh Siti Nor Bahyah, yang menurut beliau, jika kesemua tip tersebut diamalkan, rumah tangga akan bahagia dan berkekalan hingga ke akhir hayat. Nor Bahyah berkata demikian ketika menyampaikan ceramahnya bertajuk `12 Tip Agar Dicintai Suami,' pada Seminar Setiausaha anjuran Utusan Publications and Distributors, di Hotel Concorde, di sini hari ini. Seminar sehari sempena sambutan Minggu Setiausaha 2004 itu dihadiri oleh 120 orang yang mewakili pelbagai syarikat dan organisasi. ``Daripada 12 tips itu salah satu tips yang harus diamalkan ialah sentuhan di atas katil menerusi sikap dan perbuatan dengan melakukan teknik urutan dan bisikan cinta. Ia boleh menimbulkan rasa kasih dan sayang suami terhadap isteri,'' katanya. Nor Bahyah berkata, tips-tips lain yang harus diamalkan termasuk berhias dan berdandan untuk suami, menyimpan rahsia suami, menghindari konflik dan memberi layanan zahir dan batin yang memuaskan kepada suami. Selain itu, katanya, isteri patut menghormati suami dan keluarganya, memahami perilaku suami dan memenuhi panggilan dan kehendak suami (nafkah batin). ``Satu perkara yang harus diamalkan ialah isteri perlu menyambut kepulangan suami dalam apa juga keadaan, jangan biarkan pembantu rumah yang menyambut kepulangan suami, ini bahaya,'' katanya.

Anda mungkin juga menyukai