Anda di halaman 1dari 13

GURU STRESS oleh ANIS BINTI ZAKARIA

ULASAN ARTIKEL
PENDAHULUAN
Tekanan atau stress adalah satu tindakbalas fisiologikal dan psikologikal ke atas
permintaan terhadap seseorang. Ini bermaksud, tekanan yang melanda seseorang akan
menyebabkan fikiran dan fizikal individu tersebut bertindak balas mengikut keadaan dan tahap
tekanan tersebut. Sekiranya tahap tekanan tersebut adalah rendah maka tindakbalas individu
terbabit juga tidak terlalu besar dan begitu juga sebaliknya. Smither (1994), Kenyataan ini
disokong oleh Schafer (1992), yang menyatakan bahawa tekanan sebagai kebangkitan minda
dan fizikal seseorang dalam memberi tindakbalas kepada sesuatu permintaan terhadap diri
seseorang. Tambahan pula, Fontana (1989), juga menyatakan bahawa tekanan adalah satu
bentuk permintaan yang dibuat ke atas keupayaan untuk menyesuaikan minda dan fizikal serta
seterusnya menjelaskan sekiranya seseorang itu dapat menerima dan menangani permintaan
tersebut, maka tekanan tersebut akan mendatangkan kesan yang positif. Hal ini menunjukkan
bahawa cara seseorang menangani tekanan bergantung kepada tahap kesediaan minda dan
fizikal seseorang untuk menerima atau menyerap sesuatu tekanan yang diterima. Sekiranya
individu terbabit tidak bersedia dari segi fizikal dan mental, maka sudah pastinya tekanan yang
datang dalam bentuk permintaan ini tidak mampu dihadapi dengan sempurna yang akhirnya
akan menyebabkan individu tersebut tertekan dan menghadapi masalah yang lebih besar.
Sementara itu, menurut Levine dan Ursin (2009), tindakbalas tekanan ini adalah satu
perubahan fisiologi dan perlakuan yang berlaku terhadap mereka yang menghadapi tekanan.
Oleh itu, boleh dikatakan bahawa, tekanan bukanlah satu perkara yang boleh diambil ringan
kerana seseorang itu akan menghadapi risiko untuk berubah perlakuannya dengan melakukan
perkara-perkara yang tidak sepatutnya seperti bercakap kasar, memulakan pertengkaran,
terlibat secara fizikal dalam pergaduhan, penyalahgunaan dadah, terlibat dalam jenayah dan
sebagainya yang membuktikan walau sekecil mana sekalipun tekanan tersebut sekiranya tidak
diuruskan dengan betul mampu membawa malapetaka yang lebih dahsyat lagi kepada mereka
yang terlibat. Namun semuanya bergantung kepada kekuatan mental dan fizikal seseorang
kerana ianya dapat membantu seseorang untuk menyerap tekanan dan dapat menerima
tekanan tersebut secara positif.

