Anda di halaman 1dari 5

MASALAH PROSTAT

Services
mendidik, menyokong dan memperkasa

Risalah ini mengandungi jawapan kepada beberapa soalan umum mengenai masalah prostat. Banyak orang mendapati bahawa pengetahuan tentang penyakit yang dialami dapat membantu mereka. Walau bagaimanapun, maklumat ini bukanlah alternatif untuk tidak mendapat khidmat daripada doktor atau jururawat. Sila gunakan maklumat ini sebagai panduan untuk anda bertanya lebih lanjut tentang masalah ini.

Apa itu prostat?


Prostat ialah kelenjar seks bagi lelaki. Bagi lelaki dewasa, kelenjar ini biasanya hampir sama besarnya dengan biji walnut. Kedudukannya di bawah pundi kencing, di pangkal zakar dan di hadapan rektum. Prostat mengeluarkan sebahagian cecair dalam air mani lelaki. Prostat mempunyai lubang sempit ditengahnya. Tiub (uretra) yang mengeluarkan air kencing dari pundi kencing melalui lubang ini hingga ke hujung zakar.

Bagaimanakah saya tahu jika saya ada masalah prostat?


Masalah prostat adalah biasa bagi lelaki apabila umur mereka meningkat (50 tahun ke atas). Anda mungkin mengalami masalah semasa kencing. Anda mungkin mengalami beberapa atau semua perubahan yang berikut:

Services
mendidik, menyokong dan memperkasa

Sukar untuk mengeluarkan air kencing terutamanya dalam keadaan terkejarkejar. Sukar untuk menghentikan aliran air kencing. Mengambil masa kerana aliran air kencing lemah atau sering terhenti. Air kencing masih menitis walaupun sudah selesai membuangnya. Sering berasa hendak kencing diwaktu siang .

Sering bangun malam untuk kencing. Sentiasa dalam keadaan tergesa-gesa apabila hendak kencing. Berasa tidak puas kencing. Sakit atau pedih semasa kencing. Kadang-kadang ada darah didalam air kencing. Keadaan ini memerlukan pemeriksaan doktor.

Jika anda mengalami masalah ini, berjumpalah dengan doktor. Jangan hanya menganggap masalah ini sebagai masalah yang berlaku kerana umur anda meningkat. Rawatan yang sesuai dapat menyelamatkan anda.

Apakah yang menyebabkan masalah ini?


Lapan (8) daripada sepuluh (10) kes yang berlaku adalah kerana prostat menjadi bengkak. Prostat yang bengkak ini menekan uretra. Masalah ini dikenali sebagai benign prostatic hyperplasia (BPH) dan ia disebabkan oleh perubahan hormon di dalam prostat. Masalah ini dialami oleh hampir separuh daripada lelaki yang berumur 50 tahun ke atas dan ia tidak menyebabkan kanser. Ada kalanya prostat menjadi bengkak disebabkan oleh jangkitan yang dikenali sebagai prostatitis yang mempunyai simptom yang sama dengan BPH. Masalah ini selalunya dialami oleh lelaki yang lebih muda. Kurang daripada seorang dalam sepuluh lelaki yang mempunyai masalah prostat akan mendapat kanser prostat. Perlu diingat- kebanyakan masalah prostat bukanlah kanser, dan kebanyakannya boleh dirawat.

Apakah tindakan doktor?


Doktor akan terlebih dahulu mencari punca masalah ini. Beberapa ujian perlu dilakukan termasuk: Pemeriksaan Rektum Doktor akan memasukkan jari yang bersarung ke dalam rektum untuk merasai saiz, bentuk dan tekstur prostat anda.

Services
mendidik, menyokong dan memperkasa

Ujian Prostate specific antigen (PSA) Ini adalah ujian darah untuk melihat PSA yang dikeluarkan oleh prostat. Jika bacaannya tinggi, anda mungkin mengalami kanser prostat - tetapi doktor perlu melakukan beberapa ujian lain untuk memastikan masalah tersebut. Biopsi Jika hasil ujian PSA dan pemeriksaan rektum anda tidak normal, doktor mungkin akan merujukkan anda kepada doktor pakar (pakar urologi). Doktor pakar mungkin akan mencadangkan supaya anda mengambil ujian biopsi. Dalam ujian ini, pengesan ultrasound diletakkan di bahagian rektum untuk mencari kawasan yang tidak normal pada prostat. Contoh atau sampel daripada prostat (selalunya 6 atau lebih) diambil dan dihantar untuk dilihat dibawah mikroskop. Prosedur ini selalunya tidak menggunakan bius. Doktor akan memberi keterangan tentang prosedur ini. Biopsi adalah kaedah utama untuk mengetahui jika anda mangalami kanser prostat. Biopsi akan memberikan petunjuk atau indikasi bagaimana kanser tersebut boleh merebak dan kadar bahaya kanser tersebut (keagresifan). Ini dapat membantu untuk memilih kaedah rawatan.

Apakah kaedah rawatan masalah prostat dan kanser prostat?


