Anda di halaman 1dari 18

1

1.0 PENDAHULUAN

Kebudayaan merupakan sesuatu yang dinamik, sentiasa berubah-ubah melalui proses
penyerapan dan penyesuaian secara berterusan. Prinsip ini bertepatan dengan situasi penduduk
berbilang kaum yang mewarisi pelbagai budaya. Kesesuaian penerimaan dalam penyerapan ini
adalah bergantung kepada tidak wujudnya percanggahan dengan Perlembagaan dan prinsip-
prinsip Rukun Negara dan kepentingan nasional serta asas-asas moral dan kerohanian sejagat
pada amnya dan pada Islam sebagai agama rasmi negara khasnya. Cabaran dan ancaman dalam
melestarikan kebudayaan Melayu dapat dilihat dengan jelasnya dari aspek sosial. Antara cabaran
dan ancaman sosial yang menyebabkan kebudayaan Melayu sukar untuk dilestarikan adalah
dalam pengamalan adat istiadat dan kepercayaan masyarakat Melayu kini, pendidikan, dan
sistem kekeluargaan pada hari ini. Masyarakat hari ini lebih terpengaruh kepada cara berfikir
yang dianggap moden iaitu berfikiran terbuka. Pemikiran yang terbuka ini dapat kita lihat dalam
kepercayaan masyarakat kita terhadap perkara-perkara yang digelar pantang larang, petua dan
lain-lain. Kebiasaannya, pantang larang dianggap sebagai sesuatu hukum dalam masyarakat
Melayu yang wajib dipatuhi dan akan mengakibatkan kesan yang tidak diingini oleh seseorang
sekiranya melanggar pantang larang itu. Cara berfikir seperti ini sudah mula berubah sejak
kedatangan barat dan menganggap perkara-perkara ini lebih kepada karut. Masyarakat hari ini,
terutamanya golongan belia sudah tidak mahu mengikut adat atau kepercayaan yang diamalkan
oleh masyarakat Melayu sejak zaman dahulu kerana dianggap akan dipandang kolot oleh rakan-
rakan sebaya mereka.
Pada hari ini, pendidikan adalah satu perkara yang paling diutamakan oleh semua
individu kerana tanpa pendidikan seseorang sukar untuk menonjolkan diri dalam kehidupan
sebenar dan mungkin sukar untuk menyara kehidupannya sendiri. Oleh itu, masyarakat hari ini
bertungkus lumus mencari pendidikan yang sempurna untuk tujuan tersebut. Namun begitu,
tanpa kita sedar, sebenarnya masyarakat hari ini kurang menekankan pendidikan yang
memfokuskan terhadap kebudayaan Melayu. Hal ini sedikit sebanyak dapat menenggelamkan
kebudayaan Melayu yang semakin hari semakin kurang difahami dan dikenali oleh golongan
muda pada hari ini terutamanya.
Menurut Chandra Muzaffar, institut pengajian tinggi pada masa kini lebih cenderung
untuk memberi keutamaan kepada kursus-kursus ilmu pengurusan dan teknik berbanding kursus-
2

kursus ilmu kemanusiaan dan kemasyarakat. Justeru, tidak hairanlah pada hari ini golongan belia
lebih fokus untuk mengejar karier mereka berbanding memilih jurusan yang berkaitan tentang
kemanusiaan dan kemasyarakat. Hal ini sedikit sebanyak menyebabkan golongan yang lemah
dalam pelajaran tidak mendapat peluang untuk menuruskan pengajian mereka ke peringkat yang
lebih tinggi kerana tiadanya kursus yang menekankan tentang ilmu kemanusiaan dan
kemasyarakat. Sebenarnya, jika kursus sebegini diperkenalkan, sudah pasti Negara dapat
melahirkan golongan belia yang mahir tentang kebudayaan Melayu sekali gus dapat
memperkembangkan budaya Melayu pada generasi yang berikutnya. Jika hal ini berlaku, kita
boleh menarik nafas lega jika suatu hari nanti kita kehilangan golongan yang telah banyak
mempertahankan budaya Melayu di Negara ini.
Selain daripada itu, pendidikan daripada teknologi juga adalah satu sumber pendidikan
yang tidak kurang pentingnya kepada masyarakat pada hari ini. Internet, umpamanya,
membolehkan penggunanya menimba segala jenis ilmu pengetahuan dan maklumat dengan
mudah, tetapi pada masa yang sama ia mengandungi banyak sekali maklumat yang bersifat
destruktif, tidak bermoral dan bertentangan dengan nilai-nilai budaya dan etika umat
beragama. Pendedahan kanak-kanak, golongan remaja dan orang dewasa kepada bahan-bahan
yang bersifat erotik dan lucah di dalamnya boleh menimbulkan sindrom ketagihan yang bakal
merosakkan peribadi dan moral para penagihnya. Begitu mudah dan cepat sekali bahan
pornografi atau laman adult berada di depan mata untuk menggugat iman seseorang pengguna
hanya dengan beberapa taipan kata kunci pada papan kekunci lalu diklik pada tetikus untuk
melakukan dosa di hujung jari.
Baru-baru ini masyarakat Malaysia dikejutkan dengan penemuan Badan Bertindak
Kesedaran Penderaan Seksual Kanak-Kanak betapa kanak-kanak dengan mudah terdedah
kepada 1.5 juta laman web lucah. Di samping itu kita diberitahu bahawa wujud 33 juta laman
pornografi yang dikunjungi setiap hari oleh pengguna Internet seluruh dunia.
Abd. Basit Bin Samat dan Mohd Rajiee Bin Idris, Fakulti Pendidikan Sains Sukan Universiti
Teknologi Malaysia.
Berdasarkan bukti yang dinyatakan oleh Abd. Basit bin Samat dan Mohd Rajiee bin
Idris, jelaslah bahawa pendidikan juga dapat menjadi ancaman dan cabaran dalam melestarikan
kebudayan Melayu jika masyarakat hari ini tidak bijak menggunakannya. Pendidikan yang
3