Daripada beberapa definisi yang diberikan di atas, maka boleh dikatakan tekanan
terbukti mempunyai hubungan dengan faktor dalaman dan luaran seseorang. Faktor luaran ini
bermaksud persekitaran fizikal seperti tugasan dan tanggungjawab di pejabat, tahap
perhubungan dengan manusia lain, keadaan fizikal kediaman, tahap kebisingan, kesesakan
jalanraya dan sebagainya yang berkaitan dengan kehidupan seharian manusia. Faktor dalaman
pula bermaksud faktor yang mempengaruhi seseorang di dalam menangani faktor-faktor luaran
tadi seperti tahap kesihatan fizikal dan mental, emosi dan perasaan serta rehat yang
mencukupi. Bagi mereka yang mempunyai tahap kesihatan yang tinggi, kemungkinan untuk
mereka menghadapi tekanan disebabkan perkara yang remeh-temeh adalah rendah dan cara
mereka bertindakbalas juga adalah secara sederhana. Manakala mereka yang mempunyai
tahap kesihatan yang rendah mempunyai kemungkinan untuk mengalami tekanan dan
bertindakbalas secara agresif walaupun atas sebab-sebab yang kecil akibat ketahanan mental
dan fizikal yang lemah.
Di Malaysia, profesion keguruan merupakan satu bentuk perkhidmatan sosial yang
sungguh mencabar. (Ibrahim Ahmad Bajunid, 1995). Semenjak beberapa tahun kebelakangan
ini, pelbagai usaha dijalankan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai satu usaha dalam
meningkatkan mutu sistem pendidikan di Malaysia. Dengan pelaksanaan pelbagai-bagai
reformasi ini, tugas, peranan dan tanggungjawab guru menjadi semakin mencabar.Tekanan
terhadap guru memang berkecenderungan untuk menyebabkan guru berada dalam keadaan
murung, mengalami tekanan jiwa, kekecewaan dan kebimbangan. Guru yang gagal mengawal
diri akibat tekanan akan memberi kesan kepada perhubungan guru dengan pelajar dan juga
mutu pengajaran dan pembelajaran seterusnya boleh menjejaskan kualiti pendidikan dan juga
profesion perguruan. Bukan sekadar itu, masalah ini akan membantutkan usaha mewujudkan
sebuah masyarakat yang mampu membawa Malaysia ke tahap kecemerlangan dan
kegemilangan mutu pendidikan. (Dr.Sapora Sipon, 2007). Peratusan kadar stress dalam
kalangan pekerja di Malaysia yang telah dicatatkan pada tahun 2011 juga menunjukkan
bahawa guru berada pada tempat keempat dengan peratusan sebanyak 45.8 % berbanding
pekerjaan-pekerjaan yang lain seperti jururawat, doktor dan sebagainya. Statistik ini
membuktikan bahawa tugas guru ini bukan tugasan biasa dan mudah seperti yang diperkatakan
oleh sesetengah pihak. Satu kajian telah dijalankan oleh Mohamad Abdillah Royo dan Woo Sew
Fun dari Fakulti Pendidikan Universiti Malaya bagi mengenalpasti punca sebenar dan jalan
penyelesaian bagi masalah ini. Hasil kajian menunjukkan bahawa pelbagai perkara yang

dikenalpasti menyumbang kepada masalah ini antaranya bebanan tugas, kerenah murid,
kurang motivasi dan sebagainya.
PERKEMBANGAN HUJAH-HUJAH
Stress boleh berlaku kepada semua guru samada guru sekolah menengah mahupun
rendah. Satu kajian yang dijalankan oleh Azizi Yahya dan Norliza Othman mengenai punca
sebenar berlakunya masalah stress dalam kalangan guru matematik di negeri Johor. Hasil
kajian mendapati bahawa faktor yang paling mempengaruhi stress adalah faktor masalah
disiplin pelajar yang mencatatkan nilai min keseluruhan tertinggi iaitu 3.83. Kajian juga
dijalankan oleh Azrul Hisham Abdul Manaf pada tahun 2009 menunjukkan bahawa guru tidak
terlepas daripada perlakuan dan sikap segelintir pelajar yang kadangkala menyakitkan hati.
Antara contoh perlakuan pelajar yang membangkitkan kemarahan guru termasuklah datang
lewat ke kelas, membuat bising ketika sesi pengajaran dan pembelajaran bermula, tidak hadir
ke sekolah tanpa alasan yang munasabah dan bersikap biadap dengan guru. Perkara ini
menyebabkan guru mengambil keputusan yang agak drastik dan berasaskan emosi untuk
menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan disiplin pelajar. Walaupun tindakan ini
melanggar etika dan tatatertib seorang pendidik, namun kadangkala emosi yang tidak stabil
boleh menguasai kekuatan akal fikiran yang waras. Terdapat banyak contoh sebenarnya yang
berkaitan dengan tindakan disiplin berdasarkan emosi yang dilakukan oleh guru yang berkait
dengan masalah disiplin pelajar. Antaranya ialah kejadian di mana 200 orang pelajar Sekolah
Menengah Kebangsaan Bawang Assan di Sarawak yang telah dihukum dengan cara berendam
di dalam sebuah kolam yang kotor oleh warden asrama mereka disebabkan masalah disiplin
(Utusan Malaysia, 28 Julai 2007). Setahun sebelum itu,seorang guru disiplin di sebuah sekolah
menengah di Kelantan telah bertindak memukul seorang pelajar berulang kali di kawasan
sekolah kerana memakai seluar jeans pada hari terakhir peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM) ( Berita Harian, 20 Mei 2006 ).
Guru bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan para pelajar yang bermasalah tetapi
juga berhadapan dengan ibu bapa pelajar yang memberikan harapan yang amat tinggi kepada
para guru untuk menjadikan anak-anak mereka cemerlang dalam pelajaran. Hal ini dapat
dibuktikan menerusi kajian yang telah dijalankan oleh Unit Kaunseling Jabatan Psikologi,
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada tahun 2006 yang mendapati bahawa 83% daripada
guru telah mengalami tekanan akibat harapan tinggi yang diletakkan oleh ibu bapa pelajar yang

