Anda di halaman 1dari 8

REFLEKSI KENDIRI BINA INSAN GURU

PISMP PK SEM 1 FASA 1 SIRI 3 2014

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan InayahNya, saya
telah berjaya menyertai kursus Bina Insan Guru (BIG) yang telah dilaksanakan di
Kem Kokurikulum UNISZA, Merang Setiu, Terengganu pada 7 April hingga 10
April 2014 iaitu pada hari Isnin sehingga Khamis. Kursus BIG ini disertai oleh
pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu yang terdiri daripada 39
orang pelajar PISMP dan 9 orang pelajar J-Qaf. Kursus yang dijalankan selama
4 hari 3 malam ini, bertujuan untuk membina jati diri sebagai bakal guru supaya
dapat menyesuaikan diri dalam apa juga keadaan. Antara objektif yang ingin
dicapai dalam kursus ini ialah untuk melengkapkan kurikulum bina insan guru
yang terkandung dalam proforma PISMP, membina jati diri guru yang bercirikan
profesionalisme yang tinggi serta mempamerkan daya ketahanan dan kekuatan
fizikal, mental, emosi, rohani dan sosial. Selain itu, objektif BIG ini juga adalah
untuk membina kemahiran berfikir aras tinggi dalam menganalisis masalah dan
situasi kompleks seterusnya berupaya membuat keputusan dan bertindak
dengan

sewajarnya

serta

merancang,

melaksana,

memimpin

program,

bekerjasama, dan mengambil peranan secara aktif dalam kumpulan. Banyak


pengalaman, kebaikan dan manfaat diperoleh sepanjang kursus BIG ini
dijalankan. Segala input yang diperoleh amat berguna bagi menambah ilmu
pengetahuan dan pengalaman yang sedia ada untuk diaplikasikan.
Perkara yang pertama sekali yang boleh dilihat berdasarkan kepada
kursus BIG ini ialah mengenai pengurusan sistem yang sistematik oleh pihak
jurulatih-jurulatih kem. Sebagai contoh, semasa pada hari pertama sebelum
bertolak ke Kem Merang, kami dikehendaki untuk mendaftarkan diri di hadapan
Dewan Wawasan. Tujuan sesi pendaftaran ini diadakan adalah untuk
memastikan sama ada peserta yang terlibat hadir ataupun tidak. Perkara seperti
ini dapat menjadi panduan kepada saya apabila bergelar guru kelak kerana

pengurusan sistem yang baik di sekolah amatlah diutamakan oleh pihak


pentadbiran khususnya.
Semasa kursus BIG ini dijalankan saya menyedari bahawa pengurusan masa
yang efektif amat penting demi memastikan segala aktiviti yang dirancang dapat
berjalan dengan lancar dengan masa yang telah ditetapkan seperti yang terdapat
pada tentatif program. Hal ini penting kerana sekiranya sesuatu aktiviti
tertangguh atau tergendala, semestinya akan menggangu masa serta aktiviti
yang ingin dijalankan seterusnya. Kesan daripada perkara tersebut, semua
perkara yang dilakukan perlu dibuat dengan kadar yang cepat dan menyebabkan
kami menghadapi kekurangan masa bagi sesuatu sesi atau slot aktiviti.
Sepanjang BIG ini, saya sentiasa patuh akan masa yang telah ditetapkan dan
menasihati atau memberitahu akan rakan yang lain supaya membuat kerja
mengikut masa yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, kami dikehendaki
berkumpul di kawasan lapang berhampiran dengan kawasan perkhemahan pada
jam 7.00 setiap pagi oleh salah seorang daripada jurulatih kem iaitu Encik
Rosmadi Bin Dollah. Wisel akan dibunyikan untuk memberi amaran kepada
semua supaya berkumpul di tempat yang telah ditetapkan dan oleh itu, kami
terpaksa meninggalkan semua kerja yang dibuat serta merta bagi menjayakan
aktiviti yang telah dijalankan. Pendek kata, saya berpendapat bahawa sikap
menepati masa haruslah dipupuk dari semasa ke semasa bagi memastikan
sesuatu aktiviti tersebut dapat dijalankan dengan lancar.
Selain itu, melalui kursus BIG ini juga dapat mengajar saya untuk mematuhi
peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh Kem Komanden. Hal
ini demikian untuk memastikan keselamatan kita terjamin dan demi mengelakkan
sebarang perkara yang tidak diingini berlaku kepada kita. Contohnya, taklimat
ringkas mengenai peraturan dan keselematan telah diadakan pada hari pertama
BIG iaitu pada 7 April 2012, selepas makan tengahari dan solat jamak.
Sepanjang taklimat tersebut diadakan, kem komanden telah menekankan
beberapa perkara supaya diambil perhatian dan diaplikasi sepanjang kursus 4
hari 3 malam tersebut. Antara perkara tersebut termasuklah, aspek masa,