sebenarnya sangat bernilai kepada individu akan menjadi satu titik hitam yang paling hebat jika
kita tidak pandai mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.
Budaya Melayu sangat mementingkan institusi kekeluargaan. Sejak dahulu lagi, orang
Melayu sangat menjaga perkara ini sehinggakan ada yang meletakkan institusi kekeluargaan
adalah sesuatu yang bernilai dalam kehidupan. Oleh hal yang demikian, sangat sinonim dengan
orang Melayu jika disebutkan setiap individu perlu menjaga maruah keluarga daripada
tercemar. Hal ini sebenarnya sedikit sebanyak menyebabkan masyarakat Melayu berusaha untuk
menjaga nama baik keluarga masing-masing agar tidak tercemar dengan gejala sosial yang
negatif. Namun begitu, sejak akhir-akhir ini, Negara sering dihujani dengan berita negatif
tentang isu pembuangan bayi dan seumpanya dengannya. Hal ini sebenarnya terjadi akibat
pengaruh kuat daripada barat yang telah banyak mengubah sistem institusi kekeluargaan di
negara mereka. Beberapa bulan yang lalu, barat mula menggantikan institusi kekeluargaan dan
mengiktiraf bersekedudukan tanpa nikah, pasangan sejenis, keibubapaan tunggal, kehidupan
berkelompok, dan didikan anak secara professional. Perkara ini tidak sesuai sama sekali dengan
masyarakat Melayu yang rata-rata beragama Islam di Malaysia.
Walaupun perkara ini masih belum berleluasa di Malaysia, namun masyarakat sudah
mula terdedah dengan perkara yang tidak sewajarnya berlaku di dunia ini. Hal ini sedikit
sebanyak menyebabkan perkara yang berlaku di barat ini telah melanda masyarakat Melayu
seperti pengguguran, kehamilan luar nikah dan pembuangan bayi. Namun, perkara yang
membimbangkan adalah kesan pengaruh ini terhadap masyarakat kita seperti kemerosotan nilai-
nilai kekeluargaan dalam kalangan generasi muda. Jika perkara ini terus menjadi barah dalam
masyakat Melayu hari ini, kebudayaan Melayu yang pada asalnya dikenali sebagai masyarakat
yang bersopan santun serta bermaruah tinggi akan dipandang serong.








4

2.0 KONSEP KEBUDAYAAN MELAYU

Menurut Nik Safiah Haji Abdul Karim (1963), perkataan budaya berasal daripada
cantuman perkataan Sanskrit dan Melayu, iaitu 'budhi' dan 'daya. Perkataan 'budhi' yang
dipinjam daripada bahasa Sanskrit bererti kecergasan fikiran dan akal. Perkataan 'daya' pula
ialah perkataan Melayu Polinesia yang bermakna kekuatan kuasa, tenaga dan pengaruh. Jika
dicantumkan kedua-dua perkataan tersebut, budaya membawa maksud tenaga fikiran, usaha
rohani atau kuasa menggerakkan jiwa.
Kamus Dewan (2005), pula mendefinisikan budaya sebagai kemajuan fikiran, akal budi
atau cara berfikir, berkelakuan dan sebagainya. Tegasnya, budaya boleh didefinisikan sebagai
suatu cara hidup yang diamalkan oleh kumpulan tertentu dan meliputi sistem sosial, susunan
organisasi ekonomi, politik, agama, kepercayaan, adat resam, sikap dan nilai. Dictionary of
Philosophy (1996), memberikan maksud budaya sebagai
"The way of life of people, including their attitudes, values, beliefs, arts, sciences, modes
of perception, and habits of thought and activity. Cultural features of forms of life are learned
but are too pervasive to be readily noticed from within"
Pengertian masyarakat pula boleh dilihat dari berbagai-bagai sudut. Dalam penggunaan
harian, masyarakat difahamkan sebagai kelompok individu. Secara umum, masyarakat itu dapat
difahamkan sebagai satu kesatuan kelompok manusia yang mempunyai interaksi dalam sistem
hidup yang tertentu. Menurut Sabree Hussien (2009) , dalam artikelnya yang bertajuk Konsep
Masyarakat dalam Hubungan Etnik, masyarakat membawa maksud kumpulan manusia yang
hidup bersama di sesuatu tempat dengan aturan dan cara tertentu. Individu, keluarga dan
kumpulan-kumpulan kecil merupakan anggota sesebuah masyarakat.
Vatoni LV (2012), dalam sebuah laman sesawang ada menyatakan kebudayaan sangat
erat hubungannya dengan masyarakat. Menurutnya lagi, Melville J. Herskovits dan Bronislaw
Malinowski mengemukakan bahawa segala sesuatu yang terdapat dalam masyarakat ditentukan
oleh kebudayaan yang dimiliki oleh masyarakat itu sendiri. Menurut Edward Burnett Tylor,
kebudayaan merupakan keseluruhan yang kompleks, yang di dalamnya terkandung pengetahuan,
kepercayaan, kesenian, moral, hukum, adat istiadat, dan kemampuan-kemampuan lain yang
didapati seseorang sebagai anggota masyarakat.

5

3.0 PENGARUH LUAR DALAM KEBUDAYAAN MELAYU DARI SUDUT SOSIAL

Jurai sejarah Melayu yang panjang memunculkan kepelbagaian budaya dan akhirnya
tergabung untuk membentuk satu kesatuan budaya Melayu. Kesatuan budaya Melayu ini,
sepertimana yang dikatakan oleh Robert J. Wolf, Barangkali kebudayaan Melayu adalah seperti
ini, ia merupakan sebuah almari yang di dalamnya terkandung pemberian-pemberian daripada
lain-lain kebudayaan, yang tidak tersusun dalam satu-satu susunan tertentu. Tidak ada hubungan
antara barang-barang di atas satu tingkat dengan yang di atas tingkat yang lain ataupun
perkaitan antara barang-barang yang di atas tingkat yang sama pun. Tetapi kesemua barang-
barang itu adalah kepunyaan seorang inividu. (Mohd. Taib Osman, 1981).