mengharapkan guru-guru di sekolah boleh membantu untuk menjadikan anak-anak mereka


sebagai pelajar yang cemerlang dalam akademik. Kajian yang sama juga menyatakan bahawa
kebanyakan ibu bapa akan melepaskan sepenuhnya tanggungjawab untuk mendidik anak-anak
mereka kepada guru sekolah sambil mengharapkan anak mereka memperoleh keputusan yang
cemerlang dalam peperiksaan. Abu Bakar Hamzah dalam artikelnya yang dimuatkan dalam
akhbar Berita Harian bertarikh 23 Februari 2007 mengatakan bahawa ibu bapa kebiasaannya
akan mengukur kejayaan mutlak seseorang pelajar berdasarkan kecemerlangan akademik
semata-mata tanpa mengira aspek-aspek lain yang tidak kurang pentingnya seperti kemahiran
dalam bidang vokasional. Akibat daripada harapan yang terlampau tinggi, kebanyakan guru
terpaksa menghabiskan banyak masa mereka di sekolah untuk mengadakan kelas-kelas
tambahan di luar waktu persekolahan bagi memastikan harapan ibu bapa dipenuhi.
Selain itu, faktor bebanan kerja yang terlampau banyak juga menyebabkan guru-guru
mengalami masalah stress. Menurut Esah Sulaiman (2003), guru merupakan pengurus
pembelajaran yang bertanggungjawab untuk merancang pengetahuan, kemahiran dan nilai
yang hendak diajar kepada pelajar setiap hari. Ini menunjukkan tanggungjawab guru untuk
menyediakan maklumat-maklumat untuk diajar tidak semudah yang disangkakan. Guru juga
dibebankan dengan tugas-tugas lain seperti tugas pentadbiran sekolah contohnya merancang
dan menjalankan aktiviti sekolah, menjadi penasihat persatuan dan kelab, menjalani kursus
yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri dan sebagainya.
Perkara ini mungkin dilihat mudah oleh sesetengah pihak namun ia merupakan bebanan yang
amat tinggi kepada para guru kerana mereka terpaksa melakukan pelbagai jenis kerja yang
berkaitan dengan akademik, kokurikulum dan pentadbiran sekaligus setiap hari. Tambahan
pula, adakalanya tugas-tugas ini perlu diselesaikan pada hari minggu sehingga menyebabkan
guru tidak mendapat ruang waktu untuk berehat dan bersama keluarga. Ia menjadi menjadi
satu masalah yang besar dan dipandang serius oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sehingga
wujudnya satu Jawatankuasa Khas bagi mengkaji bebanan tugas guru yang terlampau banyak.
Menurut Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Don yang mempengerusikan
jawatankuasa itu, beberapa cadangan sudah dikenalpasti bagi menangani masalah ini.
Jawatankuasa ini ditubuhkan bagi memberi maklumbalas terhadap aduan yang dibuat oleh
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) terhadap bebanan tugas guru dalam
satu sidang media yang diadakan pada tarikh 30 Mac 2010. Ini membuktikan bahawa banyak
pihak yang menyedari akan bebanan tugas guru yang semakin mencabar.

