Anda di halaman 1dari 22

Teori-Teori Kaunseling

- TEORI ROGERIAN (PEMUSATAN INSAN) -

Pengenalan

Teori Pemusatan Insan disebut juga sebagai teori konsep kendiri atau teori
fenomenologi yang digolongkan ke dalam psikologi kemanusiaan (humanistic), gestalt
dan kewujudan. Ia diasaskan oleh Carl Ransom Rogers di dalam tahun 40an yang
menamakannya kaunseling bukan-arahan atau kaunseling pusatan-klien. Ia mencabar
pendekatan-pendekatan pusatan-kaunselor dan kaunseling arahan yang mengandaikan
bahawa kaunselor itu dalam semua hal dan berkeupayaan membantu kliennya di dalam
semua bidang.
Ia mencabar teknik-teknik dan tatacara-tatacara yang berbentuk nasihat, saranan,
arahan kaunselor, pujukan, pengajaran, diagnosis dan pentafsiran oleh kaunselor.
Cabaran ini dilakukan oleh Rogers semata-mata kerana kepercayaan dan
keyakinannya bahawa manusia itu memang baik, memang boleh dipercayai, dan
memang mempunyai keupayaan yang banyak untuk memahami diri mereka sendiri
serta menyelesaikan masalah-masalah yang mereka alami sendiri, tanpa campur
tangan secara langsung oleh kaunselor. Ia berpendirian bahawa manusia itu boleh
menuju ke arah penentuan kendiri, jika mereka dibawa terlibat di dalam perhubungan
kaunseling atau terapi. Baginya sifat-sifat peribadi dan sikap kaunselor serta hubungan
antara klien dengan kaunselor itu adalah merupakan dua faktor utama bagi kejayaan
sesuatu proses kaunseling tanpa memerlukan arahan-arahan yang langsung dari
kaunselor seperti yang dianjurkan sebelum dan selepasnya. Kerana itulah tatacara dan
teknik tidak penting baginya.
Melalui penglibatannya yang meluas di dalam kaunseling dan psikoterapi individu,
Rogers telah mengemukakan teori dan pendekatannya yang dinamakan terapi pusatanklien di dalam tahun 1951. Teori ini terus diperbaikinya dan hasilnya diterbitkan di
dalam tahun 1962.
Teori dan pendekatan yang dikemukakan oleh Rogers ini mencetuskan minat yang

mendalam di kalangan para pendidik yang menekankan pengajaran pemusatan pelajar.


Di samping itu, Rogers juga telah mencuba teorinya untuk digunakan dengan
kelompok-kelompok, dan juga dalam kaunseling keluarga pada tahun 1970 dan 1972.
Sejak kebelakangan ini seolah-olah sudah muncul minat untuk menerapkan teorinya di
dalam bidang perhubungan antarabangsa dan politik.

2.0 Latar Belakang Tokoh

Carl Ransom Rogers dilahirkan pada 8 Januari 1902 di Oak Park, Illinois Chicago.
Rogers merupakan anak ke-empat dari enam orang adik beradik. Ayahnya merupakan
seorang kontraktor dan jurutera. Kedua-dua ibubapanya sangat kuat berpegang kepada
agama. Rogers mempunyai adik beradik seramai enam orang dan lima daripada
mereka adalah lelaki. Hubungan mereka adik beradik sangatlah rapat. Rogers amat
rapat dengan ibunya berbanding ayahnya.
Semasa kecil Rogers adalah seorang murid yang cerdik dan pintar. Walaupun
dilahirkan dalam keluarga yang ramai, Rogers merupakan seorang pelajar yang suka
mengasingkan diri dan pendiam di sekolah. Beliau sangat sensitif orangnya.
Rogers telah memasuki Universiti Wisconsin dan memperolehi pencapaian di dalam
bidang akademik yang sangat baik. Di universiti itu beliau mengambil bahagian dalam
pelbagai aktiviti, termasuk rombongan ke negeri China sebagai perwakilan dalam World
Student Christian Federation Conference. Beliau mendapat Ijazah pertamanya dalam
bidang Sejarah pada tahun 1924. Beliau menerima Ijazah kedoktorannya pada tahun
1931.
Pada tahun 1928, sebelum menerima ijazah kedoktorannya, beliau mula bekerja di
Rochester New York, terutamanya dengan kanak-kanak dan remaja yang bermasalah
yang dirujuk oleh mahkamah dan agensi-agensi kepada Child Study Department of the
Society for the Prevention of Cruelty to Children. Kemudian beliau dilantik menjadi
pengarah kepada Rochester Guidance Center. Pada tahun 1940 dia menjadi professor
di Ohio State University. Di antara tahun 1945 sehingga 1957 beliau terlibat secara
langsung dengan Counseling Center di University Of Chicago. Rogers kemudian
berpindah ke University Of Wisconsin. Pada tahun 1964 beliau menyertai Western

Behavioral Science Institute sebagai resident fellow. Dari tahun 1968 sehingga beliau
meninggal dunia, Rogers menjadi resident fellow di Center for studies di La Jolla,
California. Rogers telah menulis beberapa buah buku antara lain buku-buku yang
ditulisnya ialah Counseling and Psychotherapy (1942), Client-centered Therapy (1951),
On Becoming a Person (1961), Carls Rogers On Encounter Groups (1970).
Rogers banyak menerima penghormatan di sepanjang hidupnya. Beliau merupakan
orang pertama menjadi pengerusi kepada American Association for Applied Psychology
. Beliau bertugas sebagai pengerusi American Psychocogical Association (APA) dari
tahun 1946 1947 . Rogers meninggal dunia di La Jolla, California pada 4 Februari
1987 ketika berusia 85 tahun selepas menjalani pembedahan tulang punggung yang
patah akibat satu kemalangan.