3.1 PENYERAPAN BUDAYA LUAR
Hal ini memperlihatkan bahawa kebudayaan Melayu telah menyerap pelbagai bentuk
kebudayaan baik dari segi hubungan dalaman iaitu budaya-budaya dari alam Melayu mahupun
dari segi hubungan luaran iaitu budaya-budaya di luar alam Melayu. Pada peringkat awal
kesatuan budaya Melayu berkisar kepada kesatuan antara budaya-budaya dari alam Melayu.
Maka terlihat pengaruh Champa-Thai dalam persembahan Makyong, Menora dan Wayang Kulit
di pantai timur semenanjung. Bahkan unsur utama melahirkan Mak Yong iaitu semangat padi,
berasal dari nama Mak Hiang di utara turut mempunyai persamaan dengan jalur-jalur budaya di
wilayah Melayu yang lain. Contohnya di Jawa semangat padi ini disebut sebagai Dewi Seri, yang
juga mempunyai bentuk persembahan yang sama. Begitu juga pengaruh Jawa dalam seni
persembahan dan seni muzik seperti gamelan di Palembang dan juga di Riau. Hubungan antara
etnik rumpun Melayu ini saling berinteraksi untuk membina sebuah kesatuan budaya Melayu
nusantara.
Peringkat kemudiannya menyaksikan kesatuan budaya Melayu menerima pengaruh-
pengaruh luar yang datang baik sebagai pedagang mahupun ekspedisi ketenteraan. Maka terlihat
hubungan luaran yang menyerap masuk ke dalam budaya Melayu dan akhirnya membina
kesatuan budaya Melayu yang lebih pelbagai, luas dan universal. Muncullah pengaruh budaya
India dalam seni persembahan seperti wayang kulit, ketoprak, kecak, barongan; adat
perkahwinan seperti berinai, bersanding; adat pertabalan raja serta adat dalam mengerjakan
pertanian dan sebagainya. Interaksi dengan pedagang Arab-Islam melahirkan pengaruh budaya
6

Islam Arab dan Parsi seperti dalam tarian hadrah, rodat, dabus, dan zapin; dalam seni
persembahan seperti marhaban, ghazal, boria, stambul dan bangsawan (berasal dari wayang
Parsi); seni muzik seperti nobat, gambus, dan rebana; amalan perkahwinan, amalan kehidupan
seperti menyambut aidilfitiri, bercukur, menyambut maulidur rasul dan sebagainya. Sementara
pengaruh Portugis dapat dilihat dalam tarian joget dan lagu keroncong. Termasuk juga di sini
ialah pengaruh dalam budaya makanan dan pakaian.

3.2 KESAN PENYERAPAN BUDAYA LUAR
Kesatuan dalam budaya Melayu memperlihatkan hubungan dalaman dan hubungan
luaran yang saling memberi dan menerima untuk membina sebuah kesatuan budaya yang unik
dan kukuh. Kesatuan budaya Melayu adalah sebuah ruang yang dinamik, fleksibel dan sinkretis
sifatnya. Dalam pada itu kesatuan budaya Melayu adalah sebuah ruang yang hidup dan masih
menerima masukan pengaruh sehingga kini (untuk masa ini ialah pengaruh budaya moden Barat)
dan terbuka kepada perkembangan dan perubahan sepanjang masa sehingga ke hari ini.
Bertolak pula kepada sudut pandang Melayu yang melibatkan nilai sosial, nilai emosi dan
nilai logik, ia menjelaskan tentang dunia pemikiran dan falsafah masyarakat Melayu terhadap
kesatuan budaya yang wujud dalam alam Melayu ini. Dari sudut nilai sosial (etos), masyarakat
Melayu menyusun organisasi sosialnya berasaskan unit keluarga. Susunan yang disebut sebagai
primate order ini menyaksikan perkembangan masyarakat bermula daripada unit keluarga,
kerabat, keturunan, sehingga kepada ras etnik. Organisasi sosial ini bermula dari unit-unit
perkampungan, pekan, pelabuhan, bandar sehingga kepada negeri-negeri. Nilai sosial daripada
susunan begini dilihat berhubung rapat dengan persekitaran ekologi serta alam fauna dan flora.
Maka nilai sosial yang terbentuk daripada alam pertanian ini membentuk sistem kepercayaan
kepada semangat alam (tumbuhan, galian dan kosmologi).
Pada zaman pra-Islam masyarakat alam Melayu ini mempercayai tentang hubungan
manusia dengan alam roh, yang diangkat sebagai alam suci. Prinsip kesucian ini adalah
berdasarkan konsep kepercayaan kepada Dewa Tunggal (Supreme Being) yang mengatur
kehidupan manusia. Maka terbentuk beberapa nilai sosial yang asas daripada prinsip kesucian ini
yakni: mempunyai dewata raya yang berkuasa ke atas kehidupan manusia; mempunyai adat
kebiasaan yang berisi nilai-nilai luhur; mempunyai atur cara atau kitab penuntun kehidupan
(kitab dalam bentuk lisan dan bertulis dalam bentuk tablet dsbnya); mempunyai hukum penegak
7