Kaedah rawatan bergantung pada punca masalah dan tahap bahaya. Doktor akan memberi nasihat apakah tindakan terbaik yang perlu anda ambil . Jika prostat anda bengkak, ini tidak semestinya anda menghidap kanser. Benign prostatic hyperplasia (BPH) Masalah ini dapat diatasi dengan ubat atau pembedahan. Ubat dapat menukar tahap hormon, merelakskan atau mengecutkan prostat supaya ia tidak menekan uretra. Anda mungkin perlu mengambil ubat untuk beberapa bulan sebelum simptom masalah tersebut berkurangan. Anda perlu terus mengambil ubat sehingga simptom dapat dikawal dan perlu mendapat pemeriksaan doktor. Pembedahan mungkin dilakukan untuk membuang sebahagian daripada prostat supaya ia tidak lagi menekan uretra. Rawatan laser atau gelombang mikro juga mungkin digunakan. Prostatisis Selalunya prostatisis dirawat dengan antibiotik. Anda perlu mengambil antibiotik selama beberapa bulan. Sesetengah pesakit mungkin memerlukan pembedahan untuk menghalang prostat yang bengkak daripada menekan uretra.

Services
mendidik, menyokong dan memperkasa

Kanser prostat Kadangkala kanser prostat tidak memerlukan rawatan. Doktor akan sentiasa melakukan pemeriksaan untuk mengenal pasti perubahan yang berlaku. Rawatan akan dicadangkan apabila sel kanser telah merebak. Rawatan akan bergantung pada sejauh mana kanser telah merebak, umur dan tahap kesihatan pesakit. Jika sel kanser tidak merebak, pesakit mungkin akan menjalani pembedahan untuk membuang prostat ataupun radioterapi untuk membunuh sel kanser. Radioterapi boleh diberi melalui mesin (radioterapi sinaran luaran atau external beam radiotherapy) ataupun melalui pembedahan, apabila sumber radiasi diletakkan di bahagian yang hendak dirawat (brakiterapi). Jika sel kanser telah merebak, pesakit mungkin menjalani rawatan hormon untuk mematikan sel kanser atupun melemahkan sel tersebut. Sesetengah pesakit menjalani rawatan hormon untuk mengecutkan sel kanser sebelum menjalani rawatan brakiterapi. Pesakit mungkin memerlukan pendapat kedua sebelum memilih kaedah rawatan yang terbaik.

Terdapakah komplikasi rawatan?


Pembedahan dan radioterapi untuk kanser prostat mempunyai tiga komplikasi utama. Pertama, selalunya pesakit tidak lagi mengalami ereksi atau ketegangan zakar (mati pucuk) selepas pembedahan. Ini adalah disebabkan saraf yang menyebabkan ereksi melalui prostat. Dalam beberapa kes, agak sukar untuk mengelakkan daripada merosakkan saraf tersebut kerana kedudukan kanser. Kedua, selepas pembedahan, sesetengah pesakit mungkin akan kehilangan daya mengawal air kencing kerana otot dikeliling prostat telah rosak. Ketiga, rawatan radioterapi kadangkala akan menjejaskan usus.. Pesakit mungkin mengalami cirit-birit semasa rawatan atau kerosakan usus yang memerlukan rawatan. Terdapat bantuan awal untuk mengatasi komplikasi rawatan. Berbincanglah dengan doktor sebelum memilih kaedah rawatan atau sila hubungi KanHelp Line di 03-89472706. Perlukah saya menjalani pemeriksaan - walaupun saya tidak ada simptom? Memilih untuk membuat pemeriksaan adalah tindakan bijak. Beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat perbahasan yang menarik dan kadangkala kompleks tentang ujian untuk kanser prostat. Ada yang berpendapat bahawa lelaki yang mencapai peringkat umur tertentu perlu menjalani pemeriksaan berkala. Sesetengahnya berpendapat masalah ini adalah pilihan individu.

Services
mendidik, menyokong dan memperkasa

Pendapat kami adalah setiap lelaki patut mendapatkan maklumat yang mereka perlukan untuk membuat pemeriksaan. Berfikirlah dengan bijak. Hubungilah kaunselor di KanHelp Line di 03-89472706. Layari laman web di www.prostatehealth.org.au. Bercakaplah dengan pesakit kanser prostat. Berbincanglah dengan doktor. Pada masa sekarang, tidak ada ujian rutin untuk kanser prostat kerana tidak ada bukti yang kukuh untuk mencegah kematian disebabkan oleh kanser prostat. Ini tidak bermakna ujian yang dilakukan tidak berkesan, jadi anda digalakkan supaya menjalani ujian. Anda perlu membuat pilihan. Kami mencadangkan supaya anda mendapatkan maklumat yang terbaik . Untuk maklumat lanjut, sila hubungi KanHelp Line di 03-8947 2706. Perkhidmatan ini merupakan perkhidmatan sulit yang dikendalikan oleh jururawat kanser.

03-8947 2706 http://www.cancereducation.org.my/ http://www.ipsas.upm.edu.my/kanwork/

KanWork

Cancer Resource Centre Aras G, Bersebelahan Pusat Sumber Diabetes, Hospital Putrajaya, Putrajaya, Malaysia. +603-8312 4200 ext 1105

Dengan kerjasama:

Diterjemah daripada penerbitan:


Penterjemah: Ika

Projek Usahasama CaEd, Malaysia dan The Cancer Council Victoria, Australia

Anda mungkin juga menyukai