3.0 Pandangan Terapi Terhadap Kejadian Manusia

Menurut Amir Awang (1987), Carls Rogers mempunyai pandangan yang cukup teguh
mengenai sifat tabii manusia. Baginya manusia boleh berkembang secara positif dan
membina jika wujud perasaan percaya mempercayai, hormat menghormati yang boleh
dirasai dan dialami. Rogers menolak sekuat-kuatnya anggapan bahawa manusia itu
tidak boleh dipercayai dan pasif, dan menjadi mangsa sifat biologi atau
persekitarannya. Ia menolak anggapan kepercayaan bahawa manusia itu perlu diarah,
didorong, diajar, didera, diberi ganjaran, dikawal dan diuruskan hidupnya oleh orang
lain. Ia yakin bahawa manusia memang dari mula lagi sudah mempunyai
kecenderungan dan keupayaan semulajadi untuk berkembang peringkat demi peringkat
menuju ke arah nirwana kendiri, andainya wujud keadaan-keadaan yang sesuai.
Menurut Ee Ah Meng (1997), Carls Rogers dalam teori Pemusatan Insan membuat
andaian bahawa manusia adalah rasional, baik dan bertanggungjawab. Manusia boleh
membuat keputusan sendiri yang membawa keoada kebebasan dan berdikari. Sifatsifat yang ada pada manusia adalah seperti membina, bekerjasama, boleh dipercayai,
bersifat realistik dan sanggup bersosial. Perasaan-perasaan negatif yang terdapat pada
manusia seperti marah dan benci memang wujud akibat penafian keperluan seperti
kasih sayang, keselamatan dan penerimaan.

Andaian-andaian teori ini terhadap manusia adalah seperti :


1. Konsep kendiri adalah persepsi tentang diri individu berdasarkan interaksi kita
dengan orang-orang lain.
2. Individu bertingkah laku dalam bentuk yang boleh meningkatkan konsep kendirinya.
3. Masalah-masalah yang berlaku kerana timbul atau wujudnya antara konsep kendiri
dengan pengalaman-pengalaman yang lalu.
4. Hanya dengan pengalaman dan penghormatan barulah individu akan bersedia untuk
berkongsi masalahnya.

Menurut Suradi Salim (1996), manusia dianggap mempunyai sifat-sifat positif dan
mempunyai keinginan untuk berfungsi penuh, iaitu hidup dengan seberapa berkesan
yang boleh. Jika seseorang itu dibenarkan untuk berkembang dengan bebas, beliau
akan berkembang dengan sempurna dan akan menjadi individu yang positif dan
berjaya. Pandangan seseorang tentang dirinya dalam konteks persekitarannya
menentukan tingkah lakunya dan kepuasan peribadinya. Jika diberikan atau disediakan
dengan persekitaran yang menggalakkan, manusia akan berkembang dengan yakin ke
arah nirwana kendiri menjadi apa sahaja yang dia inginkan. Jika manusia tidak
menerima kasih sayang dan sokongan orang yang penting baginya, kemungkinan
besar manusia menganggap dirinya tidak berharga dan menganggap orang lain tidak
boleh dipercayai, serta mereka akan bersikap mempertahankan diri dan perkembangan
ke arah nirwana diri akan terhalang. Persepsi seseorang tentang diri dan
persekitaranya merupakan realiti baginya.
Bagi Rogers, untuk membolehkan seseorang itu berkembang secara positif dan
membina, mestilah wujud tiga suasana atau keadaan, iaitu;
1. Kejujuran, keikhlasan da kebenaran
2. Penerimaan tanpa syarat dan perasaan ambil berat
3. Kefahaman yang mendalam
Jika ketiga-tiga keadaan ini dapat dirasai dan dialami oleh klien di dalam hubungannya
dengan kaunselor, ia juga akan mula menghayati sifat-sifat dan ciri-ciri ini dan
seterusnya lebih bersedia untuk menerima pengalaman-pengalaman yang dilaluinya.

4.0 Matlamat Terapi

Matlamat yang ingin dicapai di dalam kaunseling / Terapi Pemusatan Insan ini bukanlah
sekadar menyelesaikan masalah yang dihadapi atau dialami pada masa itu, tetapi apa
yang lebih diutamakan ialah untuk mencapai perasaan bebas dan besepadu bagi diri
seseorang individu itu.
Tujuan kaunseling adalah untuk membantu klien di dalam proses perkembangannya,
agar ia dapat menghadapi dan mengatasi masalah masa kini dan masalah-masalah di
masa hadapan.
Dengan berasaskan kepada matlamat yang ingin dicapai, maka klien haruslah bersedia
untuk memisahkan dirinya daripada apa yang selama ini telah sebati dengan dirinya
bagi membolehkan dirinya berhadapan dengan realiti. Menurut Amir Awang (1987),
terdapat beberapa perkara yang dapat diperhatikan dan dirasai oleh klien itu sendiri
untuk mencapai maksud yang ingin dituju di dalam kaunseling :
i) Klien bersedia menerima, merasai dan mengalami realiti yang sebenar, tanpa
mengherot-berotkannya untuk disesuaikan dengan struktur kendiri seseorang itu. Klien
tidak lagi bimbang atau takut untuk berhadapan dengan realiti. Ia sedia menerima
dirinya sendiri baik atau buruk, ia dapat mengalami hidup dengan cara yang baru dan
dapat terus berkembang.
ii) Klien akan merasa yakin pada diri sendiri. Biasanya klien tidak yakin yang ia boleh
mengemudikan hidupnya, kerana itu ia sering meminta dirinya dibimbing dan diarah.
Tetapi apabila ia sudah sedia menerima dirinya dan berhadapan dengan kenyataan, ia
pun akan mula mempunyai keyakinan dan keupayaan sendiri untuk mengawal dan
mengarah hidupnya.
iii) Klien akan dipandu dan diarah oleh perasaan dan pemikirannya sendiri. Walaupun
penting bagi seseorang untuk memberi perhatian kepada nilai-nilai dan norma-norma
masyarakat, individu perlu juga mempunyai nilai-nilai sendiri untuk memandu dirinya. Ia
harus bersifat inner directed dan tidak dikongkong oleh outer directedness. Melalui
inner directedness ini ia akan memperolehi kepuasan kerana ia dapat membuat
sesuatu keputusan berdasarkan pertimbangan sendiri.
iv) Klien dalam keadaan untuk terus berkembang. Apabila wujud di dalam diri klien

kesediaan untuk terus hidup, untuk terus mengalami peristiwa-peristiwa baru, untuk
terus menghadapi cabaran-cabaran dan masalah-masalah baru, maka individu telah
mencapai suatu tahap positif di dalam proses hidupnya. Dari sini ia akan bersedia
membuat ketetapan-ketetapan baru untuk dirinya, untuk mencari matlamat-matlamat
baru untuk hidupnya. Ia tidak lagi perlu bergantung kepada orang lain untuk mengarah
atau mengawal hidupnya. Ia sudah berupaya menuju ke arah matlamat baru.