keadilan dan kesucian hidup, serta pelaksanaan kepatuhan masyarakat terhadap pemimpin.
Dalam praktik kehidupan masyarakat pra-Islam ini mempercayai kehidupan dan kematian adalah
di bawah kuasa dewata raya. Maka di atas kepercayaan tentang kuasa dewata raya itu,
masyarakat membuat hubungan dengannya untuk memohon kebahagiaan serta keselamatan
hidup jasmani dan rohani. Dalam masa yang sama mereka mempercayai kewujudan kuasa-kuasa
jahat yang sentiasa berusaha untuk menghancurkan kebahagiaan dan keselamatan mereka. Maka
muncullah upacara-upacara untuk memohon keselamatan daripada kuasa jahat, perlawanan
terhadap kuasa jahat dan kesyukuran terhadap kemenangan mengalahkan kuasa jahat. Dalam
praktik upacara ini lahirlah bentuk-bentuk persembahan berbentuk teaterikalisasi dan
muzikalisasi. Dalam masa yang sama juga bentuk upacara atau ritual berkaitan kehidupan
mereka seperti mencari rezeki, menyambut kelahiran, perkahwinan, membina petempatan,
perubatan, kematian dan sebagainya turut membentuk budaya persembahan teater-lakon dan
muzik-nyanyian.
Dasar kepada nilai sosial ini kemudian berkembang dengan kemasukan nilai Hindu-
Buddha. Nilai Hindu Buddha ini merangkumi sistem agama Hindu, amalan-amalan yang
berbentuk ritual, kesusasteraan, adat istiadat diraja dan susunan pentadbiran serta undang-
undang, perbendaharaan kata Sanskrit dan mitos-mitos tentang kosmos. Pengaruh terbesar agama
ini ialah dari segi mewujudkan satu pandangan hidup baru yang berasaskan doktrin kosmologi.
Menurut dasar kosmologi ini, kosmos atau alam semesta ini mempunyai dua bahagian:
makrokosmos dan mikrokosmos, ayau alam ghaib dan alam nyata. Sesuai dengan cita-cita
tertinggi agama Hindu untuk melenyapkan kesengsaraan itu ialah dengan bersatu kembali antara
atman dengan Brahman, maka tujuan tertinggi bagi pandnagan hidup seperti ialah untuk
mencapai keharmonian antara makrokosmos dengan mikrokosmos. Raja merupakan pusat
kekuatan kosmos, atau penghubung antara kedua-dua bentuk kosmos tersebut. Dari sinilah
timbulnya konsep Dewaraja iaitu raja dianggap sebagai keturunan atau penitisan dewa Buddha-
Mahayana. (Abdul Rahman Haji Abdullah, 1990). Kedudukan sebagai Dewaraja inilah yang
mewujudkan sistem feudalisme-asiatik yang melahirkan taat setia rakyat secara membuta tuli
terhadap raja.
Pengaruh India ini juga turut menyebarkan dalam senibina. Istana raja telah dibina di
tengah-tengah ibu negeri, dan lazimnya dibina di kawasan yang lebih tinggi sebagai satu replika
pergunungan kosmik yang dikenali sebagai Mahameru. Gunung Mahameru ini dipercayai
8

merupakan tempat tinggal atau rumah tuhan yang terletak di tengah-tengah alam semesta (S.
Singaravelu, 1993). Menurut doktrin Hindu, alam semesta ini terdiri daripada Jambudvipa,
sebuah benua berbentuk lingkaran yang dikelilingi oleh tujuh buah samudera, tujuh buah benua
lain yang ditutup oleh gunung-gunung besar. Di tengah-tengah alam semesta berdirilah Gunung
Mahamera, Gunung Kosmos yang dikelilingi oleh matahari, bulan dan bintang (Robert Heine-
Geldern). Pengaruh kosmologi Hindu ini mewujudkan ciri-ciri senibina yang bukan sahaja
melambangkan doktrin kosmologi ini tetapi juga aturan sosial yang berkasta-kasta dalam
masyarakat. Pengaruh India ini juga meninggalkan kesan yang amat besar dari segi bahasa dan
kesusasteraan sehingga ke hari ini. Bahasa Melayu telah mengalami penyerapan besar-besaran
bahasa Sanskrit, dan turut juga membawa susastera India yang besar seperti Ramayana dan
Mahabratta. Walau bagaimanapun penyerapan pengaruh India ini boleh dikatakan hanya berlegar
di sekitar istana, dan diolah kepada penyesuaian amalan tradisi masyarakat peribumi apabila
keluar dari lingkungan istana. Maka itu pengaruh Hindu-Buddha hanya meninggalkan pengaruh
dari segi aturan sosial tetapi tidak kepada aturan kepercayaan masyarakat peribumi.
Dan akhir sekali nilai sosial ini menjadi lebih tersusun dengan munculnya Islam untuk
menjadi nilai asas kepada masyarakat Melayu. Islam membawa rasionalisme dan pengetahuan
akliah serta menegaskan satu bentuk sistem masyarakat yang berdasarkan kebebasan, keadilan,
dan kemuliaan keperibadian insan. Peraturan keagamaan dan kemurnian batin serta ilmu
(tasawuf) mengenainya tersebar luas dan mencengkan dalam sanubari masyarakat Melayu. Islam
membawa semangat rasional dan intelektualisme bukan sahaja di kalangan raja-raja dan
golongan bangsawan tetapi juga menyebar di kalangan rakyat jelata. Ini terbukti daripada
risalah-risalah yang ditulis berdasarkan keperluan umum. Risalah-risalah tasawuf dan agama
Islam ini ditulis berdasarkan ilmu yang merangkumi bidang ontologi, kosmologi, psikologi,
sejarah, siasah, etik dan estetika yang cukup saintifik dan sosficated, bahkan mencapai tingkat
serius dan rasional yang tinggi. Islam menekan tentang hakikat manusia sebagai kepunyaan
Allah s.w.t, dan dengan itu harus mengabdikan dirinya melakukan suruhan-Nya serta mendapat
balasan dari-Nya. Maka itu din (agama) merujuk kepada menyerahkan diri kepada pengabdian
terhadap Allah s.w.t. Din berkait rapat dengan ketetapan semulajadi manusia untuk menyerah
dan menyembah Allah s.w.t, yang kemudian membentuk kebiasaan, budaya, dan peraturan yang
berasaskan wahyu-Nya. Dalam konteks ini din merujuk kepada keadaan semulajadi maujud
(natural state of being) yang disebut sebagai fitrah. Fitrah adalah corak dan bentuk setiap
9

kewujudan yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. Contohnya secara fitrah biji akan
menumbuhkan pokok, bukan haiwan atau galian. Ini kerana fitrahnya biji itu akan menjadi
pokok. Begitu juga dengan fitrah manusia bahkan seluruh kewujudan semesta ini, ia datang
daripada-Nya dan kembali kepada-Nya. Maka dalam konteks ini din adalah fitrah, iaitu aturan
dan baiat pengabdian manusia kepada penciptanya. Pengabdian ini (sunnat-Allah) membawa
kesejahteraan sebaliknya pengingkaran akan membawa kehuru haraan. Penyerahan dalam
konteks din Islam ini ialah penyerahan yang bersifat menyeluruh, mutlak, dan abadi merujuk
kepada apa yang disebut sebagai aslama.
Nilai-nilai Islam ini seterusnya membentuk zaman baru yang melahirkan tamadun-
tamadun Islam-Melayu di alam nusantara ini. Budaya-budaya yang berasaskan pengaruh Hindu-
Buddha dan kemudiannya Islam ini turut melahirkan bentuk-bentuk persembahan teater-lakon
dan muzik-nyanyian yang menjadi budaya masyarakat. Di samping ia turut melahirkan bentuk
budaya baru yang didatangkan dari negeri-negeri yang menyebarkan pengaruh agama dan politik
tersebut. Sehingga kini terlihat jelas bahawa nilai-nilai Islam telah menjadi asas kepada nilai
sosial masyarakat Melayu dan seterusnya menjadi kanta besar kepada sudut pandang Melayu.
Dalam ertikata lain Islam adalah etos masyarakat Melayu.