Bagi pekerja di setiap organisasi, etika kepimpinan seseorang pemimpin atasan


memainkan peranan yang penting dalam memajukan organisasi tersebut. Perkara yang sama
juga berlaku di sekolah apabila etika kepimpinan pengetua atau guru besar yang memainkan
peranan yang sangat penting di dalam kemajuan dan pembangunan sekolah serta sumber
manusianya. Guru sememangnya bergantung harap kepada guru besar untuk memastikan
kelancaran pentadbiran di sekolah di samping menjaga kenajiakn mereka sebaik-baiknya.
Sekiranya perkara ini tidak berlaku, guru akan mengalami tekanan kerana persekitaran tempat
kerja yang tidak membantu mereka untuk menjadi lebih produktif di dalam perkhidmatan. Hal ini
kerana, adakalanya dalam melaksanakan sesuatu program di sekolah, terdapat corak
pentadbiran dan tindakan pengetua yang kurang disenangi di sekolah. Malahan, ada juga
program yang diatur bukanlah untuk kepentingan sekolah atau pelajar sebaliknya untuk
kepentingan peribadi pengetua semata-mata. Keputusan-keputusan tentang peraturan dan
dasar sekolah yang tidak adil dan kerap berubah juga akan membangkitkan ketidakpuasan hati
guru. (Hamedah binti Wok Awang, 2004). Selain itu, ada juga pengetua yang menyalahgunakan
peruntukan sekolah untuk kegunaan peribadi seperti hanya menumpukan usaha membesar dan
mencantikkan bilik guru besar sahaja walaupun peruntukan tersebut sebenarnya harus
digunakan untuk pembangunan fizikal sekolah serta kebajikan kakitangan dan pelajar. Isu ini
telah dilaporkan oleh BERNAMA pada 17 Februari 2000, apabila Kementerian Pendidikan akan
mengambil tindakan segera terhadap pengetua yang menyalahgunakan kuasa mereka
termasuk yang terlibat dalam rasuah. Menurut mantan Menteri Pelajaran Malaysia, hal ini
kerana terdapat beberapa kes yang diterima oleh pihak kementerian setiap tahun yang
menyebabkan tindakan tegas perlu diambil secara serta merta. Hal ini secara langsung akan
mengundang tekanan emosi terhadap guru kerana mereka akan berasa kurang senang dengan
keputusan-keputusan yang dibuat tanpa mengambil kira kebajikan perkhidmatan mereka.
Apabila keadaan ini semakin berlarutan, ianya akan menghakis kepercayaan guru terhadap
kredibiliti dan ketelusan pengetua terbabit. Akhirnya perasaan hormat guru akan hilang dan
mereka akan kehilangan motivasi untuk terus berkhidmat dengan cemerlang.
IMPLIKASI HUJAH-HUJAH
Punca-punca seperti yang dinyatakan di atas akan membawa kepada tekanan terhada
guru dan menyebabkan mereka mengambil jalan-jalan tertentu untuk menyelesaikannya. Guru
yang tertekan akan melakukan apa sahaja untuk memastikan tekanan yang melanda mereka