5.0 Teknik Pemusatan Insan

Menurut Hansen, Stevic & Warner (1986), Kaunseling Pemusatan Insan mengandaikan
bahawa setiap individu mempunyai keinginan untuk berkembang, matang dan
mencapai atau menuju ke arah kesempurnaan kendiri. Ini adalah merupakan satusatunya pendekatan teraputik yang utama yang bergantung terhadap gerakan dalaman
klien untuk menuju ke arah pertumbuhan. Individu dilihat sebagai boleh memulihkan
diri, memerlukan kemesraan, dan persekitaran yang menyokong untuk mencapai
kepuasan kendiri pada tahap yang tinggi.
Menurut Gelso & Carter (1985), hubungan kaunselor dengan klien dilihat sebagai
ramuan yang penting di dalam psikoterapi. Dalam perhubungan kaunseling, komunikasi
difokuskan kepada individu yang mengalami masalah. Rogers (1986) menyarankan tiga
suasana yang fasilatatif iaitu :
i. Ketulenan sebenar atau kongruen
ii. Penerimaan, mengambil berat dan bersangka baik
iii. Mempunyai kefahaman empati

Kajian yang telah dibuat menunjukkan kaunseling pemusatan insan yang dicadangkan
oleh Rogers adalah sesuai untuk menggalakkan peningkatan penyesuaian psikologikal
pada diri klien. Melalui kaunseling pemusatan insan, klien telah meningkatkan
penghargaan kendiri. Menurut Carkhuff dan Berenson (1967), kajian-kajian telah
mengesahkan ke

pentingan sumbangan empati, penghormatan dan

ketulenan dalam proses kaunseling. Brammer dan Shostrom (1982), satu ciri utama

yang membezakan kaunseling pemusatan insan dengan pendekatan lain ialah


meningkatnya tahap tanggungjawab pada diri klien berbanding dengan yang
dijangkakan oleh kaunselor.
Amir Awang (1987), menjelaskan bahawa Rogers telah mengemukakan beberapa sifat
yang terdapat di dalam teori ini. Antaranya ialah teori ini dianggap sebagai fleksibel dan
sedia menerima perubahan dari semasa ke semasa. Ia memberi fokus kepada
keupayaan klien serta tanggungjawabnya untuk mencari jalan bagi menghadapi
kenyataan, dan seterusnya menghasilkan tingkahlaku yang sesuai dengan realiti.
Pendekatan teori ini memberi tumpuan utama kepada dunia fenomenologi klien sendiri.
Ini bermaksud setiap klien melihat kenyataan atau realiti menurut kaca mata dan
teropongnya sendiri. Manakala kaunselor harus bersedia untuk menerima persepsi
subjektif ini dan harus bersedia merasai dan mengalami apa yang dirasai dan dialami
oleh klien melalui proses empati. Kaunselor juga harus mengelak dari mencemuh,
menyangkal, mengkritik atau sebagainya.
Pendekatan teori ini boleh digunakan dengan semua jenis klien iaitu normal, neurotik
dan psikotik. Melalui hubungan yang dibina oleh kaunselor bersama klien yang
kongruen, menerima kliennya tanpa syarat dan mempunyai keupayaan untuk
berempati, klien dengan sendirinya akan menemui dirinya sendiri melalui proses
kaunseling. Dengan menggunakan teori ini kaunselor hendaklah ikhlas, jujur, mesra
dan bersedia menerima kliennya, serta mempunyai kebolehan untuk berempati secara
tepat. Dengan sifat dan kebolehan ini, klien bolehlah diajak untuk memberi fokus
kepada apa yang dirasai dan dialaminya masa kini dan pada ketika itu.
Sebagai suatu teori yang menekankan usaha bersama di antara kaunselor dan klien
untuk membolehkan klien berkembang, kaunselor dan klien terlibat secara langsung di
dalam proses berkembang untuk menuju ke arah matlamat, manakala kuasa dan
kawalan tidak dipegang oleh kaunselor. Malah klienlah yang memilikinya, dan klien juga
yang menentukan bagaimana ia hendak menggunakan kuasa dan kawalan ini bagi
mengembangkan dirinya.(Rogers, 1977).
Antara teknik-teknik teori Pemusatan Insan ialah :

5.1 Penerimaan Tanpa Syarat

Teknik ini menekankan supaya kaunselor mempunyai sikap menerima klien tanpa
syarat iaitu tanpa menilai tingkahlaku, peristiwa atau perasaan klien sama ada baik atau
jahat. Dalam ertikata lain, kaunselor haruslah bersedia menerima kliennya tanpa
mengenakan apa-apa syarat ke atasnya. Ia harus bersedia menerima kliennya tanpa
prasangka atau sebarang penilaian. Kaunselor juga haruslah juga sering berwaspada
agar ia tidak memberi gambaran kepada kliennya yang ia sedia menerima kliennya,
agar kliennya rasa senang terhadapnya lantas memuji, menyanjung atau menghargai
kesediaanya menerima klien. Sikap ikatan dua hala ini (double binding) hendaklah
dielak bagi menghindarkan perasaan ada udang disebalik batu. Tanpa mengenakan
syarat seperti ini, klien akan dapat merasa ketulenan kaunselor tadi untuk menolongnya
dan dengan wujudnya persepsi dan perasaan seperti ini, maka lebih mudahlah proses
perubahan personaliti berlaku, kerana tidak akan terasa sebarang ancaman.