pakaian, kawasan larangan, tempat makan, tempat solat, keselamatan,


kecemasan dan sebagainya. Beliau juga menegaskan supaya kami mendengar
arahan jurulatih terlebih dahulu sebelum melakukan aktiviti-aktiviti yang
dikehendaki. Melalui pemikiran saya, hal ini sangat penting khususnya semasa
aktiviti air kerana saya tidak tahu berenang dan dengan peraturan dan arahan
yang diberikan, dapat memastikan keselamatan saya terjamin daripada
sebarang bahaya. Oleh itu, bersyukur kerana dengan arahan jelas yang diberi,
saya dapat selamat menjalankan aktiviti-aktiviti tersebut.
Di samping itu, kursus BIG ini juga berjaya membentuk jati diri saya
seperti bekerjasama, toleransi, tolong-menolong, kesabaran, sifat keterbukaan
dan sebagainya. Hal ini demikian, sepanjang kursus ini selama 4 hari 3 malam,
saya perlu bekerja dalam satu kumpulan seramai 8 orang yang terdiri daripada 2
orang pelajar J-Qaf dan 6 orang pelajar PISMP termasuk saya. Walaupun pada
mulanya berasa agak kekok untuk berkomunikasi dengan pelajar J-Qaf yang
semestinya mempunyai perbezaan umur dengan kami, namun setelah
mengadakan sesi taaruf dalam kumpulan, akhirnya komunikasi berkesan dapat
dibina. Hampir semua aktiviti yang dijalankan memerlukan kami untuk bekerja
dalam satu kumpulan termasuklah mendirikan khemah, memasak, jungle
trekking dan banyak lagi. Oleh itu, kursus BIG ini telah berjaya memupuk nilainilai moral yang baik dalam diri saya, membina modal insan yang lebih
sempurna dan menjadikan saya seorang yang lebih baik dalam semua aspek.
Kursus BIG ini merupakan satu media ataupun alat untuk saya memahami
akan diri saya dan rakan dengan lebih mendalam lagi. Iktibar dan kesedaran ini
telah saya peroleh sepanjang saya menghadiri dan menyertai aktiviti LDK yang
diadakan pada setiap pagi dan malam sepanjang kursus tersebut dijalankan.
Salah satu LDK yang telah dijalankan pada malam pertama kursus ialah Ice
Breaking. Dalam aktiviti tersebut, kami diarahkan untuk berkumpul dalam satu
kumpulan seramai 6 orang dan mencari persamaan yang terdapat pada setiap
orang ahlinya. Selepas itu, dalam skala yang lebih kecil, kami diarahkan untuk
mencari pasangan dan mencari persamaan antara satu sama lain. Saya dengan

pasangan saya telah dipanggil ke hadapan untuk menceritakan persamaan yang


terdapat pada kami berdua serta perkara yang membuatkan kami rapat.
Berdasarkan kepada aktiviti ice breaking tersebut, hubungan di antara saya
dengan rakan-rakan lain bertambah erat.
Saya juga sedar bahawa kita haruslah bertanggungjawab dalam semua
perkara yang telah diamanahkan kepada kita. Hal ini demikian kerana kami akan
bertukar peranan ataupun jawatan berselang 6 jam secara bergilir-gilir. Antara
jawatan yang telah saya sandang sepanjang 4 hari 3 malam ini termasuklah
ketua, setiausaha, bendahari, Ajk peralatan, Ajk keselamatan dan Ajk makanan.
Tugas setiausaha adalah penting kerana setiausaha akan membuat laporan
berdasarkan masa tugasan yang telah ditetapkan. Malah, setiap orang
berpeluang menyandang jawatan tersebut dan merasai kesenangan dan
kesusahan jawatan tersebut, memandangkan setiap jawatan mempunyai
tugasannya

yang

tersendiri.