berakhir. Ini termasuklah melakukan perkara yang menyalahi undang-undang dan etika
pengurusan.
Ponteng kerja adalah perkara serius yang dilakukan oleh individu-individu yang tertekan
( Akhiar Pardi dan Shamsina Shamsuddin, 2011 ). Perkara ini dibuktikan melalui pendedahan
yang dibuat oleh akhbar Berita Harian bertarikh 12 Disember 2009 iaitu seramai lima peratus
daripada keseluruhan penjawat awam di Malaysia terlibat dalam kes ponteng kerja di mana ada
sesetengahnya yang tidak hadir ke tempat kerja selama tiga bulan. Satu laporan akhbar
daripada Berita Harian bertarikh 27 Mac 2008 menyebutkan isu seorang guru di Perak yang
tidak menghadirkan diri ke sekolah selama lebih dari 30 hari tanpa alasan yang kukuh. Akibat
dari perlakuan tersebut, pihak Kementerian Pelajaran akan mengambil tindakan disipilin yang
tegas terhadap guru terbabit dan mungkin akan memecat beliau dari perkhidmatan perguruan.
Hal ini disokong melalui pernyataan yang dibuat oleh Ho (1997) bahawa guru yang ponteng
kerja akan menyebabkan proses pembelajaran terganggu untuk satu jangka masa yang
panjang. Akibatnya, banyak perkara yang tidak dapat diselesaikan dengan segera seperti
kegagalan menghabiskan sukatan pelajaran dan kelewatan menganjurkan aktiviti-aktiviti ko
kurikulum di sekolah. Selain itu, rancangan pengajaran yang telah ditetapkan juga tidak dapat
diikuti lagi kerana telah tersasar dari perancangan asal menyebabkan perancangan baru perlu
disusun semula. Akhirnya, pelajar-pelajar akan mendapat impak yang sangat negatif apabila
mereka tidak mampu menjawab soalan-soalan peperiksaan dengan baik terutamanya apabila
melibatkan peperiksaan-peperiksaan umum seperti UPSR, PMR dan SPM kesan dari proses
pengajaran dan pembelajaran yang tidak lancar.
Selain daripada ponteng kerja, guru-guru juga akan cenderung untuk melakukan
tindakan yang lebih besar iaitu berhenti kerja kerana tidak lagi mampu untuk bertahan dalam
kerjaya ini. Tekanan-tekanan yang datang dari bebanan tugas yang melampau, etika
kepimpinan pihak atasan sekolah dan tahap disiplin pelajar yang rendah merupakan faktor
utama mengapa guru berniat meninggalkan kerjaya utama mereka. (Azrul Hisham Abdul Manaf,
2009). Isu ini turut disentuh oleh satu kajian kes yang telah dijalankan oleh Erkultu dan Chafra
(2006) yang menyebut bahawa tekanan yang terlampau tinggi boleh mengakibatkan pekerja
berfikir untuk meletakkan jawatan. Justeru, tidak hairanlah para guru yang sememangnya
berhadapan dengan bebanan kerja yang tinggi akan berniat untuk menarik diri daripada jawatan
ini. Kajian juga telah dijalankan oleh Jesus (2000), beliau mendapati 50 peratus daripada guru
yang menjawab borang soal selidik mengakui bahawa mereka mahu mencari kerja lain akibat

tekanan yang berlebihan di sekolah. Pada pandangan saya, adalah menjadi satu kerugian yang
sangat besar sekiranya kebanyakan guru yang menghadapi masalah tekanan ini meneruskan
niat untuk meletakkan jawatan kerana ianya akan mengganggu keseluruhan proses pendidikan
di sekolah. Selain itu, kerajaan juga terpaksa mengeluarkan kos yang besar dan menghabiskan
masa yang panjang untuk memberi latihan kepada guru-guru baru bagi menggantikan
kekosongan tersebut.
Pelbagai langkah yang telah diambil bagi menangani masalah stress dalam kalangan
guru yang semakin parah. Antaranya ialah memperkenalkan program latihan fisioterapi khas
untuk golongan-golongan guru di seluruh Negara. Menurut pengarah urusan Great Life Physio
and Rehabilation, Mohd Rozaimi Che Kamaruddinata, program itu disediakan khas oleh pakarpakar fisioterapi untuk para guru dalam memberi panduan bagaimana menguruskan stress
semasa bertugas. Program ini telah berjaya dijalankan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit
Gading, Sungai Buloh Selangor dengan melibatkan 135 orang guru dan kakitangan sekolah
tersebut. Program ini disokong penuh oleh pengetua sekolah tersebut, Siti Endon Mohamad
Dahlan yang berpendapat bahawa program itu banyak memberi kesedaran kepada guru dalam
menangani masalah stress di tempat kerja.
Selain daripada itu, guru sepatutnya diberi pengkhususan tugas iaitu memberikan
tumpuan kepada pengajaran sahaja. Memetik ucapan presiden NUTP, Hashim bin Adnan,
beliau mengatakan bahawa pada hari ini, kita dapat melihat bahawa tugas guru bukan sahaja
mengajar sebaliknya melakukan tugas-tugas pengurusan yang lain, di mana tugas-tugas
tersebut sepatutnya dijalankan oleh individu lain. Umpamanya, pengurusan data-data murid dan
sekolah menggunakan aplikasi atas talian yang baru sahaja diperkenalkan baru-baru ini
.Menurut Jaafar Muhammad (2003), kebanyakan individu bekerja selama 45 jam dalam masa
seminggu. Baki masa yang selebihnya pula sepatutnya digunakan untuk mengukuhkan
perhubungan sosial dengan masyarakat setempat seperti berkomunikasi, menyelesaikan
masalah dan melakukan aktiviti bersama keluarga, jiran tetangga dan rakan-rakan mahupun
ahli bagi persatuan yang disertai oleh mereka. Sekiranya guru tidak mempunyai masa yang
cukup untuk dihabiskan bersama masyarakat setempat, mereka akan membawa masalahmasalah di luar pejabat ke sekolah untuk diselesaikan. Perkara ini seterusnya akan
mengganggu pula komitmen mereka terhadap tugas-tugas hakiki di sekolah. Hal ini akan
menjadi semakin serius apabila murid-murid mendapat implikasi negatif seperti gagal dalam

