Anda di halaman 1dari 8

Tutorial Topik 1

Bincangkan maksud teknologi pendidikan. Nyatakan unsur-unsur / elemen-elemen


utama yang terdapat dalam teknologi pendidikan. Huraikan kenapa teknologi
pendidikan penting kepada warga guru.
Definisi teknologi pendidikan:
Teknologi pendidikan ialah pembentukan, penerapan dan penilaian sistem, teknik
dan bantuan bagi memperbaiki proses pembelajaran manusia.
(Majlis Teknologi Pendidikan, United Kingdom)

Teknologi pendidikan ialah penerapan ilmu saintifik tentang pembelajaran dan
syarat pembelajaran bagi memperbaiki keberkesanan dan kecekapan pengajaran
dan latihan. Oleh sebab tidak ada prinsip-prinsip saintifik yang kukuh, teknologi
pendidikan melaksanakan teknik pengujian empirikal bagi memperbaiki situasi
pembelajaran.
(Pusat Kebangsaan Pembelajaran Terancang, United Kingdom)

Teknologi Pendidikan ialah cara yang sistematik bagi mereka bentuk, melaksana
dan menilai keseluruhan proses pembelajaran dan pengajaran dari segi objektif
khusus, berdasarkan penyelidikan tentang pembelajaran manusia dan komunikasi
dengan menggunakan cantuman sumber manusia dan bukan manusia untuk
membawa kepada pengajaran yang lebih berkesan.
(Suruhanjaya Teknologi Pengajaran, USA)

Unsur-unsur Teknologi Pendidikan:
Unsur Penerangan
Teks Elemen utama dalam proses penyampaian
maklumat.
Berperanan penting dalam menyalurkan sesuatu
informasi kepada pengguna.
Grafik Merujuk kepada pelbagai persembahan imej atau
paparan visual yang tidak bergerak seperti
gambar, lukisan, lakaran, gambarfoto, ilustrasi
dan sebagainya.
Digunakan untuk menyampaikan sesuatu
maklumat dengan lebih pantas dan tepat
memandangkan ianya disampaikan dalam
bentuk visual.
Mampu menjadikan sesuatu persembahan atau
penyampaian maklumat lebih menarik dan
mampu memfokuskan perhatian pengguna
terhadap maklumat.
Audio Mampu menimbulkan suasana yang lebih
menarik serta meningkatkan motivasi dan minat
di kalangan para pengguna.
Video Mampu membawa unsur realistik atau keadaan
sebenar kepada para pengguna dan secara tidak
langsung akan mempengaruhi perasaan serta
emosi para penggunanya dengan lebih nyata.
Animasi Merujuk kepada suatu paparan visual yang
bersifat dinamik.
Ianya juga merujuk kepada suatu proses
menjadikan sesuatu objek agar kelihatan hidup
atau memberi gambaran bergerak kepada
sesuatu yang pada dasarnya adalah statik.