5.2 Empati

Sifat empati adalah kebolehan untuk merasa dan mengenalpasti perasaan orang lain
dan kemampuan memberitahu kepada klien daripada sudut pandangannya, iaitu cuba
masuk ke dalam ruang rujuk klien.
Di dalam teknik ini memerlukan kaunselor mempunyai kefahaman empati yang tepat.
Klien yang datang bersamanya membawa dunia subjektifnya, yang tentu berbeza
daripada dunia subjektif kaunselor itu sendiri. Dari huraian klien, baik melalui bahasa
mahupun melalui gerak-geri tubuh badannya, kaunselor haruslah berusaha menyelami
dunia subjektif kliennya, sehingga ia dapat merasai, mempersepsi dan mengalami
segala apa yang dirasai, dipersepsi dari alam objektifnya dari realiti yang sebenar.

5.3 Ketulenan
Sifat jujur, ikhlas dan tulen harus ada pada kaunselor yang menggunakan teknik ini.
Ketulenan adalah kebolehan untuk menjadi sejati dan benar dengan orang lain.
Kaunselor tidak sepatutnya menyelewengkan komunikasi, menyembunyikan motif atau

bertindak dengan agenda yang tersembunyi, berpura-pura dan mengelak.


Kaunselor haruslah bersikap terbuka dengan klienya. Ia tidak tersekat-sekat atau
teragak-agak untuk menyampaikan apa jua yang dirasainya, baik yang positif mahupun
negatif. Dengan yang demikian ia dapat menjadi sebagai contoh atau model kepada
kliennya untuk juga bersifat terbuka, jujur dan ikhlas di dalam menyatakan perasaan
dan pengalamannya.

5.4 Aktif Mendengar dan berfikir

Mendengar merupakan satu kemahiran yang amat penting dalam sesi kaunseling.
Tumpuan yang penuh ataupun konsentrasi hendaklah diberikan kepada apa yang klien
cakap samada secara lisan atau bukan lisan. Tumpuan atau perhatian merupakan
prasyarat terhadap membantu. Pendengar yang aktif akan memberi maklum balas
tentang apa yang dicakapkan menggunakan perkataannya sendiri untuk tiga sebab iaitu
;
a. ia akan memastikan ia betul-betul faham apa yang dicakapkan oleh kliennya
b. ia akan memastikan ia betul-betul telah mendengar
c. ia akan membantu klien membuat pendedahan kendiri
Mengenal pasti perasaan dapat memberitahu kepada klien bahawa kaunselor sedang
mendengar dan menggalakkan klien untuk bercakap lebih bebas. Ini boleh membantu
untuk merangka suatu ketetapan yang lebih memuaskan. Menurut Mc Kay, Davis dan
Fanning (1983) menyatakan bahawa mendengar dengan aktif memerlukan kaunselor
bekerjasama di dalam proses berkomunikasi. Ini termasuklah parafrasa, menjelaskan
dan maklum balas.
5.4.1 Parafrasa
Parafrasa bermaksud mengatakan dengan perkataan sendiri apa yang telah
dikatakan oleh klien seperti;
apa yang saya faham
dengan kata lain
Kaunselor harus memparafrasakan apabila klien menyebut sesuatu yang penting
kepadanya.

5.4.2 Penjelasan
Penjelasan bermaksud bertanyakan soalan untuk mendapatkan penjelasan agar
kaunselor boleh memahami kenyataan-kenyataan yang kabur. Tujuannya ialah
memahami dari konteks bagaimana cara berfikir klien dan perasaannya terhadap
sesuatu masalah.

5.4.3 Maklum Balas


Sewaktu temubual kaunseling maklum balas menyediakan peluang untuk kaunselor
berkongsi apa yang difikirkan, dirasakan dan untuk menyemak persepsi. Untuk
menyemak persepsi kaunselor merangka apa yang dia dengar dan dipersepsikan ke
dalam tentatif.

5.5 Kongruen

Kongruen memerlukan kaunselor bersifat telus terhadap klien, iaitu jika kaunselor
merasa marah terhadap cara klien berkomunikasi tetapi dia menyembunyikannya. Ini
menyebabkan berlakunya tidak kongruen. Adalah menjadi satu dilema untuk menjadi
kongruen kerana ia kadangkala bercanggah dengan sikap tidak menghukum.

5.6 Mendengar untuk merasa

Interaksi yang berkesan melibatkan pemahaman yang mendalam terhadap dunia


seseorang dan menyatakan kefahaman itu kepada klien. Melalui pendengaran dan
tindakan yang tepat, halangan yang merintangi persefahaman dua hala boleh dihindari.
Dinkmeyer & Losoney, 1980, mengenalpasti dan menyatakan perasaan dalam sesuatu
mesej boleh dirangka dalam bentuk;
perasaan kamu sekarang
jika apa yang saya dengar ini betul

5.7 Mendengar dengan empati

Mendengar dengan empati bermaksud kaunselor menyedari bahawa walaupun sesuatu


perkara amat berat tetapi kaunselor perlu juga membantunya. Kaunselor perlu bertanya
diri sendiri bagaimana kepercayaan dan keputusan walau pun ia mungkin gagal tetapi
boleh mengurangkan kerisauan klien.

5.8 Menghormati

Menghormati adalah kemahiran interpersonal yang menunjukkan penghargaan tentang


keunikan orang lain, toleransi terhadap perbezaan atau kelainan, kemahuan dan
keinginan untuk berinteraksi dengan orang lain secara sama rata.

5.9 Penerimaan yang mesra

Teknik ini merupakan keupayaan untuk bersifat terbuka, peramah dan menerima
menggunakan komunikasi bukan lisan yang boleh menyampaikan isyarat-isyarat
kongruen, keterbukaan dan kesudian untuk mendengar.