Namun,

saya

sentiasa

berwaspada,

bertanggungjawab, berhati-hati dalam setiap tugasan yang diamanahkan kepada


saya. Pendek kata, BIG ini telah melatih saya untuk menjadi seorang yang tidak
mudah pecah amanah dan melakukan yang terbaik dalam semua perkara.
Melalui kursus BIG ini juga, saya dapat mengenali dengan lebih dekat lagi
mengenai alam sekitar. Semasa BIG ini, kami perlu melakukan dua aktiviti wajib
iaitu aktiviti darat dan juga aktiviti air. Bagi aktiviti air, kami dikehendaki untuk
belajar berenang dan juga untuk berkayak. Kami dibahagikan kepada dua
kumpulan iaitu untuk kumpulan renang dan juga kumpulan kayak. Aktiviti renang
bukanlah sesuatu yang baru kepada saya namun ilmu yang diturunkan kepada
saya adalah amat berguna memandangkan saya tidak pandai berenang. Melalui
aktiviti renang ini, ia dapat meningkatkan dan menambahkan lagi keyakinan saya
terhadap air. Jika dibandingkan sebelum ini, saya hanya bermain air sahaja
apabila berada di kolam ataupun laut. Namun, setelah mempelajari cara untuk
berenang daripada jurulatih bertugas, akhirnya sedikit sebanyak saya dapat
berenang di dalam air. Sementara aktiviti berkayak di laut semasa aktiviti air
merupakan sesuatu yang baharu kepada saya kerana ia merupakan kali pertama

saya berkayak di laut. Segala ilmu pengetahuan mengenai berkayak amatlah


kurang namun setelah diberi taklimat ringkas mengenai cara untuk berkayak,
akhirnya saya dapat mengetahui cara berkayak dengan betul. Kedua-dua
perkara tersebut penting untuk dipelajari sekarang sebagai persiapan bagi saya
sekiranya ditempatkan di pedalaman nanti.
Semasa menjalankan aktiviti darat pula iaitu kembara ke hutan, kami
dikehendaki untuk meredah hutan yang berada berhampiran dengan kem kami.
Walaupun nampak mudah, namun kami terpaksa mendaki bukit yang cerun pada
permulaannya. Stamina dan kecergasan fizikal diperlukan untuk mendaki bukit
tersebut dan sememangnya itu merupakan perkara yang menyeronokkan bagi
saya kerana aktiviti lasak seperti itu sudah menjadi kesukaan saya semenjak
menjejakkan kaki di bumi IPG. Semasa aktiviti tersebut, pelbagai jenis flora dan
fauna telah dijumpai dan antara contoh flora yang amat ketara ialah pokok
mengkuang. Hal ini kerana kami telah diberi peringatan sebelum memulakan
aktiviti tersebut kerana terdapat duri pada pokok tersebut. Manakala, fauna yang
dapat dilihat ialah monyet, tupai dan banyak lagi. Oleh itu, saya berpeluang
untuk mengetahui dan mengenali jenis-jenis flora dan fauna yang terdapat dalam
hutan.
Seterusnya, kursus BIG ini mampu untuk mencungkil bakat dan potensi yang
terpendam dalam diri seseorang. Sebagai contoh, ia dapat dilihat melalui Malam
Kebudayaan yang diadakan pada malam terakhir iaitu pada hari Rabu. Setiap
kumpulan perlu membuat dua persembahan iaitu persembahan sketsa dan juga
persembahan nyanyian. Sebelum bermulanya persembahan tersebut, kami
dikehendaki untuk mencari idea bagaimana hendak membuat jalan cerita sketsa
yang hendak dipersembahkan. Pada masa itu, saya baru tersedar bahawa saya
mempunyai bakat dalam mencipta jalan cerita sketsa kami. Setelah idea tersebut
dimurnikan bersama ahli kumpulan yang lain, akhirnya cerita yang saya cipta
tersebut digunakan untuk dipersembahkan pada malam tersebut. Manakala, bagi
nyanyian kami menyanyikan lagu patriotik iaitu bersesuaianlah dengan objektif
BIG iaitu ingin melahirkan guru yang berjiwa patriotik. Berdasarkan kepada