Topik 2
Bincangkan maksud "reka bentuk pengajaran" (instructional design). Pilih salah satu
reka bentuk pengajaran, dan terangkan ciri-cirinya, kemudian huraikan bagaimana ia
dapat digunakan dalam amalan dalam membina sesuatu proses atau produk PdP.
Reka bentuk merupakan proses menentukan keadaan untuk pembelajaran. Unsur ini
terdiri daripada analisis keperluan, sintesis, reka bentuk, blueprints dan penilaian (Driscoll,
M., 1998). Proses reka bentuk pengajaran berasaskan jejaring yang lengkap terdiri daripada
tiga fasa iaitu rekabentuk, pembangunan dan penyampaian (Driscoll, M., 1998). Dick &
Reiser (1989) memberi pengertian reka bentuk merupakan Suatu proses sistematik untuk
mereka bentuk, membangun, melaksana dan menilai pengajaran.
Manakala Richey (1986) pula menyatakan reka bentuk pengajaran adalah Sains
untuk mencipta spesifikasi pengajaran dengan terperinci untuk pengembangan,
penilaiandan penyelenggaraan suatu keadaan yang boleh memudahkan pembelajaran
sesuatu unit pelajaran tidak kira kecil atau besar dalam sesuatu mata pelajaran. Secara
khususnya, reka bentuk pengajaran menetapkan apa yang hendak diajar atau diukur serta
diuji dan bagaimana proses pembelajaran itu berlaku sehingga objektif tercapai. Suatu
aktiviti penting yang mesti dilaksanakan dalam pendidikan dan latihan adalah proses
penyampaian atau pengajaran. Setiap proses penyampaian atau pengajaran perlu
mempunyai matlamat yang nyata dan jelas dan boleh dicapai. Matlamat ini akan tercapai
sekiranya ianya mempunyai perancangan yang lengkap dan sistematik di mana hasil
pembelajaran dapat diukur. Dengan yang demikian, reka bentuk pengajaran merupakan
satu catatan lengkap menunjukkan bahawa proses pengajaran dan pembelajaran boleh
berlaku dengan terancang dan teratur.
Model-model reka bentuk pengajaran yang lain adalah seperti;
Model ASSURE
Model ADDIE
9S Gagne Events
Dick & Carey
Water Fall
ARCS Model of Motivational Design (Keller)
Kemp Design Model
Organizational Elements Model
Peranan Dan Kepentingan
Terdapat banyak model reka bentuk pengajaran tetapi secara amnya terdapat 6 perkara
asas:
i. Menentukan keperluan pelajar
ii. Menentukan matlamat dan objektif
iii. Membina prosedur penilaian
iv. Mereka bentuk dan memilih strategi penyampaian
v. Mencuba sistem pengajaran
vi. Menilai keseluruhan sistem
Gustafon (1991) telah membahagikan model-model itu kepada 3 tumpuan:
i. Model berorientasikan bilik darjah
ii. Model berorientasikan produk
iii. Model berorientasikan sistem
Model ASSURE
A Analyze learner (analisis pelajar)
S State objective (nyatakan objektif)
S Select method, media and materials (pilih kaedah, media & bahan
U Utilize media and materials (gunakan media dan bahan)
R Require learner participation (dorong penglibatan pelajar)
E - Evaluate and revise (nilai dan semak)