4.0 KEBUDAYAAN MELAYU DALAM FILEM

4.1 ANAK MAMI KEMBALI (AMK)
Anak Mami Kembali (AMK) yang merupakan filem komedi romantik arahan Razak
Mohaideen telah mencatatkan kutipan sebanyak RM 2 juta (Utusan Malaysia, 3 Januari 2006).
Kejayaan AMK meraih kutipan yang tinggi terletak kepada populariti Saiful Apek sebagai
pelakon komedi yang terkenal disamping pendekatan melodrama dan komedi yang digunakan
dalam penyampaian keseluruhan cerita tersebut. Seperti kebanyakan filem-filem yang terdapat di
Malaysia, pengarah masih menggunakan tema percintaan untuk filem arahan beliau. Tema
percintaan dalam penghasilan filem-filem di Malaysia sudah sebati dan seolah-olah telah
menjadi tradisi dalam industri filem tempatan. AMK secara asasnya mengenengahkan tema
percintaan terhalang yang wujud akibat daripada ketaksuban ibu untuk menentukan jodoh anak-
anaknya bagi memastikan rumah tangga anak-anak berkekalan.
10

Plot cerita AMK menggunakan plot cerita klasik yang menunjukkan bagaimana watak-
watak dalam filem tersebut berkembang dan menghadapi komplikasi di pertengahan cerita dan
berakhir dengan happy ending. Representasi gender, lelaki dan wanita dalam filem AMK
mempunyai kaitan dengan amalan patriaki dalam sesebuah masyarakat. Sistem patriaki
beroperasi untuk mengekalkan dominasi dan kekuasaan golongan lelaki untuk memperlihatkan
status sosial dan kedudukan yang lebih tinggi daripada golongan wanita.
Nilai-nilai patriaki yang menjadi fokus utama filem tersebut menggambarkan secara
umum idea dan nilai berkaitan lelaki dan wanita dalam masyarakat yang telah
distereotaipkan dan perlu diterima umum. Golongan wanita digambarkan dengan
kepelbagaian watak dan sifat yang negatif manakala watak-watak lelaki pada kebanyakan
masa digambarkan mempunyai sifat yang positif.

4.2 WATAK-WATAK DAN NILAI SOSIAL
Mak Bee sebagai watak utama cerita tersebut, seorang ibu tunggal yang juga bertindak
sebagai ketua keluarga digambarkan sebagai seorang ibu yang terlalu cerewet serta
mengongkong kehidupan kedua-dua anaknya. Walaupun pemilihan watak Mak Bee sebagai
ketua keluarga boleh disifatkan sebagai pengiktirafan terhadapan kedudukan wanita dalam
institusi keluarga, namun ciri-ciri watak yang diberikan kepada Mak Bee sebenarnya mempunyai
stereotaip yang negatif mengenai seorang wanita. Mak Bee secara umumnya digambarkan
sebagai seorang yang terlalu cerewet terutamanya berkaitan dengan pemilihan jodoh anak-
anaknya. Anak-anak beliau, Saiful dan Ida seringkali dijadikan bahan leteran. Kedudukan dan
kebendaan menjadi kriteria utama pemilihan jodoh untuk anak-anaknya sekaligus
menggambarkan perasaan tamak yang ada pada Mak Bee.
Watak Mak Leha juga digambarkan sebagai seorang ibu yang taksub untuk mencari
jodoh yang terbaik untuk anak gadis tunggalnya. Pendapat suaminya tidak pernah diambil kira
dalam perbincangan mengenai soal jodoh anaknya. Beliau digambarkan sebagai seorang ibu
yang in-control dalam menguruskan rumah tangga beliau. Dalam soal menentukan jodoh, Mak
Leha digambarkan sebagai seorang ibu yang garang, terlalu mengongkong dan tidak sensitif
terhadap perasaan anaknya. Anaknya Fasha, telah dipaksa untuk mengikut setiap kata-katanya
dalam soal pemilihan jodoh. Walaupun kedua-dua watak ini digambarkan sebagai wanita yang
seolah-olah berkuasa dalam keluarga masing -masing, kedua-dua watak ini bagaimanapun
11

digambarkan sebagai tidak rasional dan tidak dapat memahami perasaan anak-anak
masing-masing. Akibatnya, mereka digambarkan sebagai seorang ketua keluarga yang tidak
dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik. Keadaan ini sekali gus mencadangkan bahawa
seorang wanita, tidak seharusnya menjadi ketua keluarga.
Selain watak Mak Bee dan Mak Leha yang digambarkan sebagai ibu yang terlalu
mengongkong, materialistik, cerewet dan tidak rasional, wanita dalam filem AMK juga
digambarkan sebagai lemah malah isu berkaitan mereka tidak dipandang serius. Watak Fasha
digambarkan sebagai seorang isteri yang sangat taat kepada suaminya dan banyak memendam
perasaan sedih setelah berumahtangga dengan Saiful. Apabila Fasha meluah perasaan tidak
puas hatinya terhadap kehidupan berumahtangga beliau yang terkongkong dan terikat dengan
kehendak ibu mertuanya (Mak Bee), perkara ini tidak pernah diambil serius oleh Saiful. Respons
yang diberikan oleh Saiful sering kali dalam bentuk lawak jenaka menunjukkan
ketidaksungguhan beliau untuk menangani masalah tersebut. Pada kebanyakan masa, Fasha
diminta bersabar dan memendam rasanya dan mentaati suaminya, walaupun keadaan tersebut
dilihat tidak adil bagi Fasha. Bentuk lawak jenaka digunakan untuk mengaburi masalah dan
meremehkan konflik yang dihadapi oleh wanita. Sebaliknya penonton diajak berhibur dan tidak
memikirkan mesej lain yang dibawakan dalam filem tersebut.
Nilai patrtiaki diperkukuhkan dalam filem AMK melalui sikap Mak Bee terhadap Ida,
anak perempuannya yang tidak menunjukkan minat untuk menguruskan hal-hal rumahtangga.
Dalam AMK, perkara ini amat ditekankan oleh pengarah yang mana terdapat beberapa babak
dalam cerita tersebut yang mencadangkan tempat yang paling sesuai untuk seorang wanita
adalah di dapur sahaja. Ida, seringkali dimarahi oleh Mak Bee kerana tidak menunjukkan minat
untuk menguruskan hal-hal rumah tangga dan masak-memasak sebaliknya lebih berminat
untuk mempelajari komputer. Mak Bee seringkali menempelak Ida dengan mengatakan bahawa
mempelajari komputer tidak membawa sebarang manfaat kerana komputer tidak membolehkan
Ida menguruskan hal-hal rumah tangga sekaligus mencadangkan kemahiran yang perlu ada pada
seorang wanita terutamanya sebelum mendirikan rumahtangga hanya pengetahuan dan skil
berkaitan dengan hal-hal domestik yang dilihat dapat menjamin kebahagian rumah tanggga.
Konflik di antara minat Ida yang cenderung untuk mempelajari komputer dan kehendak Mak
Bee supaya Ida memperlengkapkan dirinya dengan pengetahuan hal rumah tangga
menunjukkan kontradiksi nilai dan pemikiran generasi tua. Mak Bee ditunjukkan
12