5.10 Konfrontasi

Konfrontasi merupakan keupayaan untuk memberitahu seseorang individu itu tentang


perselisihan tingkah laku dan kesannya terhadap dirinya sendiri, dengan cara yang
tidak agresif, tidak menghakimi, tidak kritikal atau tidak defensif (mempertahankan diri).
Ia bertujuan untuk menyedarkan individu tersebut sama ada tingkah lakunya
menggalakkan atau menghalang perhubungan interpersonalnya.

5.0 Peranan Kaunselor

Dengan adanya sikap dan kebolehan berempati, kaunselor haruslah berperanan seperti
yang dijelaskan oleh Corey (1996);
a. Kaunselor berfungsi sebagai fasilitator bagi perkembangan seseorang klien.
Kaunselor haruslah mewujudkan suasana teraputik iaitu mewujudkan suasana yang
tenang, selesa dan sesuai agar dapat menggalakkan klien mengalami suatu rasa bebas
untuk meneroka dan mengalami cabang-cabang hidup yang disangkalnya. Oleh itu
klien dapat dibantu supaya tidak bersifat defensif. Kaunselor harus menganggap klien
sama taraf dengan kaunselor dan berusaha mengenali masalahnya.
b. Kaunselor perlu mewujudkan suasana iaitu kaunselor harus berada dalam keadaan
kongruen dan klien berada dalam keadaan tidak kongruen. Kaunselor bersedia
menerima tanpa syarat, prasangka dan tidak beranggapan buruk terhadap klien.
Kaunselor harus berempati bagi merasai dan mengalami apa yang dirasai dan dialami
oleh klien.
c. Kaunselor haruslah memperlihatkan kepada kliennya yang ia dianggap sebagai sama
taraf dengan dirinya dan secara bersama mereka akan berusaha untuk mengenali
masalah klien dan mengatasinya.
d. Kaunselor tidak akan mendiagnos masalah klien. Ia hanya menjadi sebagai cermin
yang akan membantu klien melihat dirinya dan masalahnya dengan jelas.

Untuk mempastikan tercapainya perkara-perkara yang disebutkan di atas, haruslah


wujud:
a. pertemuan, baik secara langsung atau tidak langsung, di antara kaunselor dengan
klien
b. kaunselor haruslah di dalam kongruen, dan klien pula berada di dalam keadaan tidak
kongruen
c. Kaunselor bersedia menerima kliennya tanpa syarat, tanpa sebarang prasangka dan
anggapan
d. Kaunselor boleh berempati bagi merasai dan mengalami apa yang dirasai dan
dialami oleh klien
e. Kaunselor haruslah bersifat jujur, ikhlas dan terbuka
f. Klien pula haruslah dapat melihat dan merasai, tak banyak sedikit, sifat-sifat dan

kebolehan-kebolehan di atas yang ada pada kaunselor

6.0 Peranan Klien

Untuk sesuatu sesi kaunseling itu mencapai kejayaan, klien juga tidak terlepas
memainkan peranannya; antara peranan-peranan klien adalah seperti:
a. Klien haruslah memutuskan bahawa dia memerlukan khidmat kaunseling dan datang
secara sukarela dan bukan atas dasar paksaan atau disuruh oleh orang lain
b. Pada awalnya, klien menghadapi kebimbangan, percanggahan perasaan dan fikiran
c. Klien harus merasa bersedia untuk berbincang apabila merasa diterima dan dapat
menghayati perhubungan kaunselor dengan klien
d. Klien merasa lebih terbuka dan bebas meluahkan perasaan dan menjelajah diri
e. Klien akan cuba untuk mencari penyelesaian dengan bantuan klien sendiri
f. Klien akan menentukan pilihan dan tindakannya sendiri. Kaunselor hanya bertindak
membantu klien dalam membuat pilihan
g. Klien berupaya dan bersedia untuk berubah
h. Klien bersedia untuk terus berkembang dalam usaha mencari matlamat baru

7.0 Aplikasi teori dalam bidang kaunseling

Teori ini sangat sesuai digunakan di dalam seting sekolah kerana ia menekankan
kaedah pengajaran pemusatan pelajar. Ini bersesuaian kerana teknik-teknik dan
tatacara-tatacara yang digunakan adalah berbentuk nasihat, saranan, pujukan dan
pengajaran adalah sesuai untuk pelajar-pelajar di peringkat sekolah rendah dan
menengah. Teori ini juga sangat berkesan dalam mengubah tingkah laku pelajar.

8.0 Kekuatan Terapi

Menurut Shertzer & Stone (1992), antara matlamat yang ingin dicapai ialah membina
individu agar dapat berkembang dengan sihat. Oleh itu antara kekuatan teori ini
menurut mereka ialah :

a. menekankan kepentingan hubungan yang akrab antara kaunselor dengan klien


b. Menanamkan pendapat bahawa penerimaan, penghargaan serta kejujuran kaunselor
merupakan syarat-syarat yang amat penting bagi mewujudkan perhubungan
c. Memupuk pendapat bahawa klien ialah rakan kongsi penuh dalam hubungan dan
bukan hanya sebagai rakan yang merendah diri

9.0 Limitasi Teori

Seperti teori-teori yang lain, terapi pemusatan insan ini juga mempunyai kekurangan
dan kelemahannya. Antara lain ialah ;
a. Terapi ini tidak mempunyai satu set teknik atau tatacara yang tertentu yang terdapat
di dalam setengah-setengah psikoterapi.
b. Terapi ini kurang menyediakan panduan tentang cara mewujudkan hubungan
kaunselor dengan klien
c. Kebanyakkan konsep di dalam terapi ini tidak dapat dibuktikan dan diukur dengan
mudah. Ianya terlalu abstrak.