peperiksaan utama dan seterusnya negara mengalami kerugian besar terhadap penghasilan
sumber manusia.
CADANGAN DAN RUMUSAN
Seorang guru yang gagal menjalankan tanggungjawab dan tugas akan memberi
mudarat kepada seluruh generasi ( Chek Mat, 2008 ). Guru yang baik mestilah sentiasa sedar
akan kepentingan diri dan amanah yang dipikul mereka. Oleh yang demikian, guru mestilah
memastikan diri mereka terlepas dari masalah stress yang memudaratkan ini.
Pemeriksaan kesihatan yang berkala perlu sentiasa dijalankan oleh para guru dalam
memastikan tahap kesihatan mereka berada dalam keadaan yang baik. Guru mestilah
berusaha menjaga tahap kesihatan mereka kerana hal ini memberikesan yang amat mendalam
kepada seorang guru. Umpamanya, guru yang mengalami masalah kesihatan akan lebih
cenderung mengalami masalah stress di sekolah sekaligus memberi mudarat kepada profesion
secara umumnya dan murid secara khususnya. Guru juga perlu meningkatkan perbincangan
dan bersosial dengan rakan-rakan sejawatan sekiranya berlaku sebarang masalah berkaitan
tugas di sekolah. Hal ini mungkin dapat menghilangkan sedikit tekanan yang dihadapi oleh
guru. Sekiranya masalah-masalah yang dialami disimpan bersendirian, ia akan menyebabkan
guru lebih mudah menghadapi tekanan di tempat kerja. Bagi pihak ibu bapa dan pengurusan
sekolah, mereka tidak sepatutnya meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepada guru-guru di
sekolah. Hal ini kerana, tugas mendidik anak adalah tanggungjawab ibu bapa dibantu oleh guru
di sekolah. Adalah menjadi satu kesilapan besar sekiranya tugas mendidik anak-anak sekadar
diletakkan di bawah tanggungjawab guru dan hal ini secara tidak langsung memberikan
tekanan hebat kepada para guru di sekolah.
Secara kesimpulannya kerjaya sebagai seorang guru adalah satu kerjaya yang cukup
mencabar. Banyak pengorbananyang perlu dilakukan oleh seorang guru untuk memberi yang
terbaik kepada para pelajar. Sesuatu yang positif perlu dilakukan segera oleh pihak atasan
sekolah dan juga guru bagi mengelakkan punca-punca tekanan ini membawa kesan yang lebih
teruk sekiranya dibiarkan berterusan. Boleh dikatakan tekanan dapat dikawal dengan baik oleh
guru sekiranya mereka mementingkan kepada cara-cara untuk menguruskan tekanan tersebut.
Pengurusantekanan amat kritikal atau diperlukan oleh guru bagi memastikan mereka sentiasa
bersedia untuk menghadapi segala cabaran dalam dunia perguruan yang mendatang.