mempunyai pandangan yang konservatif. Manakala Ida yang mewakili generasi muda,
digambarkan sebagai bersifat lebih terbuka dan liberal. Namun dalam filem ini, pandangan
konservatif mengenai nilai-nilai berkaitan lelaki dan wanita dilihat mendominasi plot cerita
sekaligus menolak pandangan yang lebih bersifat liberal dan terbuka mengenai kedudukan dan
peranan lelaki dan wanita dalam masyarakat tempatan.
Selain itu pendominasian golongan lelaki AMK juga ditunjukkan melalui watak
Tok Wan, bapa kepada Mak Bee, digambarkan sebagai seorang yang rasional dan memahami
kedua-dua cucunya. Watak Tok Wan sering kali digambarkan sebagai penyelamat keadaan,
yakni orang tengah yang banyak membantu untuk menyelesaikan konflik Mak Bee dengan anak-
anaknya. Tok Wan digambarkan sebagai watak yang mempunyai fikiran terbuka dan sensitif
terhadap semua masalah yang dihadapi oleh cucu-cucunya. Walaupun dalan filem tersebut Tok
Wan bukanlah seorang ketua keluarga tetapi dalam kebanyakan hal, Tok Wan digambarkan
sebagai pemberi pendapat yang bernas dan berupaya menyelesaikan pelbagai masalah yang
melanda keluarga Mak Bee. Watak ini dilihat sebagai sengaja dikontraskan dengan watak Mak
Bee yang dipaparkan dengan pelbagai sikap yang negatif untuk menyuntik idea bahawa lelaki
seorang yang rasional dan mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik berbanding
dengan wanita. Keadaan ini sekaligus mencadangkan golongan lelaki layak untuk menjadi
ketua keluarga yang baik dan berwibawa.
Amalan patriaki dalam masyarakat yang membezakan antara lelaki dan wanita
digarapkan dalam cerita ini melalui sikap double standard yang diamalkan oleh Mak Bee dalam
menangani masalah anak-anaknya. AMK meletakkan double standard terhadap pemaparan watak
Saiful dan Ida. Dalam diam-diam , Saiful dan Ida sebenarnya telah pun mempunyai pilihan hati
masing-masing. Walau bagaimanapun filem tersebut menggambarkan perhubungan tersembunyi
antara Saiful dan kekasihnya dilihat sebagai sesuatu yang natural, yakni, adalah natural untuk
seorang lelaki mencintai wanita dan meluah rasa isihatinya. Tetapi apabila watak perempuan,
Ida, adik Saiful, menemui kekasihnya secara sembunyi dan meluah isi hatinya, ia dilihat sebagai
sesuatu yang tidak manis, malah Ida dipersalahkan dalam hal ini. Peranan lelaki sebagai
pelindung wanita juga diperkukuhkan apabila adegan pertemuan rahsia antara Ida dan teman
lelakinya diketahui oleh abang Ida, Saiful. Teman lelaki Ida juga turut dimarahi oleh Saiful
yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga maruah adik perempuannya. Walau bagaimanapun
setelah dijelaskan oleh teman lelaki Ida akan kesungguhan beliau untuk memperisterikan Ida,
13

Saiful akhirnya membenarkan mereka meneruskan hubungan. Apabila Mak Bee mendapat tahu
bahawa anak perempuannya mempunyai kekasih dalam diam, Mak Bee telah bertindak memukul
dan memaki hamun Ida dengan pelbagai kata-kata yang kasar dan mengurung Ida dalam bilik
dan merampas telefon Ida sebagai hukuman kerana mempunyai kekasih pilihan hatinya sendiri
dan mengingkari larangan Mak Bee. Keadaan ini jelas menunjukkan amalan double
standard oleh filem ini yang mana ia mengesahkan hubungan percintaan antara pilihan hati
Saiful sebaliknya menidakkan hubungan percintaan pilihan Ida. Keadaan ini sebenarnya
memberi gambaran bahawa, lelaki lebih bebas membuat keputusan dalam kehidupan berbanding
dengan wanita.
Pemaparan yang sebegini jelas menunjukkan layanan double standard terhadap watak
Saiful dan Ida. Walaupun situasi yang dihadapi oleh kedua-dua watak ini adalah sama, tetapi
layanan yang berbeza telah diberikan kepada kedua-dua watak ini. Ida telah digambarkan
sebagai seorang anak yang menderhaka kepada ibunya kerana mempunyai pilihan hatinya
secara diam-diam dan tidak menunjukkan minat untuk mempelajari selok-belok menguruskan
hal-hal rumah tangga sebaliknya memilih untuk memahirkan dirinya dengan komputer dan
teknologi yang digambarkan sebagai sesuatu yang seolah-olah di luar kebiasaan bagi seorang
wanita dan wajar menerima hukuman untuk tidak membenarkan Ida keluar rumah. Manakala
watak Saiful yang berpelajaran tinggi dan juga mempunyai pilihan hatinya secara diam-diam,
tidak pula digambarkan sebagai seorang anak yang menderhaka dan tidak dikenakan hukuman.