10.0 Kesimpulan

Secara positif, suatu sumbangan yang paling besar telah diberikan oleh Rogers melalui
teorinya ialah keyakinannya yang kuat tentang keupayaan dan kecenderungan manusia
untuk berkembang ke arah nirwana kendiri. Pendirian yang positif seperti ini telah
memberikan maruah dan darjat kepada manusia, yang akan berusaha mencerminkan
kepercayaan sedemikian.
Rogers juga secara tidak langsung mengutarakan nilai-nilai dan sikap-sikap positif di
dalam berinteraksi dengan orang lain dengan menegaskan betapa pentingnya kita

menerima orang lain tanpa syarat, bersedia mendengar dan memahami orang lain dari
kaca mata dan dunianya yang subjektif, serta menekankan pentingnya kejujuran,
keikhlasan dan ketulenan di dalam segala tindak tanduk kita, kerana melalui
penghayatan sikap dan nilai-nilai sebegini kita boleh menjadi contoh atau model yang
berguna bagi orang lain.
Tanpa mempunyai pendirian yang menghakim atau judgemental, klien akan lebih
bersedia untuk meluahkan isi hatinya kepada kita, kerana dia yakin bahawa apa juga
yang dikemukakan itu tidak akan diberi nilai, dan hal sebegini tidak dirasakan sebagai
mengancam dirinya.
Secara negatifnya, bolehlah dikatakan bahawa kebanyakkan konsep-konsep yang
dikemukakan itu tidak dapat diperhatikan dan tidak pula dapat diukur dengan mudah,
kerana ianya bersifat konsep yang abstrak.
Pergantungannya kepada laporan kendiri boleh membawa hasil yang tidak begitu
memuaskan kerana klien yang beremosi dan berfikiran kusut mungkin tidak berupaya
untuk melahirkan isi hatinya dengan tenang dan teratur. Ini sudah tentu boleh
menghasilkan kesimpulan-kesimpulan yang juga tidak tepat.
Tanpa sedikit sebanyak panduan, arahan, manipulasi proses kaunseling akan
memakan masa yang amat panjang. Biar apa sekalipun kelemahan-kelemahan yang
terdapat di dalam teori ini, satu hal yang tidak dapat dinafikan ialah teori ini amat
memudahkan klien untuk meluahkan isi hatinya, kerana melalui perhubungan yang
mesra di antara kaunselor dan klien, klien begitu yakin yang kaunselor merupakan
orang yang boleh diharap dan memang bertanggungjawab serta bersunguh-sungguh
akan berusaha menolongnya.

- TEORI RASIONAL EMOTIF TERAPI-

Tokoh Teori

Teori Rasional Emotif Terapi telah diasaskan oleh Albert Ellis. Beliau dilahirkan pada
tahun 1913 di Pittsburgh, Amerika Syarikat. Teori ini terbina apabila beliau mendapati
bahawa teori Psikoanalasis yang dipelopori oleh Freud tidak mendalam dan adalah satu

bentuk pemulihan yang tidak saintifik. Pada awal tahun 1955, beliau telah
menggabungkan terapi-terapi kemanusiaan, fisolofikal dan tingkah laku dan dikenali
sebagai teori emosi-rasional (RET). Semenjak itu beliau terkenal sebagai bapa kepada
teori RET dan datuk kepada teori tingkah laku kognitif.

Meninjau kepada zaman kanak-kanak Ellis, beliau sering mengalami gangguan


kesihatan. Beliau pernah dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan nefritis
sebanyak 9 kali. Tetapi Ellis seorang yang bercita-cita tinggi iaitu ingin menjadi seorang
pakar psikologi. Beliau mempunyai kebolehan dalam memberikan perkhidmatan
kaunseling. Oleh itu beliau mula mempraktikkan terapi perkahwinan, keluarga dan
seksual. Pada tahun 1947 hingga 1953 Ellis telah menjalankan kajian secara klasikal
berasaskan psikoterapi. Hasil kajian mendapati bahawa terapi psikoanalisis tidak begitu
menyeluruh dan tidak saintifik.

Ellis berpendapat pendekatan yang dibawakan oleh Freud kurang lengkap kerana ada
individu yang bertambah teruk selepas menjalani pendekatan psikoanalisis. Hipotesis
RET berdasarkan bahawa emosi berpunca daripada kepercayaan, penilaian,
interpretasi dan tindakan daripada situasi kehidupan. Di dalam proses teraputik emosirasional, klien mempelajari kemahiran yang akan digunakan untuk mengenal dan
memerangi kepercayaan yang telah tertanam lama di dalam diri seseorang. Ini
disebabkan oleh teori ini lebih bersifat pendidikan daripada perubatan yang direka
dalam keadaan di mana kaunselornya aktif terarah dengan tepat dan mengajar. Ellis
terkenal dengan bukunya yang bertajuk Reason and Emotion In Psychotherapy dan
bersama-sama dengan Robert A Harper beliau mengeluarkan buku berjudul A Guide to
Rational Living.
Pendekatan Teori

RET juga dikenali sebagai Terapi A-B-C yang mana merupakan suatu teori yang
mempunyai kelainan dengan teori-teori yang lain terutamanya Teori Psikoanalisis, Teori
Pemusatan Insan, Gestalt dan lain-lain lagi. Ini disebabkan oleh teori ini mementingkan
tiga aspek utama iaitu kognitif, emosi dan aspek tingkah laku. Teori ini memberi

penekanan kepada pemikiran, penganalisaan, penilaian, perlakuan dan membuat


keputusan. Pendekatan teori ini bercorak deduktif atau mengajar, mengarah dan
mengutamakan kepada pemikiran daripada kepercayaan yang tidak rasional.

Terapi ini yakin bahawa setiap individu mempunyai sistem kepercayaan yang tidak
rasional. Kepercayaan ini perlu dicabar dan diperbetulkan supaya dapat mewujudkan
sistem kepercayaan yang baik dan rasional. Dalam konteks ini ia merupakan satu
sistem pendidikan semula yang mengajar individu untuk melihat semula sistem
kepercayaan yang membuatkan dirinya menderita dengan menggantikan semula
dengan satu set kepercayaan yang membawa kesejahteraan dan kebahagiaan pada
diri seseorang individu dan seterusnya kepada orang yang signifikan dengannya.