Model ASSURE merupakan model reka bentuk berasaskan bilik darjah. Ia dipelopori oleh
Heinich et. Al (Wah Wan Ali et al.2008). Ia mendapatkan namanya hasil akronim huruf awal
A.S.S.U.R.E. Ia melibatkan enam langkah, iaitu analisis ciri-ciri murid, nyatakan objektif
pengajaran dan pembelajaran, pilih strategi, teknologi dan media bahan yang sesuai,
gunakan teknologi, bahan dan media pengajaran dan pembelajaran tersebut, libatkan murid
dalam proses pembelajaran,dan nilai serta semak semula keberkesanan pengajaran dan
pembelajaran.
Analyse learner (Analisis murid)
Sebelum memulakan sesuatu pengajaran dan pembelajaran, guru perlu mengetahui
ciri-ciri umum murid seperti umur, darjah/tingkatan, latarbelakang murid , tahap sosio
ekonomi dan lain-lain lagi. Melalui rekod murid dan berinteraksi secara langsung dengan
murid, guru boleh memperoleh maklumat yang lengkap mengenai seseorang murid. Melalui
cara-cara ini, guru dapat menggunakan teknologi yang bersesuaian dan menyediakan
bahan dan media pengajaran berdasarkan pengalaman lepas murid.
Di luar negara seperti Amerika Syarikat, guru-guru wajib mengetahui keperluan
setiap orang murid seperti tahap penguasaan murid, pengetahuan lepas murid supaya
mereka dapat merancang reka bentuk pengajaran yang bersesuaian dengan tahap
penguasaan murid yang terdiri daripada pelbagai jenis gaya pembelajaran dan akhirnya
tercapai objektif pengajaran yang ditetapkan. Pendek kata guru perlu mengetahui sejauh
mana pengetahuan lepas telah dikuasai oleh murid dan mengaitkan dengan pengajaran
yang akan disampaikan nanti. Guru boleh menjalankan ujian pra ke atas pengetahuan lepas
murid. Setiap murid mempunyai gaya pembelajaran tersendiri. Ada murid yang suka belajar
secara bersendirian, ada yang suka berbincang dengan kawan atau secara berkumpulan,
ada yang suka belajar di kawasan yang sunyi dan tenang, ada yang suka belajar di
kawasan terang, ada yang suka belajar dengan adanya iringan muzik, ada yang suka
belajar melalui pemerhatian dan membuat kajian dan sebagainya.
Gaya pembelajaran merujuk kepada trait psikologi seseorang murid memproses,
mentafsir, mengumpul maklumat terhadap pengetahuan dan kemahiran dan seterusnya
bertindak balas dengan persekitarannya. Ia merujuk kepada cara yang paling berkesan
seseorang murid menguasai pembelajaran. Mengikut model Dunn&Dunn (Wah Wan Ali et al.
2008) , stail pembelajaran merujuk kepada bagaimana seseorang murid memproses
maklumat dan mengekalkan maklumat baru melalui lima ransangan iaitu persekitaran,
emosi, sosial, fisiologi dan psikologi. Mengikut model Honey & Mumford (Wah Wan Ali et al.
2008)., stail pembelajaran ialah penerangan sikap dan tingkahlaku yang diamalkan oleh
seseorang murid terhadap cara belajar masing-masing.Pengetahuan tentang gaya
pembelajran murid membolehkan guru mengendalikan kelas dengan lebih berkesan dan
berjaya dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
State objectives (Nyatakan objektif pengajaran dan pembelajaran)
Pembelajaran membawa perubahan dari segi penguasaan pengetahuan, kemahiran
dan tingkah laku. Seperkara itu, apa yang dipelajari itu perlu mempunyai objektif yang jelas
dan konkrit supaya objektif pembelajaran dapat diukur pada akhir proses pengajaran dan
pembelajaran. Contohnya, pada akhir pengajaran dan pembelajaran, murid dapat
menyenaraikan lima contoh haiwan bertulang belakang.
Penyataan objektif pembelajaran perlu eksplisit dan jelas. Ia dapat membantu guru
menilai sejauh manakah objektif pembelajaran atau kemahiran yang telah ditentukan dapat
dikuasai oleh murid. Pengubahsuaian ke atas kaedah atau strategi boleh dilakukan
sekiranya objektif tidak tercapai.Penyataan objektif dapat membantu guru mengukur
perubahan tingkah-laku ke atas murid dan murid patut mengetahui apakah harapan guru
terhadap mereka. Penggunaan istilah yang menunjukkan perubahan tingkah laku adalah
penting. Antaranya perkataan yang sesuai ialah melabelkan, membanding bezakan,
menyenaraikan, menyebut, mengkategorikan, merumus, menyelesaikan masalah.
Penyataan objektif membantu guru juga dalam pemilihan kaedah, bahan dan media
pengajaran serta teknologi yang akan digunakan dalam proses pengajaran dan
pembelajaran.Apakah tahap pencapaian minimum yang boleh digunakan untuk mengukur
perubahan tingkah laku seseorang murid?Tahap pencapaian minimum ini merujuk kepada
darjat ketepatan, kuantiti dan kualiti serta tempoh masa yang ditetapkan. Penulisan tahap
pencapaian boleh ditulis dalam bentuk kuantitatif dan kualitatif. Penulisan bentuk kuantitatif
boleh dijelaskan dengan penggunaan angka, peratusan dan skor mentah. Contohnya, di
akhir pengajaran dan pembelajaran, murid boleh menjawab lapan daripada sepuluh soalan
objektif. Penulisan kualitatif pula sukar diukur kerana kriteria susah ditentukan.
Objektif pengajaran dan pembelajaran dapat dikategorikan kepada tiga domain yang utama
iaitu:
domain kognitif (keupayaan berfikir)
domain efektif (sikap dan perasaan)
domain psikomotor (kemahiran fizikal) dan domain interpersonal
Select technology, strategies, media and materials (Pilih teknologi, kaedah media dan bahan
yang sesuai)
Terdapat empat langkah dalam proses ini iaitu:
menentukan jenis teknologi yang sesuai digunakan
memilih kaedah yang sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran
memilih format media yang sesuai ke atas kaedah yang dipilih
memilih, mengubahsuai dan mereka bentuk media yang dipilih
Menentukan jenis teknologi yang sesuai
Pemilihan penggunaan teknologi seharusnya berdasarkan kepada ciri-ciri murid dan gaya
pembelajaran murid. Pada masa yang sama juga, guru perlu memikirkan kemudahcapaian
bahan/resos yang hendak digunakan. Kriteria kefleksibelan teknologi perlu dipertimbangkan
berdasarkan aktiviti yang akan dijalankan. Penggunan teknologi komputer sesuai
diaplikasikan untuk aktiviti projek, pembentangan, simulasi dan sebagainya.
Memilih kaedah
Sekiranya ditanya, apakah kaedah yang paling sesuai digunakan dalam satu proses
pengajaran dan pembelajaran guru? Jawapannya ialah lebih daripada satu kaedah. Tiada
satu kaedah khas yang digunakan untuk setiap peringkat perkembangan pengajaran.
Kaedah simulasi, lakonan boleh digunakan semasa set induksi. Kaedahsumbangsaran
boleh digunakan semasa guru mengemukakan satu-satu soalan dan meminta murid
menjawab. Setiap saranan jawapan akan diterima tanpa bantahan daripada guru. Kaedah
latihtubi boleh digunakan untuk memperkukuhkan sesuatu kemahiran baru yang telah
disampaikan oleh guru. Pemilihan kaedah hendaklah diasaskan kepada objektif pengajaran,
pengetahuan sedia ada murid, ciri-ciri murid dan gaya pembelajaran murid.
Memilih format media dan bahan sumber
Format media merujuk kepada bagaimana bentuk maklumat dipaparkan. Contoh format
media seperti gambar, slaid, peta, lukisan, transperansi, bahan tiga dimensi seperti papet,
wayang kulit, boneka, akuarium, klip video, audio, pakej persembahan multimedia dan lain-
lain lagi.
Pemilihan format media hendaklah berdasarkan domain objektif, kumpulan murid,
pengalaman murid, dan bentuk maklum balas yang akan dihasilkan.Bahan sumber
pengajaran dan pembelajaran merujuk kepada isi pelajaran yang menjadi fokus
pembelajaran. Bahan sumber ini boleh dalam bentuk petikan, teks,artikel dan sebagainya.
Kriteria pemilihan bahan sumber boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu:
menggunakan bahan sumber yang tersedia ada
mengubah suai bahan sumber yang ada
mereka bentuk bahan sumber yang baru
Memilih, mengubahsuai dan mereka bentuk media yang dipilih
Sekiranya anda menghadapi masalah kekurangan bahan media ataupun media yang dipilih
kurang sesuai untuk proses pengajaran dan pembelajaran, anda boleh merekabentuk
semula media yang dipilih atau menghasilkan media baru.
Terdapat tujuh perkara yang perlu diambil kira, iaitu:
objektif
kumpulan sasaran murid
masa
kos
fasiliti
kemahiran/kepakaran teknikal
peralatan yang diperlukan
Pemilihan bahan sumber yang tersedia ada perlu mengikut beberapa kriteria sepertidi
bawah.
Menepati kurikulum
Maklumat tepat, boleh dipercayai dan terkini
Bahasa yang jelas dan mudah difahami
Menarik minat dan mencetuskan motivasi murid
Menarik penglibatah murid
Mempunyai kualiti
Ada bukti tentang keberkesanan penggunaan
Bebas daripada bias
Mempunyai panduan penggunaan/ manual penggunaan
Utilize technology, media and materials (Gunakan teknologi, bahan dan media pengajaran
dan pembelajaran tersebut)
Penggunaan bahan sumber perlu tepat pada tempat dan masanya. Sebelum penggunaan,
pastikan anda semak langkah-langkah seperti di bawah:
semak bahan sumber sebelum digunakan di dalam kelas.
sediakan bahan untuk penggunaan di dalam kelas
sediakan persekitaran untuk membolehkan pengguanan yang optimum
sediakan murid dari segi emosi dan fizikal untuk mendapatkan manfaat daripada
bahan sumber
sediakan pengalaman pembelajaran untuk murid
Require learner participation (Libatkan murid dalam proses pembelajaran)
Guru boleh merancangkan sesi pengajaran-pembelajaran yang melibatkan murid
melalui kaedah berpusatkan murid. Contoh aktiviti berpusatkan murid seperti menyediakan
projek. Ini akan dapat memotivasikan murid dan membolehkan guru memgukur perubahan
tingkah-laku murid.
Evaluate and revise (Nilai serta semak semula keberkesanan pengajaran dan pembelajaran)
Penilaian semasa dan selepas pengajaran dan pembelajaran membolehkan guru
membuat penambahbaikan dan pembetulan serta menjalankan tindakan susulan yang
sesuai melalui amalan refleksi.Melalui refleksi, guru perlu melihat semula sejauh manakah
perancangan, pelaksanaan pengajaran, objektif pengajaran dan perubahan tingkah laku
murid tercapai? Melalui proses ini guru dapat menyediakan pembelajaran yang lebih
berkesan dan bermutu pada masa akan datang.

Anda mungkin juga menyukai