4.3 KESAN SOSIAL
Secara keseluruhannya kejayaan filem ini terletak kepada populariti pelakon-pelakon
yang sebenarnya telah menempah nama dalam industri filem tempatan. Tambahan, pendekatan
melodrama yang diselitkan dengan adegan tarian dan muzik serta tema percintaan yang
digunakan dalam filem ini menyamai pendekatan yang telah digunakan dalam kebanyakan filem-
filem Melayu sekitar tahun 1950-an dan 1960-an (Heide 2002: 235) dilihat sebagi satu formula
yang berjaya dalam menghasilkan produk selamat yang bertindak mengesahkan keadaan serta
nilai-nilai kekeluargaan masyarakat tempatan. Dalam filem AMK, sekali lagi nilai-nilai patriaki
yang membeza-bezakan kedudukan lelaki dan wanita menjadi penggerak kepada keseluruhan
plot filem ini. Kelemahan-kelemahan golongan wanita yang didominasi oleh stereotaip negatif
menjadi bahan ketawa dan penarik dalam cerita ini. Populariti AMK memperlihatkan bagaimana
14

penerimaan masyarakat tempatan terhadap hubungan, peranan dan kedudukan lelaki dan wanita
di negara ini. Ketidakadilan dalam mempersembahan peranan-peranan lelaki dan wanita dalam
masyarakat tidak dipersoalkan malah semakin diperkukuhkan dengan norma-norma masyarakat
berasaskan amalan patriaki. Dalam hal ini ideologi memainkan peranan untuk mengesahkan
status sosial dan pandangan berkaitan lelaki dan wanita dengan satu gambaran yang sempit yang
bertindak sebagai suatu praktis kehidupan yang tidak perlu dipersoalkan lagi malah wajar untuk
diterima umum.
Ini menjelaskan mengenai perbezaan antara lelaki dan perempuan didalam isi rumah
yang sama dan di antara budaya di mana dari segi sosial dan budayanya dibentuk mengikut
perubahan masa. Perbezaan yang ketara itu akan memberi impak yang besar dalam memainkan
peranan, tanggungjawab, jangkaan dan hak kesamaan terutamanya terhadap sumber, peluang
kekayaan dan persepsi yang dipegang oleh lelaki dan wanita. Gender bukanlah merupakan
sesuatu yang sinonim pada wanita walhal ianya merupakan satu pertimbangan yang digunakan
dan saling bergantung antara lelaki dan perempuan.
Walau bagaimanapun, gender sering dikelirukan dengan jantina. Jantina adalah
perbezaan antara wanita dan lelaki dari segi biologi dan struktur autonominya iaitu organ luaran,
organ dalaman dan perkembangan sekunder wanita sewaktu baligh. Manakala gender merujuk
kepada peranan dan jangkaan yang selalu dikaitkan sebagai punca utama perbalahan wanita
dalam kesamaan hak dan status dalam kehidupan. Antara isu lain yang sering ditimbulkan adalah
taraf hidup, keluarga, status ekonomi dan kesihatan. Ciri-ciri gender terbentuk secara sosial yang
mengaitkan cara hidup dan tingkah laku lelaki dan perempuan dalam erti yang lebih khusus.
Lakaran simbol budaya, konsep normatif, struktur institusi dan imej dalaman dirujuk dalam
proses pembinaan peranan sifat kelakian dan kewanitaan seseorang itu. Jangkaan dalam fungsi
perbezaan gender boleh membezakan keperluan semasa penekanan kuasa dalam perhubungan
dan ianya boleh berubah dari masa ke semasa dan selalunya berdasarkan perbezaan sosial dan
budaya.





15

5.0 RUMUSAN

Kebudayaan amat penting bagi individu atau masyarakat. Corak dan cara hidup sesuatu
kumpulan manusia atau masyarakat itu tidak dapat difahami melainkan melalui kebudayaan.
Kebudayaan dapat membezakan antara suatu masyarakat dengan masyarakat yang lain. Dalam
konteks Malaysia, kebudayaan itu dilihat daripada aspek persamaan dan perbezaan cara hidup
rakyat Malaysia yang dikenali sebagai masyarakat Malaysia. Menurut definisi sosiologi,
kebudayaan ialah cara hidup yang menjadi kepunyaan bersama. Edward B. Taylor berkata
kebudayaan tidak dimiliki, tetapi di perolehi daripada kelakuan-kelakuan dan tingkahlaku
manusia. Sebaliknya Freeman Budds pula menyatakan budaya membimbing segala sesuatu
tindak laku manusia. Namun demikian, Taylor dan Budds turut bersependapat mengatakan
agama termasuk budaya dan budaya lebih luas dari agama, agama merupakan hasil kebudayaan
dan budaya merupakan ciptaan manusia.
Bermula dari zaman kolonial hinggalah pasca merdeka, Malaysia telah mewarisi cara
hidup zaman kolonial yang mengamalkan dasar divide and rule iaitu pecah dan perintah.
Masyarakat secara tidak langsung telah terbahagi kepada golongan atau ras dengan kebudayaan
yang bercorak sukuan. Hal ini menyebabkan masyarakat Malaysia tidak mempunyai dasar-dasar
kebudayaan yang mampu menjadi tunjang utama. Kesannya masyarakat Malaysia tidak
mempunyai jati diri dan jiwa Malaysia. Manakala warganegara yang berasal dari golongan
imigran masih meletakkan taat setia dan berkiblat kepada negara asalnya. Oleh itu, wujudnya
kekangan budaya (cultural barrier) antara golongan imigran dengan penduduk peribumi
Malaysia. Sememangnya perbezaan keturunan atau ras tidak dapat dihapuskan, namun begitu
ciri-ciri kebudayaan yang utama harus ditonjolkan agar dapat menentukan corak keperibadian
kebangsaan yang dapat memperlihat identiti masyarakat Malaysia. Dengan cara yang demikian
corak kebudayaan sukuan dapat diperkecilkan dan semangat kebangsaan Malaysia dapat
diperkukuhkan demi untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang bersepadu.
Pembinaan sesuatu negara memerlukan penglibatan dan sokongan dari semua lapisan
masyarakat dalam negara. Pembinaan sesebuah negara belum sempurna sekiranya rakyat tidak
meletakkan taat setia terutamanya dalam soal mempertahankan negara daripada pencerobohan
musuh. Untuk mencapai matlamat pembinaan negara maka rakyat negara itu harus mempunyai
ciri-ciri persamaan dalam perkara pokok termasuk kejiwaannya. Oleh hal yang demikian,
16

Malaysia juga memerlukan suatu corak kebudayaan kebangsaan yang dapat memupuk semangat
kebangsaan Malaysia demi mewujudkan perpaduan dan kestabilan di dalam negara.