kedua-dua persembahan tersebut, saya dapat mencungkil bakat dan potensi


yang ada dalam diri saya dan melalui bakat ini nanti, saya dapat aplikasikan dan
mengajar murid mengenai persembahan sketsa dan nyanyian.
Selain daripada bakat dan potensi dalam bidang kesenian seperti sketsa dan
nyanyian tadi, bakat lain yang dapat dicungkil semasa BIG ini ialah bakat
memasak. Setiap daripada kami mempunyai giliran untuk memasak di dapur
bagi menyediakan makanan untuk para peserta. Walaupun dari segi umur kami
nampak agak kurang dari segi kemahiran dan ilmu dalam bidang masakan,
namun itu hanyalah dari luaran sahaja dan hakikatnya hampir ke semua
daripada kami mempunyai bakat dalam masakan. Hal ini dapat dengan lebih
jelas lagi pada aktiviti yang dilakukan semasa kembara ke hutan. Setelah
meredah hutan, kami dikehendaki untuk memasak berdasarkan kepada bahanbahan yang disediakan kepada kami. Jenis masakan dan cara masakan
terpulang kepada kami untuk mengolah dan membuatnya. Selepas memasak,
kami dikehendaki untuk menghias mengikut kreativiti dan dipersembahkan di
hadapan chef-chef profesional yang terdiri daripada jurulatih kem. Rasa dan
gaya persembahan dinilai berdasarkan kriteria-kriteria yang telah ditetapkan.
Jadi, saya berpendapat bahawa BIG membolehkan setiap orang melihat
kebolehan, bakat dan potensi sendiri yang tidak perasan selama ini dan dari
situlah seseorang itu akan berusaha untuk mengasah dan meningkatkan
kebolehan dan bakat masing-masing.
Berdasarkan kepada keseluruhan aktiviti yang berlansung sepanjang kursus
BIG selama 4 hari 3 malam ini, saya amat berpuas hati terhadap layanan yang
baik oleh jurulatih-jurulatih kem serta komitmen yang diberikan oleh rakan-rakan
peserta yang lain. Tanpa komitmen serta kerjasama yang erat antara peserta,
berkemungkinaan

BIG

ini

tidak

akan

berlansung

seperti

yang

telah

dirancangkan.
Sehubungan dengan itu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan
kepada pihak Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kota Bharu di atas
komitmen yang padu dalam menjayakan kursus Bina Insan Guru Fasa 1

PISMP/J-QAF Siri 3 bagi tahun 2014. Tanpa tulang belakang dari pihak IPG,
berkemungkinan kursus ini tidak dapat berlansung dengan lancar dan ucapan
terima kasih diberikan kerana telah menyediakan aktiviti-aktiviti yang begitu
bermanfaat sekali untuk baka-bakal guru seperti kami ini supaya dapat menjadi
guru yang sentiasa tabah dan sabar dalam menghadapi sebarang cabaran,
berani menghadapi segala masalah dan meningkatkan semangat kami untuk
menjadi guru yang berjaya pada masa hadapan. Selain itu, ucapan terima kasih
juga diucapkan kepada pihak-pihak terlibat secara lansung iaitu Tuan Haji Wan
Mohd Noor selaku kem komandem BIG kali ini, jurulatih-jurulatih, fasilitatorfasilitator, tutor-tutor kumpulan, khususnya tutor kumpulan kami iaitu Puan Che
Norwani Binti Che Will di atas segala tunjuk ajar dan nasihat yang telah diberikan
kepada kami sepanjang kem ini berlansung.
Secara keseluruhannya, program BIG ini dijalankan dengan lancar dan juga
telah menepati matlamatnya untuk membentuk insan guru yang sempurna. Ini
merupakan kaedah yang baik untuk membentuk insan guru yang seimbang.
Ternyata banyak manfaat yang saya dapat daripada semua aktiviti yang
dijalankan semasa BIG (bina insan guru). Semua pengalaman dan pengetahuan
yang saya dapat saya aplikasikan agar menjadi seorang guru yang lebih jitu dan
serba boleh. Saya berasa seronok dan bersemangat menyertai aktiviti BIG ini.
Diharapkan agar aktiviti ini dijalankan setiap tahun. Saya juga belajar untuk
memberi kerjasama yang jitu dan bertolak ansur dengan ahli kumpulan. Saya
dapat rasakan satu ikatan terjalin semasa aktiviti BIG ini. Terima kasih kerana
memberikan peluang kepada saya untuk menyertai aktiviti ini.
Sekian, Terima Kasih.

Disediakan Oleh :

(NIZAMUDDIN SHAH BIN NAWAWI)

PISMP Pendidikan Khas


IPG Kampus Kota Bharu.

Anda mungkin juga menyukai