Prinsip terapi RET boleh digunakan kepada masalah semasa, masalah yang lain dalam
kehidupan dan juga masalah yang mungkin dihadapi pada masa akan datang. Fokus
prinsip ini adalah kepada pemikiran dan tindakan, bukan hanya mengikut perasaan.
Terapi ini dianggap sebagai satu proses pembelajaran kerana fungsi kaunselor yang
berbagai-bagai. Kadang kala kaunselor bertindak sebagai seorang guru, yang memberi
tugasan kepada pelajar iaitu klien dalam konteks terapi ini.

Teori Ellis ini berasaskan andaian bahawa individu-individu mempunyai keupayaan


bertindak sama ada dalam bentuk rasional mahupun tidak rasional. Tingkah laku
rasional ialah dilihat sebagai keberkesanan dan kemungkinan produktif, manakala
tingkah laku yang tidak rasional pula hasilnya dalam keadaan tidak gembira dan
menghasilkan output.
Menurut J Blackham dalam Muhd Mansur Abdullah (1997), dua tujuan utama RET iaitu;
pertama mendemonstrasikan pada klien bahawa berkata-kata kepada diri sendiri itu
adalah akibat daripada gangguan; dan kedua, menilai kembali berkata dalam diri demi
menghapuskannya dan menolak semua idea yang tidak logik. Dalam buku-buku Ellis
seperti The Art And Science Of Love, The Intelligent Womans Guide To Man-Hunting,
Humanistic Psychotherapy dan The Rational-Emotive Approach banyak
menggambarkan sifat manusia. Misalnya, kemampuan manusia berfikir sesuatu melalui

proses-prosesnya. Ellis menggalakkan manusia supaya menganggap diri mereka


adalah berkebolehan. Dia yakin jika manusia boleh menggunakan rasional mereka
dalam mentadbir diri, maka tidak ada lapangan dalam kehidupan mereka yang tidak
boleh diperbaiki.

Menurut Muhd Mansur Abdullah (1997), dalam melahirkan teorinya Ellis banyak
menggunakan sistem-sistem psikologi dan falsafah iaitu menggabungkan intipati
Falsafah Stoic, Psikoanalisis Freud, Psikologi Individu Alfred Adler dan Orientasi
tingkah laku Pavlov dan Wolpe. Semua sistem itu membantunya meneguhkan lagi teori
dan pendekatannya. Sebab itulah Ellis menekankan: When people emote they also
think and act. When they act, they also think and emote. When they think, they also
emote and act. To understand self-defeating behavior , one must understand how a
person feels, thinks, perceives and acts.

Pandangan Teori Terhadap Manusia

Hubungan emosi dan pemikiran adalah berhubung rapat dan tidak boleh untuk
dipisahkan. Oleh sebab itu segala pemikiran dan kepercayaan yang tidak rasional itu
berpunca daripada proses dan pengaruh budaya dan pembelajaran . Menurut George
dan Cristiani (1995) telah mengandaikan bahawa manusia bertindak sebagai penilai,
perunding dan pengawal diri. Gangguan emosi dan tingkah laku akan bermula apabila
manusia menganggap beberapa keutamaan seperti keinginan untuk disayangi,
diperakui kejayaan dan menganggap keutamaan tersebut sebagai keperluan yang
utama. RET juga memandang bahawa manusia dilahirkan dengan beberapa
kecenderungan ke arah perkembangan dan pengiktirafan diri tetapi mereka akan
mengkhianatinya disebabkan oleh kecenderungan untuk berfikir tidak rasional dan
contoh-contoh mengalah diri yang telah mereka pelajari.

Menurut Gerald Corey (1996) pula mendapati bahawa terapi RET berlandaskan kepada
andaian bahawa manusia dilahirkan dengan keupayaan untuk berfikiran secara rasional

dan tidak rasional. Manusia berupaya untuk memelihara dirinya, bergembira, berfikir,
menterjemahkan diri, sayang menyayangi, berkomunikasi dengan orang lain,
berkembang dan mengiktiraf diri sendiri. Manusia juga berkecenderungan untuk
merosakkan dirinya, tidak mahu berfikir, suka menangguh untuk membuat sesuatu,
mengulangi kesilapan, tidak sabar, mementingkan kesempurnaan semata-mata, selalu
menyalahkan diri sendiri, cuba mengelakkan pengikhtirafan dan pertumbuhan potensi.
Fenomena ini meyakinkan terapi ini dapat membantu manusia untuk menerima kembali
diri mereka sendiri setelah melakukan kesilapan dan belajar untuk hidup lebih
harmonis.

Hackey dan Cormier (1995) berpendapat bahawa RET, membuat andaian tentang
gangguan emosi manusia adalah disebabkan oleh pemikiran yang tidak rasional.
Hubungan antara emosi dan pemikiran terlalu rapat sehingga tidak boleh dipisahkan
kedua-duanya. Manusia juga dilahirkan dengan suatu potensi untuk berfikiran secara
lurus dan rasional dan juga secara tidak rasional. Manusia sendirilah yang
menyebabkan dirinya merasa terganggu dan gangguan itu bukanlah disebabkan oleh
sumber-sumber luaran tetapi berpunca dari diri individu itu sendiri.

Manusia mempunyai keupayaan untuk mengubah proses-proses kognitif, emotif dan


tingkah lakunya. Mereka boleh memilih untuk bertindak dengan cara yang berlainan
daripada pola tingkah laku yang normal. Mereka juga boleh memilih untuk tidak
membenarkan dirinya terganggu dan boleh melatih diri untuk mengalami gangguan
yang minimun selagi hayat masih ada.

Ee Ah Meng (1991) berpendapat bahawa terapi RET yang dikembangkan oleh Ellis
dalam tahun 1950 an adalah berdasarkan kepada kepercayaan bahawa manusia perlu
mengubah cara berfikir supaya boleh memperbetulkan pemikiran yang tidak rasional.
Baginya manusia dilahirkan dalam dunia yang tidak rasional dan manusia menjadi
semakin tidak rasional apabila berada dalam sistem kepercayaan mereka.