Perubahan demi perubahan yang pantas berlaku akan menjadikan kerjaya seorang guru
lebih sukar ataupun complicated. Sekiranya guru tidak mampu mengawal diri dan tekanan
mereka dengan baik, sudah pastinya kerjaya mereka bukan sahaja akan berakhir lebih awal
malahan dikenakan tindakan-tindakan disiplin yang keras pula atas segala kesalahan yang
dilakukan. Perubahan demi perubahan yang berlaku dalam persekitaran dunia pendidikan pada
hari ini pula ternyata menyebabkan guru juga perlu berubah, namun tidak ramai yang mampu
untuk membuat perubahan secara drastik menyebabkan tekanan mula menguasai mereka dan
akhirnya membawa kesan yang besar kepada sistem pendidikan yang dilaksanakan di sekolah
amnya dan di Malaysia khasnya.
Akhirnya, sokongan yang berterusan daripada pihak pengetua sehinggalah kepada
kakitangan pentadbiran amat penting bagi menjamin persekitaran tempat kerja yang harmoni
dan aman untuk semua pihak. Konflik yang sedang berlaku akan berterusan tanpa noktah
sekiranya masih tiada ruang untuk bekerjasama dibuka seluas-luasnya untuk kedua-dua belah
pihak iaitu pentadbiran dan akademik. Keprihatinan terhadap beban tugas guru perlu
ditingkatkan oleh segenap lapisan masyarakat demi memastikan kelangsungan sistem
pendidikan di Malaysia seterusnya usaha melahirkan generasi pewaris negara berterusan dan
tidak

terhenti.

REFLEKSI

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Illahi akhirnya tugasan ini berjaya dilaksanakan dengan
jayanya. Jutaan terima kasih kepada semua pihak yang membantu secara langsung dan tidak
langsung terutamanya pensyarah, Puan Salina binti Mokhtar.
Pada mulanya, tugasan ini dilihat sebagai satu tugasan yang sangat mencabar buat
saya. Saya ditugaskan untuk menganalisis satu artikel dan membina satu laman blog untuk
memuatkan artikel yang dihasilkan. Tugasan ini sangat mencabar kerana ini merupakan
pengalaman pertama saya menghasilkan blog, apatah lagi blog yang bersifat ilmiah seperti ini.
Namun Alhamdulillah, tugasan berjaya disiapkan sepenuhnya. Kami berganding bahu
mempelajari cara-cara membuat blog dengan menggunakan aplikasi atas talian yang sangat
banyak di laman sesawang. Kami bersama-sama meneroka maklumat-maklumat dan tutorial

yang disediakan dan akhirnya tugasan tersebut berjaya dijalankan. Kami juga meminta bantuan
rakan-rakan yang mahir dalam bidang ini untuk mengajar kami cara menghasilkan sebuah
laman blog yang menarik dan berkualiti.
Selain daripada itu, saya juga menghadapi masalah apabila berlaku kekangan masa
dalam usaha menyiapkan tugasan ini. Tambahan pula, cuti hari raya yang diperuntukkan agak
padat dengan jadual-jadual lain menyebabkan saya tergesa-gesa menyiapkan tugasan ini.
Namun, berkat sokongan dan dorongan rakan-rakan sekumpulan, saya berjaya mengatasi
masalah ini. Saya juga berpuas hati kerana berjaya menghasilkan satu penulisan artikel yang
pada hemat saya sebuah artikel yang baik untuk menjadi rujukan semua pembaca.
Pelbagai kemahiran baru yang diperolehi dalam tugasan ini. Antaranya ialah kemahiran
menggunakan ICT sebagai medium menyampaikan maklumat kepada seluruh masyarakat.
Selain itu, kemahiran yang saya perolehi ialah kemahiran menganalisis sesuatu isu
menggunakan bukti-bukti kukuh bagi memantapkan hujah-hujah yang dilontarkan atau lebih
dikenali sebagai penulisan ilmiah. Kemahiran ini juga sangat penting buat saya dalam usaha
untuk menyelesaikan penulisan kajian tindakan pada semester ini.
Secara keseluruhannya, tugasan ini memberi saya semangat baru untuk lebih giat
menulis artikel ilmiah setelah memasuki alam kerjaya kelak. Seterusnya, menggunakan medium
ICT sebagai wadah untuk menyebarkan idea dan penulisan tersebut. Hal ini bukan sahaja
dapat meningkatkan mutu pendidikan, tetapi juga membantu memajukan diri sendiri dalam
bidang yang menjadi pilihan ini. Penulisan artikel ilmiah juga merupakan satu cara terbaik bagi
seorang guru meluahkan masalah-masalah dan mengetengahkan isu-isu pendidikan kepada
masyarakat umum.
Sekian, terima kasih.
BIBLIOGRAFI