6.0 REFLEKSI

Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat ILLAHI kerana dengan limpah kurnia dan
inayah-NYA dapat saya menyiapkan tugasan ini tepat pada masanya. Setelah bertungkus-lumus
mengikut tempoh yang telah diberikan, maka inilah yang dapat saya persembahkan. Sepanjang
melakukan tugasan ini, saya tidak menghadapi masalah yang besar, hal ini kerana pensyarah
telah memberi penerangan dengan jelas mengenai tugasan kali ini.
Kerja kursus ini memerlukan saya menghuraikan mengenai kebudayaan Melayu, pengaruh-
pengaruh luar dan juga kebudayaan Melayu di dalam filem yang dipilih.
Kebudayaan Melayu dikatakan banyak dipengaruhi oleh peradapan-peradapan yang
pernah mendominasi alam Melayu. Kebudayaan mempunyai pelbagai definisi. Antaranya ialah
budaya didefinisikan sebagai suatu cara hidup yang diamalkan oleh kumpulan tertentu dan
meliputi sistem sosial, susunan organisasi ekonomi, politik, agama, kepercayaan, adat resam,
sikap dan nilai. Kebudayaan pula merujuk kepada tamadun sesuatu masyarakat yang diwarisi
dan yang bersifat dinamik. Di samping itu, ada unsur menerima dan menolak yang dipraktiskan
oleh sesuatu masyarakat dalam satu keseluruhan sistem kehidupan, didalamnya terkandung unsur
teknologi, ekonomi, organisasi sosial, kepercayaan dan sistem simbol yang menjadi milik
bersama sesuatu masyarakat.
Pengalaman semasa menyiapkan tugasan ini adalah saya dapat memahami dengan lebih
mendalam tentang kebudayaan Melayu dari segi pantang larang, adat resam, agama dan
sebagainya. Melalui tugasan ini, pelbagai pengetahuan baharu yang telah saya pelajari.
Antaranya ialah pengaruh luar yang mempengaruhi kebudayaan Melayu. Terdapat beberapa
pengaruh luar yang mempengaruhi kebudayaan Melayu iaitu pengaruh animisme, Hindu, Barat
dan Islam. Pengaruh-pengaruh luar ini banyak mempengaruhi kehidupan masyarakat Melayu
sehingga kini. Antaranya ialah pengaruh Hindu dalam adat perkahwinan, adat berinai, adat
bersanding dan sebagainya. Pengaruh animisme juga mempengaruhi masyarakat Melayu dalam
pantang larang.
17

Sepanjang menyiapkan tugasan ini, saya tidak mempunyai masalah yang besar. Hal ini
kerana, terdapat banyak sumber seperti buku dan laman sesawang untuk dirujuk. Hanya satu
masalah yang saya hadapi iaitu panjang tugasan adalah terhad sedangkan banyak perkara yang
ingin dijelaskan dalam tugasan ini. Hal ini menyebabkan saya perlu mengehadkan dan
memuatkan hanya perkara yang penting dalam tugasan ini. Masa untuk menyiapkan tugasan ini
juga mencukupi. Apabila bahan rujukan banyak, masa untuk menyiapkan tugasan akan menjadi
lebih singkat. Tambahan pula, soalan tugasan diberikan awal, jadi saya dapat memulakan
tugasan dengan lebih awal.
Antara dapatan baharu yang saya perolehi ialah pengetahuan tentang sistem kepercayaan
masyarakat, sistem hidup masyarakat Melayu semasa pengaruh animisme, pengaruh Hindu,
pengaruh Barat dan pengaruh Islam. Melalui tugasan ini juga, saya mendapat pengetahuan yang
lebih mendalam tentang adat resam, pantang larang yang diamalkan oleh masyarakat Melayu.
Saya juga mengetahui sebab apa sesuatu adat resam dan pantang larang itu wujud. Secara
kesuluruhannya, saya dapat lebih kefahaman, pengetahuan dan dapat mengaplikasi apa yang
diajar oleh pensyarah semasa proses menyediakan kerja kursus ini. Saya berharap masyarakat
Melayu masa kini memartabatkan bahasa ibunda kita kerana bahasa Melayu mempunyai
keindahan dan keunikan yang berbeza berbanding bahasa-bahasa lain di dunia ini seperti kata
pepatah Bahasa Jiwa Bangsa.













18

RUJUKAN

Abdul Rahman Haji Abdullah (1990). Pemikiran Umat Islam di Nusantara. Dewan Bahasa dan
Pustaka. Kuala Lumpur.

Amran Kasimin (1989). Istiadat Perkahwinan Melayu: Satu Kajian Perbandingan. Dewan
Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.

D.G.E Hall (terj), (1987). Sejarah Asia Tenggara. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.

Ismail Hussein, Wan Hashim Wan Teh & Ghazali Shafie (1990). Tamadun Melayu Menyonsong
Abad Ke-21. Edisi Kedua. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Selangor.

Mohd Taib Osman (1981). Bunga Rampai Kebudayaan Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kuala Lumpur.

Mohd. Yusof Hassan (1991). Dunia Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.

Syed Muhammad Naquib Al-Attas (1972). Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu.
Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Kuala Lumpur.

Syed Muhammad Naquib Al-Attas (1972). Islam Faham Agama dan Asas Akhlak. Angkatan
Belia Islam. Kuala Lumpur.

William A. Haviland (1987). Cultural Anthropology. 5th Edition. Saunders College Publishing.
United State of America.

Anda mungkin juga menyukai