Suradi Salim (1996) mengandaikan bahawa manusia berupaya untuk berfikiran rasional

dan tidak rasional. Dalam pemikiran seseorang individu terdapat sistem kepercayaan
yang berkecenderungan untuk berfikir ke arah tidak rasional. Apabila sesuatu peristiwa
terjadi maka individu itu selalu mengandaikan suatu kepercayaan terhadap peristiwa
tersebut sama ada ianya baik atau sebaliknya. Manusia juga sering mempercayai
tahyul yang menyebabkan mereka membuat sesuatu keputusan yang tidak
mengembirakan. Oleh itu kaunselor perlu bertanggungjawab untuk mewujudkan sistem
kepercayaan individu tersebut supaya menjadi rasional bagi membantunya
memperolehi kehidupan yang lebih harmonis.

Menurut teori RET, seseorang yang bermasalah akan mempunyai suatu sistem
kepercayaan atau suatu belief system yang penuh dengan kepercayaan yang tidak
rasional mengenai perkara yang dilihat atau dialaminya. Albert Ellis telah memberikan
beberapa idea tentang pemikiran yang tidak rasional, antaranya adalah seseorang
individu mempercayai bahawa ia mesti disayangi oleh orang-orang penting atau
signifikan kepada dirinya seperti ibubapa, adik-beradik dan rakan-rakan. Individu juga
percaya bahawa ia mesti membuktikan bahawa ia seorang yang berkebolehan dan
berkemampuan. Seseorang individu juga mempercayai bahawa jika terdapat individu
yang lain melakukan kesalahan atau tidak berlaku adil, maka seharusnya ia dikutuk dan
menyalahkan dirinya dan dilihat sebagai orang yang tidak baik. Masa lampau juga
dianggap sangat penting kerana ia mempengaruhi hidup seseorang individu. Ellis
mempercayai bahawa masa lampau itulah yang akan menentukan perasaan seseorang
individu pada masa kini.

Seseorang individu itu juga mempercayai bahawa ia perlu melihat kehidupannya yang
sangat teruk jika ia tidak dapat menyelesaikan masalah kepada kehidupannya. Individu
juga mempercayai bahawa ia perlu berpandangan tidak baik sekiranya ia dikecewakan,
disisih atau tidak dilayan secara adil. Jika berhadapan dengan perkara-perkara yang
merbahaya, seseorang individu mempercayai bahawa ia perlu memikirkannya dan akan
risau tentangnya.

Bagi menerangkan dengan jelas bagaimana gangguan emosi dan fikiran berlaku maka

kita akan menggunakan konsep ABCDE yang telah dinyatakan oleh Ellis iaitu A ialah
penggerak pengalaman activating experience atau peristiwa, faktor sikap atau tingkah
laku yang dialami oleh seseorang. Misalnya gagal dalam peperiksaan. B pula adalah
sistem kepercayaan yang dianuti oleh seseorang persons belief system. Misalnya,
saya tidak kelihatan cantik atau hodoh. Manakala C ialah akibat consequence iaitu
hasil daripada penilaian oleh B ke atas A dan ditafsirkannya. Misalnya, sentiasa
keadaan muram dan tidak bersemangat. D pula adalah kaedah-kaedah untuk berhujah,
mengajar, mencabar dan memperbetulkan sistem kepercayaan yang tidak rasional
yang menyebabkan individu itu mengalami suatu reaksi emosi yang tidak rasional.
Misalnya, Saya tidak mahu kamu yang menyebabkan saya mengalami kerugian besar
dalam hidup saya. Dan akhir sekali E ialah menjadi normal dan mempunyai sistem
kepercayaan dan penilaian yang rasional dan positif. Misalnya Saya rasa gembira.

Corey (1996) menjelaskan bahawa konsep ABC dalam teori RET adalah seperti berikut;
Menurut beliau, prinsip asas kepada gangguan emosi adalah sebahagian besarnya
akibat daripada hasil pemikiran tidak rasional dan pemikiran kalah diri. Hasil daripada
pemkiran ini menyebabkan seseorang individu itu suka menyatakan sesuatu dengan
perkataan sepatutnya, seharusnya dan semestinya. Dari perspektif RET, ramai
terapis telah membuat kesilapan kerana memfokuskan kepada sejarah hidup yang
lampau dan cara tindakan ialah semua peristiwa masa kanak-kanak boleh diubah.
Terdapat juga terapis melakukan kesilapan dengan terlalu menekankan dalam usaha
klien mengenal diri, meluahkan perasaan dan perubahan pemikiran. Keadaan ini
mendorong klien melupakan peristiwa awal kanak-kanak dan menumpukan pemikiran
sekarang. Bagi Ellis cara ini tidak produktif kerana sesuatu yang menyebabkan
emosional tidak akan hilang malah ia akan menambahkan lagi kehebatan perasaan
tersebut.
Oleh itu bagi Ellis , terapis dan klien perlu bekerjasama untuk mencabar kepercayaan
tidak rasional yang mengakibatkan gangguan emosional. Mereka perlu menuju ke arah
mengubah perkara yang tidak realiti, tidak matang, terlalu menuntut dan tidak lojik
kepada pemikiran yang logik, matang dan realistik. Persoalannya, bagaimanakah
emosional yang terganggu itu boleh wujud di dalam diri seseorang individu? Dalam hal

ini , Ellis telah menjelaskan bahawa individu yang mengalami gangguan kerana
sentiasa berterusan mengulangi ayat-ayat yang tidak logikal.Misalnya , individu itu
berkata : Saya sangat kecewa dengan kegagalan peperiksaan ini. Kegagalan saya
semuanya berpunca dari kesilapan saya sendiri. Saya adalah merupakan manusia
yang paling bodoh

Gangguan emosi ini menyebabkan wujudnya depresi dan anxieti dalam diri seseorang.
Keadaan ini akan mengakibatkan individu itu akan kekal berpegang dengan
kepercayaan yang tidak rasional itu. Kepercayaan inilah yang perlu dibantu oleh
kaunselor agar klien tersebut dapat merasionalkan dirinya dalam menghapuskan
fahaman-fahaman dan kepercayaan yang tidak rasional yang ada pada dirinya.

Anda mungkin juga menyukai