Akhiar Pardi & Shamsina Shamsuddin. (2011). Pengendalian Disiplin Remaja di Sekolah dan di
Rumah. Penerbitan Multimedia. Kuala Lumpur

Azizi Yahya & Norliza Othman (2010), Stres Dalam Kalangan Guru Sekolah Menengah Di
Empat Buah Negeri Di Malaysia. Asia Pacific Journal of Educators and Education. Kuala
Lumpur
Azrul Hisham Abdul Manaf (2009), Faktor-Faktor Tekanan Dan Kesannya Kepada Guru
Sekolah Menengah Kebangsaan : Satu Kajian Di Daerah Timur Laut, Pulau Pinang. UPM.
Kuala Lumpur
Chek Mat (2008). Ujian Psikologi & Pengurusan. Unipress Printer Sdn Bhd. 2008
Dr Sapura Sipon (2007). Tekanan Kerja Di Kalangan Guru-Guru Di Sebuah Sekolah Menengah
Kerajaan Dan Sebuah Sekolah Menengah Swasta. Kertas Projek Bacelor Sains: Serdang.
Universiti Putra Malaysia.
Erkutlu, H.V. & Chafra, J. (2006), Relationship Between Leadership Power Bases And Job
Stress Of Subordinates : Example From Boutique Hotels. Journal Management
Research News, London
Esah Sulaiman (2003), Modul Pengajaran : Asas Pedagogi. Skudai: Jabatan Asas
Fontan, D. (1989), Managing Stress. British Psychological Society & Routledge Ltd
Hamedah Wok Awang. (2004), Cerita-Cerita Motivasi Untuk Guru. PTS Millenia Sdn Bhd. Kuala
Lumpur
Ho, J. (1997), Corporate Wellness Programmes in Singapore: Effect on Stress,
Ibrahim Ahmad Bajunid (1995). Tinjauan Tahap Tekanan dan Punca Stress di Kalangan Guru
Sekolah Sabak Bernam. Universiti Teknologi Malaysia. Tesis Sarjana Muda.
Jaafar Muhammad, (2003), Kelakuan Organisasi. Kuala Lumpur. Leeds Publications
Mohd Abdillah Royo & Woo Sew Fun (2010), Faktor-Faktor yang Mendorong Tekanan Kerja
( Stress ) di Kalangan Guru-Guru SJK(C) : Satu Kajian. Universiti Teknologi Mara. Selangor

Smither, R. (1994). Stress and teachers: Old wine in new bottle. Urban Education,London
Smither, R.D. (1994), The Physchology of Work And Human Performance (2nd ed.). Journal of
Managerial Psychology
Guru Alami Tekanan Mental & Emosi, Kata NUTP. (18 Ogos 2005). BERNAMA
Kementerian Akui Ada Masalah Kekurangan Guru. (17 Disember 2003). BERNAMA
Tip Mengatasi Stres. (25 Jun 2006). Utusan Malaysia
Guru Di Bandar Lebih Tertekan. (18 Disember 1997).Utusan Malaysia
Tuala Wanita: 200 Pelajar Direndam Dalam Kolam Kotor. (28 Julai 2007). Utusan
Malaysia.
Ibu Bapa Punca Guru Tertekan. (23 Februari 2007). Berita Harian
Ramai Guru Berpenyakit Akibat Stres .( 20 Mei 2006), Utusan Malaysia
Lima Peratus Penjawat Awam Ponteng Kerja. (21 April 2009). Berita Harian
Guru Ponteng Sebulan Boleh Diberhenti Kerja. (12 Mei 2008). Berita Harian
Guru Ponteng : Tindakan Tegas akan Diambil. (12 Mei 2008). Berita Harian
Pengetua Sekolah Yang Langgar Arahan Akan Dikenakan Tindakan Disiplin. (1 Jun
1997). BERNAMA
Pengetua Salahguna Kuasa Akan Dikenakan Tindakan. (4 Mac 2000). BERNAMA
http://www.nutp.org/new/ms/
http://www.jpa.gov.my/index.php?lang=ms
http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20120424/pe_01/Guru-lebih-stres

Anda mungkin juga menyukai